Showing posts with label KYKT. Show all posts
Showing posts with label KYKT. Show all posts

Tuesday, 18 August 2015

Kamu Yang Ku Tunggu FINAL



2 tahun kemudian.



SETIBANYA aku dan Naura di Mid Valley terus aku ajak dia breakfast di McDonald’s. Dah lama tak datang sini setelah sekian lama terperap di rumah. Dan baru hari ni jugaklah aku dapat luangkan masa dengan kawan baik aku ni, lepas dah beberapa kali plan nak jumpa tapi asyik tak jadi. Si Naura la sibuk sangat. Jadual padat kalahkan menteri. Ini pun nasib baik dia dapat cuti, kalau tidak entah bila baru boleh jumpa dia.

Aku pula semenjak dah berbadan dua ni jarang dapat ke mana-mana sebab Ashman tak bagi. Risau katanya. Yup! Aku sudah pun hamil empat bulan. Sekarang kami tengah menghitung hari menanti kelahiran cahaya mata yang pertama. Teruja sangat nak jadi mak dan ayah. Takut pun ada juga. First pregnancylah katakan. Mana ada pengalaman pun. Mujurlah ada mama dan kakak iparku yang banyak membantu. Semua benda yang aku tak tahu aku pasti akan bertanya pada mereka. Sekarang ni pun dah mula buat persiapan untuk sambut kelahiran zuriat kami nanti. Oh ya, hujung minggu ni kami nak ke IKEA, nak cari katil baby. Excited gila!

“Jadi kau sekarang ni goyang kaki ajelah kat rumah tu ye?” soal Naura sewaktu kami hendak ke The Gardens.

“Yup! Kerja aku sekarang gemukkan badan je.” kata aku sambil tertawa. Memang ya pun aku semakin berisi, mana taknya selera makan pun berubah sejak mengandung ni. Makan untuk dua oranglah katakan.

Naura tergelak. “Bestnya kau! Boleh relaks-relaks je kat rumah. Tak ada stress apa pun.”

“Best tu memanglah best cuma ada masanya aku rasa macam nak kerja balik. Tapi Ashman pulak yang tak kasi.” luah aku. Sumpah aku rindu sangat nak kerja semula. Dua tahun je merasa, bila dapat tahu aku mengandung Ashman terus suruh berhenti. Itu apa yang kami rancang sebelum ni.

“Tak payahlah, Ad. Kau ni kira beruntung sangat sebab dapat suami kaya. Tak kerja pun tak ada hal. Nak apa-apa suami belikan. Bertuah badan!”

“Alhamdulillah. Rezeki. Kau tu pun apa kurangnya? Tak lama lagi dah nak nikah dengan abang pilot dah.”

Naura tersengih malu. Itulah reaksinya setiap kali sebut pasal tu. Alhamdulillah akhirnya Naura bertemu dengan soulmatenya, setelah dua kali putus cinta. Muka dia pun nampak berseri-seri je. Bahagialah katakan!

“Nak kahwin dah kawan-kawan aku. Minggu depan Jepp, lepas itu kau pulak menyusul. Bestnya!! Aku pulak yang excited!” kata aku sedikit teruja. Tak sabar nak tengok Jepp naik pelamin dengan buah hatinya yang seorang tu. Siapa lagi kalau bukan Aleesya? Alhamdulillah, berkat doa dan kesabaran mereka, akhirnya hubungan mereka mendapat restu dari orang tua Aleesya. Itulah jodoh. Semuanya ketentuan Allah. Siapalah kita hendak melawan kehendakNya? Dan aku tumpang bahagia untuk mereka.

“Insya-Allah. Doakan agar semuanya dipermudahkan. Ad, kau tak penat ke berjalan ni? Aku risaulah.”

“No worries. Aku okey. Lagipun bukannya senang nak dapat peluang macam ni. Kalau ikutkan Ashman tu, taknak aku ke mana-mana pun sebab terlampau risaukan aku. Ini pun dah kira nasib baik dia bagi sebab tahu isteri dia kempunan nak jalan-jalan.”

“Tapi serius kau nampak makin comel sejak mengandung ni. Berseri-seri!”

“Mana ada comel. Aku rasa aku dah makin tembam ni.” aku mencubit pipi sendiri. Rasa bagai dipam-pam. Bulat sangat sampaikan Ashman pun setiap masa nak cubit pipi aku. Geram katanya. Tunggulah bila dah bersalin nanti gerenti aku diet balik! Haihh.. bila cakap pasal suami aku tu buat aku jadi rindu sangat pada dia. Kalau ikutkan hari ni aku nak ajak dia keluar sama-sama, tapi awal-awal lagi Ashman kata dia kawan lamanya ajak jumpa. Tak dapatlah dating dengan pengarang jantung aku tu hari ni.

“Tembam tulah yang buat kau nampak comel. Tak sabar nak tengok anak kau. Baby girl ke boy eh? Mesti comel macam kau jugak.”

“Aku dengan Ashman pun tak sabar nak tahu, tapi kami tak kisah lelaki ke perempuan asalkan dia sihat walafiat dah syukur sangat-sangat.” Ujarku sambil mengusap-usap perut yang sedikit menonjol, menandakan si kecil di dalam kandunganku ini semakin membesar. Sekarang ni aku dan Ashman sibuk pilih nama untuk anak kami. Lelaki dan perempuan. Prepare awal-awal senang, bila dah tahu jantinanya nanti pilih saja yang mana berkenan di hati.

Naura tersenyum dan mengangguk setuju. Sebaik saja kami ingin melintasi Tony Roma’s, dia mematikan langkah. Pantas lenganku dipaut lembut, membuatkan langkahku juga terhenti. Seketika, kami tercegat di depan restoran itu. Hairan aku melihat Naura yang seakan ralit memerhatikan seseorang.

“Ad, itu Ashman, kan? Dia dengan siapa tu?” Naura menuding jari ke arah gerangan yang dimaksudkan.

Aku pantas melirik ke arah lelaki dan perempuan yang sedang rancak bersembang di restoran itu. Lama ku amati wajahnya jauh. Ya! Itu Ashman, suami aku!! Remuk hati ini melihat kemesraan mereka. Siapa perempuan tu?! Aku tak pernah lihat dia di mana-mana pun sebelum ini. Ya Allah! Tak mungkin suami aku curang dengan aku! Tak mungkin!! Mukaku terasa pijar menahan marah. Ashman langsung tak sedar kami di sini sedang memerhatikan dia.

“Dasar penipu! Kata nak jumpa kawan! Habis perempuan mana pulak dengan dia tu?! Sampai hati dia buat aku macam ni!”

Aku sudah tidak mampu mengawal emosiku lagi. Sikit lagi air mata hendak mengalir. Sakit hati diperlakukan sebegini. Melihat Ashman yang sedang bergelak ketawa dengan perempuan itu di belakangku, membuatkan hati ini rasa terhiris. Pedih! Kenapa, abang? Kenapa abang sanggup buat isteri sendiri macam ni?

“Dahlah!! Jom blahh!!” aku sudah ingin pergi, namun Naura pantas menghalang.

“Eh.. sabarlah dulu kut ya pun. Apa kata kau jumpa dia dan tanya baik-baik. Entah-entah itu kawan dia tak?” Naura cuba menenangkan. Bahuku diusap-usap perlahan.

Aku menggeleng laju. Dalam keadaan macam ini nak pandang Ashman pun dah tak boleh!

“Taknak!! Aku dah tak ada mood!! Aku nak balik sekarang jugak!!” Aku pantas mengatur langkah tanpa menoleh lagi. Untuk berada di situ walau sesaat pun aku tidak sanggup. Hati aku sudah hancur!



SEJAK dari tadi aku terperap dalam bilik. Makan tengahari pun belum. Dah berpuluh kali mama dan Mak Jah pujuk, aku tetap buat keras kepala. Aku tersandar lesu di kepala katil. Mata mengerling pada telefon bimbit yang berbunyi nyaring minta diangkat. Melihat nama si pemanggil sudah cukup untuk buat aku bertambah bad mood. Cepat-cepat aku reject. Dah berapa kali Ashman call, satu pun tak aku jawab. Alert dari Whatsapp berbunyi lagi. Mesej dari Ashman suruh aku jawab call dia. Biarkan! Aku dah malas nak cakap dengan dia lagi. Aku rasa mesti mama mengadu dekat Ashman pasal ni, sebab tulah dia beriya nak pujuk aku.

“Sayang, kenapa daddy buat mommy macam ni? Sampai hati dia..” luah aku seolah-olah sedang bercakap dengan si kecil di dalam rahimku ini. Aku mengusap perutku lembut. Setitik demi setitik air jernih dan hangat mengalir ke pipi.

“Daddy dah tak sayang mommy. Daddy curang dengan mommy.” Aku sudah teresak-esak. Sebak tak terkata. Kecik hati dengan suami sendiri.

“Abang tak curang.” Perlahan suara Ashman menyapa telingaku.

Aku sedikit terperanjat melihat Ashman yang tercegat di muka pintu. Terukir senyum kelat di bibir dia. Aku balas dengan jelingan tajam padanya sebelum berpaling ke lain. Entah bila masa dia balik pun aku tak sedar. Mungkin dia dengar apa yang aku katakan tadi. Aku terus memusingkan tubuh menghadap ke arah jendela. Duduk bersila dan peluk bantal erat-erat dengan wajah mencuka. Tak ada hati nak pandang dia sekarang. Bunyi daun pintu ditutup rapat menandakan dia ingin berbicara denganku tanpa ada yang menganggu.

“Buat apa abang balik?! Pergilah berkepit dengan perempuan tu!!” Nadaku naik satu oktaf. Air mata di pipi aku lap kasar dengan tangan. Sabar, Ad. Istighfar. Berdosa tinggikan suara dengan suami macam tu.

Ashman datang duduk di birai katil, rapat. Aku mengengsot ke tepi, tak mahu dekat dengannya. Satu keluhan berat dilepaskan. Jelas dia tertekan dengan reaksiku ini. Seketika, dia membisu. Ambil masa untuk memulakan kata.

“Sayang, janganlah macam ni. Abang balik sebab abang risaukan isteri abang ni. Mama telefon beritahu sayang langsung taknak keluar bilik. Tak makan apa-apa pun. Abang takut apa-apa jadi dekat sayang.” Pujuk Ashman lembut seraya merapatkan kedudukannya denganku.

Huh! Tahu pun menggelabah! Baru sikit je protes tu! Bila dia ingin menyentuh bahuku, aku terus bangkit dan meluru ke jendela.

“Ada hati lagi nak ambil tahu pasal Ad rupanya. Ingatkan bila dah ada orang lain, lupalah isteri kat rumah ni!”

“Jangan tuduh-tuduh, tak baik. Ini semua salah faham je. Sebenarnya perempuan tu..” suara Ashman kedengaran begitu jelas dan dekat di telingaku. Aku langsung tak menoleh. Dapat rasakan yang dia kini betul-betul di belakangku.

“Ad bukan tuduh! Ad nampak dengan mata Ad sendiri! Sampai hati abang tipu Ad. Kononnya nak keluar dengan kawan, tapi sebenarnya nak jumpa kekasih hati! Tergamak abang buat Ad macam ni!”

“Astaughfirullah hal azim. Sayang, sayang. Cuba dengar dulu penjelasan abang. Demi Allah abang tak ada apa-apa dengan dia. Sebenarnya dia tu isteri kepada kawan abang. Kawan abang pun ada sekali tadi. Sayang tak nampak dia sebab tu sayang fikir bukan-bukan.”

Terasa tangannya melingkar kemas di pinggangku. Aku terpempan. Cara paling senang untuk sejukkan hati yang sedang hangat membara. Aduhh.. ini yang lemah ni. Inilah salah satu sebab kenapa aku cepat sangat cair dengan dia dan Ashman tahu sangat kelemahan aku. Inilah masalah orang perempuan. Bila suami peluk cium sikit terus meleleh macam aiskrim. Tak boleh macam tu. Sesekali kena buat keras kepala jugak. Bukan apa, saja nak kasi ajar sikit. Aku cuba meleraikan pelukannya tapi gagal. Pelukan bertambah erat dan sudahnya aku terpaksa biarkan saja. Laju degupan jantungku bila dagunya diletak ke bahuku. Haihh.. dia pun nak tunjuk belang. Aku hanya berlagak tenang walau hati resah tak terkata. Cool, Ad. Cool. Jangan nampak sangat kau dah mula cair dengan dia.

“Abang tipu!” aku tetap tak mahu percaya. Hmm.. ye ke Ashman tipu? Selalunya orang kalau membohong, mesti tergagap-gagap. Tapi ini lancar semacam je. Sekali memang betul pun perempuan tu kawan dia. Ah!! Jangan mudah terpedaya, Ad. Lelaki ni selalunya kalau bab kelentong isteri memang terer!

Satu lagi keluhan berat dilepaskan. Gerenti dia dah mati akal tak tahu macam mana lagi nak pujuk aku.

“Kalau tak percaya cuba sayang baca mesej ni. Ini bukti yang kawan abang ajak lunch. Bacalah.”



Ashman beri telefon bimbitnya pada aku. Dengan wajah serius, aku baca SMS yang tertera di skrin sesentuh itu.



Aku ada dekat Mid Valley ni, wife aku ajak shopping. Jomlah jumpa. Boleh lunch sekali.



Gulp! Aku menelan liur. Dipagut rasa bersalah dan kesal dengan kebodohan sendiri. Sesedap rasa aku tuduh dia. Pesanan ringkas itu menjelaskan segalanya. Bukti kukuh yang menunjukkan dia sememangnya tak bersalah. Bodohnya aku!! Apa yang aku dah buat? Ya Allah, berdosanya aku buat suami macam ni. Fon di tangan aku beri pada dia semula.

“Agaknya masa sayang nampak abang tu, kawan abang pergi toilet. Abang dah cakap dah ini semua salah faham. Kami bertiga. Bukan berdua. Kalau sayang tak percaya jugak, sayang cakap dengan dia sendiri. Abang call dia sekarang, biar sayang puas hati.” Sambung Ashman yang sudah ingin mendail nombor rakannya itu.

“Tak payah.” Aku pantas menghalang. Menyesalnya aku Tuhan saja yang tahu. Lepas dengar semua penjelasan Ashman makinlah aku rasa bersalah dengan dia. Adryana so stupid!

“Ad mintak maaf, abang. Ad percayakan abang. Ad mintak maaf.” Aku memusingkan tubuh menghadapnya. Lembut mataku merenung ke dalam matanya. Sekelip mata hati jadi sejuk sebaik melihat sepasang mata redup itu dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Rasa marah yang tadinya memuncak lenyap begitu saja. Ajaib, kan?

