Friday 3 January 2014

Oh My Ex-Husband! 16

Esok malam majlis persandingan Zalia dan Hakimi akan berlangsung di Hotel Shangri – La, Kuala Lumpur. Memang sesuailah Zalia ni jadi cucu Tan Sri Hilmi. Dapat aku bayangkan betapa gahnya majlis resepsi dia nanti. Nama pun cucu Tan Sri. Cucu kepada ahli korporat yang namanya cukup dikenali di Malaysia. Pun begitu, aku lihat mommy dan adiknya, Auntie Aisya cukup low – profile. Waktu mula – mula kenal Harith dulu pun, aku tak tahu yang dia itu cucu Tan Sri Hilmi.
Teringat pula aku pada majlis perkahwinan kami dulu, juga tak kurang hebatnya. Kalau ikutkan aku dan Harith, nak buat kecil – kecilan saja. Tapi atuk dan nenek yang beria benar hendak memastikan majlis kami diadakan dengan sempurna. Sudahnya kami terima sajalah. Bila mereka sudah bersuara, jangan sesekali membantah.
Fokus pada siaran ulangan Maharaja Lawak Mega 2012 di televisyen terganggu tatkala ada mesej yang masuk ke telefon bimbitku. Aku yang berbaring di atas sofa, memanjangkan tangan mengambil fon di atas meja kopi.

Reen.. Boleh kita jumpa? – Adam

Hai... Dia ni memang suka rosakkan moodlah. Aku baru je nak relaks, tenangkan fikiran. Dia dah sibuk ajak jumpa pulak. Dahlah tu.. Eja nama aku pun salah. Dah berapa kali aku kata jangan memandai ubah ejaan nama aku. RENE. Bukan REEN. Walau sebutannya sama, tapi aku cukup pantang kalau nama aku salah ejaannya.

Nak jumpa? Buat apa? – Rene

Begitu mesej yang aku taip untuk Adam. Kalau ikutkan, malas nak jawab. Tapi.. Nanti - nanti dia akan cari aku juga. Rimas.

Ada hal nak bincang. Malam esok angah pergi sana. Boleh? – Adam

Sorry… Tapi Rene tak boleh. Ada kenduri kahwin jadi Rene kena pergi. Tak bolehlah jumpa esok. – Rene

Mujur ada alasan kukuh. Ya, aku masih belum bersedia untuk bertemu dengan dia. Sakit hati dengan apa yang dia dah buat pada aku dan Amir. Bila disuruh minta maaf, tak mahu. Ego!

Jumpa sekejap je pun tak boleh? – Adam

Eeeii!! Dia ni kenapa tak faham bahasa? Aku rasa aku taip guna Bahasa Melayu tadi. Apa yang payah sangat dia nak faham eh? Orang cakap ada hal maknanya ada hallah!

Tak boleh. Takut tak sempat. Next time ajelah. Tu pun kalau Rene tak sibuk. – Rene

