“ Rene ni.. Kut ya pun tension tapi janganlah sampai hilang selera
makan pulak..” tegur Kak Ana lembut.
“ Kenapa Kak Ana cakap macam tu?” aku mengerut dahi bila ditegur Kak
Ana sebegitu. Tangan yang tadinya lincah membalas mesej Bella di Whatsapp
terhenti seketika.
“ Tu haa.. Nasi lemak ayam favourite
Rene tu tak habis pun. Walhal Rene kalau dapat nasi lemak ayam, makan tak ingat
dunia! Tapi ni macam tak usik pun…” ujar Kak Ana lagi sambil melihat terus pada
pinggan di depanku.
Aku tersengih. Padanlah kalau Kak Ana cakap macam tu. Nasi lemak
ayam berempah kesukaanku, tinggal suku pinggan saja lagi. Tetapi selera makan
bagaikan tersekat. Tengoklah.. Nasi yang tinggal tak banyak mana pun aku tak
boleh nak habiskan. Walhal tadi aku juga yang beria – ia ajak Kak Ana makan di
Restoran Belanga di Empire Gallery ni bila teringat nasi lemak ayam berempah
lazat berkrim disukai ramai ni!
“ Takdelah kak.. Sebenarnya Rene tak lapar sangat.. Saja je order…”
“ Rene nak tipu Kak Ana? Come
onlah.. I’m your sister. The one and
only. Dah 26 tahun Kak Ana jadi kakak Rene.. Apa saja yang tak kena pada
Rene akak boleh scan,” balas Kak Ana
sambil menyuap roti jala ke mulut Boboi yang duduk di atas pehanya. Hari ni
hanya kami bertiga saja. Abang Firdaus, suami Kak Ana ada urusan yang perlu
diselesaikan. Kalau tidak, haruslah dia pun tak mahu ketinggalan untuk mengikut
kami ke sini.
Aku sengih sumbing. Bukan main lagi ayat Kak Ana. Boleh scan katanya. Dah macam scanner pulak aku rasa. Hehe!
“ Rene tak mahu buat korang risau.. Tu je.. Bukannya Rene nak sorok
apa – apa.” Alasan demi alasan aku berikan.
“ Kita ni satu keluarga. Masalah Rene, masalah kami juga. Rene stress pasal Harith, kan?” telah Kak Ana.
Sedikit ragu – ragu hendak berterus - terang. Tapi aku sedar, aku
tak cukup kuat untuk terus memendam rasa. Makin dipendam, makin sakit yang aku
rasakan. Selain Allah Yang Esa, pada keluargaku inilah tempat aku mengadu.
“ Betul tu kak. Dialah puncanya Rene jadi macam ni. Akak bayangkan..
Rene baru je nak hidup aman.. Alih – alih kami jumpa semula,” luah aku
akhirnya.
Kak Ana mengeluh kecil. Sayu pandangan yang dilontarkan ke wajahku.
“ Tak boleh cakap macam tu, Rene. Rene tahu tak? Bila Rene cakap
macam tu seolah – olah Rene tak redha dengan apa yang Allah tetapkan. Pertemuan
kali kedua ni semua terjadi atas izinNya.. Mungkin sukar untuk Rene terima
semua ni tapi Rene kena ingat Allah itu Maha Mengetahui. Dia saja yang tahu apa
yang terbaik untuk Rene. Sebab itu Dia uji Rene macam ni..”
Tak tersangkal kata – kata kakakku itu. Aku diam tak bersuara. Apa
lagi yang hendak dinafikan? Memang betul.. Ini semua ujian yang Allah turunkan
pada hambaNya yang lemah lagi hina ini. Tabahlah, Rene. Tabahlah!
“ Akak tahu susah untuk Rene terima dengan apa yang dah berlaku pada
rumahtangga Rene dan Harith. Berdoalah supaya Allah jauhkan hati Rene dari
kesedihan. Minta Allah beri petunjuk mana yang terbaik untuk Rene..” ujar Kak
Ana lagi. Bahu aku diusap – usap penuh kasih.
Dalam sebak, aku tersenyum. Menahan air mata yang sudah bertakung di
kelopak mata.
“ Thanks, kak… Rene sayang
akak! You’re beyond the best, sis!”
kata aku seraya memeluk tubuh Kak Ana kemas – kemas. Dalam dunia ini tidak ada
apa – apa yang lebih membahagiakan selain kasih sayang yang mereka curahkan
pada aku. Syukur.
Belakang tubuh aku digosok – gosok Kak Ana lembut. Nasib baik kami
duduk di tempat yang paling jauh dari orang ramai. Kalau tidak nanti orang lain
fikir drama apa pulalah yang sedang kami lakonkan sekarang ini.
