Thursday 4 September 2014

Oh My Ex-Husband! 28

AKU mundar-mandir di ruang tamu. Peristiwa petang tadi masih segar di ingatan. Gara-gara Harith dan Amir, aku tak senang duduk. Boleh pula mereka berebut nak hantar aku balik? Kelakar!! Jadi demi untuk berlaku adil, aku terpaksa meminta Afrina hantarkan aku pulang. Kira okeylah tu. Baik Amir mahu pun Harith, dua-dua pun tak akan sakit hati. Itu lebih baik daripada ada yang bermasam muka kerana aku.

Disebabkan itu, aku nekad untuk tamatkan semua ini. Aku tak akan biar Amir buat macam tu lagi. Aku juga takut kalau satu hari nanti ada yang rela putus kawan kerana cinta. It ain't going to happen! Amir dan Harith tak boleh putus sahabat hanya disebabkan aku. Fon di tangan aku tenung lama. Berkira-kira hendak menelefon Amir atau tunggu waktu yang sesuai untuk aku cakap dengan dia tentang ni. Tapi rasanya aku dah tak boleh tunggu walau sesaat pun lagi. Aku takut malam ni aku tak lena tidur pula! Ah! Serabut!

Aku sabar menanti Amir angkat telefon. Mana dia ni? Dah tidur kot? Aku menebak dalam hati. Hampir aku putuskan talian tapi tak jadi bila akhirnya kedengaran suara lelaki itu dari corong telefon.

“Amir, sorry ganggu. Tapi I telefon you sebab I rasa I perlu sangat-sangat cakap hal ni dengan you.” aku menghenyakkan tubuh di sofa panjang berwarna krim lembut itu. Hening sekali rumah ini. Papa dan mama langsung tak turun-turun dari tadi. Suara mereka juga sudah tidak kedengaran. Dah tidur agaknya.

“Apa dia tu, sayang?”

Sayang? Ini kalau Harith dengar, tak tahu apa pula yang akan jadi. Aku takut Amir kena belasah dengan Harith je nanti. Oh tidak! Aku harap perkara sebegitu tak akan terjadi. Mintak jauh!

“I rasa mulai esok you dah tak payah datang ambil I lagi. Biar I pergi kerja sendiri je. Lepas ni tak payahlah you datang ambil I pulak.” ujar aku nekad. Tak akan sesekali aku ubah fikiranku lagi. Ini demi kebaikan semua.

“Tapi kan kita dah setuju pasal ni?”

Sudah aku agak lelaki itu pasti tak akan bersetuju. Biarlah. Kan aku dah kata yang aku takkan ubah fikiran lagi? Tak kira apa pun yang jadi aku akan buat sampai Amir setuju. Noktah.

“I tahu, tapi sampai bila? I taknak buat you jadi kuli I pulak. Walaupun you yang rela hati buat macam tu tapi I tetap tak selesa. Cuba kalau mama dengan babah you tahu, apa dia orang fikir pasal I? Suka-suka hati je buat you macam kuli I.” Aku harap bila aku dah sebut mak ayah dia sekali, Amir akan beralah.

“Ya Allah.. Takkanlah mama dengan babah nak fikir macam tu pulak. Rene, janganlah risau pasal tu. I okey je. Tak rasa macam I ni kuli you pun.”

Aku mengeluh perlahan. Masih tak faham lagi rupanya dia ni. Aduh! Macam mana ni? Macam mana nak suruh Amir faham yang aku dah taknak teruskan semua ni? Ke dia sengaja buat-buat tak faham? Ini yang aku lemah ni.

“Amir, I hargai niat baik you. You buat semua ni sebab you risaukan keselamatan I tapi sampai bila? I tak selesalah macam ni. Lagipun kalau I tak bawak kereta langsung nanti lama-lama I jadi takut pulak nak drive.” Kalau Amir fikir dia saja yang tak mudah berputus asa, aku juga begitu. Aku berhak tentukan apa yang aku mahu dan apa yang tidak. Jangan sesiapa pun cuba campur tangan dalam urusan hidup aku. Sayang macam mana sekali pun aku peduli apa? Lainlah kalau dia suami aku. Itu barulah aku kena dengar cakap dia.