Hampir 10 minit menanti, tak ada jawapan dari Adam. Lantaklah.. Bagus juga! Penat aku nak melayan kerenah dia sorang. Aku mengetap bibir bawah. Kalau ikutkan hati nak aje aku penyek – penyek si Adam Khalid ni. Banyak songeh!
“ Hai.. Masam je muka tu? Apa hal pulak ni?” tegur mama yang sudah siap bertelekung. Tunggu masuk waktu Asar lagi 5 minit.
“ Adam nilah… Ajak jumpa malam esok. Dia nak datang sini.”
“ Haa.. Eloklah macam tu… Bawak – bawaklah berdamai.. Sampai bila nak bergaduh macam ni kan?”
“ Tak.. Sayangnya kami takkan jumpa. Esokkan nak pergi majlis resepsi Zalia? Mana sempat nak jumpa dia.” kata aku sambil membetulkan posisi.
“ Ye tak ye. Suruhlah dia datang lain kali.” pesan mama sebelum naik ke atas.
“ Ermm.. Okey….” aku bernada malas. Arghh!! Kalau mama dah suruh aku tak boleh buat apa - apa! Nak tak nak, aku kena mengalah jugak!! Bosan!
_________________________________
“ Angah.. Kan Rene cakap Rene ada hal. Kenapa datang jugak?” tanya aku dengan nada tidak senang sewaktu aku berjalan keluar ke halaman rumah, mendapatkan Adam Khalid yang sedang menanti di situ. Aku sudah siap berbaju kurung moden chiffon warna coklat tanpa corak, dihiasi  batu swarovski pada bahagian leher dan hujung lengan baju. Aku pilih baju ni sebab Hanim kata coklat ialah warna tema majlis resepsi Zalia dan Hakimi.
Bengang sungguh aku dengan abang sepupu aku yang seorang ni. Dah berapa kali aku cakap jangan datang, tapi dia datang juga. Sudahlah aku kelam – kabut nak ke hotel. Dia sibuk ajak jumpa jugak! Memang tak faham bahasa! Lama sangat duduk Australia tu agaknya sampai cakap Melayu pun dia dah tak faham!
“ Maafkan angah, Rene. Tapi angah tak boleh duduk diam selagi tak jumpa Rene. Angah nak selesaikan masalah kita baik – baik.”
“ Rene dah lambat ni.. Takut terlambat sampai pulak kalau jalan jam. Dahlah majlis lagi 10 minit je nak mula. Tak boleh tunggu lain kali ke?”
“ Angah tahu takkan ada lain kali kalau Rene tengah marah. Lepas ni mesti Rene akan terus elak dari jumpa angah, kan?”
Betul sangatlah tu... Bukan kami baru kenal semalam. Adam Khalid dah masak benar dengan sikap aku. Kalau marah atau merajuk, mesti tak mahu jumpa sesiapa. Selagi boleh elak, elak!
Dah sedia maklum yang aku terpaksa juga berdepan dengan Adam Khalid malam ini, aku terus hantar SMS untuk si HD. Ada baiknya aku beritahu awal – awal dekat dia. Si HD ni dah banyak kali mesej aku suruh aku datang awal. Katanya dia malas nak bersoal jawab dengan atuk dan nenek kalau aku lambat. Sudahlah pergi berasingan. Entah alasan apa pula yang akan dia beri pada mereka berdua.

Rene lambat sikit. Abang pergi dulu. Ada hal nak kena selesaikan. Kalau atuk tanya cakaplah Rene ada hal penting. – Rene

Mesej berbalas. Tak sampai 10 saat pun. Cepatnya dia respons! Confirmed telefon tu 24 jam dekat tangan.

