Wednesday 15 April 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 20

ALHAMDULILLAH segala-galanya berjalan dengan lancar. Tepat pada jam 3 petang tadi aku dan Ashman selamat diijabkabulkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang lebih dikenali sebagai Masjid Besi, Putrajaya. Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri kepada Ashman Aidil pada hari Jumaat yang penuh keberkatan ini. Syukur, Ya Allah.

Selesai sesi photoshoot, kami terus balik ke suite. Dah dua hari kami berkampung di Hotel Shangri-La Putrajaya. Esok baru balik ke KL semula. Banyak benda yang hendak diuruskan untuk majlis resepsi kami yang akan berlangsung di Hotel Mandarin Oriental hari Ahad nanti.

Entah dah berapa jam aku duduk depan cermin. Berlapis-lapis make-up nak dibuang. Aku bukannya biasa bersolek tebal macam ni. Sampai naik gatal muka dibuatnya. Tapi memang aku puas hati dengan solekan mak andam yang mama upah ni. Tak henti-henti Ashman puji aku. Cantiknya sayang. Gorgeousnya isteri abang. Macam tuan puteri. Aduhai!! Suami aku tu memang kuat memuji orangnya.

Bercakap pasal Ashman, terus mataku melirik ke arahnya yang sedang bercakap telefon di birai katil. Masuk yang ini dah lima orang kawan dia telefon dari jauh nak ucap tahniah. Mengalahkan artis! Aku perhati saja dia melalui cermin meja solek itu. Senyuman tidak lekang di bibirnya. Memang nampaklah orang tengah bahagia. Aku pun sama. Hehee!

Lepas satu, satu kapas muka aku guna untuk bersihkan muka. Masa itu jugaklah aku terperasan yang Ashman sedang merenung wajahku di cermin itu.

“Kenapa abang tengok Ad macam tu?”

“Laa.. takkan abang nak tengok isteri abang pun tak boleh?”

“Boleh, abang sayang.” jawabku sambil tersenyum manis.

Ashman menepuk-nepuk lembut tilam katil, menyuruh aku duduk di sisinya. Aku hanya menurut. Sebaik saja aku duduk di situ, pinggangku dirangkul erat, seakan tidak mahu melepaskan. Lama wajahku ditatap dengan senyuman yang masih menghiasi bibirnya.

“My wife is so beautiful. I can’t believe that you are mine now.” ujar Ashman dengan nada perlahan. Matanya tak lari dari terus memandang wajahku.

“Kan? Rasa macam mimpi. I am so happy, abang.” aku membalas seraya melentokkan kepala ke bahunya. Kalau tadi aku malu nak posing manja depan kamera, tapi sekarang perasaan itu aku usir jauh-jauh, memandangkan hanya kami berdua saja di sini. Bahagianya hati ini Tuhan saja yang tahu. Apa yang aku impikan sudah pun menjadi kenyataan.

“Abang pun. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Sekarang baru boleh tarik nafas lega,”

Aku angkat kepala dari bahu Ashman dan memandang terus ke matanya.

“Ad suka tengok muka abang tadi. Nampak tenang je depan tok kadi.” ujarku lembut. Nak tergelak setiap kali teringat beberapa hari sebelum nikah, dia asyik cakap rasa macam nak pitam sebab nervous teramat sangat. Tapi tadi bila duduk depan tok kadi, aku tengok dia cool saja. Masa lafaz akad pun, lancar selancar-lancarnya. Kagum!

“Nampak macam tenang tapi dalam hati Tuhan je tahu.”

Tawa kami berderai. Ashman meletakkan songkok atas peha. Rambutnya diraup-raup ke belakang. Ralit aku perhati gelagatnya itu. Siapa sangka mamat handsome ni sekarang dah jadi suami aku. Bertuah badan! Dia yang sememangnya kacak, bertambah segak mengenakan baju Melayu cekak musang berwarna off white. Busana pengantin kami ditempah khas dari butik Cosry, seperti yang dicadangkan oleh mama.

Aku capai kotak yang berbalut cantik yang diletak atas katil. Hadiah perkahwinan pertama yang kami dapat. Nama pengirim tak ada tapi tengok tulisan pada kad itu saja aku dah tahu siapa. Tak sabar nak tahu apa hadiahnya, aku terus buka pembalut yang comel itu penuh hati-hati. Sayang kalau terkoyak.