Lama Amir membisu. Aku pelik. Dah letak fon ke mamat ni?

“Amir, you dengar tak I cakap apa?”

“Yes.. I dengar. Cuma I tak sedap hati nak biar you drive sorang.” Amir menghela nafas berat.

“Amir, tak ada siapa yang minta untuk terlibat dalam kemalangan atau apa pun. Tapi you kena fikir kita ni manusia, mana boleh lawan kehendak Dia? Kalau Allah kata jadi, maka jadilah. Kalau pun lepas ni I upah driver lain, kalau dah memang takdir Allah nak I accident, tetap akan accident. Betul tak?”

“Janganlah cakap macam tu, you. Seriau I dengar..” Amir cuak.

“Contoh je. Bukannya I mintak jadi macam tu. Kesimpulannya kita hanya mampu berdoa dan berserah pada Dia. Andai kata terjadi sesuatu yang tidak diingini, bermakna itu memang sudah qada’ dan qadar Tuhan. Ingat tu.”

“Ke you tak suka I buat macam ni sebab takut Harith marah? Takut dia cemburu?”

E'eh!! Ini dah masuk bab lain pula ni. Mesti dia ingat Harith yang suruh aku buat macam ni walhal tidak. Harith tak tahu apa-apa. Cuma aku sendiri yang dah naik rimas bila Amir hari-hari datang jemput aku di rumah dan di pejabat. Rasanya kalau orang sekeliling tengok tak manis. Ke hulu ke hilir, 24/7 berkepit mengalahkan suami isteri.

“Tak. Bukan macam tu.”

Aku berjeda.

“Sebenarnya I amat-amat terharu dengan keprihatinan orang di sekeliling I. Tapi I taknaklah sampai ada yang terlupa bahawa ada yang lebih berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu. You kena ingat, hidup kita Allah yang atur. Allah yang tetapkan apa yang akan jadi dan apa yang tidak. Lagipun kita belum ada ikatan yang sah. I taknak kelakuan kita ni diperhatikan orang. Takut nanti jadi buah mulut orang, Amir. Tak manislah rasanya.. Maruah kita kena jaga.” ujar aku lembut dan penuh mengharap agar Amir juga mengerti.

“Okey, fine. I dah faham sekarang. Maafkan I sebab terlalu ikutkan hati sampaikan tak boleh berfikir dengan baik. So, you nekad dengan keputusan you ni?” Amir meminta kepastian.

Aku tersenyum lega. Alhamdulillah. Akhirnya dia akur dengan keputusanku. Syukur, Ya Allah. Engkau mempermudahkan segala-galanya.

“Ye, Amir. I nekad. Dan I takkan ubah keputusan I ni lagi. I harap you faham,”

“Kalau dah itu kata you. I faham. I hormati keputusan you.” balas Amir.

“Terima kasih, Amir. Terima kasih banyak-banyak sebab faham I. I takkan lupa jasa baik you selama ni. I sangat bertuah kerana berpeluang untuk mengenali insan sebaik you. Sanggup buat apa saja untuk I. Terima kasih, Amir.”

“Sama-sama. I buat semua ni sebab I nak tunjuk kat you yang I betul-betul sayangkan you. Sayang I bukan setakat di bibir, tapi lahir dari hati yang tulus ikhlas.”

Padanlah kalau dia nampak bersungguh-sungguh lakukan apa saja untuk aku. Dia hanya ingin membuktikan yang dia benar-benar menyayangi aku setulus hatinya.

