Wednesday, 2 July 2014

Oh My Ex-Husband! 25


TERKEJUTNYA mama bukan kepalang setelah Harith menceritakan apa yang telah terjadi. Aku pula kelu membisu. Sedari tadi hinggalah ke saat ini, aku langsung tak bersuara. Kejadian yang hampir meragut nyawaku tadi memberi impak yang amat besar pada diriku. Cubalah kalau tadi Harith tidak ada di situ, apakah aku masih bernyawa ketika ini?

“Alhamdulillah, syukurlah Rene selamat. Lain kali nak lintas jalan tu hati-hati sikit Rene, tengok kiri dan kanan. Jangan main redah aje.” mama mengusap kepalaku lembut. Rambutku dielus-elus perlahan.

“Rene tak perasan ada kereta masa tu, mama.” Aku sedar akan kecuaian aku sendiri.

“Tak perasan? Rene ni banyak sangat berfikir mama rasa. Sebab tu buat apa-apa pun tak fokus. Kepala tu dah melayang jauh ke mana-mana dah agaknya. Nasib baik Harith ada. Kalau tidak?”

Aku bungkam, lalu menundukkan pandang ke permaidani yang terbentang di ruang tamu itu.

“Banyak fikir? Rene fikir apa sebenarnya?” soal Harith kebingungan. Tadi dia langsung tak menyampuk walau sepatah. Nampaknya dia juga terkesan dengan insiden itu. Harith tak izin aku pandu kereta pulang ke rumah. Bimbang nak biar aku balik sendiri. Dialah yang pandu kereta aku pulang ke sini. Keretanya pula terpaksa ditinggalkan dekat PappaRich sekejap.

Mama segera bangun dari sofa. “Harith duduk dulu. Mama pergi buatkan air kejap.”

“Thanks, mama.”

Mama mengangguk. Seketika kemudian dia berlalu ke dapur. Aku faham mama sebenarnya cuma ingin memberi ruang untuk kami saling berbicara.

“Betul ke apa yang mama cakap? Rene banyak fikir? Rene ada masalah ke?” Harith menumpukan perhatian pada aku semula. Pantas dia duduk di sisiku dalam jarak yang begitu dekat.

Nafasku seakan terhenti tatkala haruman Giorgio Armani menusuk ke hidung. Hati berdebar tak terkata. Apa sudah jadi dengan aku? Resah dan tak keruan bila dia ada di depan mata. Takkanlah ini semua kesan akibat daripada kejadian tadi? Terus jadi macam orang tak betul!

“Cuba cerita dekat abang, Rene fikir apa? Is something bothering you?” Harith menyoal bertubi-tubi. Jelas dia begitu runsingkan aku.

Suaraku bagaikan tersekat di kerongkong. Pertanyaan semudah itu pun tak mampu aku jawab. Apa reaksi Harith kalau tahu apa yang menganggu fikiran aku sejak kebelakangan ini?

“Rene, dengar tak abang tanya ni?” suara Harith kedengaran lagi, cuba menyedarkan aku yang jauh mengelamun entah ke mana.

Lambat-lambat aku mengangguk. Pandangan aku tetap pada kaca televisyen di depan.

“Dah tu? Cakaplah apa yang Rene fikir?”

“Abang.” akhirnya aku berterus-terang.

“Abang?” Harith kebingungan.

“Rene fikir pasal abang.”

“Fikir pasal abang? Kenapa dengan abang?” Harith seakan tercengang.

Harith ni biar betul? Dia memang tak faham atau buat-buat tak faham? Aku tarik nafas dalam-dalam, menghembusnya perlahan.

“Boleh pulak dia buat-buat tak tahu, kan? Kita separuh gila cari dia, tunggu dia dekat sana tadi. Tapi dia tak muncul-muncul jugak! Sajalah tu nak balas dendam balik, kan? Nak suruh Rene rasa macam mana abang rasa masa abang tunggu Rene hari tu, betul tak?” Lancar mulut aku menyerangnya.

Sepi. Harith tidak menunjukkan sebarang respons. Namun di wajahnya, dia tampak kesal dengan apa yang terjadi.

“Lama Rene tunggu abang. Mati-mati ingat abang tak datang. Sebab tulah Rene blah macam tu je. Tup-tup abang muncul masa Rene nak kena langgar dengan kereta tu,”

Harith melepaskan keluhan berat. “Maaflah. Sebenarnya, abang memang dah nak pergi jumpa Rene pun tadi. Tapi sebelum tu abang pergi draw duit dulu dekat mesin ATM. Itu yang lambat tu..”

“Habis tu kenapa tak balas mesej?” Saat ini kami bertentang mata.

“Abang tak perasan. Sorry..” luah Harith yang sudah dihimpit rasa bersalah.

Aku berkalih pandang pada TV semula. Suasana kembali hening bila dua-dua membisu tanpa kata.

“Sakit jantung abang masa Rene nak kena langgar dengan kereta tu tadi. Syukur alhamdulillah Allah lindungi Rene dari bahaya..”

Risau juga dia pada aku rupanya. Ingatkan memang langsung dah taknak ambil tahu pasal aku. Maklumlah, dua hari dia abaikan aku macam itu saja. Ada hikmahnya juga bila jadi macam ni. Harith yang loving and caring dah kembali semula!

Aku sandarkan kepala ke penyandar sofa. Selesa. Harith pandang aku, bagai ternanti-nanti apa yang hendak aku luahkan pula. Namun aku memilih untuk terus berdiam diri. Selang beberapa saat, mama keluar dari dapur membawa dulang ke meja kopi.

“Meh minum dulu, Harith.” pelawa mama sambil tuang teh O panas ke dalam cawan.

“Terima kasih, mama. Susah-susah aje,” ujar Harith sambil tersenyum manis.

“Alaa.. Buat air je pun. Haa.. Cookies ni Rene yang buat kelmarin. Makanlah. Sedap!” Sepiring biskut cip coklat yang aku buat dihulur pada Harith.

Harith menjungkit kening. “Ye? Rene buat? Kalau macam tu memang rugilah kalau tak makan.” Biskut cip coklat tadi diambil sekeping lantas disuap ke mulut.

“A'ah. Sedap! Dah boleh buka bisnes dah anak mama ni.” puji Harith. Tersenyum dia sebaik pandangannya dihalakan ke arahku sekilas.

Mama senyum sampai ke telinga. Aku pula curi-curi pandang dia dengan ekor mata. Pandailah dia nak ambil hati aku. Itulah Harith Daniel. Bab memuji dan memujuk, dialah champion.







LAMA aku termangu di laman rumah. Bersandar pada tiang gazebo sambil berpeluk tubuh. Langit cerah aku renung kosong. Tanpa menyedari ada yang memerhati. Aku pantas berpaling ke belakang bila terdengar deheman seseorang.

Mataku menyoroti langkah Harith ke gazebo itu. Dia duduk lantas wajah aku ditatap lembut.

“Jauh termenung? Dah sampai ke mana?”

Soalan itu mengundang senyuman di bibirku. Aku sekadar menggeleng kecil.

“Kalau termenung jangan jauh-jauh sangat. Jangan tinggal abang sorang-sorang kat sini..” senda Harith. Cuba untuk buat aku ketawa.

Aku ketawa perlahan. Harith turut ketawa. Sukalah tu taktik dia menjadi.

“Macam tulah! Ketawa. Abang suka dengar Rene ketawa. Your laugh is like music to my ears.”

Aku juih bibir seraya menjelingnya manja. Manisnya mulut dia. Jangan kena hurung semut sudah. Harith menghela nafas berat, pandangannya dilontar jauh entah ke mana.

“Abang mintak maaf sebab abang buat tak endah dengan Rene sehari dua ni. Disebabkan tu, Rene jadi susah hati. Maafkan abang.”

“Rene yang patut mintak maaf dengan abang sebab semua ni berpunca dari silap Rene sendiri. Kalau Rene tak lupa temujanji kita, kita takkan gaduh..” aku mengambil tempat duduk di sebelah Harith.

“Abang mengaku abang frust, harap sangat dapat keluar dengan Rene. Tapi bila tahu Rene keluar dengan Amir, abang rasa lain macam. Bila tunggu Rene tak balik-balik, lagi abang jadi geram. Dahlah call tak dapat-dapat. Sedih sangat masa tu.”

Aku berkalih posisi, menghadap ke arah lelaki itu. Merenung dia dari sisi kirinya tanpa berkelip mata. Aku diam, memberi ruang untuk Harith meluahkan semuanya.

Harith meneruskan bicara. “Abang terlalu ikutkan emosi. Sebab tulah sehari dua ni abang mengelak dari jumpa Rene. Sebab abang takut abang melenting tak tentu pasal, takut terluah benda yang tak sepatutnya pada Rene. Abang bukannya saja-saja taknak cakap dengan Rene. Abang cuma perlukan ruang untuk bersendirian, untuk tenangkan diri. Itu aje,”

“Tell me what should I do to make you forgive me?”

“Tak ada apa-apa yang perlu Rene buat untuk dapatkan kemaafan dari abang. Abang dah maafkan Rene dah pun.”

“Tapi.. Rene dah sakitkan hati abang..” aku masih dihantui perasaan bersalah terhadapnya.

“Alaa.. Sakit sikit je, tapi sekarang abang dah okey.” Tutur Harith, ingin menyedapkan hatiku ini.

“Yelah tu…” cemik aku.

Harith pandang aku. “Laa.. Tak percaya? Betullah! Abang dah okey. See, I’m smiling!” Bibirnya menarik senyum lebar sampai ke telinga. Sungguh-sungguh dia meyakinkan aku.

Melihat senyuman itu, semua tekanan yang melanda bagaikan hilang sekelip mata. Emosi yang sedikit terganggu gara-gara kejadian tadi kembali stabil.

“Maafkan abang sebab buat Rene risau.” pujuk Harith sambil merapatkan kedudukannya dengan aku.

Terasa gugup bila duduk dekat-dekat macam ini dengan Harith. Namun, aku tetap cuba berlagak tenang, agar keresahan itu tidak ketara di matanya.

“It’s okay. Tapi lain kali jangan buat macam ni lagi. Tau?”

“I won’t. I promise.” Harith angkat tangan kanan tegak.

Aku tertawa kecil. Syukur, alhamdulillah. Semuanya sudah selesai. Tidak ada lagi salah faham di antara kami berdua. Harapnya lepas ni kami takkan bergaduh lagi.

Harith mengerling jam tangannya sekali lalu. “Abang dah kena gerak ni. Nak pergi ambil ‘girlfriend’ abang tu. Kesian kena tinggal lama-lama. Mesti dia dah rindu sangat kat abang.”

Girlfriend?! Bulat mata aku mendengarnya. Harith dah ada kekasih baru? Dia dah jumpa pengganti aku? Siapa? Siapa perempuan tu?! Kenapa aku tak tahu?

“Girlfriend? Siapa dia? Mesti cantik orangnya, kan?” aku mengukir senyum paksa. Hati sudah dijentik rasa cemburu. Who is that lucky girl anyway? Beruntungnya dia sebab berjaya pikat lelaki sehebat Harith Daniel! Nanti dulu! Kenapa aku cemburu tak tentu pasal ni? Weirdo!

Harith ketawa mengekek. Entah apa yang begitu mencuit hatinya aku pun tak pasti.

“Bukan girlfriend yang itulah. Maksud abang kereta abang la! Hehe..”

Oh! ‘Girlfriend' yang dimaksudkan Harith tadi tu rupa-rupanya kereta kesayangan dia! Ya Allah! Malunya! Boleh tak aku sorokkan muka aku kat mana-mana sekarang? Agak-agak, Harith perasan ke tak reaksi aku tadi? Alaa.. Buat relaks sudah! Jangan gelabah sangat, Rene!

“Err.. Biar Rene hantarkanlah.” ujar aku yang cuba untuk berlagak selamba.

“Tak apa, abang call Hanim suruh dia datang ambil abang kat sini. Rene rehat je kat rumah. Jangan risaukan abang, I can handle it myself..”

Aku diam tidak membantah. Kalau dah begitu kata Harith, turutkan sajalah. Harith pantas mengambil fon di dalam poket jeansnya. Setelah nombor adiknya itu ditekan, dia terus melekapkan fon ke telinga.

“Hanim sibuk tak? Datang ambil abang dekat rumah Kak Rene. Kereta abang takde kat sini.” jelas Harith panjang lebar.

Jeda.

“It's a long story. Kak Rene nyaris accident tadi. Tapi dia okey je ni. Hanim datanglah sini dulu, nanti abang cerita. Okey?”

“Okey. Abang tunggu. Bye.” Talian dimatikan.

Sementara menunggu Hanim datang, aku dan Harith sempat berbual panjang sambil menikmati angin petang.







LEPAS makan malam, aku terus naik ke bilik untuk berehat. Papa yang suruh aku tidur awal. Siap suruh aku MC esok sehari gara-gara terlampau runsingkan aku. Puas aku cuba yakinkan papa agar tidak terlalu bimbangkan aku. Berkali-kali aku kata yang aku okey, barulah papa boleh tarik nafas lega.

Fon di atas meja solek aku capai dan terus duduk di birai katil. Iphone 5 warna hitam itu aku tenung lama. Ternanti-nanti panggilan dari seseorang. Aku pelik dengan hati aku ni. Lepas Harith balik petang tadi, aku rasa macam serba tak kena. Rasa macam tak puas sembang dengan dia, tak puas tengok dia depan mata. Adakah ini rindu?

Lima minit menanti namun masih juga tidak ada panggilan dari Harith. Aku mengeluh hampa. Aku ketuk-ketuk dahi perlahan dengan fon kesayangan. Memang sahlah aku dah terkena sakit rindu. Sakit yang ubatnya hanya ada pada Harith Daniel seorang.

Tiba-tiba fon aku berbunyi. Terujanya aku bukan kepalang. Namun keterujaan itu tidak lama bila terlihat nama Kak Ana yang terpampang di skrin itu. Lain yang ditunggu, lain pula yang telefon. Mana Harith ni? Tak rindu aku ke?

“Assalamualaikum, Kak Ana.”

“Waalaikumussalam, dik. How are you? Mama dah ceritakan semuanya dekat Kak Ana. I was so worried about you. Are you okay, sis?” soal Kak Ana gusar.

“Rene okey, kak. Jangan risau. Rene sangat-sangat okey. Tak ada calar sikit pun.” jawab aku. Timbul rasa terharu dengan keprihatinan mereka semua.

“Itulah. Mama kata kebetulan Harith ada kat situ. Dia yang tarik Rene ke tepi. Ya Allah.. Sakit dada akak dengar mama cerita tadi.. Syukurlah Rene selamat..”

Aku senyum mendengar nama yang meniti di bibir Kak Ana. Rasanyalah, mereka semua tak perlu risau tentang kejadian yang menimpa aku tadi. Tapi yang patut mereka risaukan ialah bila tengok aku yang separuh angau ketika ini. Macam tak siuman pun ya juga. Ingat Harith saja, automatik aku senyum sendiri. Janganlah aku kena mandi bunga pula nanti.

“Yup! Harith jadi hero Rene hari ni. Alhamdulillah, semuanya okey. Allah beri Rene peluang bernafas sampai ke saat ini.”

“Alhamdulillah. Lepas ni kena hati-hati selalu. Okeylah, Rene. Akak nak tidurkan Boboi kejap. Besok akak balik sana.”

“Okey, kak. Jumpa esok insya-Allah. Selamat malam. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Lima saat selepas kami menamatkan perbualan, panggilan dari Harith pula yang masuk ke telefonku. Hari ini dalam sejarah. Panggilan masuk bertubi-tubi. Aku sengih lebar. Panggilan yang ditunggu-tunggu sedari tadi! Cepat-cepat aku tekan butang hijau.

“Assalamualaikum, Rene. Tengah buat apa?” suara Harith kedengaran di corong talian.

Aku membetulkan posisi. Dari birai katil, aku henyakkan tubuh ke tilam. Berbaring santai sambil memeluk Mr. Bear yang menjadi peneman setia aku setiap malam.

“Waalaikumussalam. Tak buat apa. Tengah rest dalam bilik. Baru lepas cakap fon dengan Kak Ana tadi,” aku mengiring ke kanan. Ceria benar dapat dengar suara Harith malam ni. Satu perasaan indah yang sudah lama tidak aku rasai. Harith macam dapat rasa je yang aku tunggu dia call. Chemistry kuat sangat kut ni? Heheh!

“Ooo.. Habis tu abang ganggu ke ni?”

“Taklah, tak ganggu pun. Rene pun tengah lepak-lepak je dalam bilik ni.”

“Good, abang call ni bukan apa, cuma nak tanya khabar Rene. Nak tahu Rene okey ke tak. After what had happened today, abang jadi risau. Rene tak apa-apa, kan?”

Awww, dia call semata-mata nak tanya khabar aku! Sukanya! Sukanya! Sukanya!! Aku menjerit dalam hati. Dari posisi kanan, aku bertukar pula ke posisi kiri. Berguling-guling atas katil. Jangan ada yang jatuh katil kejap lagi sudahlah!

“Yes, I am doing fine. Thank you for asking. Abang janganlah risau sangat. Rene cuma terkejut je tadi. Tapi sekarang Rene dah okey. Alhamdulillah.” tutur aku tenang.

“Baguslah, lega abang dengar. Abang bukan apa, abang macam ternampak-nampak lagi kejadian tadi. Abang pulak yang trauma semacam.”

Terharunya aku hanya Tuhan yang tahu. Mendengarkan suaranya, aku tahu dia memaksudkannya. Harith tak main-main. Dia betul-betul risaukan aku.

“Takde apa-apalah. Abang jangan fikir sangat. Rene okey. Kalau Rene tak okey, mesti mama dah call abang dah. Kalau mama tak cakap apa-apa itu maksudnya Rene okey.” Balas aku.

“Kalau macam tu okeylah. Baru tenang sikit hati abang ni..” Harith menghela nafas lega.

“Abang,”

“Yes, honey?”

Honey pulak! Kenapa tiba-tiba dia jadi romantik semacam malam ni? Aduh! Bikin hati jadi tak torah! Abang oh abang! Rene kat sini dah separuh sasau disebabkan abang. Kalaulah abang boleh tengok sendiri betapa kroniknya Rene sekarang…

“Terima kasih untuk semuanya. Kalau tak kerana abang Rene mungkin dah..”

“Syhh.. Jangan cakap macam tu, Rene. Tolonglah...” Harith pantas memotong percakapanku. Tidak sanggup untuk mendengar luahan selanjutnya dariku. Suaranya lirih kedengaran. Menangiskah dia?

“Okey.. Maaf..” aku juga mati kata. Mutiara jernih sudah bertakung di kelopak mata. Emosi semacam pula aku malam ni.

“Tak perlu mintak maaf. Kejadian tu beri impak yang amat besar pada kita. Abang tak tahu apa yang akan jadi pada abang, kalau abang tak sempat selamatkan Rene tadi. Abang takkan maafkan diri abang.”

“Abang, ajal, maut, jodoh dan pertemuan itu semua di tangan Dia. Kalau pun sesuatu menimpa diri Rene, jangan sesekali abang salahkan diri abang. Kita manusia kena terima qada’ dan qadar Tuhan.”

“Yes, you’re right. Sorry for being too emotional tonight.. Sepatutnya abang gembirakan Rene. Bukan buat Rene sedih macam ni.”

Aku menyeka air mata yang sudah meleleh dari tubir mata, membasahi cadar katil merah jambu itu. Aku menangis bukan kerana sedih, tetapi kerana hati ini cukup tersentuh dengan pengakuannya itu. Hati aku kuat mengatakan, Harith Daniel masih Harith Daniel yang dulu. Yang menyayangi aku setulus hatinya. Aku harap gerak hati aku ini tak salah.

“Tak apa. Rene okey je ni,” aku tertawa kecil. Air mata juga sudah berhenti mengalir.

“Alhamdulillah. Itu yang abang nak dengar. Okeylah. It’s getting late. Rene tidurlah. Esok-esok abang call lagi.” ujar Harith perlahan.

“Okey. Good night, abang. Sweet dreams. Assalamualaikum.”

“Abang nak mimpikan Rene malam ni. Good night. Waalaikumussalam.”



Senyuman tidak lekang di bibir walau talian sudah di matikan. Mr. Bear yang besar dan berbulu sejuk di sebelah aku peluk erat lalu aku pejamkan mata rapat. Terngiang-ngiang suara romantik lelaki itu di telinga. Oh tidak! Belum apa-apa aku sudah rindukan dia! Hebatnya penangan Harith Daniel!

4 comments:

  1. Bestnyer bab ini!!! Suka sangat2!!!

    ReplyDelete
  2. best2...cpt sbmg ya...

    ReplyDelete