“ Dahlah.. Jangan serabutkan kepala tu. Kita datang sini sebab nak have fun, kan?”
Aku angguk. Perlahan – lahan pelukan dileraikan. Ralit mata melihat
Boboi yang sedang menggigit straw
minuman. Pipinya yang gebu sudah comot dengan kuah roti jala. Comot tapi comel!
Gelagat Boboi mencuit hatiku yang gundah – gulana tadi. Hilang semua kesedihan
yang ada. Boboi, satu – satunya anak buah yang aku ada ibarat pengubat duka dan
laraku.
“ Rene stay sini kejap boleh? Akak nak bawak Boboi pergi Toy’s R Us tu
kejap. Dah janji dengan dia nak beli mainan baru.. Kalau tak beli nanti
mengamuk pula si kecik ni.”
“ Boleh. Rene tunggu sini.”
Kak Ana segera bangkit dan memimpin Boboi melangkah keluar dari
Restoran Belanga. Aku hanya menghantar mereka pergi dengan senyuman nipis di
bibir, sehinggalah mereka hilang dari pandangan. Iphone 5 di atas peha aku
capai lalu membuka aplikasi Twitter. Tersenyum – senyum membaca setiap tweet dari followers aku. Macam – macam luahan perasaan yang mereka tulis. Ada
kalanya aku rasa Twitter ini tak ubah seperti diari!
“ Assalamualaikum, Rene.”
Sepantas kilat aku mengangkat pandangan. Melihat pada insan yang
memberi salam, terus bibir menarik senyuman lebar sampai ke telinga!
“ Waalaikumussalam.. Ya Allah! Mommy!” aku pantas bangkit dan
menyalami wanita itu, memeluknya erat – erat. Melepaskan kerinduan yang
menggebu setelah sekian lama tidak bersua.
Puan Nadira merangkap mommy Harith membalas pelukanku, erat dan
kejap. Pelukan yang menggambarkan betapa dia juga begitu merindui Rene Hannani.
Bibir masing – masing tak lekang dengan senyuman. Terus aku mempelawa mommy
Harith untuk duduk.
“ Mommy apa khabar sekarang? Rindu betul nak jumpa mommy..!” kata
aku mesra sambil merenung wajah mommy lama.
“ Alhamdulillah…. Mommy sihat walafiat.. Itulah! Mommy pun rindu
sangat dekat kamu, Rene. Rene pulak macam mana sekarang? Sihat?” soal mommy
kembali.
“ Alhamdulillah jugak, mommy. Macam nilah Rene…” jawab aku penuh
sopan. Tak sangka pula hari ni akan terserempak dengan bekas mertua. Untung
duduk satu negeri. Pergi mana – mana pun pasti akan jumpa! Jubah bewarna hijau
gelap tanpa corak yang tersarung di tubuhnya, dipadankan pula dengan tudung
yang dibeli dari butik Modest Culture diinspirasikan oleh Prof. Muhaya menyerlahkan lagi keanggunannya itu.
Mommy menggamit waiter
untuk membuat pesanan. Rainbow cake
dan air teh tarik menjadi pilihan. Sedari dulu lagi, mommy memang suka makan
kek. Pernah aku buatkan dia kek tiramisu.
Sejak dari itu, mommy tak pernah makan kek tiramisu dari mana – mana kedai
atau ditempah dari orang lain. Kata mommy dia cuma mahu yang aku buat saja.
“ Harith ada cakap hari tu yang dia dah jumpa Rene semula.. Patutlah
nampak berseri – seri je muka dia sejak kebelakangan ni…” cerita mommy setelah waiter tadi berlalu pergi.
“ Maksud mommy apa?” tanya aku bingung.
“ Maksud mommy… Lepas saja kamu berpisah… Harith dah tak sama macam
dulu…. Dia berubah sangat – sangat.. Pendiam.. Muram.. 24 jam termenung sana –
sini…”
Kelu lidah ini dibuatnya. Harith jadi macam tu selepas kami
berpisah? Sampai macam tu sekali?
“ Lebih – lebih lagi bila Rene menghilang selama setahun tu..
Lagilah Harith jadi tak tentu arah, Rene… Kalaulah Rene tengok sendiri macam
mana keadaannya, mesti Rene pun tak sanggup nak hadapinya Rene..” ada getaran
di hujung suara mommy, seakan menahan sebak.
“ Maafkan Rene, mommy… Bukan niat Rene nak seksa anak mommy macam
tu… Tapi…. Rene rasa mommy tentu faham kenapa Rene buat macam tu, kan?”
