Monday 30 December 2013

Oh My Ex-Husband! 14

“ Majlis kahwin Zalia lagi seminggu. Rene tak cari lagi hadiah untuk dia. Tak tahu nak kasi apa…” aku memberitahu pada mama sewaktu menolong dia menyediakan tengahari untuk kami sekeluarga. Hari ini Kak Ana, suami dan anaknya juga akan makan tengahari di sini. Seronok sangat aku dapat lepaskan rindu pada Boboi. Rindu? Macamlah duduk jauh. Walhal satu KL juga. Cuma kekangan masa tidak mengizinkan aku untuk selalu berjumpa dengan si comel itu.

“ Bagi je apa – apa. Yang penting ikhlas dari hati.” kata mama. Tomato, brokoli, baby corn dan cauliflower dikeluarkan dari peti ais lalu dibawa ke meja kecil di dapur itu. Kerusi yang bertentangan dengan aku ditarik lantas mama duduk di situ.

“ Masalahnya takde idea lagi nak bagi apa. Mama cadangkanlah…” pinta aku sambil tersengih panjang menayang gigi. Penuh hati - hati aku kupas bawang takut pisau terkena jari. Dulu akibat kecuaian sendiri, aku pernah terhiris jari. Sakit gila wooo!! Nasib baik darah tak masuk dalam makanan. Kalau tak, memang ada yang jadi Raja Bersiong nanti. Hehehee!

Mama senyum. “ Kalau mama… Mama akan bagi benda – benda yang dia boleh guna untuk jangka masa panjang. Contohnya macam barang dapur. Set pinggan – mangkuk ke. Periuk ke. Nanti dia pindah rumah tak payah beli lain dah.”

Betul jugak kata mama. Beri benda macam tu lagi senang. Zalia boleh guna bila dah duduk rumah sendiri nanti. Dengar cerita bakal suaminya itu dah belikan dia rumah. Lepas kahwin terus pindah masuk. Bertuah badan dapat suami poket tebal macam tu.

“ A'ahlah... Kebanyakannya orang akan bagi benda macam tu je. Masa Rene kahwin dulu pun dapat banyak barangan elektronik. Best betul… Pindah rumah angkut je semua yang ada. Tak adalah membazir duit.” aku tersenyum sendiri tatkala fikiran mengimbas kembali cerita dulu. Ada yang bagi seterika, ada yang bagi set tupperware. Periuk nasi pun ada! Yang paling tak tahan ada yang siap bagi baju bayi!

“ Hmm…. Rindunya kat semua tu…” gumamku perlahan tanpa sedar.

Kak Ana yang baru masuk ke dapur tercegat di tepi aku. “ Apa dia? Rindu?”

Aku tersentak. Pipi merona merah malu ditegur Kak Ana tadi. “ Eh. Tak ada apalah, Kak Ana….” aku sudah tersipu - sipu malu. Macam mana boleh tercakap macam tu pulak? Nasib baik Harith tak ada kat sini. Kalau tak cukup tiga kalilah aku malukan diri depan dia. Tak dinafikan ada masanya hati ini terasa ingin kembali ke masa lalu. Alangkah bahagianya aku dan si HD waktu itu.

“ Alaaa.. Kak Ana dengar tadi… Takpe Rene. Rindu tu perkara biasa. Yang luar biasanya kalau langsung tak rindu. Dah namanya kenangan. Semua itu sukar untuk dilupakan dan ianya cuma ada satu tempat untuk kita semat sampai bila – bila… Dekat sini….” kata Kak Ana sambil meletakkan jari telunjuknya di dada kiri.

“ Betul tu, Rene. Jangan malu untuk berterus – terang. Ada baiknya luahkan saja semua yang terpendam di hati. Mana tahu rasa lebih lega lepas ni,” sela mama.

Aku tak nafikan kebenaran kata - kata mereka. Marah aku pada Harith masih belum reda. Namun kenangan manis itu tetap akan ada di dalam sanubari. Ianya takkan terhapus dek kesedihan yang masih bersarang di hati.

“ Rene.. Adam datang ni.. Nak jumpa Rene..” Abang Firdaus merangkap abang iparku itu terjengul di pintu masuk dapur.

Pisau di tangan terjatuh ke lantai akibat terperanjat yang amat. Mujur tak kena kaki.

“ Adam datang? Mama ajak dia ke?” pada mama aku bertanya.

“ Eh taklah! Tak tahu pun dia nak datang.”

Aku mengeluh berat. Hilang terus angin baik aku saat ini. Kenapalah Adam Khalid datang pulak? Tak tahu ke dia yang aku masih marahkan dia dan tak mahu bertemu dengannya buat masa ini?