Ashman tersenyum nipis. “Sayang tak salah. Tak perlu mintak maaf.”

“Tapi Ad dah tuduh abang yang bukan-bukan. Ad berdosa.” Luah aku dan terus memeluk Ashman seeratnya.

“Syyhh... jangan cakap macam tu. Sayang tak tahu hal yang sebenarnya. Bukan salah sayang. Abang tak marah dan tak ambil hati pun. Kalau abang di tempat sayang pun abang akan melenting jugak.” Ashman turut membalas pelukanku.

Aku membisu sejenak. Kepalaku terlentok manja di dadanya. Membiarkan Ashman mengelus-elus rambutku perlahan.

“Ad tak tahu kenapa Ad jadi macam ni. Langsung tak boleh fikir baik-baik. Emosi tak menentu. Selalu sangat melenting tak tentu pasal.”

“Mama kata ini perkara normal pada ibu yang sedang hamil. Pembawakan budak. Sebab itulah sensitif tak bertempat.”

Ya, aku selalu dengar orang kata kalau ibu mengandung ni kerenahnya macam-macam sebab pembawakan budak. Inilah bendanya yang aku alami sekarang.

“Kesian abang, selalu jadi mangsa. Sorry ya, sayang?” pipi Ashman aku usap lembut.

“Tak apa, sayang. Sebenarnya abang faham sangat-sangat keadaan isteri abang ni. Tapi lepas ni taknaklah merajuk sampai tak makan. Kesian dekat baby. Abang takut jadi apa-apa dekat sayang dan anak kita. Jangan buat macam ni lagi, ok?” Ashman mengusap perutku perlahan-lahan, penuh kasih.

Aku tersenyum lega. Bertuahnya aku bersuamikan lelaki penyayang dan memahami sepertinya. Baru rasa tenang hati ini bila semuanya sudah terjawab. Tak adalah bermasam muka dengan suami sendiri. Nanti aku juga yang tak boleh tidur malam.

“Ad janji.”

“Jom turun makan. Nanti sayang pengsan pulak.”

“Nak abang suap.” Rengekku dengan nada manja. Mengada-ngada pun ya.

“Alololoo.. isteri abang sekarang ni bukan je setakat sensitif, tapi makin manja. Abang rasa anak kita nanti pun mesti kuat merajuk dan manja macam mommy dia jugak.” Kata Ashman lantas daguku dicuit manja.

Aku tergelak sama. “Takpe. Dia ada daddy yang pandai memujuk.”

“Pandai memujuk, penyayang, baik hati dan handsome. Sebab tu mommy dia boleh jatuh cinta. Kan? Kan? Kan?” Ashman menjungkit-jungkit keningnya sambil tersengih.

“Eleh! Perasan!” aku menjuih bibir.

Ashman tertawa riang.



“ABANG, thank you for tonight. Ad seronok sangat malam ni.” luah aku sambil melentokkan kepala di bahunya yang sedang menonton TV. Senyuman tidak lekang di bibirku. Apa taknya, Ashman buat kejutan birthday party untuk aku. Lepas Maghrib tadi dia ajak aku keluar, kononnya nak keluar beli barang. Rupa-rupanya nak bawak aku pergi White District KL, celebrate harijadi aku kat sana. Semua orang dalam rumah ni dah tahu rancangan Ashman kecuali aku. Memang menjadilah kejutannya tu sebab birthday aku sebenarnya lusa, tapi Ashman kata dia sengaja buat awal sebab tak mahu aku syak apa-apa. Pandailah dia!

“Alhamdulillah. Senang hati abang mendengarnya.” Ashman mengusap-usap kepalaku manja.

Aku tenung wajah si dia yang juga tersenyum manis. Tangannya ku genggam erat.

“Patutlah dari tadi abang nampak resah je. Rupa-rupanya ada surprise untuk Ad.” Ujar aku disusuli tawa kecil. Geli hati mengingatkan kelakuannya sebelum kami keluar tadi. Macam cacing kepanasan, gelisah semacam.

Ashman tertawa. “Sebenarnya abang plan dari minggu lepas. Risau sangat takut tak menjadi. Alhamdulillah semua berjalan lancar.”

“Aww.. so sweet of you. Thank you, sayang.”

“Kejap. Ada lagi satu kejutan untuk cinta hati abang ni.”

“Ada lagi? Apa dia?” tanya aku tak sabar. Mulalah suspens semacam.

Pertanyaanku tak dijawab. Hanya senyuman lebar menghiasi bibirnya. Dan senyumannya itulah membuatkan aku semakin tak sabar mahu tahu apa kejutan yang dia maksudkan. Ashman meminta diri untuk ke tingkat atas sebentar. Nak tak nak terpaksalah aku tunggu. Cerita dekat TV tak lagi menarik perhatian. Sekarang ni dalam kepala aku cuma nak tahu apa benda yang Ashman nak bagi. Sesekali aku berpaling ke tangga. Bayang Ashman masih belum kelihatan. Makin tak keruan aku jadinya. Mana dia ni? Kata kejap je. Tapi ini lama sangat pulak. Dia buat apa kat atas tu sebenarnya?

Beberapa minit kemudian barulah Ashman muncul semula. Pantas aku berpaling ke arahnya yang sudah tersenyum lebar. Kedua-dua tangannya diletakkan di belakang, seolah-olah sedang menyorokkan sesuatu.

“Abang buat apa kat atas tu lama sangat?”

“Ambik barang.” Ashman segera melabuhkan punggung di sebelahku semula. “Sayang pejam mata kejap boleh?”

Malas banyak soal, aku hanya menurut. mungkin inilah kejutan yang Ashman maksudkan tadi.

“Okey. Bukak mata.” Suruh Ashman sebaik dia meletakkan sesuatu ke tanganku.

Perlahan aku membuka mata dan saat itu jugalah mataku tertumpu pada kotak yang sederhana panjang dan berwarna biru lembut. Tiffany & Co! Mulutku ternganga. Mata juga sedikit membulat. Seakan tak percaya melihatnya.

“Abang, seriously?! Tiffany & Co.?” soalku teruja.

Ashman mengangguk sambil tersengih. “Cuba tengok apa benda kat dalam.”

Tanpa berlengah aku terus membuka kotak itu. Sekali lagi aku ternganga melihat isinya. Rantai leher dengan loket berbentuk hati yang sudah lama menjadi idamanku, akhirnya kini berada di dalam genggaman.

“Abang, thank you!!! Cantik sangat! Ad suka!!” aku terus memeluk Ashman erat. Tersenyum sampai ke telinga. Alhamdulillah, rezeki. Tapi pelik macam mana Ashman tahu aku nak rantai ni sedangkan aku tak pernah beritahu dia. Itu pun sebab tak berani nak mintak benda mahal-mahal macam ni.

“You are welcome, sayang. Hadiah ni special untuk sayang. Happy birthday in advance, my love.” Ashman membalas pelukanku. Dahiku dikucup lama.

“Tapi macam mana abang tahu? Ad memang dah lama usha rantai ni.” aku memberitahu. Selama ni asyik tengok dalam internet je. Tapi tak sangka pula Ashman boleh tahu. Dia pandai baca fikiran aku ke?

“Sebenarnya abang dah lama tengok sayang usha rantai tu. Setiap kali surf internet mesti sayang bukak website dia. Abang tahu sayang suka walaupun sayang tak cakap. Jadi abang plan senyap-senyap nak buat surprise sempena hari lahir sayang.”

Aku tersengih. Dia memang dah tahu rupanya. Pelukan dileraikan dan Ashman terus mengambil rantai itu lalu dipakaikan ke leherku. Aku meraba-raba leher sendiri. Happy sangat sebab dah dapat apa yang dihajatkan. Syukur!

“So sweet of you, abang. Terima kasih sangat-sangat. Alhamdulillah tercapai hajat nak pakai rantai ni.”

“Sesuai sangat dengan sayang.” Puji Ashman sambil membelek loket hati di leherku.

Aku diam tak kata apa-apa. Mata sudah berkaca. Tak semena-mena aku terasa sebak. Ashman terkedu melihat air jernih yang mengalir dari tubir mataku, membasahi pipi.

“Laa.. nangis pulak isteri abang ni. Kenapa ni, sayang? Tadi bukan main happy.” Air mataku diseka lembut. Rambutku yang terjuntai ke dahi dikuak ke belakang.

“Ad terharu. Sungguh. Tak tahu nak cakap macam mana. Ad bahagia, abang. Bahagia yang teramat sangat. Thank you for everything.”

Sekali lagi kami berpelukan. Nasib baiklah orang lain dah tidur. Malu jugak kalau dia orang tengok nanti. He he.

“Alhamdulillah. Kalau sayang bahagia, abang lebihlah lagi.” Luah Ashman pula.

Aku tersenyum senang. Terasa selamat dan tenang berada di dalam dakapannya. Aku hanya membiarkan tangannya yang bermain-main dengan rambutku. Dengan kepala yang terlentok di dada Ashman, mataku menghala ke arah televisyen. Adegan seorang ayah yang sedang menyusukan anaknya yang masih kecil menarik perhatian, membuatkan aku tersenyum lebar melihatnya.

“Ad selalu berangan abang dengan anak kita nanti mesti macam tu juga.”

“Mestilah. Tak sabar tunggu anak kita lahir. Abang nak mandikan dia, tidurkan dia, semualah abang nak buat.”

“Alhamdulillah. Ayah mithali!” aku mencubit pipi Ashman manja.

“Abang nak jadi ayah yang baik untuk anak-anak kita, sayang. Insya-Allah.”

“Inilah yang buat Ad sayangkan abang sangat-sangat. Tahu tak?” balasku. Sungguh, senang hati ini mendengarnya. Kalau macam inilah gayanya, beranak sepuluh pun aku sanggup!

“Abang pun sayangkan isteri abang ni sangat-sangat. Sayang sesungguh hati.” Ujar Ashman sambil merenung tepat ke mataku. Tanganku dibawa ke bibirnya lalu dikucup mesra.

Kami tersenyum bahagia. Alhamdulillah. Thank you Allah for everything. Semoga cinta ini akan terus mekar untuk selama-lamanya, sampai syurga. Amin.





THE END.


*****************************

Maaf lama saya menyepi. Baru sekarang ada mood nak update blog balik. Terlupa yang KYKT ada lagi satu bab. so inilah dia. habis dah pasal Ashman dengan Adryana. Harap korang suka. Maaf jika ada banyak kekurangan dan kelemahan. Masih dalam proses memperbaiki penulisan saya. Yang baik itu dari Allah, yang buruk itu dari saya sendiri. Thank u! =)

Wednesday, 15 April 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 20

ALHAMDULILLAH segala-galanya berjalan dengan lancar. Tepat pada jam 3 petang tadi aku dan Ashman selamat diijabkabulkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang lebih dikenali sebagai Masjid Besi, Putrajaya. Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri kepada Ashman Aidil pada hari Jumaat yang penuh keberkatan ini. Syukur, Ya Allah.

Selesai sesi photoshoot, kami terus balik ke suite. Dah dua hari kami berkampung di Hotel Shangri-La Putrajaya. Esok baru balik ke KL semula. Banyak benda yang hendak diuruskan untuk majlis resepsi kami yang akan berlangsung di Hotel Mandarin Oriental hari Ahad nanti.

Entah dah berapa jam aku duduk depan cermin. Berlapis-lapis make-up nak dibuang. Aku bukannya biasa bersolek tebal macam ni. Sampai naik gatal muka dibuatnya. Tapi memang aku puas hati dengan solekan mak andam yang mama upah ni. Tak henti-henti Ashman puji aku. Cantiknya sayang. Gorgeousnya isteri abang. Macam tuan puteri. Aduhai!! Suami aku tu memang kuat memuji orangnya.

Bercakap pasal Ashman, terus mataku melirik ke arahnya yang sedang bercakap telefon di birai katil. Masuk yang ini dah lima orang kawan dia telefon dari jauh nak ucap tahniah. Mengalahkan artis! Aku perhati saja dia melalui cermin meja solek itu. Senyuman tidak lekang di bibirnya. Memang nampaklah orang tengah bahagia. Aku pun sama. Hehee!

Lepas satu, satu kapas muka aku guna untuk bersihkan muka. Masa itu jugaklah aku terperasan yang Ashman sedang merenung wajahku di cermin itu.

“Kenapa abang tengok Ad macam tu?”

“Laa.. takkan abang nak tengok isteri abang pun tak boleh?”

“Boleh, abang sayang.” jawabku sambil tersenyum manis.

Ashman menepuk-nepuk lembut tilam katil, menyuruh aku duduk di sisinya. Aku hanya menurut. Sebaik saja aku duduk di situ, pinggangku dirangkul erat, seakan tidak mahu melepaskan. Lama wajahku ditatap dengan senyuman yang masih menghiasi bibirnya.

“My wife is so beautiful. I can’t believe that you are mine now.” ujar Ashman dengan nada perlahan. Matanya tak lari dari terus memandang wajahku.

“Kan? Rasa macam mimpi. I am so happy, abang.” aku membalas seraya melentokkan kepala ke bahunya. Kalau tadi aku malu nak posing manja depan kamera, tapi sekarang perasaan itu aku usir jauh-jauh, memandangkan hanya kami berdua saja di sini. Bahagianya hati ini Tuhan saja yang tahu. Apa yang aku impikan sudah pun menjadi kenyataan.

“Abang pun. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Sekarang baru boleh tarik nafas lega,”

Aku angkat kepala dari bahu Ashman dan memandang terus ke matanya.

“Ad suka tengok muka abang tadi. Nampak tenang je depan tok kadi.” ujarku lembut. Nak tergelak setiap kali teringat beberapa hari sebelum nikah, dia asyik cakap rasa macam nak pitam sebab nervous teramat sangat. Tapi tadi bila duduk depan tok kadi, aku tengok dia cool saja. Masa lafaz akad pun, lancar selancar-lancarnya. Kagum!

“Nampak macam tenang tapi dalam hati Tuhan je tahu.”

Tawa kami berderai. Ashman meletakkan songkok atas peha. Rambutnya diraup-raup ke belakang. Ralit aku perhati gelagatnya itu. Siapa sangka mamat handsome ni sekarang dah jadi suami aku. Bertuah badan! Dia yang sememangnya kacak, bertambah segak mengenakan baju Melayu cekak musang berwarna off white. Busana pengantin kami ditempah khas dari butik Cosry, seperti yang dicadangkan oleh mama.