“ Mommy faham sangat, Rene.. Mommy tahu hati Rene terluka… Rene cuma
perlukan ruang dan waktu untuk tenangkan diri. Mommy tak salahkan Rene… Tapi ni
semua salah Harith… Harith yang tak pandai hargai isteri sebaik Rene..”
Aku menunduk. Kalau tadi dengan Kak Ana, sedih yang aku rasakan
masih boleh disembunyikan dengan senyuman yang penuh kepalsuan. Namun sekarang,
aku tak mampu menahan sebak yang bertandang. Laju saja tangan aku mencapai tisu
di atas meja bila mata mula berkaca.
“ Semua ni takkan jadi kalau Harith bersikap lebih matang… Pandai
uruskan rumahtangga sebaik mungkin… Tapi sayang… Semuanya dah hancur!” Mommy
semakin beremosi.
Perbualan kami terhenti sejenak bila pelayan restoran tadi
menghampiri kami dengan pesanan tadi. Rainbow
cake dan teh tarik diletak di depan mommy. Aku langsung tak angkat muka.
Bimbang dia perasan mata aku yang sudah merah menahan tangis. Bila pelayan
restoran itu beredar, barulah aku pandang mommy semula.
“ Mommy.. Tak perlulah mommy ungkit lagi hal dulu – dulu tu… Benda
dah jadi dah pun.. Tak guna kalau menangis air mata darah sekali pun… Mungkin
dah takdir jodoh kami tak panjang, mommy… Rene redha dengan ketentuan Ilahi..”
“ Maafkan mommy.. Mommy tak bermaksud nak buat Rene sedih.. Cuma apa
yang buat mommy sedih, mommy tak sangka anak menantu mommy juga akan alami
benda yang sama dengan apa yang dah mommy dan daddy lalui dulu…”
“ Macam yang Rene cakaplah.. Ini semua takdir…” ujar aku lirih.
Suasana hening bila kami saling membisu untuk beberapa saat. Tiba –
tiba, mommy menggapai tangan aku yang di atas meja.
“ Rene masih bencikan Harith? Masih tak boleh maafkan dia?”
Soalan yang sama yang pernah diajukan oleh mama dan papa dulu. Aku
mengeluh.
“ Entahlah mommy… Jujur Rene cakap… Luka di hati Rene masih belum
pulih.. Rene mengaku Rene masih marahkan dia…”
“ Mungkin bagi Rene, dah tak ada apa – apa yang boleh dilakukan
supaya hubungan Rene dengan Harith boleh diperbaiki semula.. Tapi bagi mommy
dan daddy, semua ini masih belum terlambat, Rene. Masih jauh perjalanan Rene
dan Harith… Kalau Rene dah Harith tak putus asa untuk mencuba, pasti kamu
berdua akan temui semula kebahagiaan kamu yang dulu. Mommy dan daddy nak tengok
anak menantu kami bahagia macam orang lain juga…” kata mommy penuh mengharap.
Aku tersenyum kelat. “ Terima kasih, mommy. Mommy doakan sajalah
mana yang terbaik untuk kami…”
“ Insya – Allah.. Sentiasa…” mommy tersenyum.
________________________________________
“ Mommy Harith kirim salam kat semua…” beritahu aku sambil
menghampiri mama yang sedang asyik membelek majalah Wanita. Papa pula leka
dengan bola sepak di Astro Arena.
“ Waalaikumussalam.. Rene pergi jumpa dia ke tadi?” tanya mama.
“ Tak.. Terserempak dekat Empire Gallery tadi. Sempat jugaklah kami
berbual panjang… Maklumlah.. Bila dah lama tak jumpa, banyaklah benda nak
diceritakan..”
Mama tersenyum manis. “ Mesti dia rindu sangat dekat Rene, kan?
Almaklumlah.. Dah lama tak jumpa…!”
Aku mengangguk laju. “ Itulah.. Lain sangat nampak mommy tu tadi…
Padahal baru setahun je tak jumpa..”
“ Ada borak pasal Harith ke?”
Aku angguk lagi. Kalau dah jumpa mommy Harith, sudah tentu topiknya
juga mengenai Harith, satu – satunya anak lelaki yang dia ada.
“ Dah tentu. Kalau masuk akhbar, harus topik dia tu duduk muka surat
depan sekali!” balas aku selamba.
Mama sudah tertawa kecil. Geli hati dengan kenyataan aku sekejap
tadi mungkin. Baru saja hendak sembang panjang – panjang dengan mama, aku
terima satu panggilan dari seseorang. HD.