“ Pergilah Rene.. Tak baik biarkan tetamu tunggu lama… Pergi jumpa dia kejap. Bincang apa yang patut. Selesaikan baik – baik.” pujuk mama setelah perasan akan perubahan riak wajah aku.

“ Hmmm.. Yelah…..” akhirnya aku akur dan terus bangkit dari kerusi meninggalkan dapur itu. Demi mama aku turutkan. Kalau tak, jangan haraplah Rene Hananni nak beralah.

________________________________

“ Rene masih marahkan angah?”

Soalan Adam aku tak berminat nak jawab. Perlahan aku melangkah ke gazebo dan duduk di situ. Adam datang menghampiri aku, berdiri betul - betul di depan aku. Tak ingin bertentang mata dengan dia, aku pantas tunduk menekur rumput karpet Philipine.

“ Atau dah bencikan angah?” soal Adam lagi bila aku hanya membisu tanpa kata.

“ Janganlah diam macam ni, Rene. Cukuplah Rene mengelak dari angah selama ni. Angah nak pulihkan semuanya… Angah taknak bermasam muka dengan Rene.” ujar Adam dengan nada memujuk.

Aku melepaskan keluhan di bibir. Bila nak memujuk pandai pula dia berlembut dengan aku. Itulah... Lain kali jangan pandai - pandai menuduh tanpa bukti. Think before you act.

“ Sejujurnya Rene masih marahkan angah…. Rene tak boleh terima tindakan angah tu. Angah tuduh melulu. Buat kami macam tak ada hati dan perasaan..” aku berjeda. Nafas aku tarik dalam - dalam. “ Seriously Rene terkejut. Angah buat macam tu, seolah – olah angah tak kenal Rene. Angah sanggup fikir Rene buat benda tak elok belakang korang semua.”

Adam yang tadinya berdiri, pantas duduk di sebelah aku. “ I know I’ve made a big mistake. That’s why I want to make things right. Berikan angah peluang, Rene.. Please… Maafkan angah… Dari hujung rambut sampai hujung kaki.. Maafkan angah.” rayu Adam.

“ Rene boleh maafkan angah. Tapi dengan satu syarat.” balas aku setelah lama berfikir.

“ Beritahu aje. Apa syaratnya?”

“ Angah kena mulakan dari Amir dulu. Minta maaf dengan dia sebab angah dah libatkan dia sekali.” Aku meluahkan hasrat. Walaupun Amir mengaku yang dia tak pernah menyimpan dendam, namun Adam Khalid harus memohon maaf darinya.

“ Kalau angah taknak macam mana?”

Aku memejamkan mata rapat, menahan geram dan marah yang kian menjadi – jadi. Nampaknya Adam masih juga tak mahu beralah. Dengan aku saja dia nak berbaik. Tapi dengan Amir dia taknak bagi muka. Mana boleh macam tu!

Fine.. Kalau macam tu, Rene pun takkan maafkan angah.” Aku pantas bangkit dan masuk ke rumah dengan kesebalan di hati. Sampai hati Adam. Aku benar – benar kecewa dengan dia.

__________________________________

“ Sebenarnya Harith datang sini ada hal… Harith nak ajak Rene keluar kejap…” jelas Harith ketika papa bertanyakan tujuan dia ke mari.

Kami memang terkejut sangat. Tak ada angin tak ada ribut lelaki itu terpacak di depan rumah. Tak beritahu nak datang. Nasib baik kami tak ke mana – mana. Kalau tak duduklah dia kat luar rumah tu sampai jadi arang.

“ Hal apa? Kenapa tak cakap awal – awal?” aku menyampuk.

Lelaki itu seakan begitu berat hati hendak menjelaskan. Suaranya tersekat di kerongkong. Lama dia diam, membuatkan aku semakin berdebar menanti penjelasan selanjutnya.

“ Benda ni mengejut sebenarnya… Abang pun tak expect benda ni akan jadi hari ni… Jadi.. Abang harap sangat Rene boleh keluar dengan abang.. Sekejap pun jadilah…” ujar Harith penuh mengharap. Dari ekspresi mukanya, dia kelihatan begitu kusut dan tak tentu arah. Semacam ada masalah besar yang sedang dipikulnya.

“ Penting sangat ke?” aku tanya lagi.

Harith mengangguk. “ Sangat penting. Melibatkan soal hidup dan mati.”

Wah wah! Sampai melibatkan soal hidup dan mati? Serius sangat bunyinya ni! Ini yang buat aku pun tak sedap hati ni. Apa benda yang penting sangat tu agaknya ya? Agaknya kalau aku tak ikut, dia mati? Macam tu ke?

“ Kalau dah macam tu kata Harith, pergi ajelah Rene… Kan Harith kata kejap je.. Pergilah…” suruh mama.