Pulak…. Ermm.. Okey… Jangan lama sangat tau… See you there.. – Harith

“ Rene bagi angah 10 minit je untuk jelaskan apa yang angah nak jelaskan..” ujar aku dingin. Mesej Harith tadi aku tak balas.
“ Pasal hari tu… Angah tahu Rene marah… Tolonglah.. Angah tak tenang selagi kita tak berbaik, Rene.” pujuk Adam.
Aku senyum sinis. “ Rene dah pernah cakap pada angah hari tu… Rene tak boleh buat apa kalau angah langsung taknak buat apa yang Rene suruh. Mintak maaf dengan Amir. Susah sangat ke nak buat?”
“ Angah tak suka dia. Sebab tu angah rasa angah tak perlu mintak maaf pada dia.”
“ Apa sebab angah benci sangat dengan dia? Dia tak kenal angah pun… Dia tak ada buat salah apa – apa dengan angah, kan?”
“ Memanglah dia tak kenal angah… Tapi dalam tak sedar dia dah buat kacau dah pun…!” suara Adam naik satu oktaf. Giginya diketap kuat. Geram kerana aku memilih untuk mempertahankan Amir dan bukannya dia.
Respons Adam sangat memeranjatkan aku. Kenapa dia angin tak tentu pasal? Apa salah Amir? Dia kata Amir dah buat kacau? Apa yang mamat tu dah buat pada dia? Setahu aku malam itulah kali pertama Amir jumpa dia.
“ Apa ni angah? Cuba cakap tu biar jelas sikit? Rene tak faham!” berkerut dahi aku mendengarnya.
“ Betul Rene nak tahu kenapa angah tak suka dia?”
Aku cuma mengangguk. Gerun melihat air muka Adam Khalid. Tegang setegang – tegangnya. Macam singa kelaparan. Bengis! Betul ke ini Adam Khalid sepupu aku?
“ Sebab dia penghalang. Sama macam Harith jugak.” Ujar Adam lalu dia merengus kasar.
“ Penghalang?! Angah cakap apa ni?!” Bertambah bingung aku. Jawapan Adam mengundang seribu satu pertanyaan. Kenapa Amir dikatakan penghalang? Harith Daniel pun terlibat sekali? Apa cerita ni?
“ Dulu angah sukakan Rene, tapi Rene dah ada Harith. Sekarang.. Rene dah kembali solo.. Angah ingat ini peluang kedua angah untuk rapat dengan Rene semula.. Tapi angah salah.. Sekali lagi ada tembok besar antara kita yang jadi penghalang untuk angah terus dekat dengan Rene.. Sebab itulah angah tak suka dia. Sama macam mana angah tak suka Harith sebab jadi penghalang untuk angah memiliki cinta Rene!”
“ Ya Allah… Angah…..” aku begitu terkejut sehinggakan tak mampu untuk berkata apa – apa lagi. Bermakna andaian yang dibuat oleh Bella dan Harith tepat! Lelaki ini masih cintakan aku! Aku fikir dia redha melepaskan cintanya demi kebahagiaan aku dan Harith. Namun pengakuan jujurnya itu menjelaskan segala – galanya! Adam benci Harith!
“ Ya… Angah masih sayangkan Rene.. Angah masih ada hati pada Rene. Terkejut?”
“ Angah… Angah tahu, kan? Rene tak boleh…” Tak tahu apa dan bagaimana hendak aku luahkan. Tapi rasanya kalau aku tak jelaskan apa – apa pun, Adam Khalid dah terlebih faham. Aku tak boleh paksa hati ini agar sayangkan dia.
“ Kenapa? Sekarang ni Rene bukan lagi milik Harith… Tolong jangan kata Amir dah berjaya gantikan tempat dia dalam hati Rene sekarang.” suara Adam kedengaran lirih, kecewa dan hampa.
Aku menggeleng laju. “ Bukan itu maksud Rene. Tapi Rene nak angah tahu.. Angah dah Rene anggap macam abang Rene sendiri.. Sebab itu Rene tak mahu jalinkan hubungan cinta dengan angah. Angah tentu faham.. Dah banyak kali Rene jelaskan…” ujar aku yang sudah dihujani rasa bersalah terhadapnya. Rasa bersalah kerana sekali lagi aku terpaksa mengguris hatinya.
“ Tapi Rene boleh belajar untuk mencintai, kan?” soal Adam dengan pandangan mengharap.
Aku menundukkan muka. Tak sanggup untuk terus menatap wajah pilu lelaki di hadapanku ini.
“ Angah…. Maafkan Rene… Tapi Rene takkan sesekali beri harapan palsu pada angah atau sesiapa pun… Maafkan Rene…” aku terus memberi kata putus. Lebih baik begini dari Adam Khalid terus mengharap dan akhirnya menderita nanti.
Tidak ada kata lagi yang terungkap di bibir Adam. Nyata dia teramat kecewa. Maafkan Rene, angah. Rene cuma luahkan apa yang Rene rasa. Rene tak mahu angah terluka dan merana. Rene doakan agar angah dipertemukan dengan seseorang yang lebih baik dari Rene satu hari nanti. Insya - Allah.
_____________________________________