Bulat mataku sebaik aku melihat isi hadiah itu. Satu set baju tidur baby, siap dengan stoking dan sarung tangan!! Aku tergelak besar. Ashman pun dah mengekek-ngekek ketawa.

“Awal-awal dah dapat baju baby. Boleh tahan sengal jugak si Naura ni.” tawaku masih bersisa. Dah faham sangat apa maksud di sebalik hadiah ni.

“Awal apanya? Kilang baby akan beroperasi malam ni. Insya-Allah dalam masa 9 bulan dapatlah seorang.”

Wajahku merona merah. Kilang beroperasi malam ni? Habislah aku!

“Naughtynya abang! Dahlah. Malas nak layan.” aku menumbuk bahunya lembut.

Ashman ketawa lagi. Aku bingkas bangun. Cepat saja nak larikan diri dari Ashman yang semakin terserlah kenakalannya itu. Aku sudah ingin melangkah ke bilik air bila Ashman tiba-tiba saja menarikku dan aku terduduk di pehanya. Tubuhku dipeluk erat. Macam takut aku lari saja.

“Nak pergi mana? Nantilah kejap.” kata Ashman.

“Solatlah, sayang. Nanti habis waktu pulak.”

Ashman mengerling jam tangannya. “Ya Allah! Tak perasan dah pukul 6 lebih. Sayang pergi ambik wudhuk dulu. Nanti kita solat berjemaah.”

Aku senyum dan mengangguk. Tersentuh hati ini mendengarnya. Itulah benda yang paling aku idamkan sedari dulu. Dia suamiku, dia imamku.

“Tukarlah baju dulu. Nanti habis basah.” ujar Ashman sebaik aku meluru ke bilik air.

“Nak tukarlah ni.” terus aku capai t-shirt dan seluar panjang dalam beg baju.

“Tukar dalam bilik air? Tukar jelah kat sini.”

“Haa? Err.. kat sini? Err..” aku mula menggelabah. Muka dah merah macam udang kena bakar. Salin baju depan dia? Malunya!!

“Kenapa? Malu dengan abang?”

“Tau takpe.”

“Eleehh.. malu pulak. Kena biasakan dirilah, sayang. Kita sekarang dah jadi roommate. Mana boleh malu-malu dah.” tutur Ashman selamba.

Ya, Adryana! Ashman betul! Kau kena biasakan diri. Getusku dalam hati.

“Alaa.. faham-fahamlah kenapa. First time sebilik dengan lelaki.” aku berdalih. Perlukan masa untuk biasakan diri.

Ashman ketawa. “Comelnya isteri abang ni. Yelah, yelah. Saja je abang usik sayang. Tukar je kat sini. Abang lepak dekat ruang tamu kejap. Nanti dah sudah panggil abang.”

Aku menarik nafas lega. Nasib baik dia faham.

“Thank you sebab faham.” kataku sebaik Ashman membuka pintu bilik tidur kami.

“Abang bagi chance sekali je. Lepas ni tak boleh bagi alasan dah.” Ashman tersenyum nakal. Keningnya dijungkit berkali-kali.

“Ok, ok. Keluar dulu. Nanti Ad panggil.” balasku seraya menolaknya perlahan keluar dari bilik. Dia tertawa kecil.

Aku menggeleng-geleng sendiri. Meraup wajah berkali-kali. Ya Allah, kenapalah susah sangat aku nak buang rasa malu ni? Lagipun apa yang hendak dimalukan? Dia dah jadi suami aku. Diulangi, SUAMI! Dia dah jadi yang halal untuk aku. Jadi maknanya lepas ni aku takkan boleh mengelat lagi. Titik.





“MAMA tengok Ad dari tadi dengan Ipad je. Buat apa tu?” tegur mama sebaik dia duduk di sebelahku di ruang tamu itu. Cuma tinggal kami berdua saja. Papa, tok pa dengan Ashman pergi masjid. Lambat lagi ke dia orang nak balik? Aku dah rindu gila dekat suami aku ni. Cehh!! Poyo habis!! Macamlah Ashman pergi jauh.

“Tengah cari tempat best untuk berbulan madu nanti.” jawab aku sambil tersengih lebar. Aku scroll skrin Ipad dari atas sampai ke bawah. Banyak sangat tempat menarik sampai rambang mata dibuatnya. Tak tahu nak pilih yang mana satu.

“Laa.. baru nak cari? Mama ingat korang dah plan semua dah.”