“I tahu. Sebab itu I terharu sangat. Allah saja yang boleh balas budi baik you, Amir. Okeylah, maaf ganggu you. I dah nak masuk tidur ni. Good night.” tuturku sebaik aku lihat jam di dinding. Jarum sudah bergerak ke angka 11. Masa untuk tidur. Esok kerja.

“Good night. Sweet dreams.”

“You too.”

Selesai berbual dengan Amir di telefon, aku terus meninggalkan ruang tamu itu dan ingin naik ke tingkat atas. Terkejut aku bila terpandang papa yang entah bila masa tercongok di kaki tangga.

“Macam mana? Dah lega dah bila dah lepaskan semua?” tanya papa sambil merenung aku lembut.

Aku hela nafas perlahan seraya mengangguk kecil. Papa dengar perbualan aku dan Amir tadi rupanya.

“Lega. Lega sangat-sangat, papa.”

“Macam tulah anak papa. Kena tegas sikit. Orang lelaki ni jangan bagi muka sangat, Rene. Papa takut tak sempat kahwin nanti belum apa-apa dah jadi king control.” nasihat papa.

Aku senyum dan mengangguk tanda faham. Memang itulah yang sedang aku lakukan sekarang. Aku sedar aku tak seharusnya sentiasa beralah semata-mata nak jaga hati mereka.

“Insya-Allah, Rene ingat pesan papa. Rene naik dulu, papa. Dah ngantuk sangat ni. Selamat malam. Assalamualaikum.”

“Selamat malam. Waalaikumussalam.”

Elok aku nak berbaring di katil, aku terima satu mesej dari si HD pula.



Thank you sebab tak balik dengan Amir petang tadi.


Buntang mataku membacanya. Harith ni kenapa? Mengigau ke dia? Malas hendak berteka-teki, mesejnya aku balas segera.



Thank you? Maksud abang? Rene ingat abang akan marah sebab Rene tak balik dengan abang tadi.



Taklah. Abang tak kisah pun sebenarnya. Abang saja buat macam tu sebab taknak bagi Amir hantar Rene. You know why.. Tak perlulah abang cakap lebih-lebih. Rene mesti dah faham.



Jadi Harith buat semua ni kerana cemburu? Dia sengaja cuba halang Amir hantar aku? Baru aku tahu. Ini hanyalah satu muslihat. Aku sengih seraya menggeleng-gelengkan kepala. Kelakar Harith ni kalau dia dah cemburu. Sanggup buat apa saja asalkan aku tak berdua dengan Amir.







SESEKALI dapat keluar shopping dengan adik iparku ini memang seronok. Aku dan Hanim punya citarasa yang sama. Kalau beli baju, suka jenama Guess, Esprit dan Zara. Jeans pulak suka Levis. Kalau keluar dengan Hanim, kami pasti akan ke butik yang sama.

“Kak Rene, apa yang Kak Rene dah buat dekat abang Hanim tu ye? Ceritalah sikit. Ada baca jampi serapah apa-apa ke?” Hanim tersengih-sengih sebaik dia menanyakan soalan cepumas itu. Penat berjalan, kami berhenti di Big Apple. Dah lama tak makan donut!

Aku tergelak kelucuan. Soalan apalah yang si Hanim ni tanya? Apa sebab dia tanya macam tu? Apa yang aku dah buat dekat Harith? Setahu aku, Harith yang dah buat aku dulu. Maksud aku, dia buat aku jadi separuh angau. Angaukan siapa lagi kalau bukan dia? Ini sudah terbalik!

“Jampi serapah? Maksud Hanim? Apa yang dah jadi dengan abang tu? Kak Rene tak buat apa-apalah.” tawaku masih bersisa.

“Takdelah.. Hanim tengok dia tu dah lain sangat sekarang. Nampak happy memanjang.”

“Yang itu Hanim kena tanya dialah. Akak memang takde buat apa-apa pun. Demi Allah!”

Hanim turut tertawa perlahan. “Alaa.. Tak payah tanya. Hanim dah tahu sebab apa dia jadi macam tu. Itu semua Kak Renelah punya penangan. Dia happy sebab sekarang korang berdua dah tak ada gaduh-gaduh macam dulu, kan?”