Aku capai kotak yang berbalut cantik yang diletak atas katil. Hadiah perkahwinan pertama yang kami dapat. Nama pengirim tak ada tapi tengok tulisan pada kad itu saja aku dah tahu siapa. Tak sabar nak tahu apa hadiahnya, aku terus buka pembalut yang comel itu penuh hati-hati. Sayang kalau terkoyak.

Bulat mataku sebaik aku melihat isi hadiah itu. Satu set baju tidur baby, siap dengan stoking dan sarung tangan!! Aku tergelak besar. Ashman pun dah mengekek-ngekek ketawa.

“Awal-awal dah dapat baju baby. Boleh tahan sengal jugak si Naura ni.” tawaku masih bersisa. Dah faham sangat apa maksud di sebalik hadiah ni.

“Awal apanya? Kilang baby akan beroperasi malam ni. Insya-Allah dalam masa 9 bulan dapatlah seorang.”

Wajahku merona merah. Kilang beroperasi malam ni? Habislah aku!

“Naughtynya abang! Dahlah. Malas nak layan.” aku menumbuk bahunya lembut.

Ashman ketawa lagi. Aku bingkas bangun. Cepat saja nak larikan diri dari Ashman yang semakin terserlah kenakalannya itu. Aku sudah ingin melangkah ke bilik air bila Ashman tiba-tiba saja menarikku dan aku terduduk di pehanya. Tubuhku dipeluk erat. Macam takut aku lari saja.

“Nak pergi mana? Nantilah kejap.” kata Ashman.

“Solatlah, sayang. Nanti habis waktu pulak.”

Ashman mengerling jam tangannya. “Ya Allah! Tak perasan dah pukul 6 lebih. Sayang pergi ambik wudhuk dulu. Nanti kita solat berjemaah.”

Aku senyum dan mengangguk. Tersentuh hati ini mendengarnya. Itulah benda yang paling aku idamkan sedari dulu. Dia suamiku, dia imamku.

“Tukarlah baju dulu. Nanti habis basah.” ujar Ashman sebaik aku meluru ke bilik air.

“Nak tukarlah ni.” terus aku capai t-shirt dan seluar panjang dalam beg baju.

“Tukar dalam bilik air? Tukar jelah kat sini.”

“Haa? Err.. kat sini? Err..” aku mula menggelabah. Muka dah merah macam udang kena bakar. Salin baju depan dia? Malunya!!

“Kenapa? Malu dengan abang?”

“Tau takpe.”

“Eleehh.. malu pulak. Kena biasakan dirilah, sayang. Kita sekarang dah jadi roommate. Mana boleh malu-malu dah.” tutur Ashman selamba.

Ya, Adryana! Ashman betul! Kau kena biasakan diri. Getusku dalam hati.

“Alaa.. faham-fahamlah kenapa. First time sebilik dengan lelaki.” aku berdalih. Perlukan masa untuk biasakan diri.

Ashman ketawa. “Comelnya isteri abang ni. Yelah, yelah. Saja je abang usik sayang. Tukar je kat sini. Abang lepak dekat ruang tamu kejap. Nanti dah sudah panggil abang.”

Aku menarik nafas lega. Nasib baik dia faham.

“Thank you sebab faham.” kataku sebaik Ashman membuka pintu bilik tidur kami.

“Abang bagi chance sekali je. Lepas ni tak boleh bagi alasan dah.” Ashman tersenyum nakal. Keningnya dijungkit berkali-kali.

“Ok, ok. Keluar dulu. Nanti Ad panggil.” balasku seraya menolaknya perlahan keluar dari bilik. Dia tertawa kecil.

Aku menggeleng-geleng sendiri. Meraup wajah berkali-kali. Ya Allah, kenapalah susah sangat aku nak buang rasa malu ni? Lagipun apa yang hendak dimalukan? Dia dah jadi suami aku. Diulangi, SUAMI! Dia dah jadi yang halal untuk aku. Jadi maknanya lepas ni aku takkan boleh mengelat lagi. Titik.





“MAMA tengok Ad dari tadi dengan Ipad je. Buat apa tu?” tegur mama sebaik dia duduk di sebelahku di ruang tamu itu. Cuma tinggal kami berdua saja. Papa, tok pa dengan Ashman pergi masjid. Lambat lagi ke dia orang nak balik? Aku dah rindu gila dekat suami aku ni. Cehh!! Poyo habis!! Macamlah Ashman pergi jauh.

“Tengah cari tempat best untuk berbulan madu nanti.” jawab aku sambil tersengih lebar. Aku scroll skrin Ipad dari atas sampai ke bawah. Banyak sangat tempat menarik sampai rambang mata dibuatnya. Tak tahu nak pilih yang mana satu.

“Laa.. baru nak cari? Mama ingat korang dah plan semua dah.”

“Yang ini je belum decide, mama. Banyak sangat tempat menarik sampai tak tahu nak pergi mana. Abang Ashman tak kisah bercuti kat mana-mana pun, dia on je.” kata aku. Ashman yang suruh aku decide dan tiket penerbangan kami pun papa yang nak sponsor. Katanya ini sebagai hadiah perkahwinan kami.

Aku berkalih pandang ke arah mama yang sudah tersenyum-senyum sendiri. Dahiku berkerut sedikit.

“Kenapa mama senyum?”

“Tak ada apa. Cuma mama rasa happy sangat, lega bila kamu berdua dah bersatu. Alhamdulillah. Mama tumpang bahagia untuk kamu berdua.”

Aku letak Ipad ke meja kopi. Lengan mama aku peluk manja. Siapa sangka mak angkat aku sekarang dah jadi ibu mertua aku. Abang angkat aku pulak dah jadi suami aku.

“Ad pun bahagia sangat-sangat, ma. Dan Ad nak berterima kasih dekat mama untuk semua ni.”

“Kenapa pulak?” mama mengusap-usap kepalaku penuh kasih.

“Sebab mama pilih Ad untuk jadi sebahagian dari keluarga ni. Ad teramat bahagia dengan apa yang telah dikurniakan olehNya.” luah aku.

“Takdir Allah itu indah, Ad. Mama pun bersyukur dengan apa yang kita miliki sekarang. Mama doakan semoga Ad dan Ashman bahagia sampai syurga.”

“Insya-Allah. Amin. Thank you, mama.” aku mengucup pipi mama lembut.

Mama senyum, memeluk aku seeratnya.

“Lepas ni tak boleh manja-manja dengan mama dah. Manja dengan Ashmanlah pulak.”

Aku tersenyum malu. “Ke situ pulak mama. Seganlah Ad.”

Mama ketawa kecil. Selang beberapa saat, terdengar suara papa, tok pa dengan Ashman yang ketawa terbahak-bahak dari luar. Dah balik pun dia orang. Masuk-masuk je Ashman terus datang duduk di sebelah. Kalau tadi nak dekat pun tak boleh sebab nak jaga wudhuk. Sekarang nak bertepuk-tampar pun tak apa.

“Macam mana? Dah jumpa tempat honeymoon belum?” soal Ashman dengan matanya tertumpu ke arah Ipad di tanganku.

“Dah. Rasa macam nak pergi Korea. Boleh?” aku google gambar bandar Seoul, Korea. Cantik gila! Salah satu tempat yang memang aku nak sangat pergi.

“Abang ok je. Honeymoon dekat mana-mana pun boleh tapi satu je yang abang risau, Korea tu sejuk, orang tu boleh tahan ke?”

“Kalau sejuk sangat Ad tak risau sebab abang ada untuk peluk Ad.” kata aku dengan nada manja.

“Itu sudah semestinya. Kalau tak sejuk pun gerenti abang peluk.” Ashman sengih, lantas pinggangku dirangkul mesra.

Semua pun tersengih-sengih melihat kami. Ashman ni kut ya pun nak bermanja tengok tempatlah. Nak buat macam mana. Encik suami aku ni memang selamba orangnya.

“Dah, dah. Kalau nak manja-manja sambung karang. Sekarang ni pergi bersiap cepat. Ucu mesej tadi beritahu dia nak belanja makan. Katanya nak rai pengantin baru.” beritahu papa sebelum masuk bilik.

Kami hanya menurut. Cepat-cepat masuk bilik tukar baju.




LEPAS makan-makan, mama, papa dan yang lain-lain terus balik ke hotel. Semua pun dah kepenatan. Sebab itulah nak cepat balik dan berehat. Aku dengan Ashman saja yang masih aktif. Keluar dari restoran tadi terus Ashman ajak aku ambil angin malam di jambatan Putrajaya. Nasib baiklah aku pakai baju lengan panjang. Boleh tahan sejuk juga malam ni. Ini baru Malaysia. Kalau di Korea nanti entah macam manalah aku. Beku terus agaknya.

Ralit aku dengan Ashman tengok beberapa keping gambar nikah kami yang Naura letak dalam Instagram dia. Tengok banyak kali pun tak jemu. Gambar Ashman cium dahi aku sewaktu upacara membatalkan air sembahyang pun ada. Yang ini paling sweet!! Aku tersenyum sendiri. Itulah saat-saat romantis yang pastinya akan tersemat di hati sampai bila-bila. Saat Ashman mengucup dahiku, aku hampir-hampir menitiskan air mata. Nasib baik boleh kontrol, kalau tak rosaklah make-up.

“Masa abang cium dahi Ad kan, Ad rasa sebak sangat. Yelah, macam-macam dugaan yang kita lalui buat Ad fikir kita takkan dapat hidup bersama lagi. Alhamdulillah, setiap doa dan hasrat kita sudah dimakbulkan Allah.” luah aku.

“Inilah yang dikatakan jodoh. Datanglah apa jua halangan, kita pasti akan bersama akhirnya. Abang untuk sayang, sayang untuk abang.” Ashman mengusap-usap pipiku lembut.

Aku mengangguk setuju. Handphone di tangan aku simpan dalam poket. Ashman membawa aku ke dalam pelukannya. Hangat. Aku membalas pelukannya dan meletakkan kepala di dadanya. Ku pejamkan mata rapat. Degup jantungnya jelas kedengaran di telingaku. Nasib baik orang tak ramai kat sini. Kalau tak ada yang muntah hijau tengok kelakuan kami ni.

“Akhirnya abang boleh peluk sayang. Sepuas-puasnya! Dah lama sangat nak buat macam ni.”

Aku tertawa bahagia. Dia menggenggam tangan kananku pula.

“Nampaknya kita kena ada maid bila duduk rumah sendiri nanti.” kata Ashman.

“Kenapa pulak?”

“Nanti tangan sayang yang lembut ni jadi kasar kalau banyak sangat buat kerja rumah.”

Aku menggeleng laju. “Taknak ada maid. Biar tangan kasar Ad rela.”

“Kenapa? Kan lagi senang kalau ada orang buatkan semuanya? Sayang jaga anak-anak sudahlah.”

“Manusia zaman sekarang ramai yang tak boleh dipercayai. Silap haribulan bibik ‘sapu’ suami sendiri. Taknaklah macam tu.” Aku geleng lagi. Tak sanggup nak bayangkan sekiranya itu terjadi. Dah banyak sangat kes suami kena rampas dengan orang gaji.

“Oooo.. takut bibik mengorat abang, ya?”

“Mestilah. Kalau tak bibik, abang pulak yang menggatal.”

Ashman tergelak kecil. “Jangan cakap macam tu. Abang nak jadi suami yang baik. Taknak buat isteri abang menangis.”

Lidahku jadi kelu. Tersentuh hatiku dek kata-katanya itu. Ashman tersenyum merenung ke dalam mataku.

“Sweetnya! I love you so much, Ashman Aidil.” Luahku perlahan seakan berbisik.

“I love you so much too, Nur Adryana.” Balas Ashman dengan mata yang menikam tepat ke dalam mataku. Perlahan dia merapatkan dahinya ke dahiku.

Aku merangkul lehernya erat dan dia mengemaskan pelukan di pinggangku. Senyum bahagia terukir di bibir kami berdua.




****



One more chapter to go!! Thank you for reading!! Jgn lupa komen, ya?

Sunday, 5 April 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 19

LEPAS mandi dan solat, aku dan Ashman duduk bersembang di ruang tamu di tingkat atas, tak jauh dari bilik tidur kami. Aku duduk atas kerusi, dia pula duduk atas bean bag. Orang lain semua dah tidur. Kami saja yang masih berjaga. Terlalu banyak perkara yang hendak diperkatakan.

“Macam mana Ad tahu yang ini semua sudah dirancang?” soal Ashman sedikit bingung.

“Ad dapat tahu semua ni dari bekas kekasih Hanis sendiri. Semua yang Hanis rancang dia tahu.” aku membuka cerita. Ex-boyfriend Hanis itulah yang aku jumpa petang tadi. Bila dah tengok sendiri orangnya, baru aku ingat dialah yang aku nampak dengan Hanis dekat The Gardens dulu.

Semuanya telah diceritakan pada aku. Tak satu pun yang tertinggal. Terkejutnya aku bukan kepalang setelah mengetahui kisah yang sebenar. Semuanya sudah jelas. Hanis itu memang licik. Insiden sebentar tadi rupa-rupanya adalah salah satu dari rancangannya. Dia ajak Ashman pergi rumah dia sebab sengaja nak kenakan Ashman. Hanis mahu mereka ditangkap khalwat dan lepas itu paksa Ashman kahwin dengan dia. Perempuan jahat!!

“Maksud Ad, Johari?”

Aku mengangguk.

“Dia ajak Ad jumpa semata-mata nak bagi amaran pasal Hanis. Dia dapat agak apa yang akan berlaku lepas ini. Sebab itulah dia mintak Ad segera bertindak. Kalau tidak tak tahulah apa yang akan jadi.” sambung aku lagi. Johari ada sebut pasal plan Hanis yang satu ni cuma tak sangkalah yang benda ni akan jadi malam ni.

Ashman meraup-raup wajahnya perlahan. Dihalakan pandangan ke kaca TV Plasma yang dipasang dalam volume perlahan. Alat kawalan jauh Astro digenggam kemas. Satu, satu channel ditukar. Tak ada cerita best pun malam ni.

“Nasib baik Ad tiba tepat pada masanya. Kalau Ad tak ada tadi mesti abang dah kena tangkap dengan JAIS. Bukan abang je yang dapat malu, family kita pun terkena tempiasnya.”

Aku mengangguk setuju. Kalau aku tak pergi jumpa Johari tadi, gerenti Ashman dengan Hanis dah kena cekup dengan JAIS. Nyaris! Sikit lagi nak masuk jerat betina gila tu. Johari tahu semua pasal kami pun melalui Hanis. Kata Johari, dia sangat sayangkan Hanis dan sudah puas mencuba untuk buat Hanis lupakan Ashman tapi gagal. Hanis cuma mahukan Ashman dan sanggup tinggalkan Johari jauh di kota Singapura.