“Yang ini je belum decide, mama. Banyak sangat tempat menarik sampai tak tahu nak pergi mana. Abang Ashman tak kisah bercuti kat mana-mana pun, dia on je.” kata aku. Ashman yang suruh aku decide dan tiket penerbangan kami pun papa yang nak sponsor. Katanya ini sebagai hadiah perkahwinan kami.

Aku berkalih pandang ke arah mama yang sudah tersenyum-senyum sendiri. Dahiku berkerut sedikit.

“Kenapa mama senyum?”

“Tak ada apa. Cuma mama rasa happy sangat, lega bila kamu berdua dah bersatu. Alhamdulillah. Mama tumpang bahagia untuk kamu berdua.”

Aku letak Ipad ke meja kopi. Lengan mama aku peluk manja. Siapa sangka mak angkat aku sekarang dah jadi ibu mertua aku. Abang angkat aku pulak dah jadi suami aku.

“Ad pun bahagia sangat-sangat, ma. Dan Ad nak berterima kasih dekat mama untuk semua ni.”

“Kenapa pulak?” mama mengusap-usap kepalaku penuh kasih.

“Sebab mama pilih Ad untuk jadi sebahagian dari keluarga ni. Ad teramat bahagia dengan apa yang telah dikurniakan olehNya.” luah aku.

“Takdir Allah itu indah, Ad. Mama pun bersyukur dengan apa yang kita miliki sekarang. Mama doakan semoga Ad dan Ashman bahagia sampai syurga.”

“Insya-Allah. Amin. Thank you, mama.” aku mengucup pipi mama lembut.

Mama senyum, memeluk aku seeratnya.

“Lepas ni tak boleh manja-manja dengan mama dah. Manja dengan Ashmanlah pulak.”

Aku tersenyum malu. “Ke situ pulak mama. Seganlah Ad.”

Mama ketawa kecil. Selang beberapa saat, terdengar suara papa, tok pa dengan Ashman yang ketawa terbahak-bahak dari luar. Dah balik pun dia orang. Masuk-masuk je Ashman terus datang duduk di sebelah. Kalau tadi nak dekat pun tak boleh sebab nak jaga wudhuk. Sekarang nak bertepuk-tampar pun tak apa.

“Macam mana? Dah jumpa tempat honeymoon belum?” soal Ashman dengan matanya tertumpu ke arah Ipad di tanganku.

“Dah. Rasa macam nak pergi Korea. Boleh?” aku google gambar bandar Seoul, Korea. Cantik gila! Salah satu tempat yang memang aku nak sangat pergi.

“Abang ok je. Honeymoon dekat mana-mana pun boleh tapi satu je yang abang risau, Korea tu sejuk, orang tu boleh tahan ke?”

“Kalau sejuk sangat Ad tak risau sebab abang ada untuk peluk Ad.” kata aku dengan nada manja.

“Itu sudah semestinya. Kalau tak sejuk pun gerenti abang peluk.” Ashman sengih, lantas pinggangku dirangkul mesra.

Semua pun tersengih-sengih melihat kami. Ashman ni kut ya pun nak bermanja tengok tempatlah. Nak buat macam mana. Encik suami aku ni memang selamba orangnya.

“Dah, dah. Kalau nak manja-manja sambung karang. Sekarang ni pergi bersiap cepat. Ucu mesej tadi beritahu dia nak belanja makan. Katanya nak rai pengantin baru.” beritahu papa sebelum masuk bilik.

Kami hanya menurut. Cepat-cepat masuk bilik tukar baju.




LEPAS makan-makan, mama, papa dan yang lain-lain terus balik ke hotel. Semua pun dah kepenatan. Sebab itulah nak cepat balik dan berehat. Aku dengan Ashman saja yang masih aktif. Keluar dari restoran tadi terus Ashman ajak aku ambil angin malam di jambatan Putrajaya. Nasib baiklah aku pakai baju lengan panjang. Boleh tahan sejuk juga malam ni. Ini baru Malaysia. Kalau di Korea nanti entah macam manalah aku. Beku terus agaknya.

Ralit aku dengan Ashman tengok beberapa keping gambar nikah kami yang Naura letak dalam Instagram dia. Tengok banyak kali pun tak jemu. Gambar Ashman cium dahi aku sewaktu upacara membatalkan air sembahyang pun ada. Yang ini paling sweet!! Aku tersenyum sendiri. Itulah saat-saat romantis yang pastinya akan tersemat di hati sampai bila-bila. Saat Ashman mengucup dahiku, aku hampir-hampir menitiskan air mata. Nasib baik boleh kontrol, kalau tak rosaklah make-up.

“Masa abang cium dahi Ad kan, Ad rasa sebak sangat. Yelah, macam-macam dugaan yang kita lalui buat Ad fikir kita takkan dapat hidup bersama lagi. Alhamdulillah, setiap doa dan hasrat kita sudah dimakbulkan Allah.” luah aku.

“Inilah yang dikatakan jodoh. Datanglah apa jua halangan, kita pasti akan bersama akhirnya. Abang untuk sayang, sayang untuk abang.” Ashman mengusap-usap pipiku lembut.

Aku mengangguk setuju. Handphone di tangan aku simpan dalam poket. Ashman membawa aku ke dalam pelukannya. Hangat. Aku membalas pelukannya dan meletakkan kepala di dadanya. Ku pejamkan mata rapat. Degup jantungnya jelas kedengaran di telingaku. Nasib baik orang tak ramai kat sini. Kalau tak ada yang muntah hijau tengok kelakuan kami ni.

“Akhirnya abang boleh peluk sayang. Sepuas-puasnya! Dah lama sangat nak buat macam ni.”

Aku tertawa bahagia. Dia menggenggam tangan kananku pula.

“Nampaknya kita kena ada maid bila duduk rumah sendiri nanti.” kata Ashman.

“Kenapa pulak?”

“Nanti tangan sayang yang lembut ni jadi kasar kalau banyak sangat buat kerja rumah.”

Aku menggeleng laju. “Taknak ada maid. Biar tangan kasar Ad rela.”

“Kenapa? Kan lagi senang kalau ada orang buatkan semuanya? Sayang jaga anak-anak sudahlah.”

“Manusia zaman sekarang ramai yang tak boleh dipercayai. Silap haribulan bibik ‘sapu’ suami sendiri. Taknaklah macam tu.” Aku geleng lagi. Tak sanggup nak bayangkan sekiranya itu terjadi. Dah banyak sangat kes suami kena rampas dengan orang gaji.

“Oooo.. takut bibik mengorat abang, ya?”

“Mestilah. Kalau tak bibik, abang pulak yang menggatal.”

Ashman tergelak kecil. “Jangan cakap macam tu. Abang nak jadi suami yang baik. Taknak buat isteri abang menangis.”

Lidahku jadi kelu. Tersentuh hatiku dek kata-katanya itu. Ashman tersenyum merenung ke dalam mataku.

“Sweetnya! I love you so much, Ashman Aidil.” Luahku perlahan seakan berbisik.

“I love you so much too, Nur Adryana.” Balas Ashman dengan mata yang menikam tepat ke dalam mataku. Perlahan dia merapatkan dahinya ke dahiku.

Aku merangkul lehernya erat dan dia mengemaskan pelukan di pinggangku. Senyum bahagia terukir di bibir kami berdua.




****



One more chapter to go!! Thank you for reading!! Jgn lupa komen, ya?

Sunday 5 April 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 19

LEPAS mandi dan solat, aku dan Ashman duduk bersembang di ruang tamu di tingkat atas, tak jauh dari bilik tidur kami. Aku duduk atas kerusi, dia pula duduk atas bean bag. Orang lain semua dah tidur. Kami saja yang masih berjaga. Terlalu banyak perkara yang hendak diperkatakan.

“Macam mana Ad tahu yang ini semua sudah dirancang?” soal Ashman sedikit bingung.

“Ad dapat tahu semua ni dari bekas kekasih Hanis sendiri. Semua yang Hanis rancang dia tahu.” aku membuka cerita. Ex-boyfriend Hanis itulah yang aku jumpa petang tadi. Bila dah tengok sendiri orangnya, baru aku ingat dialah yang aku nampak dengan Hanis dekat The Gardens dulu.

Semuanya telah diceritakan pada aku. Tak satu pun yang tertinggal. Terkejutnya aku bukan kepalang setelah mengetahui kisah yang sebenar. Semuanya sudah jelas. Hanis itu memang licik. Insiden sebentar tadi rupa-rupanya adalah salah satu dari rancangannya. Dia ajak Ashman pergi rumah dia sebab sengaja nak kenakan Ashman. Hanis mahu mereka ditangkap khalwat dan lepas itu paksa Ashman kahwin dengan dia. Perempuan jahat!!

“Maksud Ad, Johari?”

Aku mengangguk.

“Dia ajak Ad jumpa semata-mata nak bagi amaran pasal Hanis. Dia dapat agak apa yang akan berlaku lepas ini. Sebab itulah dia mintak Ad segera bertindak. Kalau tidak tak tahulah apa yang akan jadi.” sambung aku lagi. Johari ada sebut pasal plan Hanis yang satu ni cuma tak sangkalah yang benda ni akan jadi malam ni.

Ashman meraup-raup wajahnya perlahan. Dihalakan pandangan ke kaca TV Plasma yang dipasang dalam volume perlahan. Alat kawalan jauh Astro digenggam kemas. Satu, satu channel ditukar. Tak ada cerita best pun malam ni.

“Nasib baik Ad tiba tepat pada masanya. Kalau Ad tak ada tadi mesti abang dah kena tangkap dengan JAIS. Bukan abang je yang dapat malu, family kita pun terkena tempiasnya.”

Aku mengangguk setuju. Kalau aku tak pergi jumpa Johari tadi, gerenti Ashman dengan Hanis dah kena cekup dengan JAIS. Nyaris! Sikit lagi nak masuk jerat betina gila tu. Johari tahu semua pasal kami pun melalui Hanis. Kata Johari, dia sangat sayangkan Hanis dan sudah puas mencuba untuk buat Hanis lupakan Ashman tapi gagal. Hanis cuma mahukan Ashman dan sanggup tinggalkan Johari jauh di kota Singapura.

“Abang selamatkan Ad. Ad selamatkan abang.” aku tersenyum nipis seraya merenung Ashman lembut.

“Maksud Ad?” soal Ashman tidak mengerti. Berkerut dahinya memandangku.

“Abang tahu Hanis nak cederakan Ad, sebab itulah abang menjauhkan diri. Betul, tak?”

Ashman menundukkan wajah, mengangguk perlahan-lahan. Baru aku tahu kenapa tiba-tiba saja dia berubah sikap. Menurut Johari, Ashman terpaksa bertindak sedemikian demi menjaga keselamatanku. Tidak rela aku disakiti, dia nekad menjauhiku. Betapa Ashman mencintai aku sehinggakan dia sanggup berkorban apa saja untukku.

“Abang mintak maaf, sayang tapi abang tak ada pilihan lain. Johari sendiri datang beritahu abang yang Hanis ada simpan pistol tapi dia tak tahu apa motif perempuan tu. Dia risau kalau-kalau Hanis ada niat buruk pada Ad, sebab Hanis selalu kata yang Ad ni perampas. Dari situ Johari tahu Hanis berdendam dengan Ad.”

Ashman berjeda. Aku hanya diam, memberi lelaki itu ruang untuk terus bercerita. Sungguh aku tak sangka sampai begitu sekali Hanis bencikan aku.

“Sebab tulah abang terpaksa jauhkan diri dari Ad. Pura-pura jatuh cinta dengan Hanis supaya dia takkan sesekali cuba menyakiti Ad.”

“Ad fikir abang dah berubah hati.”

“Taklah, sayang. Demi Allah hati abang masih sama seperti dulu. Cuma Nur Adryana saja yang abang mahu. Percayalah.” ujar Ashman sungguh-sungguh ingin meyakinkan aku.

Aku tersenyum dengan mata yang sudah berkaca. Tersentuh hati dek pengakuan jujur yang lahir dari hatinya.

“I trust you.”

“Tapi tak tahulah orang tu macam mana. Entah-entah dia dah jatuh cinta dekat orang lain pulak.”

“Mana ada. Ad pun sama macam abang. Setia pada yang satu.” luah aku.

“Habis Jepp tu apa? Asyik ke hulu ke hilir dengan dia.” balas Ashman. Terselit nada cemburu di situ.

“Jepp? Kami kawan jelah. Kenapa? Abang jealous?”

“Mestilah! Lagi mau tanya.”

Aku tergelak kecil. Ashman sengih. Padanlah kalau masa dekat hospital tu dia macam tak suka tengok aku dengan Jepp. Jealous. Manalah aku tahu yang dia sebenarnya pura-pura je dengan Hanis masa tu. Tak ada niat pun nak buat dia cemburu.

“Abang, can I ask you something?”

Ashman angguk.

“Apa abang buat dekat rumah Hanis tu tadi? Jangan-jangan abang memang nak ambil kesempatan dengan dia tak?” Laju mulutku bertanya. Panas hati mengingatkan kejadian itu. Walaupun ianya cuma perangkap, tapi aku tetap tak suka!! Yelah, Ashman tak tahu apa-apa tapi takkanlah dia tak fikir langsung yang itu semua hanya akan mengundang bala.

“Ish!! Astaghfirullah.. Mana ada, sayang. Tak baik fitnah tau? Berdosa!” sangkal Ashman dengan mata yang sedikit membulat. Marah dituduh melulu.

“Bukan fitnah tapi musykil. Apa yang buat abang buat kat situ? Berani masuk rumah dia, kan? Malam-malam buta pulak tu!”

Ashman tersengih kelat. Sedar akan kesilapannya itu. Kepalanya digaru-garu perlahan.

“Sepatutnya kami keluar dinner tapi masa tu dia tak siap lagi. Dia suruh abang tunggu. Punya lama dia nak bersiap sampai abang terlelap dekat ruang tamu tu. Rupa-rupanya dia sengaja.”

“Patutlah butang baju pun terbukak. Ini mesti korang dah buat something la ni!” aku menyerkap jarang. Wajahnya aku jeling tajam. Marah jugaklah dengan dia. Semua benda pun main redah saja. Akal Allah bagi taknak guna. Sebelum buat apa-apa tu fikirlah dulu!

“Sumpah demi Allah tak ada apa-apa yang jadi. Nasib baik abang cepat tersedar dan masa tulah Ad sampai. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Mujur Ad yang datang, kalau JAIS? Mati abang!”

“Kalau JAIS datang jawabnya nikah teruslah! Sukalah abang. Kan??”

Ashman beristighfar berkali-kali. Dia menggeleng laju.

“Abang mengaku abang silap. Bodoh sangat ikut cakap dia. Senang-senang kena tipu dengan perempuan gila tu.”

“Belajar dari kesilapan. Lepas ni kalau ada perempuan cantik yang datang menggedik dengan abang, jangan layan. Ad tahu orang lelaki ni pantang nampak perempuan dahi licin, mulalah iman goyah.”

“Insya-Allah. Buat masa ni iman abang masih kuat. Tapi goyah jugaklah setiap kali berdepan dengan seseorang.” Ashman tersengih macam kerang busuk.

“Siapa?!” mataku sudah terbeliak. Berani dia! Kalau dah namanya lelaki memang macam tulah.

“Nur Adryana. Serius abang mudah cair dengan dia. Tengok senyuman dia tu je dah tak boleh tidur malam dah.”

Erk? Aku rupanya! Aku termalu sendiri.

“Mengada-ngada!” aku membaling bantal kecil bentuk bulat ke arahnya.

Ashman pantas menyambut. Mengekek-ngekek dia ketawa.

















SYUKUR alhamdulillah semuanya sudah kembali pulih seperti biasa. Orang yang paling gembira sekali sudah tentulah mama, papa dan tok pa. Semoga bahagia ini akan berkekalan hingga ke Jannah hendaknya. Mudah-mudahan.

Lepas makan tengahari, aku dan Ashman melepak tepi kolam mandi. Aku duduk bersila seraya menopang dagu. Ralit merenung wajahnya yang begitu asyik dengan telefon bimbit di tangan. Handsome betullah mamat sebelah aku ni. Sebiji jerawat pun tak ada. Licin! Aku yang perempuan ni pun tak flawless macam dia.

“Mana pergi semua gambar kita?” soal Ashman kehairanan bila dia lihat satu pun gambar kami tak ada dalam Instagram aku.

Aku tersentak. Pantas mengalihkan pandangan ke arah kolam renang bila dia melirik ke arahku. Wajahku membahang. Malunya! Agak-agak dia perasan ke aku usha dia tadi? Selalunya dia je yang buat macam tu tapi kali ni aku pula yang over. Biasalah. Dah lama berjauhan. Kalau boleh taknak tengok benda lain selain dia seorang. Kronik!

“Ad delete.” jawab aku seraya tersenyum kelat. Sumpah aku menyesal sebab buang semua gambar kami.

“Sebab?”

“Setiap kali Ad tengok gambar-gambar kita, Ad nangis. Sebab itulah Ad buang. Tak sanggup nak ingat kisah lama.”

“I’m sorry, sayang.” ujar Ashman kesal.

“Kenapa pulak?”

“Abang tahu abang dah lukakan hati sayang.”

“Tapi itu bukan kehendak abang. Abang terpaksa.”

“Sebenarnya abang sendiri pun terseksa. Terseksa kerana terpaksa melukai hati insan yang paling abang cintai. Bila sayang menghilangkan diri, lagilah abang tertekan. Tak tahu mana sayang pergi. Dahlah langsung tak ada khabar berita. Abang risaukan sayang sangat-sangat. Tahu tak?”

Aku menundukkan pandangan. Kelu lidah mendengar luahannya. Aku fikir aku saja yang terseksa, rupa-rupanya dia juga begitu.

“Ad mintak maaf.” aku dihujani rasa bersalah.

“Orang tu pulak langsung tak muncul-muncul dah. Merajuklah katakan. Dia tak tahu kita kat sini setengah mati rindukan dia.”

Ashman membisu sejenak. Dari raut wajahnya itu, aku tahu dia juga amat terkesan dengan apa yang terjadi. Ternyata kami tak boleh hidup tanpa satu sama lain.

“Tuhan je tahu betapa gembiranya abang bila sayang balik tengahari tu. Kalau ikutkan hati nak je abang peluk sayang, biar sayang tak boleh lari ke mana-mana dah.” Ashman merenung wajahku.

Aku mula terasa sebak. “Taknaklah cakap pasal tu lagi. Nanti Ad nangis, KL banjir.”

Ashman ketawa.

“Mana cincin yang abang bagi?” soal Ashman seraya melirik pada jari manisku.

“Ada kat rumah sewa.”

“Selamat! Ingatkan dah buang.”

Aku sengih. “Mana boleh buang. Buah hati bagi. Sayanglah.”

Perbualan kami terhenti di situ bila terdengar tok pa berdehem dari belakang. Serentak kami berpaling ke arahnya, tersengih macam kerang busuk.

“Tak habis berborak lagi ke budak berdua ni? Meh masuk cepat. Ada benda yang kita kena bincang.” kata tok pa.

“Sorry, tok pa. Faham-faham jelah. Dah lama sangat berjauhan. Banyak benda yang nak dibualkan.” balas Ashman.

“Tok pa dah terlebih faham, sebab tu nak ajak kamu berbincang ni.”

Aku dan Ashman saling berpandangan. Tok pa nak bincang apa pulak ni? Suspensnya!!

“Bincang hal apa, tok pa?” tanya aku pula.

“Hal apa? Hal kamu berdualah. Banyak yang kita kena buat ni. Nak pilih tarikh, lokasi majlis, macam-macamlah. Benda baik tak elok dilengah-lengahkan.” tok pa sudah tersenyum penuh makna.

Aku pandang Ashman, Ashman pandang aku. Senyum lebar terukir di bibir kami berdua. Kami dah boleh agak apa yang tok pa maksudkan tu. Tanpa berlengah kami terus masuk ke rumah. Seriously we are so excited!!




MASA aku nak pergi jumpa Ashman di pejabatnya, aku terserempak dengan Johari di depan lif. Tak sangka pula Johari ada kat sini. Kami berbual seketika di situ.

“Congratulations in advance, Ad. Selamat pengantin baru. Moga kekal sampai syurga hendaknya.” tutur Johari, tumpang bahagia dengan perkhabaran baik ini.

Aku tersipu malu. Nampaknya hal ini dah tersebar luas. Tentu saja Johari tahu dari Ashman sendiri.

“Amin. Thank you so much, Johari. Jemputlah datang majlis kami nanti.” ujarku seraya tersenyum manis. Seperti yang dirancang, majlis pernikahan kami akan diadakan di Putrajaya pada bulan November nanti. Lagi tiga bulan tapi belum apa-apa aku dah nervous semacam. Nervous tapi teruja. Aku dah nak jadi isteri orang tak lama lagi. Syukur. Naura yang paling teruja bila dapat tahu pasal ni. Dan aku lantik dia jadi pengapit aku nanti.

“Insya-Allah. Kalau tak ada aral sampailah saya. Saya mintak diri dululah. Banyak benda yang nak diuruskan.”