Sekarang baru aku faham. Hanim nak kata yang Harith jadi happy semuanya kerana aku. Tak aku nafikan semenjak peristiwa aku hampir dilanggar oleh kereta itu, aku dan Harith kembali mesra seperti dulu. Aku pula, setiap saat hanya inginkan dia di sisi. Aneh, bukan? Tapi itulah hakikatnya. Aku rasa inilah dia tanda-tanda cinta sudah berputik kembali.

“Memang hubungan kami dah semakin pulih. Alhamdulillah.. Mungkin ada hikmahnya akak nyaris kena langgar hari tu. Hikmah di sebalik kejadian tu akak dengan dia dah okey dah. Dah tak bermasam muka macam dulu.”

“Alhamdulillah.. Hanim harap semua ni akan berkekalan sampai bila-bila,”

“Insya-Allah. Amin.” sahut aku.







TUMPUANKU terhadap novel Qaseh Qaisy terganggu dengan bunyi deruman ekzos motor berkuasa tinggi dari luar Starbucks ini. Lelaki yang baru turun dari superbike Ducati 1199 Panigale warna merah di tempat parkir itu menjadi tumpuanku sejenak melalui dinding kaca. Terkejutnya aku bukan kepalang setelah helmetnya dibuka. Harith Daniel!! Dia rupanya gerangan yang membawa motor besar itu? Sejak bila dia ada superbike? Setahu aku Harith cuma ada kereta saja. Tak tahu pula yang dia ada motor besar ni!

Insan yang segak memakai jaket kulit hitam bertulis DUCATI di belakangnya menarik perhatian beberapa orang gadis yang duduk di sebelah mejaku saat lelaki itu masuk ke sini. Aduh! Kacaknya dia! Awek manalah yang tak tersangkut bila tengok dia yang sememangnya kacak, bertambah kacak bila pakai macam tu. Bawak motor besar pula tu! Macho gila! Senyuman tidak lekang di bibir Harith saat dia mendekatiku. Itu yang membuatkan gadis-gadis tadi galak merenungnya tak berkedip mata. Ish! Ini yang bahaya ni! Bila Harith senyum saja, pasti akan ada yang cair macam aiskrim! Bahaya, bahaya! Mataku tak lepas dari memandang Harith yang berjalan menghala ke meja yang aku duduki ini.

“Sorry lambat. Dah lama ke sampai?” tanya Harith sambil menarik kerusi yang bertentangan denganku. Helmetnya diletak pada kerusi kosong di sebelah.

“Baru 15 minit.” Novel di tangan aku sudah tidak berminat nak baca. Lelaki kacak di hadapanku ini lebih menggoda jiwa! Ouch!! Rene!! Behave, please. Janganlah gatal sangat kut ya pun! Tapi, serius dia nampak macho sangat hari ni! Apa yang buat dia nampak macho terlajak ni? Mungkin sebab janggut dengan misai nipis dia tu kut? Aisehh!! Mamat ni kalau simpan janggut dengan misai, memang nampak matang sikit dari usianya dan semestinya lebih tampan!

“Datang dengan siapa? Amir hantar?” sempat lagi Harith menyindir. Dia tertawa kecil kemudiannya.

Aku mencebik bibir. “Abang ni! Ke situ pulak dia! Mestilah Rene drive. Buat apa suruh dia hantarkan?”

Jaket kulit yang tersarung di badannya dibuka. “Manalah tahu dia nak jugak jadi pemandu tak bergaji Cik Rene Hannani kita ni.”

Huh! Tak habis lagi dia nak ungkit pasal tu. Cemburu sangat dengan kawan baik sendiri. Walhal aku belum lagi bercinta dengan Amir. Cubalah kalau aku dengan Amir tu couple agak-agak Harith masih akan cari aku lagi atau pergi membawa hati yang luka?