Nama itu yang aku set untuk Harith.
Terlepas keluhan kecil di bibir. Apa lagi yang dia ni nak agaknya?
“ Hmm.. Harith dah call
pulak..” rungut aku tanpa ada rasa mahu menjawab panggilan itu.
“ Jawab ajelah.. Mesti ada hal tu dia nak cakap dengan Rene..” pujuk
mama.
“ Taknaklah. Mama ajelah yang cakap dengan dia! Cakap yang Rene dah
tidur..” pantas aku memberikan fon pada mama. Ada baiknya mama saja yang borak
dengan Harith. Mama kan sayang Harith? Mesti mama sanggup sembang dengan bekas
menantu dia ni kan?
Tajam jelingan mama. Marahlah tu orang layan HD macam tu! Kalau dah
melibatkan Harith, aku ini ada saja yang tak kena. Semua benda yang aku buat
semua salah. Harith saja yang sentiasa menang! Adil ke macam tu?
“ E’eh budak ni! Dia call
Rene kenapa mama pula yang kena?” mama menggeleng – gelengkan tak mahu. Tangan
aku ditolak lembut.
“ Diakan menantu kesayangan mama. Eh silap! Bekas menantu!” balas
aku dengan senyuman yang agak menjengkelkan. Sengaja cari point nak suruh mama membebel pula. Sekali lagi hulurkan fon yang
masih berdering meminta diangkat pada mama. Paksa mama menjawab panggilan bekas
menantu kesayangannya itu.
“ Bertuah punya anak..!” mama menjegil mata. Pura – pura marah.
Tergelak aku melihat reaksi mama. Garang tapi comel. Aku tak putus
asa. Tetap juga paksa mama cakap dengan Harith. Aku kalau orang paksa aku tak
boleh. Tapi aku paksa orang boleh pula! Pandai betul Rene Hannani! Aku tersenyum
girang bila mama akhirnya mengaku kalah. Fon bertukar tangan. Aku di sebelah
mama membetulkan duduk, cari posisi selesa untuk memasang telinga. Tak mahu
ketinggalan untuk mendengar apa yang hendak mereka bualkan nanti.
“ Assalamualaikum, Harith. Haa.. Ye, ye.. Mama sini.. Rene? Ada! Ada
ni.. Kejap ya? Mama panggilkan dia…”
Aku tergamam. Fon dihulur pada aku semula. Aku mencebik tak puas
hati. Belum apa – apa mama dah suruh aku cakap dengan Harith?! This is so unfair! Lain yang dirancang,
lain pula yang jadi!
“ Mama!” aku memuncung bibir. Kepala menggeleng laju. Taknak cakap
dengan Harith! Taknak!
“ Cakap ajelah!” desak mama separuh berbisik. Tak mahu Harith di
sebelah sana terdengar perbualan kami pula.
Sekali lagi aku mencebik. Geramnya dengan Harith ni! Entah apa ayat
yang dia dah baca agaknya sampai mama jadi lembut hati, ikutkan saja semua
katanya tu! Lambat – lambat aku mengambil fon di tangan mama.
“ Hmm.. Nak apa?” ujar aku dengan nada terpaksa. Terus melarikan
diri naik ke tingkat atas. Ada baiknya aku cakap dalam bilik. Lagi selamat
kalau papa dan mama tak dengar perbualan kami. Kalau aku nak lepaskan geram
pada Harith pun, papa mama takkan tahu! Aku pun takkan kena marah!
“ Assalamualaikum..” Harith memberi salam.
Erk! Terkedu sekejap. Itulah kau, Rene! Tahu nak marah saja. Salam
pun tak bagi. Malunya!
“ Waalaikumussalam.. Nak apa call
saya ni Encik Harith?” tiba – tiba aku berlagak formal pulak. Nak cover rasa
malu punya pasal!
“ Saja je call. Nak dengar suara Rene. Tak boleh ke?”
Aku menghempaskan badan ke katil. Penat!
“ Tapikan Rene dah cakap yang Rene taknak diganggu?”
“ Tahu. Tapi abang mintak maaf. Ada sesetengah benda yang abang tak
boleh buat. Kalau paksa macam mana sekali pun.. Abang tetap tak boleh..”
Wah, wah! Begitu nekadnya dia! Maknanya tak kira apa buat mamat ni
takkan mengaku kalah. Tak akan putus asa! Harith Daniel memang dahsyat!
“ Abang ni memang tak kenal apa itu putus asa, kan? Kalau Rene, dah
lama Rene give up. Tak adalah buang
masa, menanti sesuatu yang tak pasti.”
“ Itu Rene. Tapi ini abang. Abang takkan give up. You know me,
right?Kalau dulu abang boleh tunggu Rene, kenapa sekarang tak? Abang rela
menanti dan terus menanti sebab abang tahu penantian abang ni bukanlah sesuatu
yang sia – sia.”
Huh! Dia kalau dah mula mengayat, gerenti cair! Tapi aku tak macam
tu. Aku bukannya jenis yang mudah termakan dengan kata – kata manis atau pujuk
rayu. Kalau nak tahu, itulah sikap Harith Daniel yang tak pernah berubah sedari
dulu. Seorang yang tidak mudah berputus asa. Teringat masa zaman dia mengorat
aku dulu. Waktu itu aku belum bersedia untuk bercinta dek kerana perkenalan
kami masih terlalu awal. Tapi dalam masa setahun, aku nampak kesungguhan dan
kegigihannya yang cuba untuk memenangi hati ini. Akhirnya, aku dibius cinta!
Kagum jugalah dengan mamat ni! Dia begitu sabar menanti cintanya berbalas.
Maklumlah, aku ni sebenarnya jenis yang tidak mudah jatuh cinta. Tapi bila
sekali hati sudah sayang, akan selamanya begitu!
“ Tadi mommy cakap mommy terserempak dengan Rene dekat Empire Gallery..
Ye ke?”
Oh! Maksudnya mommy dah cerita pada Harith tentang pertemuan kami?
Cepatnya! Mesti mommy balik – balik saja terus beritahu Harith pasal ni! Sabar
ajelah!
“ Hmm.. Yup!” jawab aku acuh tak acuh.
“ Seronok tak dapat jumpa mommy balik…?” soal Harith.
“ Seronok. Rindu kat mommy… Dapat sembang puas – puas dengan
mommy..”
“ Ye? Masa jumpa abang mula – mula kat The Gardens hari tu seronok
tak?”
Uiks! Soalan jenis apa yang dia bagi ni? Tak ada soalan yang lagi best ke, Harith? Aku menggerutu dalam hati.
Dari posisi terlentang, aku berkalih mengiring ke kanan. Selesa.
“ Nak jawapan jujur ke tak jujur?” aku membalas soalan dengan
soalan.
“ Of course nak yang jujur!” laju Harith menjawab. Tanpa ragu.
“ Betul ni? Pasti?” aku sekarang ni dah macam dalam rancangan Who
Wants To Be A Millionaire pula. Lepas tanya, tanya! Sengajalah nak sakitkan
hati Harith! Hahahaa!
“ Pasti!”
“ Okey! Sejujurnya….. Rene………” lambat – lambat aku menuturkan kata.
Sengaja bagi Harith suspens sikit!
“ Rene… Apa?” Harith tak sabar – sabar ingin tahu.
“ Rene… Rene rasa…” Semakin seronok kenakan Harith bila aku dapat
rasa yang lelaki itu sudah tak mampu duduk diam di sana. Berdebar – debar
agaknya menanti jawapan aku!
“ Rasa apa ni? Jangan bagi suspens boleh tak?”
Hah! Kan betul aku cakap? Harith dah tak sabar! Padan muka dia! Baru
dia tahu Rene Hannani ni macam mana orangnya! Hahahaha! Aku ketawa dalam hati.
“ Rene rasa mengantuk! Nak tidur! Selamat malam!” Tanpa menunggu
respons dari Harith, aku terus memutuskan talian. Ketawa besar aku dibuatnya!
Tak dapat aku bayangkan macam mana air muka Harith sekarang. Dia sudah terkena
dengan aku! Pasti merah padam menahan marah!
Selang beberapa saat, aku menerima satu mesej. Tawa aku terhenti.
Laju saja tangan membuka inbox.
Alamak! Harith hantar SMS! I’m dead meat!
Oh! Rene kenakan abang ya? Naughty!! Kalau Rene ada kat depan abang
ni, dah lama Rene kena cium! – Harith
Membuntang mata aku membaca mesej Harith. Eeee!! Semakin menjadi –
jadi pula kegatalan Harith Daniel ni! Ada hati nak cium aku?! Mengada – ngada!
Gatal!! Sabar ajelah aku dengan mamat ni! Tapi, dulu waktu kami masih suami
isteri, memang itulah yang akan jadi bila aku sakat dia. Harith pasti akan cium
aku sebagai denda di atas kenakalan aku ni. Hmm.. Itu semua hanyalah kenangan yang
takkan mungkin dapat dilupakan sampai bila – bila.
No comments:
Post a Comment