Aku angguk. Sebaik Johari hilang dari pandangan, aku bergegas menuju ke bilik Ashman. Niat di hati nak jumpa tok pa sekali tapi baru tadi tok pa cakap yang dia ada hal di Puchong. Nampak gaya hari ni makan tengahari dengan Ashman sajalah.

Sampai di biliknya, aku lihat Ashman sedang ralit meneliti fail di atas meja. Nampak dia sibuk sangat. Ikutkan hati aku tak mahu kacau dia tapi dia yang beriya sangat suruh aku datang.

“Johari datang jumpa abang ke? Ada apa?” soalku sebaik melabuhkan punggung di kerusi setentang dengan Ashman.

Fail atas meja ditutup. Dia bersandar selesa pada kerusi dengan mata yang dihalakan ke wajahku.

“Saja nak jumpa abang sebelum berangkat ke Singapura esok dengan Hanis. For good.”

“Hanis sekali?”

“Yup. Nak bawak Hanis berubat kat sana.”

Dahiku berkerut seribu. “Berubat? Maksud abang?”

“Abang tak tahu apa yang dah jadi dengan dia. Johari kata hari tu dia jatuh lepas tu terus tak boleh jalan. Lumpuh separuh badan. Johari nak bawak jumpa pakar dekat sana.”

Aku tergamam. Memandang Ashman dengan rasa tidak percaya. Hanis sakit? Patutlah kalau dalam masa beberapa minggu ni langsung tak dengar apa-apa lagi tentangnya. Dulu adalah juga dia cari Ashman, tapi Ashman tak layan. Ya Allah, berat sungguh ujian yang Engkau turunkan pada dia. Semoga Hanis tabah mengharunginya.

“Kesiannya. Dia muda lagi.” luah aku. Timbul rasa simpati padanya walaupun dia pernah buat benda yang tak baik pada kami.

“Kuasa Allah, sayang. Tak kira muda ke tua, bila-bila masa saja Dia boleh tarik nikmat.”

Aku mengangguk setuju. “Kita doakan yang baik-baik untuk dia.”

Ashman angguk perlahan. Jam tangannya dikerling sekilas. Fail yang berselerak atas meja segera dikemaskan. Komputer juga dimatikan. Lunch time!

“Macam mana kerja hari ni? Semua okey? Ada marah-marah staf lagi?” soalku sekali gus menyindir.

“Eleh! Perli abang ya? Nakal!” balas Ashman tak puas hati.

Aku tergelak kecil. Baru tahu apa sebabnya Ashman jadi baran macam yang mama cerita dulu. Gara-gara akulah dia jadi macam tu. Tertekan sebab aku hilang tak tahu ke mana. Bila stress, orang lain yang jadi mangsa. Ashman, Ashman.

“Oh ya! Tadi abang ada cakap dengan kawan abang. Kebetulan dia free bulan 11 nanti jadi abang booked dia terus untuk jadi photographer kita.”

“Dia boleh buat video kahwin sekali?”

“Sebut je apa yang sayang nak. Semua dia boleh buat.”

Bertambah teruja aku mendengarnya. Aku sengih lebar.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Ad suka.”

“Abang pun. I’m so excited, sayang. Hari-hari tengok kalendar. Kira berapa hari lagi tinggal.” tutur Ashman. Terpancar riak bahagia di wajahnya.

“Sabar, cik abang sayang. Sekejap je bulan 11 tu. Pejam celik pejam celik dah bulan 11.”

Ashman sengih menayang gigi. Ceria betul dia. Semakin ceria dari hari ke hari. Senang hati ini melihatnya. Syukur alhamdulillah.

“Jom lunch. Abang lapar.” ajak Ashman lantas dia bangkit dari kerusi.

Tiba-tiba Ashman menghulurkan tangannya ke arahku. Aku memandangnya pelik.

“Kenapa?”

“Pimpin tanganlah. Baru romantik.”

“Gatal!! Selagi tak nikah jangan harap abang boleh pegang Ad!” aku menjelingnya geram.


Ashman tergelak besar. Sengaja nak usik akulah tu! Naughty! Masa kami nak bergerak ke lif, semua staf dekat situ pakat mengusik kami. Ada yang buat bunyi kompang la, ada juga yang kata muka kami dah ada seri pengantin. Sampai naik blushing aku dibuatnya tapi Ashman steady je. Kami hanya mampu ketawa mendengar usikan mereka. Jauh di sudut hati aku berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar. Amin.





__________






Komen pls. Thank u!