“Kejap! Sejak bila abang bawak motor besar ni? Rene tak tahu pun?” aku pantas menukar topik. Cerita pasal Amir buat apa? Baik cerita pasal superbike dia tu. Lawa gila!

Harith melirik ke arah motor besarnya di luar sana sebelum dia berkalih pandang pada aku semula.

“Dah lama. Sesekali bila teringin nak naik motor, abang bawaklah ‘baby’ abang ni ronda-ronda KL.”

“Abang dah lupa ke apa yang Rene pesan dulu? Naik motor tu bahaya. Abang pun dulu pernah jatuh motor. Tak serik-serik lagi ke?” Aku masih ingat dulu Harith pernah cerita ketika dia berusia 19 tahun, dia pernah jatuh motor yang ditunggang oleh kawannya sendiri. Akibat kejadian itu, dia dapat parut kekal di lutut kirinya. Nasib baik dekat lutut. Kalau dekat muka? Habislah saham dia!

“Tahu. Serik masa tu ajelah. Tapi sekarang abang tak boleh tahanlah tengok superbike Ducati ni. Cun sangat. Lagipun Rene tahu abang memang suka motor selain kereta, kan? Sebab tu abang beli demi memenuhi kehendak hati sendiri.”

Yup! Memang aku tahu Harith suka motor. Tapi aku larang dia naik motor gara-gara insiden itu. Aku bimbang dia accident lagi, lagi dan lagi. Lagipun motor lebih berisiko berbanding kereta. Motor senang terbalik. Aku taknaklah jadi macam tu.

“Suka hatilah. Orang risaukan dia. Bawak motor mengalah pelesit. Nanti tak pasal-pasal tambah lagi satu parut, jatuh saham dia.” omelku serius sebelum menyisip caramel macchiato sedikit demi sedikit.

Harith tergelak. “Kalau abang dapat lagi satu parut, Rene dah tak sayang abanglah sebab abang dah tak handsome? Macam tu ke?”

“Ish! Mulalah tu nak mengarut.”

“Mengarut apanya? Abang tanya ni jawablah. Kalau abang dah tak handsome Rene dah taknak abanglah?”

Aku pekakkan telinga, pura-pura tidak mendengar pertanyaannya. Itu soalan ke perangkap? Ini yang aku malas nak layan Harith ni. Novel tadi aku capai dan buat-buat khusyuk membacanya. Walhal dari tadi asyik tenung muka surat 1 saja.

“Tak boleh jawab? Maksudnya betullah tu. Yelahh.. Sekarang kita tak handsome pun dia memang taknak. Esok lusa kalau dapat parut kat muka ke, makin tak handsome makinlah dia taknak.” tutur Harith sambil buat muka sedih, minta simpati.

Jelingan tajam dariku mengundang tawa kecil di bibir Harith. Tak lama kemudian, bebola matanya tertancap pada gelang Pandora yang aku pakai sebelum ke sini tadi.

“Eh.. Rene dah pakai gelang tu balik? Cantik.” tegur Harith dengan sengihan panjang. Gembira sungguh dia bila aku dah pakai semula gelang yang dia beri.

“A’ah. Rindu nak pakai.” jawab aku bersahaja. Rantai Amir aku simpan elok-elok dalam laci. Semuanya sebab taknak cari pasal dengan Harith yang sememangnya kuat cemburu.

“That’s my girl.” ujar Harith senang.

Perbualan kami terganggu saat ada mesej yang masuk ke fon Harith. Aku sabar menanti Harith membalas mesej itu. Aku perhatikan saja air mukanya. Serius dan kelat. Hatiku dilanda hairan. Kenapa pulak dengan dia ni? Ada apa-apa yang tak kena ke?