“ Cakap dulu pergi mana baru Rene ikut.” aku pandang Harith.

“ Balik Mont Kiara. Rumah mommy. Ada orang nak jumpa Rene kat sana.”

“ Siapa?” Aku jadi berdebar – debar. Siapa pulaklah yang nak jumpa aku kat sana?

“ Adalah.. Nanti – nanti Rene akan tahu jugak. Sekarang ni Rene kena ikut abang balik ke sana dulu.” Jawab Harith yang masih ingin berahsia.

Aduh…! Harith ni sengajalah nak bikin aku tak senang duduk.  

“ Ermm.. Give me 10 minutes.. Nak tukar baju..” perlahan aku bangkit dari sofa.

Harith memandang aku dari atas ke bawah. “ Tak perlu. Macam ni dah cantik dah.”

Pandangan aku jatuh ke tubuh sendiri. T - shirt Hello Kitty dan seluar trek yang aku pakai ni dia kata cantik? Masya - Allah... Rabun dah bekas laki aku ni agaknya.

“ Pakai macam ni abang kata cantik? Bawak mengucap sikit boleh?” sindir aku geram. Sudahlah aku pakai sempoi, dia siap boleh puji lagi. Aku pakai sempoi ni pun sebab duduk rumah tak ke mana - mana. Logiklah kan? Yang tak logiknya kalau duduk rumah pakai evening dress. Yang tu memang dah biul namanya tu.

Ketawa mengekek - ngekek Harith. “ Yelah.. Pergilah cepat..”

Aku terus mengatur langkah naik ke bilik. Capai t - shirt berlengan panjang dan seluar palazo kegemaran. Pakai ala kadar saja. Bersolek pun tidak. Bukannya nak ke mana - mana pun. Setakat pergi ke rumah mommy tak perlulah berdandan bagai. Sebelum keluar, aku ambil purse di dalam laci meja solek. Aku segera turun ke bawah semula, mendapatkan Harith yang sudah menanti di tepi kereta.

“ Mama, papa. Harith mintak maaf. Tapi Harith pinjam Rene kejap ya hari ni? Nanti petang Harith pulangkan balik.” tutur Harith sopan seraya menyalami papa dan mama. Mereka berbalas senyuman.

“ Boleh. Nak pinjam selamanya pun tak apa. Tak payah pulangkan.” usik papa penuh makna.

“ Papaaaaa….!” aku menjerit geram bila diusik begitu.

Mama pantas mencubit bahu papa. Papa pula hanya ketawa dengan riak wajah yang selamba. Harith sudah tersengih macam kerang busuk. Dia pantas membukakan pintu kereta untuk aku. Wow!! Masih gentleman seperti dulu! Ujar aku dalam hati.

“ Hati – hati drive!” pesan mama sebaik Harith masuk ke perut kereta.

Harith mengangguk seraya menghidupkan enjin kereta. Aku terus melambai – lambaikan tangan pada papa dan mama sebaik BMW Z4 meluncur pergi dari situ. Hati dipagut debaran tatkala teringat apa yang Harith beritahu tadi. Siapa agaknya yang sedang menanti aku di sana?

_______________________________

“ Haa.. Sampai dah pun Rene… Rindunya kami dekat Rene… Lama sungguh tak jumpa…” tegur satu suara lembut yang amat aku kenali. Sudah lama benar rasanya aku tidak mendengarnya. Hari ini, terubat juga kerinduanku padanya!

Lebar senyuman aku tatkala melihat dua wajah insan yang amat aku sayangi di ruang tamu penthouse mewah ini. Tan Sri Hilmi dan isterinya Puan Sri Zaleha merangkap ibu dan ayah mommy, sudah tentulah nenek dan atuk kepada Harith Daniel. Sungguh aku tak sangka hari ini kami akan bertemu lagi. Rupa – rupanya merekalah orangnya yang ingin bertemu dengan aku seperti yang dimaksudkan oleh si HD tadi! Huh!! Saja buat suspens!

“ Atuk dengan nenek sihat? Bila sampai…?” aku pantas meluru ke arah mereka yang sedang beristirehat di ruang tamu. Aku menyalami atuk, kemudian nenek. Memeluk nenek seerat mungkin dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Kami jarang dapat berjumpa memandangkan suami isteri ini menetap di Istanbul. Kalau pulang ke Malaysia pun hanya pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Nenek menyuruh aku duduk di sisinya. Langsung tak mahu berenggang dengan aku. Menandakan dia juga begitu rindu dan gembira kerana kami dapat bersua lagi akhirnya.

“ Alhamdulillah sihat walafiat. Kami sampai petang semalam. Tapi singgah dekat Negeri Sembilan dulu. Jenguk sanak – saudara kat sana. Rene macam mana sekarang? Dah ada isi?” tanya nenek.

Kening aku bertaut. “ Isi? Isi apa, nek?”

“ Allah….. Yang dalam inilah…. Takkan belum ada apa – apa lagi kut…?” nenek meletakkan tangannya ke perut aku yang kempis.

Aku menelan air liur. Terkedu dengan pertanyaan dari wanita yang sudah berusia 70 tahun. Apa maksud nenek? Nenek kan dah tahu yang aku dan cucu lelakinya itu sudah berpisah? Mommy, Hanim dan Harith juga sudah tergamam. Masing – masing tak berani hendak menjawab. Aku pandang mereka bertiga yang saling berpandangan antara satu sama lain.

“ Sabarlah Leha oi… Budak – budak ni muda lagi… Tak payah kalut sangat nak timang anak. Ada rezeki nanti melekatlah dalam perut tu…. Banyakkan berdoa.. Insya – Allah adalah nanti..” celah atuk senang seraya tersenyum ke arah aku.

“ Yelah… Saja je Leha tanya. Leha nakkan yang terbaik untuk anak cucu kita ni. Syukur alhamdulillah Rene dengan Harith dah bersatu semula… Gembira sungguh hati nenek ni, Rene…”

Sekali lagi aku diterjah rasa bingung, langsung tak mengerti apa makna di sebalik perbualan suami isteri itu. Kenapa atuk dan nenek fikir aku dan Harith sudah berbaik semula? Apa yang menyebabkan mereka berkata begitu? Am I missing something here? Aku pandang mommy, Harith dan Hanim bersilih ganti dengan pandangan bingung. Masing – masing tersenyum hambar. Di wajah mereka seolah – olah ada sesuatu yang mereka sorokkan dari pengetahuan aku selama ini. Apa sebenarnya yang dah terjadi? Saat ini aku pandang Harith lama. Lelaki itu tampak resah dan gelisah. Reaksinya itu meyakinkan aku, jawapannya hanya ada pada dia.


*****************

nak tumpang tanya sikit boleh? bila korang baca OhMyExHB ni kan, siapa yg korang bayangkan utk watak Harith, Rene, Amir dan Adam? (saja nak tau) hehehehee. sebab selalunya bila kita baca apa2 cerita mesti ada visualize rupa watak2 kan? :) mehh share sikit mehh.. :)

Friday 27 December 2013

Oh My Ex-Husband! 13

Sepanjang dalam panggung wayang, aku langsung tak boleh tumpukan perhatian pada cerita tersebut. Resah dan serba tak kena saat berada di samping lelaki itu. Kali terakhir kami begini waktu kami masih suami isteri. Sekarang macam tak percaya semua ini akan berulang lagi. Ya, benar. Kita hanya mampu merancang tetapi Dia yang menentukan. Siapa sangka, kan? Mulanya aku plan untuk tengok wayang dengan Amir, tapi Allah dah tetapkan Harith yang berada di sisi aku sekarang.
Lagi satu sebab kenapa aku hilang fokus. Dari ekor mata, lelaki di sebelahku ini lagaknya macam tak pernah tengok Rene Hannani. Mata dia tu setiap saat pasti akan renung aku di sebelah. Jantung aku ni pula bukan main laju lagi degupannya setiap kali sepasang mata itu tertumpu pada wajah aku sepenuhnya. Walaupun aku hanya berlagak tenang, namun dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
“ Cerita dekat depan… Bukan dekat muka Rene…” sindir aku dengan nada berbisik tanpa melihat Harith. Sungguh aku tak selesa dengan kelakuannya itu.
Harith ketawa. “ Biarlah… Movie ni bosan. Tengok Rene tak bosan.”
Kotak bertih jagung di tangan aku serahkan pada Harith. “ Nah. Kunyah pop corn. Gerenti bosan abang tu hilang.”
Ketawa lagi dia. Sedikit kuat berbanding tadi. Cepat – cepat aku meletakkan jari telunjuk ke bibir, memberi isyarat agar diperlahankan suaranya itu. Bimbang menganggu yang lain. Nanti kalau orang dengar apa pula orang cakap. Tengok cerita serius. Tapi dia ketawa macam ada badut dekat depan tu. Tak pasal orang fikir dia otak mereng pula nanti.
Harith buat lagi. Kali ini badannya disengetkan ke kanan. Terlalu dekat sehinggakan bahu kami hampir bersentuhan. Aku pula tetap juga fokuskan pandangan ke skrin besar di depan. Malas hendak melayan lelaki di sebelah aku ini. Aku buat muka selamba. Tak senyum sikit pun.
“ Seriusnya muka… Cuba senyum sikit….” Tegur Harith sambil mengunyah bertih jagung.
“ Tengok cerita serius mestilah kena serius jugak. Takkan nak senyum kut?”
“ Yelah… Rene menang…” balas Harith. Air Coke disedut sedikit.
Spontan tangan aku hendak mengambil pop corn yang berada di tangan Harith tanpa melihatnya. Entah macam mana.. Lain yang aku nak buat, lain pula yang jadi. Tanpa sengaja aku terpegang tangan Harith. Kami terpana seketika. Cerita di depan tak lagi menjadi tumpuan. Bagaikan terkena renjatan elektrik, aku pantas menarik tangan aku kembali. Darah menyerbu ke mukaku. Ya Allah. Masuk ini dah dua kali aku memalukan diri sendiri di depan lelaki itu. Hari tu tercakap I love you. Hari ini terpegang tangan dia pulak! Apa cerita ni, Rene? Boleh tak kalau tak buat benda yang boleh memalukan diri? Boleh tak?
Sorry.. Tak sengaja…” ujar aku dengan rasa bersalah.
“ Tak apa… Peganglah lagi.. Lama – lama pun takpe. Abang suka.” Bisik Harith nakal. Bibirnya menarik senyum sampai ke telinga.
Tergamam terus aku ketika ini. Aku menjegilkan mata padanya. “ Gatal!”
Harith tergelak.
 ___________________________________________________
Habis wayang, Harith mengajak aku minum petang di Starbucks pula. Dia mengidam nak makan tiramisu. Aku layankan ajelah. Dah alang - alang ada kat sini, apa salahnya kalau aku temankan dia sekejap. Lepas ni aku cabut terus!
“ Cantik rantai… Buah hati bagi ke?” tanya Harith dengan mata yang dihalakan pada rantai leher yang aku pakai.
“ Kalau Rene jawab, nanti ada orang merajuk lagi.”
“ Siapa? Abang?” Harith menuding jari telunjuk ke mukanya sendiri.
“ Taklah. Abang dekat kaunter tu. Obviously I am talking about you right now, Mr. Harith Daniel. Tak payah buat – buat tanyalah..” ringan mulut aku menyindir sambil buat muka. Sengajalah tu Harith buat – buat blur. Walhal manalah ada orang lain yang duduk semeja dengan kami. Cuma kami berdua. Ya, hanya kami.
“ Oh. Abang ke? Bila masa abang merajuk?” tanya Harith sedikit tercengang.
“ Hari tu.. Yang pasal gelang tu. Itu bukan merajuk namanya?” aku mengingatkan.
“ Errmm…. Ingatkan tak perasan… Dah tu… Tahu abang merajuk kenapa tak pujuk?”
“ Eee.. Malaslah! Tak kuasa nak pujuk orang ni! Banyak kerja lagi Rene nak buat.”
“ Yelaaa kannn…. Kalau kita merajuk tak kuasa nak pujuk. Cuba kalau Si A bukan nama sebenar yang merajuk, laju je pujuk.” Harith buat suara sedih.
Aku mencebik. Itu semua lakonan semata - mata hendak meraih belas simpati. Jangan terpedaya! A bukan nama sebenar katanya. Macamlah aku tak tahu siapa yang dia maksudkan.
“ Cakap pasal Amir, abang teringat dia cerita pasal insiden antara korang bertiga hari tu. Sumpah abang terkejut sangat. Tak sangka boleh jadi macam tu.” Harith membuka cerita.
Dahi aku berkerut seribu. “ Cerita pasal apa ni?”
“ Adam. Sepupu Rene tulah..”
Oh... Mesti Amir dah mengadu semua dekat Harith. Memang dia ni tak boleh simpan rahsia. Semua benda nak kongsi dengan Harith. Kawan baiklah katakan!
“ Kesian Amir. Tak pasal – pasal kena ‘sembur’ dengan angah. Geram jugak Rene hari tu.” Aku masih tak lupa peristiwa seminggu yang lalu. Marah dan geram masih bersisa di hati. Adam Khalid ada juga telefon aku, tapi aku buat tak hirau. Usahkan jumpa dia, nak dengar suara dia juga aku dah tak sanggup!
“ Errmm… Kalau masa tu abang yang kena ‘sembur’ dengan dia, rasanya dah lama abang bertinju dengan dia kat situ.”
Haihh…!! Nasib baik sangat! Aku takut juga kalau Harith yang kena ‘serang’ dengan Adam malam tu. Rasanya memang bahaya. Takut ada yang bermalam di hospital aje nanti.
“ Kenapa dia buat macam tu ya? Dia jealous ke apa?” Tanya Harith sebelum menghirup sedikit hot mochanya.
Aku melepaskan keluhan berat. Tak suka nak bercerita pasal Adam. Tapi tak guna berahsia lagi. Harith dah tahu dah pun. Aku menopang dagu di meja sambil buat muka bosan. Bosan bercerita pasal Adam Khalid. Buat sakit kepala je!
“ Apa sebab dia nak jealous? Kami bukannya ada apa – apa hubungan istimewa pun.”
“ Rene je yang cakap macam tu. Tapi Rene tak tahu apa ada dalam hati dia. Abang dapat rasa tu, Rene. Adam Khalid masih sayangkan Rene. Sebab itulah dia buat macam tu.. Abang lelaki. Dia lelaki. Apa yang Amir cerita malam tu, abang dah boleh agak dah…”
Aku terdiam. Ulasan dan tanggapan si HD ni sama macam Bella. Dua – dua pun kata Adam masih cintakan aku. Kalau itu terjadi, apa yang patut aku lakukan? Jauhkan diri dari dia atau buat seperti biasa, macam tak ada apa – apa yang jadi antara kami. Entahlah…. Serabut!
“ Kalau firasat abang ni tepat, Rene akan terima dia atau tidak?” soalan cepumas dari Harith Daniel.
“ Ish! Merepek apa ni? Terima dia untuk apa?” Soalan dibalas dengan soalan.
“ Terima dia sebagai pengganti abang. Sebagai soulmate Rene. Jawablah. I’m eager to know..” Jawab Harith seraya merapatkan diri ke meja. Matanya difokuskan pada aku sepenuhnya. Seakan begitu berminat hendak mendengar jawapan untuk soalannya itu sekarang.
Aduh! Soalan jenis apalah yang Harith ni bagi? Rasanya masa SPM dulu pun soalan taklah sepayah ini! Ini tidak... Buat pecah kepala nak cari jawapan yang tepat. Nanti kalau salah bagi jawapan, tak pasal – pasal dia salah faham. Sengajalah tu nak buat aku jadi serba – salah! Eh... Berapa banyak salah daaa...?
“ Abang dah tahu Rene cuma anggap dia tak lebih dari seorang abang, kan? Rasanya tak semudah itu Rene akan jatuh cinta pada dia.” jawab aku tenang. Memang itulah perasaan yang tak berubah sedari dulu. Adam Khalid hanya abang sepupu dan akan kekal begitu.
Harith menghela nafas perlahan. “ Okey.. Itu dengan Adam. Dengan Amir pulak macam mana? Ada rasa sesuatu tak bila Rene dengan dia?”
Ish! Mamat ni kenapa? Nak kena buat gulai agaknya? Aku sekadar menjungkit bahu. Malas nak jawab apa – apa.
“ Sajalah tu taknak jawab. Errmmm… Kalau dengan abang?”
Okey... Harith Daniel memang nak uji aku. Sekarang ini aku dah mula gelabah. Aku membetulkan duduk, cuba untuk mengawal keresahan yang melanda hati. Relaks, Rene. Tarik nafas. Hembus perlahan - lahan.
“ Apa halnya pula dengan abang?” soal aku pura - pura tidak mengerti. Walhal sudah dapat aku baca makna yang terselindung di sebalik soalan semudah itu.
“ Rene tak rasa apa yang abang rasa?”
“ Rasa apa ni?”
“ Macam mana nak cakap ek? Hmm.. Kalau dengan Rene, abang rasa happy. Abang lupa semua benda sekeliling abang. Ibaratnya Rene ni macam magician gitu. Bila jumpa Rene, abang dah tak nampak benda lain. Abang cuma nampak Rene sorang.. Serius!” sungguh - sungguh Harith meluahkan.
