Tuesday, 22 April 2014

Oh My Ex-Husband! 22

Makan tengahari kali ini ku rasakan agak berlainan berbanding biasa. Mungkin kerana sebelum ini aku selalunya hanya berdua dengan Amirullah. Tapi hari ini orang tuanya juga ada bersama. Mula-mula tadi seram sejuk juga aku nak jumpa mama dan babah Amir, namun lama-kelamaan perasaan itu hilang. Yang ada hanyalah rasa selesa dan senang berbual dengan mereka.

“Amir ni hari-hari cerita pasal Rene.. Sampaikan auntie rasa auntie dah kenal sangat dengan Rene. Cuma tak pernah jumpa orangnya lagi. Alhamdulillah hari ni termakbul juga doa auntie nak jumpa Rene..” ujar Auntie Lydia, ibu kepada Amirullah Bin Abd Rahim. Orangnya sangat ramah dan cepat mesra. Dia kelihatan begitu anggun memakai tudung Ariani. Masih vogue walaupun sudah berumur.

“Betul tu, Rene. Amir ni bukannya tak ada kawan perempuan. Tapi uncle rasa Rene ni yang paling istimewa. Sebab dalam ramai-ramai kawan perempuan dia, Rene sorang aje yang selalu dia sebut. Rene itu, Rene ini.. Sebab itu kami nak sangat jumpa Rene. Nak tengok sendiri Rene ni macam mana orangnya.” tambah Uncle Rahim. Ayah Amirullah pun boleh tahan ramah juga orangnya. Air muka saja nampak garang, tapi hati baik. Dan boleh dikatakan agak kelakar juga ayah Amir ni. Suka buat lawak. Pendek kata kalau sembang dengan dia memang tak kering gusi.

“Ya Allah.. Segannya Rene.. Tak tahulah apa yang Amir cerita.. Rene ni biasa-biasa je uncle, auntie.. Tak ada yang istimewanya pun..” tutur aku merendah diri. Entah apalah yang selalu Amir borak dengan mak ayah dia pasal aku. Malunya!

Auntie Lydia menggeleng perlahan. “Jangan cakap macam tu, Rene.. Setiap manusia itu diciptakan dengan kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Rene ada daya penarik yang tersendiri.. Amir ni kalau dia tak suka, dia akan cakap tak suka. Tapi dengan Rene ni, mesti ada keunikannya tersendiri.. Sebab itu Amir suka sangat dengan Rene..”

“Dengar tu, you.. Mama dan babah I paling faham I.. Dalam ramai-ramai kawan perempuan I, you yang paling unik.. Yang buat I rasa nak sangat kenal you..” sampuk Amir bersahaja. Chicken caprese pasta dikunyah perlahan.

Aku menjuih bibir. “Yelah tu.. Takkanlah dalam ramai-ramai kawan perempuan, sorang pun you tak suka?” tanya aku sebelum menyedut sedikit tropical smoothie, minuman yang wajib aku order setiap kali makan di Tony Roma’s.

“Ada, Rene. Tapi sayangnya yang dia berkenan tu agaknya bukan jodoh dia. Mula-mula berkawan elok je, bila si Amir ni nak masuk mintak, tup-tup baru dia cakap yang dia dah ada pilihan hati sendiri. Mana tak frust si Amir ni..” cerita Uncle Rahim panjang lebar.

Aku pandang Amir lama. Antara percaya dan tidak sebenarnya sebab sebelum ini Amir tak pernah bukak cerita pasal kisah cintanya yang tidak kesampaian tu. Amir cuma tersengih dengan wajah yang ditundukkan sedikit.

“Serius?! You tak pernah cerita pun kat I?” soal aku dengan kening yang terjungkit sebelah.

“Dah you tak tanya… Macam mana I nak cerita?” Amir ketawa. Kemudian dia sambung lagi. “Tak adalah.. I sebenarnya malas nak ungkit cerita lama. Barang yang lepas tak usah dikenang.”

Aku mengangguk setuju. Barang yang lepas tak usah dikenang. Apa yang berlalu, biarkan berlalu. Tak perlu kusutkan fikiran, serabutkan kepala dengan memikirkan perihal yang telah pun terjadi. Sentiasa berpegang pada kata-kata ini :-Forget the past, live the present, dream the future!

“Haa.. Amir.. Ni mama nak pesan.. Kalau dah suka tu, jangan tunggu lama-lama. Elok tunang cepat.. Tak pun nikah je terus, sebelum terlepas ke tangan orang lain.. Nanti awak jugak yang berputih mata.”

Tak senang duduk aku bila Auntie Lydia mula masuk ke bab yang lebih serius. Tunang? Kahwin? Semua tu tak pernah terlintas dalam fikiran aku pun! Lagipun aku dengan Amir bukannya ada apa-apa! Apa cerita sebenarnya ni? Amir kata mama dengan babah dia cuma nak kenal aku. Yang masuk sampai bab nikah kahwin semua ni apa hal pula?

“Insya-Allah.. Mama dan babah doakanlah yang terbaik untuk kami..” balas Amir tenang. Dia seolah-olah mengiakan benda yang tidak wujud! Apa kena dengan Amir ni? Kenapa tak jelaskan saja hal yang sebenar? Aku fikir Amir pasti akan menafikan semua ini sekeras-kerasnya. Tapi ini tidak. Dengan dia-dia pula yang sama naik cakap pasal kahwin! Ya Allah! Peningnya aku!

“Insya-Allah.. Amin. Cepat Amir kahwin, cepatlah mama dapat menantu perempuan..”

Aku mati kata. Perbualan anak-beranak ini hampir buat aku jadi gila! Nampaknya ini semua satu salah faham. Orang tua Amir fikir kami bercinta! Kenapa? Mesti ini semua Amir yang punya pasal! Entah apa bendalah yang Amir cerita pada parents dia pasal aku agaknya?

_______________________

Lepas makan tadi Auntie Lydia dan suaminya terus bergegas ke The Gardens. Auntie Lydia dah beritahu awal-awal lagi yang dia nak cuci mata di butik terkenal Louis Vuitton. Inilah dia peluang keemasan yang aku nantikan dari tadi. Ada sesuatu yang hendak aku bincangkan dengan Amirullah, secara privasi.

“Mama dengan babah tu dah berkenan sangat dengan you, Rene..” jelas Amir ketika kami keluar dari kedai minuman Gong Cha.

Kami sama-sama melangkah ke tempat duduk yang tersedia di luar Gong Cha. Aku dan Amir ambil tempat duduk yang bertentangan arah. Sampai jugak hajat aku nak minum bubble tea Gong Cha selain Chatime. Ramai yang kata minuman ni tak bagus untuk kesihatan, tapi aku nak juga! Sekali-sekala minum tak salah rasanya. Nanti kalau langsung tak minum takut ada yang kempunan pula.

“You tak beritahu hal yang sebenarnya pada mama dengan babah you?” soal aku.

“Beritahu apa?” Amir membalas soalan dengan soalan. Bekas minuman Gong Cha diletak ke meja.

“Yang kita ni cuma kawan. Kita tak pernah bercinta. Antara kita ni.. Zero..! Ada you cakap macam tu pada mama dengan babah you?”

Amir membetulkan kolar baju kemeja yang dipakai. Pelipisnya digaru-garu perlahan.

“Okey I mengaku I tak pernah cakap pasal tu. Sebab tu mama dengan babah nak sangat kita kahwin. Sebab mereka fikir kita ni memang bercinta.” Amir akhirnya membuka cerita. Riak wajahnya cukup bersahaja. Sikit pun tak nampak bersalah sebab dah reka cerita yang bukan-bukan.

“Ya Allah.. Amir.. Sedangkan dengan you pun I tak mahu beri harapan palsu, inikan pula dengan orang tua you.. Cubalah you guna otak you sebelum bertindak, Amir.. Apa perasaan mama dengan babah you kalau dapat tahu yang kita ni sebenarnya cuma kawan?”

“Sekarang kita memang kawan. Tapi tak mustahil kalau satu hari nanti you tiba-tiba jatuh cinta dengan I pulak.. Kan?” Amir mengoles senyuman bermakna.

Kali ini, aku tergamam. Macam mana aku nak jawab soalan yang aku sendiri tak tahu jawapannya? Aku jungkit bahu tanda tak tahu. Amir melepaskan keluhan berat. Hampa kerana sehingga ke saat ini aku masih tidak mampu memberikan kepastian.

“Amir, Rene..” suara Auntie Lydia menyapa halwa telinga kami.

Kami menoleh serentak ke arah Auntie Lydia yang baru tiba di situ, diikuti oleh Uncle Rahim dari belakang. Aku dan Auntie Lydia bertukar senyuman. Paper bag berlogo Louis Vuitton di tangan Auntie Lydia aku pandang sekilas. Wah! Auntie dah beli beglah! Bahagianya jadi orang berpoket tebal ni. Nak beli apa-apa sekelip mata dapat.

“Mama.. Dah habis shopping ke?” tanya Amir.

Aku tarikkan dua kerusi kosong untuk mama dan babah Amir, menyuruh mereka duduk di situ. Uncle Rahim duduk di sebelah Amir, Auntie Lydia pula duduk di sebelah aku.

“Dah.. Ni babah pun dah ajak balik. Dah lenguh kaki katanya.. 4-5 jam berjalan non-stop..” kata Auntie Lydia sambil mengerling ke arah suaminya dengan senyuman di bibir.

“Maknanya mama dengan babah nak balik rumah Kak Elin teruslah ni?”

Aku lihat jam di tangan. Jarum jam sudah menginjak ke angka 6.15 petang. Dah lama sangat kami di sini. Kalau ikutkan aku tadi, lepas makan terus nak balik. Tapi Auntie Lydia pula yang suruh tunggu. Tak puas bersembang dengan aku katanya.

“Gitulah kira-kiranya. Besok pagi kami bertolak ke Perak..”

“Okeylah kalau macam tu. Apa-apa hal mama dengan babah beritahu Amir ya? Insya-Allah kalau takde apa-apa malam ni Amir pergi rumah Kak Elin..”

“Rene, auntie dengan uncle balik dulu.. Insya-Allah panjang umur kita jumpa lagi..” Auntie Lydia bangkit dari kerusi.

Aku turut bangun, menghulur tangan ke arah Auntie Lydia, menyalami wanita itu penuh hormat.

“Insya-Allah. Auntie dengan uncle jaga diri baik-baik.” pesan aku sambil tersenyum manis, memandang Auntie Lydia dan suaminya bersilih ganti.

Uncle Rahim mengangguk kecil. “Kirim salam dekat mama papa Rene, ya? Kalau datang Perak, jemputlah ke rumah.” pelawa Uncle Rahim mesra.

“Insya-Allah, uncle.”

“Amir.. Ingat pesan mama tadi.. Berkawan, berkawan jugak.. Antara kamu ni ada batasnya.. Masih belum ada ikatan yang sah.. Jadi kena jaga diri tu baik-baik. Jangan duk buat sakit hati anak orang pulak..” nasihat Auntie Lydia.

Aku dan Amir sama-sama tersenyum, mengangguk faham.

“Insya-Allah, mama.. Amir ingat pesan mama..” sahut Amir sopan.

“Rene tengok-tengokkan si Amir ni.. Kalau nakal sangat beritahu auntie.. Biar auntie cubit dia kuat-kuat.” Sempat lagi Auntie Lydia berpesan, siap buat-buat cubit bahu Amir pula.

Amir mengerut dahi, buat-buat sakit. Kami tergelak kelucuan melihat kelakuannya itu.

“Kami balik dulu.. Assalamualaikum.” Pamit Uncle Rahim.

“Waalaikumussalam.” Serentak kami menjawab salam.

__________________

Kami sudah pun dalam perjalanan pulang. Aku tak sabar nak balik mandi, makan dan rehat. Sudahlah malam tadi aku tidur pukul 3 pagi. Gatal sangat berjaga lewat malam semata-mata nak tengok cerita kegemaran, Twilight Saga Breaking Dawn Part 2. Ada si kacak Robert Pattinson, rugilah kalau tak tengok!

“Parents you tahu ke I ni dah pegang status ‘J’ tu?” Itulah soalan yang aku hendak tanya dari tadi. Tapi asyik sangat borak pasal hal lain, sampai terlupa pasal tu. Ni alang-alang dah ingat balik, baik tanya. Takut nanti terlupa lagi!

“Tahu.. Tapi mama dengan babah relaks je. Sporting.. Mama dengan babah tak kisah pun.. Dia orang dah bagi restu dah..” jawab Amir dengan senyuman meleret sampai ke telinga. Seronok sangat bila dah dapat lampu hijau dari orang tuanya.

Aku menghela nafas lega. Mujurlah mak dan ayah Amir ni jenis yang tak mengongkong. Sama macam papa dan mama aku juga. Sangkaku mak dan ayah Amir takkan setuju bila tahu anaknya berkawan dengan wanita yang sudah memegang title janda seperti aku. Maklumlah, ada setengah orang yang sempit pemikirannya cukup anti dengan orang seperti kami. Kenapa mereka benci sangat dengan janda ni tak tahulah. Apa salah kami? Bukan kami yang minta untuk bergelar janda. Namun itu semua sudah takdir jodoh kami tidak panjang.

Perlahan-lahan Amir memberhentikan Toyota Camrynya tidak jauh dari pagar rumah kami.Amir pantas keluar dari kereta lantas membukakan pintu kereta untuk aku.

“Thank you for today.. Mama dengan babah nampak seronok sangat dapat jumpa you..” kata Amir.

“No need to thank me.. Apa sangatlah yang I buat untuk you ni. Benda kecik je. I pun seronok dapat kenal mama dengan babah you.” Balas aku.

“Baguslah tu.. I tengok you dengan mama pun mesra sangat. Chemistry antara bakal menantu dengan bakal mertua tu dah nampak dah..” Amir mula hendak menyakat. Kenakalannya semakin menjadi-jadi.

Perut Amir aku cubit perlahan. “Mengada-ngada!”

Amir tergelak, cepat-cepat tangan aku ditolak dari terus mencubit perutnya. “Okeylah.. I balik dulu.. Kirim salam dekat mama dengan papa..”

Aku angguk. Sebaik Amir masuk ke dalam kereta, aku melambai-lambaikan tangan padanya tanda selamat tinggal. Amir membalas dengan menekan hon sekali, isyarat bye bye. Sewaktu aku meluru masuk ke dalam pagar, pandangan aku tertumpu ke arah insan yang sedang duduk dekat gazebo.

“Abang.. Bila sampai?” soal aku seraya menghampiri Harith Daniel yang langsung tidak berganjak dari tempat duduknya. Masa sampai sini tadi tak pula aku perasan kereta Harith ada ke tidak?

“Dah lama. Seronok keluar dengan Amir?” tanya Harith sedikit sinis. Senyumannya yang menawan juga langsung tak kelihatan.

Aku tercengang. “Macam mana abang tahu Rene keluar dengan Amir?”

“Abang nampak dia hantar Rene balik tadi..”

“Sebenarnya Rene ikut dia sebab parents dia ada kat sini, nak jumpa Rene..” aku memberitahu tanpa ada niat ingin berselindung apa-apa darinya.

“Patutlah. Lama abang tunggu nak ajak Rene keluar.. Rupa-rupanya dia dah seronok keluar dengan orang lain.” Ujar Harith dengan wajah hampa. Dia tunduk menekur lantai.

Hah? Harith tunggu aku? Aku menepuk dahi berkali-kali, setelah teringat yang hari ini sepatutnya aku temankan dia ke Pavilion! Ya Allah Ya Tuhanku!! Macam mana aku boleh terlupa benda sepenting tu?

“Abang!! Rene terlupa!! Betul-betul terlupa!!! Abang.. Rene mintak maaf..!” luah aku kesal. Bodohnya Rene Hannani! Benda macam itu pun kau boleh lupa? Kesian Harith!!

Harith membisu terus. Kebisuannya itu menambahkan lagi rasa bersalah yang menjalar di hati ini. Riak hampa dan kecewa jelas terpancar di wajahnya. Teruknya kau, Rene! Benda macam ni pun kau boleh lupa? Aku memarahi diri sendiri. Aku tak sengaja, sumpah aku tak sengaja! Ini semua salah aku. Keluar dari tengahari bila dah petang baru reti nak balik! Ini salah aku! Memang salah aku!

“Abang… Maafkan Rene.. Rene tak sengaja…” aku terus duduk di sebelah Harith yang masih lagi tidak bercakap walau sepatah.

“Takpelah.. Benda dah nak jadi nak buat macam mana.. Lagipun abang tak penting.. Amir lagi penting.” sayu suara Harith, seakan merajuk. Logiklah kalau dia merajuk. Bukan main berharap dapat keluar dengan aku, tapi aku terlupa. Siapa tak frust kalau macam tu?

Harith segera bangkit dan terus melangkah keluar dari pagar. Aku pantas mendapatkan Harith yang sudah ingin berlalu ke keretanya. Pujuk dia, Rene! Jangan biarkan Harith pergi macam tu saja! Mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki! Luluh hati aku mendengar butir bicaranya itu. Jelas menunjukkan bahawa dia benar-benar tersinggung dengan aku.

“Abang.. Janganlah cakap macam tu.. Sumpah Rene tak fikir macam tu pun.. Rene tahu Rene salah..!” aku tak putus asa. Aku takkan biarkan Harith balik macam tu saja. Aku perlu selesaikan masalah yang berpunca dari aku sendiri.

Harith mematikan langkah. Kaku berdiri membelakangi aku. “It’s okay, Rene.. Just forget about it.. Abang balik dulu..” kata Harith yang langsung tak pandang aku walau sekejap. Pasti dia terlalu marah sampaikan dah tak boleh tengok aku lagi.

Kelu lidah aku menerima reaksi dingin dari Harith Daniel. Aku kehilangan kata-kata, kehabisan idea untuk pujuk Harith yang sudah pun masuk ke dalam perut kereta. Lama aku tercegat di situ. Sedar tak sedar, kereta Harith sudah hilang dari pandangan.

Aku masuk ke rumah dengan perasaan sebal. Mama yang duduk beristirehat di ruang tamu merenung aku lembut. Aku melangkah ke sofa yang tidak jauh dari mama, menghenyakkan tubuh ke situ.

“Lama dia tunggu Rene.. Lepas Asar tadi dia datang.. Sampailah sekarang.. Banyak kali dia cuba telefon Rene tapi Rene langsung tak jawab.” Mama memberitahu.

Sepantas kilat aku keluarkan telefon bimbit dari dalam beg. Membuntang mata aku sebaik melihat ada 20 missed calls dan 10 pesanan ringkas dari Harith Daniel! Masya-Allah!! Dah banyak kali dia call, siap hantar mesej lagi! Tapi aku tak jawab satu pun! Aku tak perasan!!

“Rene langsung tak dengar dia call, mama..” aku mengeluh berat. Aku pun satu hal juga. Langsung tak rasa nak tengok fon, kut-kut ada call dari sesiapa. Semuanya dah terlambat, Rene. Harith dah balik. Dah terang lagi bersuluh orang tu makan hati sebab kau boleh lupa date dengan dia.

“Rene ke mana sebenarnya tadi? Sekarang baru ingat nak balik.. Kesian Harith.. Mama tengok dia berkobar-kobar nak keluar dengan Rene.”

“Rene tak sengaja, mama.. Rene tak sengaja.. Rene betul-betul terlupa yang Rene dah janji dengan dia..!” Aku meraup wajahku berkali-kali, tersandar lemah di sofa itu. Terbayang-bayang wajah hampa Harith Daniel sekejap tadi. Aku memejamkan mata rapat.

“Masa dia datang tadi, dia cakap nak keluar dengan Rene. Bila mama beritahu Rene keluar dengan Amir, dia nampak macam frustrated.. Tapi dia tetap juga nak tunggu Rene. Tak sangka pulak Rene balik lambat..” Ya Allah.. Kejamnya aku! Kesian Harith! Sanggup tunggu aku hanya kerana nak keluar dengan aku. Tapi aku boleh pula terlupa temujanji kami! Aku kebuntuan. Tak tahu apa caranya untuk hilangkan rajuk Harith Daniel. Abang, maafkan Rene. Demi Allah, Rene tak ada niat pun nak sakitkan hati abang. Maafkan Rene, abang.

7 comments:

  1. Best..cptla smbng..padan muka harith..tula..ade isteri taknak jaga baik2..dah lpaskn baru ingat nak menyesal

    ReplyDelete
  2. Bestnyer... tapi kesian jugak kat Harith... hu hu

    ReplyDelete
  3. Tak publish kee .lamaa lagi ke nak keluar novel

    ReplyDelete
  4. Kesiannya si Harith.

    ReplyDelete
  5. Cik writter , boleh tak tolong tukar background blog ni ?? sebab background ni agak menyukarkan reader-reader yang lain nak baca u punya blog termasuk saya sendiri.
    =D

    ReplyDelete