“Abang selamatkan Ad. Ad selamatkan abang.” aku tersenyum nipis seraya merenung Ashman lembut.

“Maksud Ad?” soal Ashman tidak mengerti. Berkerut dahinya memandangku.

“Abang tahu Hanis nak cederakan Ad, sebab itulah abang menjauhkan diri. Betul, tak?”

Ashman menundukkan wajah, mengangguk perlahan-lahan. Baru aku tahu kenapa tiba-tiba saja dia berubah sikap. Menurut Johari, Ashman terpaksa bertindak sedemikian demi menjaga keselamatanku. Tidak rela aku disakiti, dia nekad menjauhiku. Betapa Ashman mencintai aku sehinggakan dia sanggup berkorban apa saja untukku.

“Abang mintak maaf, sayang tapi abang tak ada pilihan lain. Johari sendiri datang beritahu abang yang Hanis ada simpan pistol tapi dia tak tahu apa motif perempuan tu. Dia risau kalau-kalau Hanis ada niat buruk pada Ad, sebab Hanis selalu kata yang Ad ni perampas. Dari situ Johari tahu Hanis berdendam dengan Ad.”

Ashman berjeda. Aku hanya diam, memberi lelaki itu ruang untuk terus bercerita. Sungguh aku tak sangka sampai begitu sekali Hanis bencikan aku.

“Sebab tulah abang terpaksa jauhkan diri dari Ad. Pura-pura jatuh cinta dengan Hanis supaya dia takkan sesekali cuba menyakiti Ad.”

“Ad fikir abang dah berubah hati.”

“Taklah, sayang. Demi Allah hati abang masih sama seperti dulu. Cuma Nur Adryana saja yang abang mahu. Percayalah.” ujar Ashman sungguh-sungguh ingin meyakinkan aku.

Aku tersenyum dengan mata yang sudah berkaca. Tersentuh hati dek pengakuan jujur yang lahir dari hatinya.

“I trust you.”

“Tapi tak tahulah orang tu macam mana. Entah-entah dia dah jatuh cinta dekat orang lain pulak.”

“Mana ada. Ad pun sama macam abang. Setia pada yang satu.” luah aku.

“Habis Jepp tu apa? Asyik ke hulu ke hilir dengan dia.” balas Ashman. Terselit nada cemburu di situ.

“Jepp? Kami kawan jelah. Kenapa? Abang jealous?”

“Mestilah! Lagi mau tanya.”

Aku tergelak kecil. Ashman sengih. Padanlah kalau masa dekat hospital tu dia macam tak suka tengok aku dengan Jepp. Jealous. Manalah aku tahu yang dia sebenarnya pura-pura je dengan Hanis masa tu. Tak ada niat pun nak buat dia cemburu.

“Abang, can I ask you something?”

Ashman angguk.

“Apa abang buat dekat rumah Hanis tu tadi? Jangan-jangan abang memang nak ambil kesempatan dengan dia tak?” Laju mulutku bertanya. Panas hati mengingatkan kejadian itu. Walaupun ianya cuma perangkap, tapi aku tetap tak suka!! Yelah, Ashman tak tahu apa-apa tapi takkanlah dia tak fikir langsung yang itu semua hanya akan mengundang bala.

“Ish!! Astaghfirullah.. Mana ada, sayang. Tak baik fitnah tau? Berdosa!” sangkal Ashman dengan mata yang sedikit membulat. Marah dituduh melulu.

“Bukan fitnah tapi musykil. Apa yang buat abang buat kat situ? Berani masuk rumah dia, kan? Malam-malam buta pulak tu!”

Ashman tersengih kelat. Sedar akan kesilapannya itu. Kepalanya digaru-garu perlahan.

“Sepatutnya kami keluar dinner tapi masa tu dia tak siap lagi. Dia suruh abang tunggu. Punya lama dia nak bersiap sampai abang terlelap dekat ruang tamu tu. Rupa-rupanya dia sengaja.”

“Patutlah butang baju pun terbukak. Ini mesti korang dah buat something la ni!” aku menyerkap jarang. Wajahnya aku jeling tajam. Marah jugaklah dengan dia. Semua benda pun main redah saja. Akal Allah bagi taknak guna. Sebelum buat apa-apa tu fikirlah dulu!

“Sumpah demi Allah tak ada apa-apa yang jadi. Nasib baik abang cepat tersedar dan masa tulah Ad sampai. Semuanya berlaku dalam sekelip mata. Mujur Ad yang datang, kalau JAIS? Mati abang!”

“Kalau JAIS datang jawabnya nikah teruslah! Sukalah abang. Kan??”

Ashman beristighfar berkali-kali. Dia menggeleng laju.

“Abang mengaku abang silap. Bodoh sangat ikut cakap dia. Senang-senang kena tipu dengan perempuan gila tu.”

“Belajar dari kesilapan. Lepas ni kalau ada perempuan cantik yang datang menggedik dengan abang, jangan layan. Ad tahu orang lelaki ni pantang nampak perempuan dahi licin, mulalah iman goyah.”

“Insya-Allah. Buat masa ni iman abang masih kuat. Tapi goyah jugaklah setiap kali berdepan dengan seseorang.” Ashman tersengih macam kerang busuk.

“Siapa?!” mataku sudah terbeliak. Berani dia! Kalau dah namanya lelaki memang macam tulah.

“Nur Adryana. Serius abang mudah cair dengan dia. Tengok senyuman dia tu je dah tak boleh tidur malam dah.”

Erk? Aku rupanya! Aku termalu sendiri.

“Mengada-ngada!” aku membaling bantal kecil bentuk bulat ke arahnya.

Ashman pantas menyambut. Mengekek-ngekek dia ketawa.

















SYUKUR alhamdulillah semuanya sudah kembali pulih seperti biasa. Orang yang paling gembira sekali sudah tentulah mama, papa dan tok pa. Semoga bahagia ini akan berkekalan hingga ke Jannah hendaknya. Mudah-mudahan.

Lepas makan tengahari, aku dan Ashman melepak tepi kolam mandi. Aku duduk bersila seraya menopang dagu. Ralit merenung wajahnya yang begitu asyik dengan telefon bimbit di tangan. Handsome betullah mamat sebelah aku ni. Sebiji jerawat pun tak ada. Licin! Aku yang perempuan ni pun tak flawless macam dia.

“Mana pergi semua gambar kita?” soal Ashman kehairanan bila dia lihat satu pun gambar kami tak ada dalam Instagram aku.

Aku tersentak. Pantas mengalihkan pandangan ke arah kolam renang bila dia melirik ke arahku. Wajahku membahang. Malunya! Agak-agak dia perasan ke aku usha dia tadi? Selalunya dia je yang buat macam tu tapi kali ni aku pula yang over. Biasalah. Dah lama berjauhan. Kalau boleh taknak tengok benda lain selain dia seorang. Kronik!

“Ad delete.” jawab aku seraya tersenyum kelat. Sumpah aku menyesal sebab buang semua gambar kami.

“Sebab?”

“Setiap kali Ad tengok gambar-gambar kita, Ad nangis. Sebab itulah Ad buang. Tak sanggup nak ingat kisah lama.”

“I’m sorry, sayang.” ujar Ashman kesal.

“Kenapa pulak?”

“Abang tahu abang dah lukakan hati sayang.”

“Tapi itu bukan kehendak abang. Abang terpaksa.”

“Sebenarnya abang sendiri pun terseksa. Terseksa kerana terpaksa melukai hati insan yang paling abang cintai. Bila sayang menghilangkan diri, lagilah abang tertekan. Tak tahu mana sayang pergi. Dahlah langsung tak ada khabar berita. Abang risaukan sayang sangat-sangat. Tahu tak?”

Aku menundukkan pandangan. Kelu lidah mendengar luahannya. Aku fikir aku saja yang terseksa, rupa-rupanya dia juga begitu.

“Ad mintak maaf.” aku dihujani rasa bersalah.

“Orang tu pulak langsung tak muncul-muncul dah. Merajuklah katakan. Dia tak tahu kita kat sini setengah mati rindukan dia.”

Ashman membisu sejenak. Dari raut wajahnya itu, aku tahu dia juga amat terkesan dengan apa yang terjadi. Ternyata kami tak boleh hidup tanpa satu sama lain.

“Tuhan je tahu betapa gembiranya abang bila sayang balik tengahari tu. Kalau ikutkan hati nak je abang peluk sayang, biar sayang tak boleh lari ke mana-mana dah.” Ashman merenung wajahku.

Aku mula terasa sebak. “Taknaklah cakap pasal tu lagi. Nanti Ad nangis, KL banjir.”

Ashman ketawa.

“Mana cincin yang abang bagi?” soal Ashman seraya melirik pada jari manisku.

“Ada kat rumah sewa.”

“Selamat! Ingatkan dah buang.”

Aku sengih. “Mana boleh buang. Buah hati bagi. Sayanglah.”

Perbualan kami terhenti di situ bila terdengar tok pa berdehem dari belakang. Serentak kami berpaling ke arahnya, tersengih macam kerang busuk.

“Tak habis berborak lagi ke budak berdua ni? Meh masuk cepat. Ada benda yang kita kena bincang.” kata tok pa.

“Sorry, tok pa. Faham-faham jelah. Dah lama sangat berjauhan. Banyak benda yang nak dibualkan.” balas Ashman.

“Tok pa dah terlebih faham, sebab tu nak ajak kamu berbincang ni.”

Aku dan Ashman saling berpandangan. Tok pa nak bincang apa pulak ni? Suspensnya!!

“Bincang hal apa, tok pa?” tanya aku pula.

“Hal apa? Hal kamu berdualah. Banyak yang kita kena buat ni. Nak pilih tarikh, lokasi majlis, macam-macamlah. Benda baik tak elok dilengah-lengahkan.” tok pa sudah tersenyum penuh makna.

Aku pandang Ashman, Ashman pandang aku. Senyum lebar terukir di bibir kami berdua. Kami dah boleh agak apa yang tok pa maksudkan tu. Tanpa berlengah kami terus masuk ke rumah. Seriously we are so excited!!




MASA aku nak pergi jumpa Ashman di pejabatnya, aku terserempak dengan Johari di depan lif. Tak sangka pula Johari ada kat sini. Kami berbual seketika di situ.

“Congratulations in advance, Ad. Selamat pengantin baru. Moga kekal sampai syurga hendaknya.” tutur Johari, tumpang bahagia dengan perkhabaran baik ini.

Aku tersipu malu. Nampaknya hal ini dah tersebar luas. Tentu saja Johari tahu dari Ashman sendiri.

“Amin. Thank you so much, Johari. Jemputlah datang majlis kami nanti.” ujarku seraya tersenyum manis. Seperti yang dirancang, majlis pernikahan kami akan diadakan di Putrajaya pada bulan November nanti. Lagi tiga bulan tapi belum apa-apa aku dah nervous semacam. Nervous tapi teruja. Aku dah nak jadi isteri orang tak lama lagi. Syukur. Naura yang paling teruja bila dapat tahu pasal ni. Dan aku lantik dia jadi pengapit aku nanti.

“Insya-Allah. Kalau tak ada aral sampailah saya. Saya mintak diri dululah. Banyak benda yang nak diuruskan.”

Aku angguk. Sebaik Johari hilang dari pandangan, aku bergegas menuju ke bilik Ashman. Niat di hati nak jumpa tok pa sekali tapi baru tadi tok pa cakap yang dia ada hal di Puchong. Nampak gaya hari ni makan tengahari dengan Ashman sajalah.

Sampai di biliknya, aku lihat Ashman sedang ralit meneliti fail di atas meja. Nampak dia sibuk sangat. Ikutkan hati aku tak mahu kacau dia tapi dia yang beriya sangat suruh aku datang.

“Johari datang jumpa abang ke? Ada apa?” soalku sebaik melabuhkan punggung di kerusi setentang dengan Ashman.

Fail atas meja ditutup. Dia bersandar selesa pada kerusi dengan mata yang dihalakan ke wajahku.

“Saja nak jumpa abang sebelum berangkat ke Singapura esok dengan Hanis. For good.”

“Hanis sekali?”

“Yup. Nak bawak Hanis berubat kat sana.”

Dahiku berkerut seribu. “Berubat? Maksud abang?”

“Abang tak tahu apa yang dah jadi dengan dia. Johari kata hari tu dia jatuh lepas tu terus tak boleh jalan. Lumpuh separuh badan. Johari nak bawak jumpa pakar dekat sana.”

Aku tergamam. Memandang Ashman dengan rasa tidak percaya. Hanis sakit? Patutlah kalau dalam masa beberapa minggu ni langsung tak dengar apa-apa lagi tentangnya. Dulu adalah juga dia cari Ashman, tapi Ashman tak layan. Ya Allah, berat sungguh ujian yang Engkau turunkan pada dia. Semoga Hanis tabah mengharunginya.

“Kesiannya. Dia muda lagi.” luah aku. Timbul rasa simpati padanya walaupun dia pernah buat benda yang tak baik pada kami.

“Kuasa Allah, sayang. Tak kira muda ke tua, bila-bila masa saja Dia boleh tarik nikmat.”

Aku mengangguk setuju. “Kita doakan yang baik-baik untuk dia.”

Ashman angguk perlahan. Jam tangannya dikerling sekilas. Fail yang berselerak atas meja segera dikemaskan. Komputer juga dimatikan. Lunch time!

“Macam mana kerja hari ni? Semua okey? Ada marah-marah staf lagi?” soalku sekali gus menyindir.

“Eleh! Perli abang ya? Nakal!” balas Ashman tak puas hati.

Aku tergelak kecil. Baru tahu apa sebabnya Ashman jadi baran macam yang mama cerita dulu. Gara-gara akulah dia jadi macam tu. Tertekan sebab aku hilang tak tahu ke mana. Bila stress, orang lain yang jadi mangsa. Ashman, Ashman.

“Oh ya! Tadi abang ada cakap dengan kawan abang. Kebetulan dia free bulan 11 nanti jadi abang booked dia terus untuk jadi photographer kita.”

“Dia boleh buat video kahwin sekali?”

“Sebut je apa yang sayang nak. Semua dia boleh buat.”

Bertambah teruja aku mendengarnya. Aku sengih lebar.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Ad suka.”

“Abang pun. I’m so excited, sayang. Hari-hari tengok kalendar. Kira berapa hari lagi tinggal.” tutur Ashman. Terpancar riak bahagia di wajahnya.

“Sabar, cik abang sayang. Sekejap je bulan 11 tu. Pejam celik pejam celik dah bulan 11.”

Ashman sengih menayang gigi. Ceria betul dia. Semakin ceria dari hari ke hari. Senang hati ini melihatnya. Syukur alhamdulillah.

“Jom lunch. Abang lapar.” ajak Ashman lantas dia bangkit dari kerusi.

Tiba-tiba Ashman menghulurkan tangannya ke arahku. Aku memandangnya pelik.

“Kenapa?”

“Pimpin tanganlah. Baru romantik.”

“Gatal!! Selagi tak nikah jangan harap abang boleh pegang Ad!” aku menjelingnya geram.


Ashman tergelak besar. Sengaja nak usik akulah tu! Naughty! Masa kami nak bergerak ke lif, semua staf dekat situ pakat mengusik kami. Ada yang buat bunyi kompang la, ada juga yang kata muka kami dah ada seri pengantin. Sampai naik blushing aku dibuatnya tapi Ashman steady je. Kami hanya mampu ketawa mendengar usikan mereka. Jauh di sudut hati aku berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar. Amin.





__________






Komen pls. Thank u!

Friday, 27 March 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 18

AKU tergesa-gesa menuju ke Nando's. Kesian pada mama yang sudah lama menanti aku di sana. Dah janji nak temankan mama shopping di Mid Valley hari ni. Nasib baiklah jalan tak sesak mana. Kalau tidak lagilah seksa mama kena tunggu.

“Maaflah sebab Ad lambat. Kesian mama lama tunggu Ad.” kata aku pada mama sebaik melabuhkan duduk pada kerusi yang setentang dengannya.

“Taklah. Mama pun baru je sampai ni. Sorry kalau mama ganggu Ad.” balas mama lembut. Pandangannya dihalakan pada menu seketika.

Aku ambil lagi satu menu di atas meja dan terus tengok senarai minuman. Haus sangat! Dahlah cuaca panas yang amat sekarang. Rasa nak minum yang sejuk-sejuk saja.

“It’s okay, ma. Tak ganggu pun sebab Ad memang tengah free. Daripada duduk rumah je baik Ad keluar dengan mama.”

Ralit aku tengok menu. Dari ekor mata nampak macam ada seseorang yang berjalan menghampiri kami namun aku tak hiraukan. Tiba-tiba..

“Assalamualaikum.”

Macam kenal aje suara itu. Aku pantas mengangkat muka. Buntang mataku melihat gerangan yang memberi salam, tercegat di tepi meja sambil tersenyum ke arah kami berdua.

"Waalaikumussalam. Laa.. Ash buat apa kat sini?” tegur mama.

Ashman sengih. “Ash sepatutnya lunch dengan kawan kat sini tapi tiba-tiba dia ada hal pulak. Tak jadilah nampak gaya,”

“Kalau macam tu lunch dengan kita orang ajelah.”

Aku buat-buat sibuk tengok menu. Biasalah. Dah malas nak tengok muka mamat ni. Alahai, mama.. Kenapalah ajak Ashman join sekali? Ish!! Tak suka!! Hatiku menggerutu.

“Err.. tak ganggu ke?” soal Ashman teragak-agak, seakan keberatan. Mungkin sudah dapat mengagak apa yang aku rasa.

“Apa pulak ganggu? Dah alang-alang ada kat sini, makanlah sekali. Lagi ramai lagi meriah!” ujar mama lagi. Lupa yang aku ni seboleh-bolehnya mahu elak Ashman, tidak mahu bersua mata dengannya lagi.

Aku fikir Ashman akan menolak, tapi tidak. Sangkaanku meleset bila lelaki itu terus saja menarik kerusi di sebelah mama. Ok good! Nasib baik tak duduk sebelah aku. Kalau tidak memang ada yang kena karate kejap lagi.

“Mama datang shopping ke?” soal Ashman. Sesekali matanya melirik ke arahku.

“Belum lagi. Isi perut dulu. Kejap lagi baru shopping. Nasib baik Ad ada, kalau tak bosanlah mama jalan sorang-sorang.”

“Ooo..” Ashman senyum.

Fon dalam beg aku ambil dan buat-buat khusyuk surfing internet. Mak dengan anak di depanku ini rancak bersembang, tapi yang si anak tu matanya asyik pandang sini. Ingat aku tak perasanlah tu. Nak sembang dengan mama tu sembang ajelah, sibuk usha aku buat apa? Menyampah!

“Mama nak pergi toilet kejap. Nanti korang order untuk mama. You guys know my favourite, right?” perlahan mama bangkit dari kerusi.

Kami mengangguk serentak. Masa mama pergi toilet, aku tak bercakap langsung dengan Ashman. Buat dia macam halimunan. Aku dengan handphone aku, dia dengan handphone dia. Tak lama kemudian waiter datang ke meja kami untuk ambil order. Ashman order makan untuk dia dan mama. Aku pula masih lagi leka dengan telefon bimbitku.

“Isteri encik nak makan apa?”

Tersentak aku dengar perkataan yang satu itu. Isteri?! Aku dengan Ashman ni nampak macam laki bini ke? Aku berkalih pandang ke arah lelaki yang bertopi dan memakai uniform Nando's yang tersenyum, menanti respons dariku.

“No, no. Saya adik dia, bukan isteri.” Cepat-cepat aku membetulkan.

“Ohh.. maaf. Saya ingat husband and wife tadi.”

Ashman tersenyum pahit dan aku tetap dengan muka selambaku.

“It’s okay. Bagi saya mushroom soup dengan garlic bread, ya? Air pulak iced chocolate. Thank you.” beritahu aku seraya menyerahkan menu kepadanya.

Waiter yang mukanya ala-ala budak lepasan SPM itu mengangguk dan segera berlalu. Aku sambung fokus pada telefon semula. Bayang mama masih belum kelihatan. Manalah mama ni? Lama pulak pergi toilet. Aku dah mula rasa canggung bila berdua dengan Ashman begini.

“Makan tu je? Boleh kenyang ke?” tanya Ashman.

“Insya-Allah boleh.” jawab aku tanpa melihat ke mukanya.

“Bukan ke Ad suka makan pedas?”

“Well, people change. Kejap macam tu, kejap macam ni. Hari ni kata sayang, esok kata benci. Am I right, abang?” lancang mulutku menyindirnya. Sengaja 'sembur' dia. Kalau tak faham jugak tak tahulah.

Ashman tergamam, seakan terhenyak dek kata-kataku. Dia melepaskan keluhan berat.

“Please, Ad. Abang taknak bergaduh. Lebih-lebih lagi depan mama.”

“Siapa kata Ad nak gaduh? Ad cakap je. Plus, mama takde pun kat sini.” ujarku dengan nada yang agak menjengkelkan. Terus mengalihkan pandang ke lain.

Tidak mahu terus berbalah, Ashman membisu. Baru aku perasan yang kami sekarang dah jadi macam dulu balik. Tak ubah macam anjing dengan kucing. Pantang jumpa ada saja yang tak kena. Bilalah semua ini akan berakhir?

Selang beberapa minit, mama muncul semula. Aku menghela nafas lega. Thank you, mama! Mama penyelamat keadaan. Aku memaksa bibir tersenyum, cuba untuk memaniskan muka. Tak mahu mama syak apa-apa.

“Dah order dah, Ash?” tanya mama.

“Dah, mama.” jawab Ashman perlahan dengan wajah muram. Hilang moodlah agaknya tu.

“Hai.. monyok je nampak? Kenapa ni?” soal mama yang sudah terperasan akan perubahan pada riak wajah lelaki itu.

“Tak.. takde apa-apa.” Ashman menggeleng sambil tersenyum kelat.

Mama pandang aku pula, tapi aku cuma buat selamba. Kononnya tak ada apa-apa yang berlaku. Namun dari riak wajahnya aku yakin mama sudah dapat mengagak apa yang terjadi.






“KESIAN kau, Ad. Kalau akulah di tempat kau sekarang, entah macam mana nak hadapi semua ni.” luah Naura setelah aku menceritakan segala-galanya. Jelas dia juga turut bersimpati dengan nasibku.

Aku menyedut sedikit jus buah dalam gelas tinggi. Liar mata memerhati gelagat para pelanggan di Secret Recipe ini.

“Macam yang kau selalu cakaplah. Walau ke mana saja aku pergi tetap akan jumpa dia. Takkan boleh elak dia sampai bila-bila.”

Aku berjeda.

“Aku bertahan ni pun sebab family aku. Tuhan saja tahu betapa aku sayangkan mereka. Kalau tak kerana mereka jangan haraplah aku akan balik ke rumah tu lagi.” sambungku.

“Aku kagum dengan kau, Ad. Siapa sangka gadis ayu dan lemah-lembut macam kau ni memiliki jiwa yang sangat kental.” balas Naura.

“Nampak je kental tapi dalam hati Tuhan je tahu. Sakit hati aku setiap kali jumpa Ashman. Tak habis-habis cari gaduh dengan aku. Suka tengok aku naik angin tak tentu pasal.”

“Alaa.. dia nak perhatian la tu!”

“Nak perhatian pergilah mintak dekat Hanis. Ini tetap juga kacau aku. Benci!”

“Perempuan. Mulut saja yang kata benci, tapi dalam hati sayang.” Naura tersenyum mengusik.

Eh, cik kak seorang ni. Dah mulalah nak ejek aku pulak! Aku menjelingnya geram.

“Ejek lah ejek. Makan minum ni semua kau bayar. Tak kuasa aku nak belanja,” aku menggertak seraya tersenyum jahat.

“Janganlah wei! Aku tak cukup duit ni! Alaa.. tadi tu aku gurau je.”

“Tau takut!”

Kami tergelak. Sengaja aku usik Naura begitu walhal memang aku dah niat nak belanja dia. Bukan main banyak Naura makan. Tadi dah order lasagna, lepas tu nak makan kek Chocolate Indulgence pulak. Orangnya kecik tapi selera besar.

“Assalamualaikum.”

Tawa kami terhenti bila ada seseorang datang menyapa kami. Perlahan kami berpaling ke arah lelaki yang memakai kaca mata hitam, berkemeja dan berseluar jeans.

“Waalaikumussalam.” aku dan Naura menjawab serentak.

“Ini Cik Adryana, kan?” soal lelaki itu seraya tersenyum manis.

Keningku terjungkit. Aku dan Naura saling berpandangan seketika. Dia pun nampak terkejut.

“Macam mana encik tahu nama saya? Encik ni siapa?”

“Saya Hedzryn. Boleh cik ikut saya kejap? Bos saya nak jumpa cik.”

Aku terpinga-pinga. Memandang lelaki itu dari atas ke bawah. Wajahnya aku amati tapi aku yakin yang aku tidak pernah melihatnya di mana-mana sebelum ini. Memang aku tak tahu siapa lelaki yang bernama Hedzryn ini. Aku mula terasa cuak. Entah dari mana munculnya tiba-tiba suruh aku ikut jumpa bos dia. Biar betul?

“Bos awak siapa? Apa tujuan dia nak jumpa saya?” dahiku berkerut seribu.

Hedzryn mengeluarkan fon dari poket jeansnya. Jari-jemarinya bergerak laju di atas skrin sesentuh Samsung hitam itu lantas dilekapkan ke telinganya. Sepertinya dia sedang menghubungi seseorang.

“Cik cakap dengan bos saya sendiri.” Hedzryn menghulurkan telefon bimbitnya ke arahku.

Teragak-agak aku ingin mengambilnya. Namun rasa ingin tahu mengatasi segala-galanya.

“Hello, Adryana.” sayup-sayup suara itu kedengaran. Suara lelaki. Pun aku tak tahu siapa. Tak boleh nak cam langsung.

“Hello. Siapa ni?”

“Awak tak kenal saya tapi saya kenal awak. Boleh kita berjumpa sekejap? Ada hal mustahak yang hendak saya cakapkan pada awak.”

“Tapi awak ni siapa? Apa benda yang mustahak sangat tu?” aku semakin bingung. Rasa takut dan berdebar-debar bercampur-baur. Nasib baiklah Naura ada. Zaman sekarang ni banyak orang tak waras. Kalau tak berhati-hati apa pun boleh terjadi.

“Awak akan tahu siapa saya nanti. Yang penting sekarang ni awak ikut bodyguard saya dulu. Jangan risau. Saya tak ada niat buruk pada awak, Adryana. Saya tunggu awak di The Royale Chulan Hotel.”

Perbualan kami tamat di situ. Telefon bimbit itu aku serahkan pada Hedzryn semula. Mulanya aku agak keberatan ingin mengikutnya namun mujurlah ada Naura sebagai peneman. Kami bergegas pergi. Terngiang-ngiang suara lelaki misteri itu di telinga. Saat ini aku diterjah dengan seribu persoalan di minda. Siapa dia yang sebenarnya dan apa pula perkara mustahak yang dimaksudkannya itu?






MATAKU tertumpu pada apartment 15 tingkat itu. Inilah tempat tinggal Hanis. Aku ke sini semata-mata mahu bertemu dengannya kerana ada benda yang hendak aku selesaikan dengan dia. Sejuk jugalah kaki tangan nak berdepan dengan perempuan tu. Faham-faham sendirilah kenapa.

“Beb, kau tunggu sini tau? Kalau mama aku call cakap aku ada hal.” Kata aku seraya menanggalkan tali pinggang keledar. Aku kerling jam tangan. Dah pukul 10 malam. Terpaksa kacau Naura tidur sebab nak suruh dia teman.

“Kau sure taknak aku temankan? Kalau betina tu buat apa-apa dekat kau nanti macam mana?” Naura mempamerkan riak risau.

“Janganlah risau sangat. Insya-Allah semuanya akan selamat. Dia takkan berani apa-apakan aku.” ujarku sekadar ingin menyedapkan hati Naura walhal aku sendiri gementar yang amat.

“Tapi aku tak sedap hatilah, beb..”

“Macam nilah, kalau dalam masa setengah jam aku tak balik kau call mama aku. Ok?”

“Kalau ada apa-apa kau jerit kuat-kuat tau?”

Aku tersengih macam kerang busuk. “I will.”

Kertas memo atas dashboard aku capai. Tercatat alamat rumah Hanis di situ. Sepintas lalu aku melihat nombor rumahnya dan aku bergegas keluar dari kereta. Terkumat-kamit mulut berdoa agar semuanya dipermudahkan. Aku datang bukan nak bergaduh pun. Cuma nak berbincang baik-baik dengan dia.

Tiba di tingkat lapan aku terus mencari rumahnya. Hanya beberapa langkah keluar dari lif, aku berhenti betul-betul di depan pintu gril yang berwarna putih yang tidak berkunci. Rumah nombor 5. Memang sah inilah rumahnya. Sama macam dalam alamat tu. Di depan pintu aku lihat ada beberapa pasang kasut miliknya dan juga sepasang kasut lelaki. Eh? Hanis ada tetamu ke?

Lama aku berdiri di situ. Teragak-agak ingin menekan loceng pintu. Aku memejamkan mata beberapa saat, menarik nafas panjang. Teringat pesanan Naura tadi menyebabkan aku sedikit cuak. Tiba-tiba rasa macam nak patah balik tapi tak boleh. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Ting! Tong!

Aku menekannya sekali. Tak ada respons.

Ting! Tong!

Sekali lagi aku tekan dan akhirnya pintu dibuka. Wajah Hanis yang pucat lesi tanpa solekan terjengul di sebalik daun pintu itu. Mencerlang matanya memandangku. Sikit pun aku tak hairan dengan reaksinya itu. Dah terbiasa.

“Kau lagi?! Apa kau buat kat sini?! Macam mana kau tahu rumah aku?!” soal Hanis dengan suara tertahan-tahan. Ternyata dia tidak senang dengan kehadiranku.

“Aku ada hal nak cakap dengan kau.” ujarku perlahan, antara dengar dan tidak.

Saat itu jugalah Ashman muncul, berdiri di belakang Hanis. Buntang matanya melihatku. Dia tampak seakan tidak terurus. Butang kemeja terbuka, rambut berserabai. Berderau darahku melihatnya. Sukar untuk aku percaya dengan semua ini. Oh Tuhan! Aku harap ianya tidak seperti apa yang aku bayangkan!

“Ad.. I.. I can explain...” tutur Ashman gagap. Cuba untuk menerangkan hal yang sebenar.

Aku tak pedulikan kata-kata Ashman. Aku tatap wajah Hanis yang cukup bersahaja. Makin lama aku pandang, makin pedih hati aku. Sikit pun tak nampak riak kesal di wajahnya.

PANGG!!

Pipi Hanis sudah berbekas merah. Perlahan dia berdesis, menahan perit akibat penampar berbisa dari aku. Ashman tergamam melihat aku yang bagaikan sudah dirasuk hantu. Nafasku mula tidak menentu, turun naik menahan marah.

"Kau kenapa??!!! Dah gila???!!" Hanis naik berang. Dia sudah mahu menyerang aku semula namun pantas dihalang oleh Ashman.

Aku tersenyum sinis. Puas hati aku! Akhirnya dapat juga aku ajar betina sundal ni!

“Dasar perempuan murahan!! Kau ingat aku tak tahu ini semua taktik kotor kau untuk perangkap Ashman?!”

Ashman yang hanya memerhati sudah terpempan. Wajah Hanis ditenung dengan rasa tidak percaya.

“Perangkap?! Perangkap apa yang Ad maksudkan ni, Hanis?!” tengking Ashman.

“No!! Perempuan ni cuba hasut you!! Please, jangan percaya cakap..”

PANGG!!

Tak sempat dia menghabiskan kata, satu lagi penampar hinggap di pipi kirinya. Terlalu kuat sampaikan kepalanya terteleng dan bibirnya pecah. Geram!!

“Itu ‘habuan’ untuk semua kejahatan yang kau lakukan pada kami!!” aku menengking. Tubuhnya aku tolak kasar menyebabkan Hanis terdorong ke belakang.

Tidak ingin terus membuang masa di situ, aku pantas mengajak Ashman pergi. Dia yang masih terpinga-pinga hanya menurut dari belakang.





****






Maaf lambat update. Berapa kali ubah bab ni sebab idea asyik tak menjadi. Hehehh! Tolong komen sikit ya? Thank u!

Sunday, 15 March 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 17

SEWAKTU aku tiba di hospital tadi, tok pa baru sedar dari pengsan. Masa tu Ashman yang temankan tok pa sementara papa dan mama keluar makan. Terkejut juga bila tengok dia ada di sini sedangkan dia sepatutnya berada di Perak. Baru tadi dapat tahu dari mama yang Ashman tak jadi ke sana atas sebab-sebab tertentu.

Sempat aku melirik ke arah Jepp di sofa tidak jauh dari katil tok pa, leka berbalas mesej dengan kawan sekelas kami. Cuma kami bertiga saja di sini. Ashman Aidil dah lesap entah ke mana. Bagus jugaklah mamat tu tak ada. Ada pun buat sakit hati saja. Sudahlah masa kami sampai tadi, semacam saja dia pandang aku dengan Jepp. Macam tak puas hati. Kenapa entah?

“Tok pa nak apa-apa? Lapar tak?” soalku sambil duduk di birai katil. Memandang lembut ke wajah tok pa yang pucat dan lesu. Untuk beberapa hari tok pa akan berehat di sini, di bilik rawatan yang bertaraf presidential suite room. Lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan. Ada dapur, TV, ruang makan dan ruang tamu. Tak rasa macam dekat hospital tapi macam duduk hotel lima bintang!

“Tok pa haus. Nak air kosong je.” lemah dan perlahan sekali suara tok pa, namun masih jelas kedengaran.

Aku tuang air kosong ke dalam gelas lalu ku hulurkannya ke arah tok pa. Tok pa minum beberapa teguk sebelum gelas diberikan pada aku semula. Aku letakkannya di atas meja sisi katil.

“Ad risau betul lepas dapat mesej dari mama tadi. Kenapa tak cakap tok pa tak sihat?”

“Alah.. tok pa sakit kepala sikit je, tok pa taknaklah buat orang susah hati.”

“Kalau dah tahu tak sihat tak payahlah kerja. Kan semua urusan dekat ofis tu Abang Ashman boleh tolong selesaikan.”

“Tahu. Tapi Ad faham-fahamlah tok pa ni macam mana. Tak boleh duduk goyang kaki macam orang lain. Nanti tok pa bosan.”

Aku sengih saja. Seribu satu alasan diberi. Aku diam malas nak memanjangkan cerita. Lagipun dah faham sangat dengan perangai tok pa ni. Orangnya memang jenis yang tak boleh duduk diam. Sejak dari muda sampailah ke tua, tok pa ini sangat aktif dan cergas orangnya. Jarang jatuh sakit. Sebab itu bila jadi macam ni aku risau. Takut tok pa menghidap penyakit serius. Tetapi menurut doktor yang merawat tok pa, tok pa pengsan kerana terlalu letih dan kurang rehat. Itu saja. Lega aku mendengarnya. Jepp bangun dan menghampiri kami kemudiannya. Fon disimpan ke dalam poket baju.

“Tok pa, saya mintak diri dulu. Ada hal yang perlu diuruskan dekat kampus.” pamit Jepp penuh sopan. Sudah hampir sejam dia di sini.

Tok pa mengangguk lemah. “Terima kasihlah banyak-banyak sebab tolong hantarkan Ad.”

“Sama-sama, tok pa. Small matter. Semoga tok pa cepat sembuh.” ujar Jepp, lantas tangan tok pa diraih dan dikucup hormat.

Tok pa angguk, tersenyum memandangnya. Aku bangkit dari katil dan menghantar Jepp sampai ke pintu.

“Jepp, thank you sebab hantarkan saya. Allah je yang boleh balas jasa awak.” kata aku sedikit terharu. Lelaki ini sanggup bersusah-payah untuk aku. Entah macam mana aku nak balas budi baiknya itu.

Jepp senyum lebar. “Benda kecik je ni. Saya tolong ikhlas. Kalau tak ada apa-apa saya gerak dululah. If you need anything just call me, okay?”

“Insya-Allah. Again, thank you. Drive safely.”

Jepp angguk dan terus berlalu. Aku kembali mendapatkan tok pa di bilik. Risau nak tinggalkan dia walau sekejap. Takut terjadi apa-apa yang tidak diingini.

“Jepp dah pergi ke?” tanya tok pa.

Aku mengangguk perlahan.

“Err.. Tok pa tak kisahkan Ad bawak dia datang sini?” soalku teragak-agak. Sebenarnya tadi aku serba-salah nak ajak Jepp masuk jumpa tok pa bila teringat peristiwa lalu. Tok pa kan tak berapa senang dengan Jepp. Tetapi setelah melihat sendiri layanan baik yang tok pa berikan pada Jepp, aku berasa lega.

“Mestilah. Kenapa pulak Ad tanya macam tu?”

“Takdelah.. dulu kan tok pa tak suka Ad berkawan dengan dia.” kataku hanya ingin kepastian.

“Tak adalah. Jangan cakap macam tu. Lagipun tok pa rasa tok pa dah tersalah anggap dengan dia. Bila tengok air muka dia tadi, tok pa tahu dia ikhlas berkawan dengan Ad.” ujar tok pa.

Aku sengih. Senang hati dengan pengakuan tok pa.

“Dia memang baik. Ad selesa berkawan dengan dia.”

Tok pa menghela nafas perlahan. “Kalau lebih dari kawan pun tak salah, Ad. Kalau dia ikhlas sayangkan Ad, terima seadanya. Tok pa cuma nak tengok Ad bahagia. Bahagia Ad, bahagialah tok pa.”

Entah mengapa hatiku jadi sayu, terusik dengan kata-kata tok pa. Tabahlah, Ad. Jangan menangis.

“Ad faham, tok pa.” aku memaksa bibir tersenyum, biarpun dalam hati hanya Allah yang tahu. Andai saja tok pa mengerti apa yang aku rasa. Hati ini masih ada dia.

Aku mengerling jam tangan sekilas. Baru ingat tak solat Zohor pun lagi.

“Tok pa rehatlah dulu. Ad nak solat kejap. Nanti Ad datang balik.” ujarku lembut seraya membetulkan selimutnya.

Tok pa mengangguk perlahan. Matanya dipejam rapat. Perlahan aku menapak ke bilik air untuk berwudhuk.



BINGIT bunyi alarm handphone membangkitkan aku dari tidur yang lena. Dengan mata yang masih terpejam, aku menggagau fon yang aku letak atas meja kopi dan terus mematikannya. Terbeliak biji mata tatkala melihat angka yang terpampang pada skrin telefon. 9.30 AM!! MasyaAllah! Aku dah tersalah set masa! Sepatutnya 6.30, bukan 9.30! Tak pasal-pasal terlepas Subuh!! Sengalnya kau, Adryana!! Selesa sangat tidur dekat ruang tamu ni. Agaknya kalau ada gempa bumi pun aku tak terjaga.

Aku mengalih baju sejuk yang menutupi tubuhku. Lambat-lambat aku bangkit dari pembaringan dan mataku tertumpu pada baju sejuk yang masih di tangan. Dahiku berkerut. Sweater kelabu berjenama Armani Exchange itu ku tilik lama. Macam kenal je baju ni? Mulutku melopong luas. Oh no!! Ini Ashman punya!!! Macam mana sweater dia boleh ada kat sini?! Dia ada datang ke malam tadi? Aku bingkas bangun dan terus mendapatkan tok pa di biliknya.

“Tok pa, malam tadi Abang Ashman datang ke?” soalku.

“A’ah. Tapi kejap je. Masa tu Ad dah tidur.”

Aku tersengih kelat. Dah agak dah. Malam tadi lepas Isyak aku terus tidur. Dia selimutkan aku pun aku tak sedar. Teruknya, Adryana! Tidur tak ingat dunia! Aku kembali ke ruang tamu dan menghenyakkan tubuh di sofa berbentuk L. Bau haruman Calvin Klein yang melekat pada baju sejuk kegemarannya itu membuatkan aku sedikit terleka. Aku memeluknya kemas, lantas aku mencium bau wangi itu beberapa kali. Ini saja caranya untuk aku melepaskan kerinduan terhadap Ashman Aidil.

Tett!! Tett!!

Bunyi mesej dari telefon bimbitku menyedarkan aku dari khayalan panjang. Aku mencebik. Baru nak berangan sikit dah ada yang mengacau. Aku pandang sweater yang masih di dalam pelukan dengan bibir yang sudah mengoles senyum lebar. Kan best kalau Ashman yang ada dengan aku sekarang. Heh! Best? Bila dia ada kau tak endahkan, bila tak ada tercari-cari. Itulah manusia. Suara hatiku menggerutu. Cepat-cepat aku lipat sweater Ashman dan letaknya di atas kerusi. Nasib baik tak ada sesiapa di sini. Kalau tak kantoilah aku cium sweater Ashman tadi. Malu! Aku capai tuala dan terus ke bilik mandi.

Masa aku bersiap nak turun beli sarapan di kafe, Ashman datang. Aku dengar dia bersembang dengan tok pa. Katanya hari ni dia cuti semata-mata nak temankan tok pa. Ketika aku hendak ke bilik tok pa, aku lihat ada McDonald's atas meja makan. Ashman punya agaknya. Getusku dalam hati.

Perbualan mereka terhenti sejenak bila aku mengetuk pintu yang sedia terbuka. Serentak mereka berpaling ke arahku yang tercegat di muka pintu.

“Tok pa, Ad nak turun beli breakfast kejap. Tok pa nak apa-apa?” soalku yang hanya memandang ke wajah tok pa. Dari ekor mata aku nampak Ashman sedang merenungku, namun aku buat-buat tak tahu saja. Tadi bukan main aku peluk cium baju dia, tapi bila dia ada sebelah mata pun tak pandang. Ego.

“Tak payah beli apa-apa. Abang Ashman kata dia dah beli McDonald’s untuk Ad.”

Ooo.. dia beli untuk aku rupanya. Sungguh aku bingung dengan sikapnya yang aneh itu. Kejap baik kejap tidak. Malam tadi selimutkan aku, pagi ini belikan aku sarapan. Kenapa tiba-tiba saja dia berubah? Jangan mudah terpedaya, Ad. Entah-entah ada udang di sebalik batu.

“Yup. Itu untuk Ad. Makanlah.” beritahu Ashman.

Tanpa membalas kata-katanya, aku pantas meluru ke meja makan. Ada Egg Mcmuffin dengan coffee tapi aku langsung tak jamah sebaliknya aku ambil sebungkus roti coklat yang mama beli untuk aku semalam. Sengaja mahu menyakiti hati Ashman begitu. Biar dia tahu aku sudah tidak sudi menerima apa-apa darinya lagi.

Selang beberapa saat, tok pa keluar dari bilik, berjalan ke ruang tamu perlahan-lahan diikuti Ashman dari belakang. Bosanlah tu asyik baring memanjang. Kalau ikutkan tok pa, semalam juga dia nak balik tapi kami yang tak izinkan. Kami mahu tok pa rehat secukupnya.

“Ad tak ada kelas ke hari ni?” tok pa menyoal setelah dia duduk di sofa.

Aku yang baru hendak meneguk jus mangga dalam gelas mengangguk.

“Ada. Pukul 2 nanti. Kenapa, tok pa?”

“Kalau macam tu Ad baliklah. Nanti kalut pulak.”

“Takpe, tok pa. Ad dah mintak tolong kawan beritahu pensyarah yang Ad ada kecemasan. Ad nak jaga tok pa.” tutur aku. Dah minta tolong Naura maklumkan pada pensyarah kami yang aku ada kecemasan.

“Laa.. janganlah disebabkan tok pa Ad sanggup ponteng kelas. Nanti Ad ketinggalan kan susah?”

“Tok pa janganlah risau pasal tu. Nanti Ad study balik dengan kawan-kawan. Sekarang ni Ad nak jaga tok pa, nak temankan tok pa.” aku mematikan ayat. Selagi tok pa tak keluar wad, selagi itulah aku tak senang duduk. Kalau pergi kelas pun tak boleh fokus tak guna juga.

Tok pa senyum. “Pasal itu pun Ad tak perlu risau. Kat sini ramai nurse yang boleh pantau. Ad baliklah. Rugilah kalau ponteng.”

“Kalau macam tu Ad mintak tolong kawan datang ambil Ad nanti.” aku beralah. Nampak gaya terpaksalah minta tolong Naura atau Jepp datang ambil aku.

“Biar abang hantar Ad.” ujar Ashman tiba-tiba.

Aku terkesima. Haa? Dia nak hantar aku? Aku mimpi ke ni? Apa kes dia rajin sangat hari ni? Semua benda pun dia nak buat. Memang sahlah Ashman kena sampuk hantu.

“Thanks but no thanks. Ad boleh balik dengan kawan. Tak pun naik teksi je.” Selamba aku menolak. Jangan haraplah aku akan setuju.

Ashman mengeluh. “Dah alang-alang abang ada kat sini biarlah abang hantar.”

Haihh!! Apa la yang susah faham sangat dia ni? Kalau dah aku taknak tu, taknaklah! Ini main paksa-paksa pulak. Menyampah!

“Takpe, tak payah susah-susah. Ad boleh balik sendiri.” aku berkeras dengan wajah serius. Apa yang buat dia fikir aku akan terima pelawaan dia tu? Silap oranglah, Ashman.

Sekali lagi Ashman mengeluh. Tok pa tersenyum memandang kami bersilih ganti. Agaknya dia pun dah naik pening tengok kami bergaduh. Macam budak-budak.

“Jangan paksa dia kalau dia taknak, Ashman.” celah tok pa.

Aku sengih panjang. Thank you, tok pa!! Tok palah atuk yang paling best dalam dunia ini. Aku menghela nafas lega. Tok pa penyelamat keadaan.

“Fine.” Ashman mengalah akhirnya.

Aku memalingkan wajah ke lain, tersenyum puas. Padan muka dia! Dia ingat aku akan beri muka? Memang taklah jawabnya!







TEPAT jam 11 aku terus turun ke bawah dan tunggu teksi di depan main entrance. Tapi satu pun tak ada. Susah betul nak dapat teksi kat sini. Apalah nasib aku. Semuanya tak berjalan seperti yang dirancang. Ingat nak suruh Naura ambil, tapi dia pulak tak berapa sihat. Jepp pulak gagal dihubungi. Hendak tak hendak terpaksalah call teksi. Aku cari nombor telefon teksi dalam handphone. Tiba-tiba aku rasa macam ada orang datang berdiri di sebelahku. Aku toleh ke kanan. Lelaki yang berkulit putih kemerah-merahan itu hanya tersenyum memandangku. Dan senyumannya itu membuatkan aku berasa sedikit gementar.

“Jom, balik dengan abang.” ajak Ashman. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket seluar.

Aku menggeleng laju sambil pandang terus ke handphone. Buat-buat sibuk cari nombor teksi. Kenapalah Ashman ni suka mendesak? Yang paling aku sakit hati dia tergamak biarkan tok pa seorang diri sedangkan tadi dia juga yang cakap nak temankan tok pa.

“Degilnya! Orang nak mudahkan dia, dia jual mahal pulak.” gerutu Ashman.

Aku mengetap gigi geram. Dah tak boleh bersabar lagi dengan kerenah Ashman yang macam-macam.

“Tadi elok je setuju sekarang nak paksa Ad lagi kenapa?” wajahku mencuka.

“Siapa kata abang setuju? Tadi tu abang malas nak bergaduh depan tok pa. Sudahlah dia tak berapa sihat. Dahlah. Balik dengan abang je. Jom.”

Aku geleng lagi. “Nanti buah hati abang marah pulak. Taknaklah. Ad naik teksi je.”

“Mana ada teksi kat sini? Nak tunggu sampai bila? Nanti lambat ke kelas kena marah dengan lecturer pulak,” balas Ashman tak mahu kalah.

Aku menyilangkan tangan ke badan dengan muka yang serius. Buat-buat tak dengar apa yang dia cakap.

“Dah. Abang taknak dengar apa-apa alasan dah. Biar abang hantar Ad. Fullstop.” tegas Ashman.

Tak sempat aku nak berkata apa-apa, dia segera meraih lenganku, memaksa aku ikut dia ke kereta. Tangannya ku tepis kasar. Biarpun sedikit keberatan, namun kaki ini tetap jua melangkah, menurutinya dari belakang.

Dalam kereta, aku hanya membisu seribu bahasa. Tak tahu apa yang perlu dibualkan. Janggal. Itu yang aku rasa. Maklumlah, dah lama tak berdua dengan dia macam ini. Serta-merta semua memori indah itu menerjah ke ruang ingatan. If only I could turn back the time.

“Tadi abang tengok McDonald’s tu tak terusik pun. Kenapa tak makan?” Ashman memecah keheningan.

“Sebab taknaklah.” jawab aku dingin seraya melemparkan pandangan ke luar kereta. Tak ada hati dah nak pandang orang sebelah ni. Benci!

“Tak baik tolak rezeki. Abang beli tu pun sebab tahu itu favourite Ad.”

“Ad tak suruh pun. Kalau taknak membazir, abang je makan. Habis cerita.”

Senyap sekejap. Malaikat lalu kut? Volkswagen yang dipandu laju dibrek perlahan-lahan bila lampu isyarat bertukar merah. Alahai.. lambatnya nak sampai!

“Hari tu mama cakap Ad tak sihat. Betul ke?” Ashman buka topik lain pula.

“Ermmm..” acuh tak acuh aku menyahut.

“Kenapa tak beritahu abang?”

“Buat apa cakap dekat abang? Bukan boleh baik pun kalau abang tahu.” jawab aku sinis. Ini namanya cari pasal.

Ashman melepaskan keluhan kecil. Ditenungnya wajah aku beberapa saat. Aku pantas memalingkan wajah ke lain. Kereta kembali bergerak laju di atas jalan raya. Signal diberi dan Ashman terus membelok ke kanan. Alhamdulillah. Dah nak sampai.

“Bukan macam tu. Maksud abang, kalau abang tahu bolehlah abang pergi jenguk Ad.” ujar Ashman dengan nada lembut. Sabar betul dia. Seteruk mana pun aku layan dia, dia masih boleh cakap baik-baik dengan aku. Pelik. Mama kata Ashman dah berubah tapi apa yang aku lihat dia masih seperti dulu. Tak ada perbezaan pun.

Penjelasan yang cukup membingungkan aku. Kata-katanya itu menunjukkan bahawa dia sebenarnya masih lagi mengambil berat tentang diriku. Aku fikir bila kami sudah putus, dia tak pedulikan aku lagi. Mungkinkah Ashman masih sayangkan aku seperti dulu? Heh! Jangan perasanlah, Ad. Ashman tu cuma ambil berat sebagai seorang abang kepada adiknya saja, tak mungkin lebih dari itu.

“Kenapa abang buat Ad macam ni?”

“Ad cakap apa ni? Abang tak faham.”

“Tak faham atau buat-buat tak faham?! Abang sengaja nak memperbodohkan Ad? Let me guess, Hanis yang suruh?!” aku semakin beremosi. Geram melihat riak bersahaja di wajah itu. Seolah-olah tiada apa langsung yang dikesalkan.

“Ad, abang betul-betul tak faham. Kenapa cakap macam tu?”

“Kan abang sendiri yang buang Ad. Abang kata abang dah bosan dengan Ad tapi hari ini abang tiba-tiba berubah sikap. Sanggup buat apa saja untuk Ad. Atau ini satu lagi muslihat abang? Abang sengaja nak mempermainkan Ad!” bentakku kasar. Terasa seperti dipermainkan.

Riak wajah Ashman berubah, seakan terpukul dek kata-kataku itu. Aku pantas membuka tali pinggang keledar. Tak sedar yang kami sudah pun berada di depan rumah. Aku cuma nak cepat masuk dan tak mahu tengok dia lagi. Aku sudah ingin membuka pintu kereta tapi Ashman terlebih dahulu menekan butang kunci, tak bagi aku keluar. Aku memandangnya tajam.

“Bukaklah!!!” ujar aku separuh menjerit. Kesabaranku menipis.

Ashman menggeleng tak mahu. Tetap tak mahu beralah. Ashman tampak tenang walaupun aku dah macam dirasuk iblis. Asyik nak melenting saja. Tapi dia tetap selamba, macam tak ada apa-apa yang berlaku.

“Don’t get me wrong, Ad. Abang betul-betul ambil berat tentang Ad. Tak ada niat pun nak mempermainkan Ad..” tutur Ashman seakan tak puas hati.

Aku tersenyum sinis. “Tak ada niat konon! Sedar atau tidak, abang dah pun lakukannya.”

Ashman menunduk. Matanya dipejamkan seketika. Dia menarik nafas panjang, lalu dihembus perlahan-lahan.

“Ad, sebenarnya abang..”

Belum sempat Ashman menghabiskan ayatnya, kami dikejutkan dengan bunyi hon kereta yang baru saja berhenti di depan rumah Kak Miza, jiranku. Kawan Kak Miza agaknya. Aku melihat jam di dashboard. Dah pukul 1.

“Dahlah. Tak elok kita berdua-duaan macam ni. Kalau Hanis tahu nanti dia salah faham pulak.” kata aku dengan nada yang sedikit mengendur. Mataku tertumpu pada wajah muram Ashman. Tiba-tiba saja rasa tak sedap hati. Macam mana kalau ada yang kenal Hanis kat sini? Tak pasal-pasal nanti ada pula yang mengadu dekat Hanis yang boyfriend dia berdua-duaan dengan perempuan lain. Kan kes naya tu?

Ashman diam tak berkutik. Berat hati ingin menurut namun terpaksa akur jua akhirnya. Butang unlock ditekan. Aku segera menggalas beg tangan yang aku letak atas peha.

“Terima kasih sebab hantarkan Ad. Maaf jugak sebab dah menyusahkan abang. Ad masuk dulu.” kataku tanpa riak.

Kelu lidah Ashman, sudah tidak mampu hendak menghalang. Tanpa menanti sesaat pun, aku turun dari kereta dan meluru masuk ke dalam rumah. Enjin kereta Ashman juga tidak lagi kedengaran menandakan dia juga sudah pergi. Aku tersandar lemah pada pintu. Satu keluhan berat aku lepaskan. Rasa bersalah pula sebab tinggikan suara pada dia tadi. Itu semua takkan jadi kalau aku pandai kawal emosi. Salah sendirilah sebab terlalu ikutkan perasaan. Tiba-tiba aku teringat pada perbualan kami tadi. Apa yang Ashman nak beritahu aku sebenarnya?



****

Terima kasih utk semua feedback anda. KYKT tinggal lagi beberapa bab saja. Jgn lupa tinggalkan sedikit komen ya? Syg semua! Thank u! ;)

Tuesday, 10 March 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 16

SETELAH hampir tiga bulan aku tak balik ke rumah, baru hari ini aku ada kekuatan untuk jejakkan kaki ke sini lagi. Itu pun lepas mama beritahu yang hari ni Ashman ke Perak dan akan berada di sana untuk tiga hari. Lama aku tunggu peluang ni. Bila dia tak ada baru aku balik. Nak mengelak punya pasal.

“Assalamualaikum, mama!” laung aku sambil menanggalkan kasut di muka pintu.

“Waalaikumussalam. Sampai dah anak mama.” mama meluru ke arahku dengan senyuman manis di bibir.

Kami berpelukan erat, lama. Ingin melepaskan rindu. Selama tiga bulan ni berapa kali sangatlah aku jumpa mereka. Setiap kali jumpa mesti dekat luar dan bukannya di sini.

“Sorry sebab lambat. Tadi ada discussion dengan kawan-kawan sekelas.”

“Tak apa. Mama tahu Ad busy. Jomlah kita makan. Semuanya dah terhidang. Mama masak udang masak lemak cili api, your favourite.”

Kami segera bergerak ke meja makan. Dengar udang masak lemak cili api saja dah cukup untuk buat aku kecur air liur. Kami ambil tempat masing-masing. Tengahari ni kami cuma makan berdua saja. Papa sibuk dengan kerjanya, tok pa pula lunch dengan klien.

Dua kali aku menambah. Dah tak kisah langsung pasal diet. Yang aku tahu aku nak makan puas-puas. Hari ni je aku dapat makan sedap-sedap macam ni. Nak tunggu lain kali entah bila lagi? Suka betul mama bila tengok aku makan dengan begitu berselera sekali. Lepas makan nasi, mama hidangkan pencuci mulut yang dibuat khas untuk aku. Pulut mangga, my all time favourite! Puas hati betullah dapat balik sini. Semua yang aku nak semua dapat. Alhamdulillah rezeki.

“Sayang tok pa tak dapat join. Mesti dia suka cucu kesayangan dia ada kat sini.” luah mama seraya meletakkan pulut mangga ke dalam mangkuk kaca, kemudian diberikan pada aku.

Aku senyum, mengangguk setuju. Mangkuk di tangan mama aku ambil. Aku menuang sedikit kuah santan perlahan-lahan ke dalamnya. Pulut mangga ni memang tak sah kalau tak ada santan.

“Sunyi rumah ni bila Ad tak ada. Ad pun dah jarang sangat nak balik sini. Semuanya dah tak sama macam dulu.”

Senyumanku pudar. Hati dijentik sayu.

“Maaf, mama. Sebenarnya, Ad..” ayatku tergantung di situ.

“Mama faham. Ad bukannya taknak balik tapi cuma nak jauhkan diri dari Abang Ashman, kan?”

Soalan mama itu sebenarnya tak perlu dijawab kerana mama sendiri memang dah tahu jawapannya. Aku menundukkan pandangan.

“Bila dia nak kahwin?” Perit rasa hati tatkala menyebut perkataan itu. Kahwin? Lepas ni Hanis jadi kakak ipar aku? Oh Tuhan, tabahkan hati ini. Ada kalanya aku berharap ini semua hanyalah igauan ngeri.

Mama jungkit bahu. “Entah. Mama pun malas nak tanya. Sebenarnya mama tak berapa berkenan dengan budak Hanis tu.”

“Mungkin dah itu jodoh dia.”

“Selagi tak lafaz akad, selagi itulah tak boleh kata yang Hanis tu jodoh dia. Anything can happen, right?”

Aku senyum hambar, jauh di sudut hati aku bersetuju dengan kata-katanya. Nampaknya mama sendiri pun tak boleh terima Ashman dengan Hanis, namun andai sudah ini ketetapan Tuhan, redha saja.

“Sebenarnya mama risaukan abang tu. Dia dah lain sangat sekarang ni.” wajah mama kelihatan risau. Seolah-olah ada sesuatu yang menganggu fikirannya.

“Lain macam mana?” dahiku berkerut.

“Dia jadi pemarah. Baran. Tok pa kata dekat ofis tu ada saja staf yang kena marah. Buat itu salah, buat ini pun salah. Pendek kata semuanya serba tak kena. Mama pun tak fahamlah kenapa dia jadi macam tu. Dulu taklah kronik sampai macam tu.”

Kerutan di dahi bertambah. Apa sebablah Ashman jadi macam tu agaknya ya?

“Tekanan kerja agaknya.” Aku menebak. Logiklah sebab aku pun pernah juga kena marah dengan dia. Alasannya stress kerja.

“Papa pun cakap macam tu. Tapi mama perasan, dia jadi macam tu semenjak Ad pergi. Sebelum ni dia okey je.”

Aku tercengang. Apa kaitannya dengan aku? Atau mungkin maksud mama akulah puncanya Ashman bersikap begitu.

“Itu perasaan mama je kut. Mungkin dia ada masalah dengan Hanis. Tak ada kaitan dengan Ad pun.” aku menggeleng, ingin menafikan.

“Entahlah. Mama runsinglah tengok dia. Kalau mama tanya dia tak pernah dia cakap apa-apa. Suka sangat berahsia.”

“Insya-Allah abang akan okey. Mungkin dia tengah ada problem. Mama jangan fikir banyak sangat. Nanti mama pulak yang sakit.” aku pantas menenangkan mama. Belakang tubuhnya ku usap perlahan-lahan.

Aku minta diri untuk ke bilik dan solat. Selesai solat, aku terus bersiap-siap nak balik ke rumah sewa. Lepas ni nak keluar jumpa Jepp pulak. Fon atas meja solek aku capai. Masa nak turun itulah aku dengar ada seseorang yang sedang bercakap dengan mama di bawah. Suara lelaki. Tak semena-mena jantungku berdegup kencang, terkejut mendengar suara itu. Ashman ke tu? Bukan ke dia sepatutnya ke Perak hari ni? Apa dia buat kat sini? Bencinya!! Punyalah nak elak dia, alih-alih jumpa jugak! Aku menarik nafas panjang, mengumpul kekuatan untuk berdepan dengan lelaki itu.

Keluar dari bilik, aku terserempak dengannya di tangga. Dia nak naik, aku nak turun. Kami sama-sama terpaku. Ada debaran di dada saat mata bertemu mata. Lembut matanya merenungku, buat hati tak keruan. Tidak pernah menyangka ini akan terjadi. Setelah sekian lama tidak bertemu, hari ini dia muncul lagi di depanku.

Pandangannya jatuh pula ke jari manisku yang tidak bercincin, kemudian matanya melirik ke wajahku semula. Tidak ada sepatah kata pun yang kedengaran, baik aku mahupun dia, dua-dua kelu membisu. Hanya mata saja yang berbicara. Riak wajahnya sukar untuk aku tafsirkan. Bagai ada sesuatu yang tersirat di fikirannya. Deringan dari Iphone di tanganku mematikan lamunan panjang. Jepp telefon.

“Hello, Ad. Awak kat mana? Jadi ke nak jumpa?”

“Ya, Jepp. Jadi. Saya baru nak keluar dari rumah mama ni. Awak tunggu saya dekat tempat biasa, ok? Bye.” Ujarku panjang lebar. Penuh hati-hati aku menuruni anak tangga. Berjalan melepasi Ashman yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri tanpa menghiraukannya.

Aku bergegas mendapatkan mama di ruang tamu. Meminta diri untuk segera pergi. Sudah tidak sanggup untuk terus berlama di situ bila Ashman ada. Aku sudah tidak ingin melihat wajahnya lagi.





LEPAS saja keluar dari rumah mama tadi, aku asyik terkenangkan Ashman. Semuanya gara-gara pertemuan yang tidak diduga itu. Tak pasal-pasal jiwa kacau.

“Menungkan apa tu?”

Aku tersedar dari khayalan panjang. Jepp mengukir senyuman nipis ke arahku. Pertanyaannya itu aku jawab dengan senyuman hambar. Mataku tertumpu ke arah beberapa orang gadis yang baru masuk ke The Red Beanbag, tempat kami selalu lepak sejak beberapa bulan yang lepas.

“Dari tadi saya tengok awak monyok je. Is something bothering you? Ceritalah dekat saya itu pun kalau awak tak kisah.”

Aku masih tak membuka mulut. Jepp bersandar ke kerusi sambil menyilangkan tangan ke badan. Sabar menanti. Selain Naura, dialah pendengar setiaku. Apa saja masalah aku luahkan pada dia. Tak dinafikan kami semakin akrab, tapi hanya sebagai kawan biasa dan tidak lebih dari itu. Dan aku rasa ianya akan kekal begitu kerana pintu hati ini sudah tertutup buat insan bergelar lelaki. Serik.

“Tadi saya balik rumah mama..” aku berhenti sejenak.

“Go on. I’m listening.”

Aku tarik nafas dalam-dalam. Part ini yang paling susah hendak aku ceritakan.

“Ashman. Dia balik masa saya nak keluar tadi.”

“Ooo.. patutlah awak muram sangat. Sebab Ashmanlah ni?”

Aku angguk perlahan. Mengacau-ngacau iced lemon tea dengan straw.

“Awak ada cakap apa-apa dengan dia?” soal Jepp lagi sambil menopang dagu. Memandang tepat ke mataku.

Aku geleng seraya menundukkan wajah.

“Saya ingat saya kuat, rupanya tak. Lepas saja jumpa dia tadi buat saya sedar tentang sesuatu.”

“Apa dia?”

“Saya sedar yang saya masih sayangkan dia. Yang sebenarnya saya tak boleh lupakan dia, Jepp.” tutur aku. Ya, itulah yang aku rasa. Mulalah aku terkenangkan kisah lalu. Sumpah hati ini terlalu rindukan kebahagiaan kami yang dulu. Namun semuanya diragut dalam sekelip mata. Dia yang mengajarku erti bahagia, dia jugalah yang mengajarku erti derita. Tak aku nafikan apa yang telah terjadi di antara kami meninggalkan luka yang amat dalam, namun jujur aku katakan hati ini tidak mampu menidakkan rasa cinta yang masih utuh buatnya. Biarlah.. biar aku simpan saja cinta ini di hati.

“Ingat tak apa yang saya pernah beritahu awak dulu? Ashman cinta pertama awak. Dan cinta pertama itu sememangnya sukar untuk dilupakan. Percayalah, saya faham apa yang awak rasa. Only time will heal.”

Aku hanya mengangguk tanpa kata, bersetuju dengannya. Jepp berhenti sejenak, kemudian dia menyambung lagi.

“Awak kena move on. Buka pintu hati awak untuk yang lain, barulah awak boleh lupakan dia.”

Kata-kata Jepp buat aku berfikir panjang. Move on dan cari yang lain? Boleh ke aku? Susah nak cari pengganti Ashman. Kalau boleh aku nak yang sebijik macam Ashman Aidil. Aci tak kalau aku klon dia? Alahai.. Adryana dah mula nak merapu! Perbualan kami terbantut bila telefon Jepp tiba-tiba berbunyi. Ada panggilan dari seseorang. Dekat 15 minit jugaklah Jepp bergayut.

“Siapa?” soalku setelah Jepp selesai berbual di telefon.

“Aleesya. Dia ajak jumpa.”

“Kalau macam tu awak pergilah. Kita pun dah lama sangat dekat sini.”

“No, it’s okay. Saya cakap saya ada hal. Lagipun, tak boleh jumpa dia selalu. Bahaya.”

“Saya tak faham. Kenapa bahaya?”

Jepp mengeluh panjang. Tiba giliran aku pula untuk bertanya mengenai kisah cintanya yang juga kecundang di tengah jalan. Selama ni aku tak pernah tanya. Bukan taknak tanya, tapi tak berani. Takut nanti Jepp kata aku busy body.

“Cinta terlarang. Orang tua Aleesya tak merestui hubungan kami sebab mereka dah ada pilihan lain untuk Aleesya, yang lebih layak dan setaraf dengan Aleesya. Saya ni tak ada apa-apa. Setakat ada kereta buruk tu tak padan jadi kekasih Aleesya. Sebab itulah saya tak boleh jumpa dia. Kalau ayah dia tahu matilah saya!”

Aku terpempan. Terkejut mendengar kisah cinta Jepp yang ala-ala kisah cinta Romeo & Juliet. Teringat pula aku pada bait-bait lirik lagu Fauziah Latiff. Cinta terhalang oleh orang tua. Sedihnya!

“Kisah awak ni dah macam filem Antara Dua Darjat.” ujar aku yang turut bersimpati dengannya. Dapat rasa apa yang Jepp rasa.

“Kan? Sekarang ni saya tengah pening. Saya cuba nak jauhkan diri tapi Aleesya dua puluh empat jam cari saya. Dia tetap tak mahu lepaskan saya. Sudahnya saya turutkan saja kehendak dia. Berhubung senyap-senyap.”

“Habis selama ni awak selalu dengan saya, dia tak cemburu?”

“Cemburu jugaklah. Tapi terpaksa tahan perasaan. Kami kan dah tak boleh jadi macam dulu.”

Aku menelan air liur. Gulp!! Maknanya selama ni Aleesya tak sukalah tengok aku dan kekasihnya 24/7 berkepit macam belangkas. Bahaya! Nasib baik dia tak datang serang aku. Gerutuku dalam hati. Kami saling membisu untuk beberapa saat.

“Kita senasib. Cinta tak kesampaian.” kata aku pilu. Aku dengan Jepp sama saja. Bezanya cinta aku musnah kerana adanya orang ketiga. Kira aku ni beruntung sikitlah sebab mama dan papa bagi restu.

“Tulah. Dulu kita nak kat dia, dia jual mahal. Cuba kalau kita couple, agaknya dah bahagia sampai sekarang.”

Aku sengih kelat, langsung tidak membalas kata-kata Jepp. Nak buat macam mana? Semuanya dah tertulis. Siapalah kita untuk menolak takdirNya.





“KAU pergi dating kat mana petang semalam?” Naura sudah mula hendak mengorek rahsia. Dia ni tak ubah macam wartawan Melodi. Suka bagi soalan-soalan panas, yang kurang enak didengar. Saman baru tahu!

Laptop di atas meja aku tutup. Dah penat menaip. Perut pun dah lapar. Aku tengok jam sepintas lalu. Dah nak pukul 1. Lunch time!

“Mana ada dating. Lepak ajelah.” sangkalku sambil menggeliat, membetulkan urat. Baru perasan yang sekarang ini cuma tinggal kami berdua saja dalam kelas. Yang lain dah lama cabut. Kami stay sebab nak buat kerja. Kalau tak jangan haraplah nak duduk sini lama-lama. Fon dalam beg aku ambil dan terus buka Instagram. Tengok balik semua gambar yang aku dah post. Ada beberapa gambar aku dengan Ashman yang dah aku padam. Kami kan dah tak ada apa-apa. Simpan pun tak guna.

“Eleeehh.. malu-malu kucing pulak dia!” Naura mula hendak mengusik.

“Kan aku dah cakap aku masih belum bersedia untuk serahkan hati pada orang lain. Masih terlalu awal.”

“Yelah, yelah. Tapi andai kata pintu hati kau dah terbuka, couplelah dengan Jepp. Mamat tu pun tak kurang hebatnya. Lawyer dengan lawyer. Sesuai sangat dah tu!”

Ini yang aku malas nak dengar ni. Tak ada benda lain dia nak buat selain kenenkan aku dengan Jepp, sedangkan dah berkali-kali aku kata yang aku dan Jepp cuma kawan biasa. Tapi dia tetap juga nak gosip aku dengan Jepp tu.

“Apa kata kau je couple dengan dia. Kau kan tengah mencari?” aku tersenyum nakal. Naura asyik fikir nak kenenkan orang tu dengan orang ni. Diri sendiri tu taknak pula cari calon.

“Ke situ pulak! Aku cakap pasal kaulah.”

Aku tertawa kecil. Tiba-tiba Jepp datang dan perbualan kami berhenti setakat itu. Kalau dia dengar nanti perasan terlebih pulak. Panjang umur dia! Baru je sebut, dia dah muncul.

“Korang busy ke? Jom lunch.” ajak Jepp.

“Tak. Memang nak pergi kafe dah pun.” aku segera berkemas. Laptop kesayangan aku simpan ke dalam beg galas.

Masa kami nak ke kafeteria, ada satu mesej yang masuk ke telefonku. Mama rupanya.



Ad, Ad kat mana? Datang Gleneagles sekarang. Tok pa masuk wad! Dia pengsan kat ofis tadi.



Mataku membuntang luas dan langkahku juga terhenti. Berdesup darah naik ke kepala. Aku membaca mesej itu berkali-kali dengan rasa tak percaya. Ya Allah, apa sudah jadi dengan tok pa?!

“Beb, asal kau ni?” Naura yang sudah berjalan jauh ke depan menerpa ke arahku.

“Tok pa... tok pa sakit! Aku kena pergi hospital sekarang jugak!” aku bernada cemas. Hilang terus rasa lapar. Sekarang cuma fikir nak cepat pergi ke hospital. Terbayang-bayang wajahnya di mata. Ya Allah, janganlah jadi apa-apa pada dia.

“Biar saya hantar awak, Ad. Awak tak boleh drive dalam keadaan macam ni. Bahaya!” Jepp juga sudah kaget.

Tanpa berfikir panjang aku terus bersetuju. Kami berlari anak menuju ke tempat parkir. Dalam hati aku berdoa supaya tok pa tak akan apa-apa. Semoga semuanya baik-baik saja.


****
Komen pliss!! thanks! ;)