“Abang taknak order apa-apa?” tanya aku spontan. Dari tadi asyik bersembang saja. Harith langsung tak pesan apa-apa. Tak lapar ke dia? Pagi tadi dia juga yang beria-ia ajak aku lepak kat sini. Katanya nak minum coffeelah. Nak makan keklah. Mengidam macam-macamlah pulak dia ni.

Ralit sungguh Harith berbalas mesej sampaikan langsung tak dengar aku tanya. Aku mendengus bosan. Ini yang buat aku marah sangat ni. Main handphone masa lepak dengan aku satu hal. Lepas itu sakan berbalas mesej sampai aku dibuatnya macam halimunan. Dia datang sini nak lepak dengan aku ke nak main SMS dengan kawan dia?

“Oo abang! Taknak makan ke?” aku mengulang soalan yang sama.

Diam lagi. Kali ini, kesabaran aku menipis.

“Abang!” sergah aku geram. Marah ni! Tahu tak?

Harith tersentak. “Sorry! Rene tanya apa tadi?”

“Main mesej dengan siapa? Orang cakap pun tak dengar!” aku dah bising macam mak nenek. Sakitnya hati bila kita cakap orang buat tak endah.

“Aaa..? Err.. Ni haa.. Kawan abang..” Harith seakan keresahan, gagap tak tentu pasal. Lain macam perangai dia hari ni.

Beberapa saat kemudian, ada seseorang yang menelefon Harith. Air mukanya nampak lain macam tatkala melihat nama si pemanggil. Tak tahu kenapa. Mungkin dia tidak suka diganggu oleh pemanggil yang aku tak kenali itu.

“Kejap eh.. I need to take this call. I’ll be right back.” Harith pantas meninggalkan aku di meja itu dan terus keluar dari Starbucks. Dia berdiri di satu sudut, tidak jauh dari pintu kaca itu.

Makinlah aku jadi pelik dengan dia. Tadi sibuk main SMS. Sekarang ni cakap telefon pun jauh dari aku. Apa cerita ni? Aku perhatikan saja gerak-geri Harith dari sini. Sesekali dia menggaru-garu kepalanya. Berkerut-kerut dahinya seolah-olah ada perkara serius yang sedang dibincangkan. Dia bercakap dengan siapa ya? Pelik. Selalunya Harith kalau ada orang call dia, dia tak pernah lari jauh-jauh dari aku. Ini tidak. Sepertinya dia tidak mahu aku dengar apa-apa. Siapa yang call dia agaknya? Kenapa aku rasa macam ada yang tak kena ni? Hanya kerana Harith tak cakap fon depan aku, aku mula nak bersangka buruk dengan dia. Tolonglah, Rene. Jangan jadi kebudak-budakan sangat. Mungkin Harith taknak cakap kat sini sebab kat sini bising. Think positive, Rene. Hatiku cuba menyedapkan diri sendiri. Tak sampai 10 minit, Harith masuk semula ke sini.

“Siapa telefon?” tanya aku sekembalinya Harith di situ.

“Kawan.” jawab Harith sambil tersenyum hambar. Duduk saja di kerusi, Harith terus menggamit salah seorang waiter yang berdiri di tepi kaunter untuk membuat pesanan. Kawan. Kawan telefon sampai nak kena lari jauh dari aku? Apa pelik sangat perangai Harith ni? Sangat pelik sebab dia tak pernah buat macam ni pun sebelum ini. Aku mengeluh dalam hati. Kalau boleh aku tak mahu bersangka buruk dengan dia. Namun entah mengapa, kelakuannya itu bikin hati jadi gundah-gulana.

**********************************

Maaf lambat, terlalu byk benda lain yg perlu dibuat selain fokus pd blog saya ni (maaf sangat2). Dan lagi, ada yg tanya bila nak publish.. sebenarnya cerita ni masih belum tahu bila akan diterbitkan. Kalau ada rezeki adalah.. Doa2kan saya ya? Terima kasih :)

jgn lupa lepas baca tu komen sikittt... tak pun klik je butang reaction tu ya? Thanks!

2 comments: