“ Majlis kahwin Zalia lagi seminggu. Rene tak cari lagi hadiah untuk
dia. Tak tahu nak kasi apa…” aku memberitahu pada mama sewaktu menolong dia
menyediakan tengahari untuk kami sekeluarga. Hari ini Kak Ana, suami dan
anaknya juga akan makan tengahari di sini. Seronok sangat aku dapat lepaskan
rindu pada Boboi. Rindu? Macamlah duduk jauh. Walhal satu KL juga. Cuma
kekangan masa tidak mengizinkan aku untuk selalu berjumpa dengan si comel itu.
“ Bagi je apa – apa. Yang penting ikhlas dari hati.” kata mama.
Tomato, brokoli, baby corn dan cauliflower dikeluarkan dari peti ais
lalu dibawa ke meja kecil di dapur itu. Kerusi yang bertentangan dengan aku
ditarik lantas mama duduk di situ.
“ Masalahnya takde idea lagi nak bagi apa. Mama cadangkanlah…” pinta
aku sambil tersengih panjang menayang gigi. Penuh hati - hati aku kupas bawang
takut pisau terkena jari. Dulu akibat kecuaian sendiri, aku pernah terhiris
jari. Sakit gila wooo!! Nasib baik darah tak masuk dalam makanan. Kalau tak,
memang ada yang jadi Raja Bersiong nanti. Hehehee!
Mama senyum. “ Kalau mama… Mama akan bagi benda – benda yang dia
boleh guna untuk jangka masa panjang. Contohnya macam barang dapur. Set pinggan
– mangkuk ke. Periuk ke. Nanti dia pindah rumah tak payah beli lain dah.”
Betul jugak kata mama. Beri benda macam tu lagi senang. Zalia boleh
guna bila dah duduk rumah sendiri nanti. Dengar cerita bakal suaminya itu dah
belikan dia rumah. Lepas kahwin terus pindah masuk. Bertuah badan dapat suami
poket tebal macam tu.
“ A'ahlah... Kebanyakannya orang akan bagi benda macam tu je. Masa
Rene kahwin dulu pun dapat banyak barangan elektronik. Best betul… Pindah rumah
angkut je semua yang ada. Tak adalah membazir duit.” aku tersenyum sendiri
tatkala fikiran mengimbas kembali cerita dulu. Ada yang bagi seterika, ada yang
bagi set tupperware. Periuk nasi pun ada! Yang paling tak tahan ada yang siap
bagi baju bayi!
“ Hmm…. Rindunya kat semua tu…” gumamku perlahan tanpa sedar.
Kak Ana yang baru masuk ke dapur tercegat di tepi aku. “ Apa dia?
Rindu?”
Aku tersentak. Pipi merona merah malu ditegur Kak Ana tadi. “ Eh.
Tak ada apalah, Kak Ana….” aku sudah tersipu - sipu malu. Macam mana boleh
tercakap macam tu pulak? Nasib baik Harith tak ada kat sini. Kalau tak cukup
tiga kalilah aku malukan diri depan dia. Tak dinafikan ada masanya hati ini
terasa ingin kembali ke masa lalu. Alangkah bahagianya aku dan si HD waktu itu.
“ Alaaa.. Kak Ana dengar tadi… Takpe Rene. Rindu tu perkara biasa.
Yang luar biasanya kalau langsung tak rindu. Dah namanya kenangan. Semua itu
sukar untuk dilupakan dan ianya cuma ada satu tempat untuk kita semat sampai
bila – bila… Dekat sini….” kata Kak Ana sambil meletakkan jari telunjuknya di
dada kiri.
“ Betul tu, Rene. Jangan malu untuk berterus – terang. Ada baiknya
luahkan saja semua yang terpendam di hati. Mana tahu rasa lebih lega lepas ni,”
sela mama.
Aku tak nafikan kebenaran kata - kata mereka. Marah aku pada Harith
masih belum reda. Namun kenangan manis itu tetap akan ada di dalam sanubari.
Ianya takkan terhapus dek kesedihan yang masih bersarang di hati.
“ Rene.. Adam datang ni.. Nak jumpa Rene..” Abang Firdaus merangkap
abang iparku itu terjengul di pintu masuk dapur.
Pisau di tangan terjatuh ke lantai akibat terperanjat yang amat.
Mujur tak kena kaki.
“ Adam datang? Mama ajak dia ke?” pada mama aku bertanya.
“ Eh taklah! Tak tahu pun dia nak datang.”
Aku mengeluh berat. Hilang terus angin baik aku saat ini. Kenapalah
Adam Khalid datang pulak? Tak tahu ke dia yang aku masih marahkan dia dan tak
mahu bertemu dengannya buat masa ini?
“ Pergilah Rene.. Tak baik biarkan tetamu tunggu lama… Pergi jumpa
dia kejap. Bincang apa yang patut. Selesaikan baik – baik.” pujuk mama setelah
perasan akan perubahan riak wajah aku.
“ Hmmm.. Yelah…..” akhirnya aku akur dan terus bangkit dari kerusi meninggalkan
dapur itu. Demi mama aku turutkan. Kalau tak, jangan haraplah Rene Hananni nak
beralah.
________________________________
“ Rene masih marahkan angah?”
Soalan Adam aku tak berminat nak jawab. Perlahan aku melangkah ke
gazebo dan duduk di situ. Adam datang menghampiri aku, berdiri betul - betul di
depan aku. Tak ingin bertentang mata dengan dia, aku pantas tunduk menekur
rumput karpet Philipine.
“ Atau dah bencikan angah?” soal Adam lagi bila aku hanya membisu
tanpa kata.
“ Janganlah diam macam ni, Rene. Cukuplah Rene mengelak dari angah
selama ni. Angah nak pulihkan semuanya… Angah taknak bermasam muka dengan
Rene.” ujar Adam dengan nada memujuk.
Aku melepaskan keluhan di bibir. Bila nak memujuk pandai pula dia
berlembut dengan aku. Itulah... Lain kali jangan pandai - pandai menuduh tanpa
bukti. Think before you act.
“ Sejujurnya Rene masih marahkan angah…. Rene tak boleh terima
tindakan angah tu. Angah tuduh melulu. Buat kami macam tak ada hati dan
perasaan..” aku berjeda. Nafas aku tarik dalam - dalam. “ Seriously Rene terkejut. Angah buat macam tu, seolah – olah angah
tak kenal Rene. Angah sanggup fikir Rene buat benda tak elok belakang korang
semua.”
Adam yang tadinya berdiri, pantas duduk di sebelah aku. “ I know I’ve made a big mistake. That’s why I
want to make things right. Berikan angah peluang, Rene.. Please… Maafkan angah… Dari hujung
rambut sampai hujung kaki.. Maafkan angah.” rayu Adam.
“ Rene boleh maafkan angah. Tapi dengan satu syarat.” balas aku
setelah lama berfikir.
“ Beritahu aje. Apa syaratnya?”
“ Angah kena mulakan dari Amir dulu. Minta maaf dengan dia sebab
angah dah libatkan dia sekali.” Aku meluahkan hasrat. Walaupun Amir mengaku
yang dia tak pernah menyimpan dendam, namun Adam Khalid harus memohon maaf
darinya.
“ Kalau angah taknak macam mana?”
Aku memejamkan mata rapat, menahan geram dan marah yang kian menjadi
– jadi. Nampaknya Adam masih juga tak mahu beralah. Dengan aku saja dia nak
berbaik. Tapi dengan Amir dia taknak bagi muka. Mana boleh macam tu!
“ Fine.. Kalau macam tu,
Rene pun takkan maafkan angah.” Aku pantas bangkit dan masuk ke rumah dengan
kesebalan di hati. Sampai hati Adam. Aku benar – benar kecewa dengan dia.
__________________________________
“ Sebenarnya Harith datang sini ada hal… Harith nak ajak Rene keluar
kejap…” jelas Harith ketika papa bertanyakan tujuan dia ke mari.
Kami memang terkejut sangat. Tak ada angin tak ada ribut lelaki itu
terpacak di depan rumah. Tak beritahu nak datang. Nasib baik kami tak ke mana –
mana. Kalau tak duduklah dia kat luar rumah tu sampai jadi arang.
“ Hal apa? Kenapa tak cakap awal – awal?” aku menyampuk.
Lelaki itu seakan begitu berat hati hendak menjelaskan. Suaranya
tersekat di kerongkong. Lama dia diam, membuatkan aku semakin berdebar menanti
penjelasan selanjutnya.
“ Benda ni mengejut sebenarnya… Abang pun tak expect benda ni akan jadi hari ni… Jadi.. Abang harap sangat Rene
boleh keluar dengan abang.. Sekejap pun jadilah…” ujar Harith penuh mengharap.
Dari ekspresi mukanya, dia kelihatan begitu kusut dan tak tentu arah. Semacam
ada masalah besar yang sedang dipikulnya.
“ Penting sangat ke?” aku tanya lagi.
Harith mengangguk. “ Sangat penting. Melibatkan soal hidup dan
mati.”
Wah wah! Sampai melibatkan soal hidup dan mati? Serius sangat
bunyinya ni! Ini yang buat aku pun tak sedap hati ni. Apa benda yang penting
sangat tu agaknya ya? Agaknya kalau aku tak ikut, dia mati? Macam tu ke?
“ Kalau dah macam tu kata Harith, pergi ajelah Rene… Kan Harith kata
kejap je.. Pergilah…” suruh mama.
“ Cakap dulu pergi mana baru Rene ikut.” aku pandang Harith.
“ Balik Mont Kiara. Rumah mommy. Ada orang nak jumpa Rene kat sana.”
“ Siapa?” Aku jadi berdebar – debar. Siapa pulaklah yang nak jumpa
aku kat sana?
“ Adalah.. Nanti – nanti Rene akan tahu jugak. Sekarang ni Rene kena
ikut abang balik ke sana dulu.” Jawab Harith yang masih ingin berahsia.
Aduh…! Harith ni sengajalah nak bikin aku tak senang duduk.
“ Ermm.. Give me 10 minutes..
Nak tukar baju..” perlahan aku bangkit dari sofa.
Harith memandang aku dari atas ke bawah. “ Tak perlu. Macam ni dah
cantik dah.”
Pandangan aku jatuh ke tubuh sendiri. T - shirt Hello Kitty dan seluar trek yang aku pakai ni dia kata
cantik? Masya - Allah... Rabun dah bekas laki aku ni agaknya.
“ Pakai macam ni abang kata cantik? Bawak mengucap sikit boleh?”
sindir aku geram. Sudahlah aku pakai sempoi, dia siap boleh puji lagi. Aku
pakai sempoi ni pun sebab duduk rumah tak ke mana - mana. Logiklah kan? Yang
tak logiknya kalau duduk rumah pakai evening
dress. Yang tu memang dah biul namanya tu.
Ketawa mengekek - ngekek Harith. “ Yelah.. Pergilah cepat..”
Aku terus mengatur langkah naik ke bilik. Capai t - shirt berlengan panjang dan seluar palazo kegemaran. Pakai ala
kadar saja. Bersolek pun tidak. Bukannya nak ke mana - mana pun. Setakat pergi
ke rumah mommy tak perlulah berdandan bagai. Sebelum keluar, aku ambil purse di dalam laci meja solek. Aku
segera turun ke bawah semula, mendapatkan Harith yang sudah menanti di tepi
kereta.
“ Mama, papa. Harith mintak maaf. Tapi Harith pinjam Rene kejap ya
hari ni? Nanti petang Harith pulangkan balik.” tutur Harith sopan seraya
menyalami papa dan mama. Mereka berbalas senyuman.
“ Boleh. Nak pinjam selamanya pun tak apa. Tak payah pulangkan.”
usik papa penuh makna.
“ Papaaaaa….!” aku menjerit geram bila diusik begitu.
Mama pantas mencubit bahu papa. Papa pula hanya ketawa dengan riak wajah
yang selamba. Harith sudah tersengih macam kerang busuk. Dia pantas membukakan
pintu kereta untuk aku. Wow!! Masih gentleman
seperti dulu! Ujar aku dalam hati.
“ Hati – hati drive!”
pesan mama sebaik Harith masuk ke perut kereta.
Harith mengangguk seraya menghidupkan enjin kereta. Aku terus
melambai – lambaikan tangan pada papa dan mama sebaik BMW Z4 meluncur pergi
dari situ. Hati dipagut debaran tatkala teringat apa yang Harith beritahu tadi.
Siapa agaknya yang sedang menanti aku di sana?
_______________________________
“ Haa.. Sampai dah pun Rene… Rindunya kami dekat Rene… Lama sungguh
tak jumpa…” tegur satu suara lembut yang amat aku kenali. Sudah lama benar
rasanya aku tidak mendengarnya. Hari ini, terubat juga kerinduanku padanya!
Lebar senyuman aku tatkala melihat dua wajah insan yang amat aku
sayangi di ruang tamu penthouse mewah
ini. Tan Sri Hilmi dan isterinya Puan Sri Zaleha merangkap ibu dan ayah mommy,
sudah tentulah nenek dan atuk kepada Harith Daniel. Sungguh aku tak sangka hari
ini kami akan bertemu lagi. Rupa – rupanya merekalah orangnya yang ingin
bertemu dengan aku seperti yang dimaksudkan oleh si HD tadi! Huh!! Saja buat
suspens!
“ Atuk dengan nenek sihat? Bila sampai…?” aku pantas meluru ke arah
mereka yang sedang beristirehat di ruang tamu. Aku menyalami atuk, kemudian
nenek. Memeluk nenek seerat mungkin dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
Kami jarang dapat berjumpa memandangkan suami isteri ini menetap di Istanbul.
Kalau pulang ke Malaysia pun hanya pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Nenek menyuruh aku duduk di sisinya. Langsung tak mahu berenggang
dengan aku. Menandakan dia juga begitu rindu dan gembira kerana kami dapat
bersua lagi akhirnya.
“ Alhamdulillah sihat walafiat. Kami sampai petang semalam. Tapi
singgah dekat Negeri Sembilan dulu. Jenguk sanak – saudara kat sana. Rene macam
mana sekarang? Dah ada isi?” tanya nenek.
Kening aku bertaut. “ Isi? Isi apa, nek?”
“ Allah….. Yang dalam inilah…. Takkan belum ada apa – apa lagi
kut…?” nenek meletakkan tangannya ke perut aku yang kempis.
Aku menelan air liur. Terkedu dengan pertanyaan dari wanita yang
sudah berusia 70 tahun. Apa maksud nenek? Nenek kan dah tahu yang aku dan cucu
lelakinya itu sudah berpisah? Mommy, Hanim dan Harith juga sudah tergamam.
Masing – masing tak berani hendak menjawab. Aku pandang mereka bertiga yang
saling berpandangan antara satu sama lain.
“ Sabarlah Leha oi… Budak – budak ni muda lagi… Tak payah kalut
sangat nak timang anak. Ada rezeki nanti melekatlah dalam perut tu…. Banyakkan
berdoa.. Insya – Allah adalah nanti..” celah atuk senang seraya tersenyum ke
arah aku.
“ Yelah… Saja je Leha tanya. Leha nakkan yang terbaik untuk anak
cucu kita ni. Syukur alhamdulillah Rene dengan Harith dah bersatu semula…
Gembira sungguh hati nenek ni, Rene…”
Sekali lagi aku diterjah rasa bingung, langsung tak mengerti apa
makna di sebalik perbualan suami isteri itu. Kenapa atuk dan nenek fikir aku
dan Harith sudah berbaik semula? Apa yang menyebabkan mereka berkata begitu? Am I missing something here? Aku pandang
mommy, Harith dan Hanim bersilih ganti dengan pandangan bingung. Masing –
masing tersenyum hambar. Di wajah mereka seolah – olah ada sesuatu yang mereka
sorokkan dari pengetahuan aku selama ini. Apa sebenarnya yang dah terjadi? Saat
ini aku pandang Harith lama. Lelaki itu tampak resah dan gelisah. Reaksinya itu
meyakinkan aku, jawapannya hanya ada pada dia.
*****************
nak tumpang tanya sikit boleh? bila korang baca OhMyExHB ni kan, siapa yg korang bayangkan utk watak Harith, Rene, Amir dan Adam? (saja nak tau) hehehehee. sebab selalunya bila kita baca apa2 cerita mesti ada visualize rupa watak2 kan? :) mehh share sikit mehh.. :)