Aku diumpamakan seperti magician? Pandailah dia! Ada saja buah fikirannya untuk buat hati ini jadi cair. Aku sendiri susah hendak percaya dengan apa yang Harith cakapkan sebentar tadi. Jujurkah dia? Atau ini semua hanyalah tipu helah semata – mata?
“ Assalamualaikum..” salam diberi.
Kami menoleh serentak. Terkejut dengan kehadiran seseorang yang sudah lama tidak aku jumpa. Sir Farid, bekas pensyarah aku ketika menuntut di UiTM Shah Alam dulu. Dekat kenduri kahwin dialah aku dan Harith bertemu.
“ Waalaikumussalam.. Laa.. Farid… Long time no see..!” Harith segera berjabat tangan dengan kawan lamanya itu.
Sir Farid tersenyum memandang kami bersilih ganti. Lain sungguh dia sekarang. Dulu dia slim, sekarang dah berisi sikit. Dah jadi ayah oranglah katakan.
“ Itulah.. Busy sangat.. Tak sangka dapat jumpa lovebirds ni kat sini pulak. Apa cerita sekarang? Masih berdua? Ke dah tambah ahli?” tanya Sir Farid ramah dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.
Aku pandang Harith dengan dahi yang berkerut. Lelaki itu hanya mengukir senyum kelat saat dia membalas renungan aku sesaat. Bingung aku dibuatnya. Apa maksud Sir Farid ya? Kenapa dia tanya macam tu? Masih berdua? Tambah ahli? Siap panggil kami lovebirds lagi!
“ Aaa.. Macam nilah kami.. Masih berdua…” jawab Harith perlahan.
Aku masih terpinga - pinga. Harith cakap apa ni? Tentu ada sesuatu yang Harith sorokkan dari aku. Ini yang buat aku jadi tak sabar nak bertanyakan yang selanjutnya. Sabar, Rene. Tunggu sikit saja lagi. Kejap lagi bila Sir Farid pergi, kau tanyalah dia dari A sampai Z!
“ Sir Farid nampak lain sangat sekarang. Sorang je ke? Mana Madam Zuri?” Teringat aku pada isterinya yang juga merupakan seorang pensyarah di UiTM Shah Alam. Memang dah lama sangat tak berhubung dengan mereka. Kali terakhir aku berhubung dengan Madam Zuri sewaktu di majlis konvokesyen. Waktu itu dia sedang hamil 7 bulan. Lepas itu, kami lost contact macam tu saja.
“ Madam Zuri ada kat kampung. Baru bersalin dua minggu lepas.. Ni tengah berpantang kat rumah mak dia... Anak ketiga dah..” cerita Sir Farid dengan wajah yang berseri – seri. Jelas terpancar riak bahagia di wajahnya.
“ Laa ye ke? Tahniah!! Nanti kirim salam dekat dia tau? Rindu sangat dekat dia..” ujar aku tumpang gembira untuk mereka. Cepat sungguh masa berlalu. Alhamdulillah.. Diam tak diam dah anak tiga dah Sir Farid dengan Madam Zuri!
“ Insya – Allah. Nanti lepas dah habis pantang dia balik sini balik. Ada masa boleh jumpa lagi.” Sir Farid mengerling jam tangannya. “ Okeylah, Harith.. Rene.. Dah kena gerak dulu ni. Lepas ni nak bertolak ke Pahang. Tak sabar nak jumpa anak – anak dan isteri tercinta.”
“ Okey, Farid. Panjang umur jumpa lagi. Insya – Allah.” Balas Harith.
Sir Farid mengangguk kecil, segera meminta diri untuk pulang. Hilang saja kelibat bekas pensyarahku itu, aku terus meminta penjelasan dari Harith Daniel.
Explain to me please…” kata aku spontan.
About what?” Harith mengerut dahi.
About just now. Kenapa sir tanya kita masih berdua? Apa maksud dia?”
Lama Harith mengambil masa untuk menjawab pertanyaan aku. Macam berat mulut nak bercerita dengan panjang lebar. Dia menggaru – garu kepala yang tak gatal.
“ Err… Sebenarnya… Dia tak tahu pun yang kita dah… Berpisah…” ujar Harith sepatah – sepatah.
What?!” aku terjerit kecil. Sungguh aku terperanjat mendengarnya! Patutlah Sir Farid selamba je panggil kami lovebirds! Rupa – rupanya dia tak tahu yang hubungan kami ni dah lama musnah!
“ Alaa.. Kita orang dah lama tak jumpa. Sebab tulah dia tak tahu apa – apa. Lagipun macam yang Rene cakap sebelum ni, hal peribadi tak perlu hebohkan pada orang lain.”
Sudahnya, aku cuma diam tak kata apa. Harus diakui kebenaran kata – kata Harith. Tak semua tentang kita orang patut tahu. Wajarlah kalau Harith pun tak beritahu apa – apa pada Sir Farid.
______________________________
Sewaktu aku hendak keluar makan tengahari dengan officemate aku, Afrina, aku terkejut melihat sejambak bunga ros merah di atas bumbung kereta. Aku ambil untuk tengok nama si pengirim tapi hampa. Hanya bunga tanpa kad atau nota pesanan. Segera aku pandang ke sekeliling, mencari kelibat sesiapa di situ tapi tak ada. Hish...! Siapa pulalah agaknya yang sengaja nak suruh aku sakit jantung di hari Jumaat yang penuh keberkatan ini?
Phewwiitt!! Siapa kasi bunga tu?” tegur Afrina.
“ Entah… Tak ada pun kad ke.. Misteri sungguh.” kata aku lantas mencium bau bunga kesukaanku itu. Wahai bunga, siapalah yang hantar kau ke sini? Alangkah bagusnya kalau aku dapat tahu siapa si pengirim misteri ini? Aku tersenyum sendiri.
Secret admirerlah tu agaknya… Ehem ehem! Bertuah sungguh jadi orang cantik ni, kan? Jadi tumpuan orang! Cantik, menarik, tertarik kau memang da bomb!” puji Afrina sungguh – sungguh.
Aku hanya tergelak kecil bila Afrina tiba - tiba menyanyikan lagu Ruffedge. Cantik ke aku ni? Menarik ke? Da bomb ke?
“ Kau ni, Afrina.. Tak payahlah puji aku lebih – lebih macam tu.. Segan aku..!”
Afrina tertawa riang. Tak lama selepas itu, panggilan dari si HD masuk ke telefon bimbitku. Tak sempat aku hendak memberi salam, suaranya pantas menyapa halwa telingaku.
Dah dapat bunga tu?” soal Harith.
Aku bungkam sebentar. Kenapa Harith tanya pasal bunga? Jangan - jangan, dialah insan yang mengirim bunga ini untuk aku!
“ Laa.. Abang ke yang bagi?”
Habis tu ingat siapa? Amir?” Harith serkap jarang.
Cehh!! Sikit – sikit Amir juga yang kena. Kesian Amir, tersedak agaknya orang duk sebut nama dia. Harith ni pun satu hal juga, cemburu sangat dengan Amir tu kenapa? Dia ingat hidup aku ni cuma fikir pasal Amir sorang saja? Soalan Harith itu aku buat tak hirau. Biarkan dia terus berteka – teki.
Cantik sangat Rene hari ni… Ayu je pakai baju kurung… Suka abang tengok!”
Dahi aku berkerut seribu. Aku melirik ke arah baju kurung Pahang warna ungu gelap yang tersarung di tubuhku ini. Pelik! Macam mana Harith boleh tahu aku pakai baju kurung? Aku tak cakap apa – apa pun dekat dia!
“ Macam mana abang tahu Rene pakai baju kurung?”
Mata abang selalu ada dengan Rene… Hehehee!”
“ Jangan main – mainlah! Abang kat area sini je kan? Baik abang cakap.. Mana abang? Kenapa Rene tak nampak abang?” aku tercari – cari kelibat lelaki itu. Yakin yang Harith Daniel sebenarnya berada tidak jauh dari sini. Cuma mungkin dia sengaja nak menyorok dari aku. Melilau mataku melihat ke sana sini. Tak ada! Mana dia? Si HD ni ada ilmu ghaib ke? Seram!
Tak payah carilah.. Rene takkan nampak.” ujar Harith disusuli tawa kecilnya.
Aku mencebik tak puas hati. “ Ni sejak bila pulak suka main hide and seek ni?”
Harith ketawa perlahan. “ Sejak tadi. Takdelah.. Abang taknak selalu muncul depan Rene. Nanti orang tu juga tarik muncung empat belas inci. Yelah, tak sukakan kitalah katakan…” intonasi Harith berubah sayu tak semena – mena.
Hmmm.. Mulalah tu nak raih simpati. Mamat ini memang banyak sangat taktiknya. Sekali lagi aku pekakkan telinga. Malas nak layan kerenah dia. Jambangan bunga ros merah di tangan aku renung lama. Apa mimpi dia hantar bunga ni? Saja nak suruh aku cairlah tu agaknya.
Okeylah.. Abang dah lewat ni. Nak pergi lunch lepas tu terus pergi solat Jumaat. Simpan bunga tu baik – baik tau. Jaga diri. Jangan nakal – nakal. Assalamualaikum.”
Amboi pesanan dia! Nakal sangat ke aku ni? Macam – macam hal tau si HD ni!
“ Ermm.. Insya – Allah.. I will.. Waalaikumussalam..”
Aku simpan fon ke dalam beg semula. Butang unlock pada kunci kereta aku tekan dan Afrina segera membuka pintu di tempat duduk sebelah pemandu. Sebelum masuk, sekali lagi aku perhati ke sekeliling. Manalah tahu kalau – kalau ternampak bayang Harith Daniel. Tapi nampaknya, tak ada. Entah dekat manalah dia tadi agaknya. Harith, Harith. Suka sangat buat kejutan. Sedari awal perkenalan kami, itulah dia yang sebenarnya.
***********************
p/s: salam semua. thank u sbb sudi baca OhMyExHusband! :) sorry kalau entri sebelum ni agak pendek sebabnya saya takut kalau panjang sgt nanti cerita jd meleret2 n merapu. Tapi entri kali ni saya buat panjang sikit, so here it is! harapnya semua enjoy dgn bab 13! thanks a million! :)