Seperti yang aku jangka, majlis resepsi Zalia dan Hakimi sememangnya gah dan eksklusif, dah macam wedding of the year! Dekorasi pelamin dan dewan ini sangat indah dan menarik!! Siapalah perancang majlis perkahwinan ini agaknya ya? Pastinya orangnya sangat hebat kerana hasil sentuhannya begitu unik dan kreatif! Lain dari yang lain!
 “ Sampai pun Rene… Daddy ingatkan Rene tak datang dah tadi..” tegur Encik Johari, daddy Harith merangkap bekas ayah mertuaku.
“ Eh.. Mana boleh macam tu daddy.. Dah orang jemput kenalah datang… Maaflah lambat.. Kami ada hal sikit yang nak diselesaikan tadi…” ujar aku. Kan betul aku cakap? Semuanya jadi kacau – bilau disebabkan oleh kehadiran Adam Khalid yang tak diundang tadi. Pandangan aku menghala ke arah pasangan mempelai Zalia dan Hakimi di atas pelamin. Merpati dua sejoli itu bagaikan pinang dibelah dua!
“ Tak apa.. Majlis pun baru mula je…” Daddy pandang papa. “ Terima kasihlah Syahril, Sofea.. Sudi jugak datang.. Lama sungguh kita tak jumpa kan…” ujar daddy seraya memandang papa dan mama bersilih ganti. Pantas dia menghulurkan tangan untuk berjabat salam dengan papa. Lelaki yang usianya sebaya dengan papaku itu tampak sedikit gempal berbanding dulu. Rambutnya yang dulu hitam, dah ada uban sehelai dua. Begitulah kita bila dah berusia. Semuanya berubah. Tapi papa maintain tak ada uban. Rambut hitam pekat macam pakai inai. Walhal tak pun.
“ Itulah.. Alhamdulillah sampai jugak kami…. Kalau tak kerana Rene dengan Harith ni, agaknya bila pulak kita nak jumpa…” ujar papa mesra.
Aku hanya tersenyum mendengar perbualan mereka. Baru sekarang aku perasan, kelibat Harith Daniel langsung tak kelihatan di dalam dewan ini. Ke mana pula dia agaknya?
“ Daddy.. Mana Harith?” tanya aku dengan mata yang melilau ke sekeliling, tercari - cari bayang lelaki itu.
“ Tadi dia ada.. Ni dah hilang pulak…” daddy turut melihat ke sekeliling dewan. Berkerut dahinya bila bayang anak sulungnya itu tiba – tiba saja lesap dari pandangan.
“ Haa.. Panjang umur dia…” kata daddy sambil menggamit Harith Daniel yang baru masuk ke dewan.
Tersengih – sengih dia mendapatkan kami yang sudah mengambil tempat duduk di meja VIP itu. Seketika, lelaki itu menjadi tatapan aku tanpa dia menyedarinya. Dalam diam aku memuji ketampanannya malam ini. Dia memakai baju Melayu cekak musang berwarna coklat, dipadankan dengan kain samping songket hitam dan songkok hitam.  Baju Melayu yang dipakai oleh Harith malam ini mengingatkan aku pada raya Aidilfitri dua tahun yang lalu. Itulah kali pertama kami sambut Hari Raya Aidilfitri sebagai pasangan suami isteri. Baju Melayunya itu baju raya yang aku tempah khas sekali dengan baju kurung moden yang aku pakai pada malam ini. Sedondon gitu!
“ Dah lama sampai ke mama, papa?” tanya Harith seraya menyalami papa penuh hormat.
“ Baru tadi je, Harith…” jawab papa sambil tersenyum lebar.
“ Abang pergi mana tadi?” aku menyoal sewaktu lelaki itu menyalami mama pula.
Harith menoleh pada aku. Terus lidahnya jadi kelu membisu. Soalan aku tak dijawab. Sebaliknya dia berterusan memandang aku tanpa berkelip mata. Eh! Harith ni kenapa? Macam kena pukau je? Tengok aku macam tak pernah tengok aku! Seram!
“ Abang..! Dengar tak Rene tanya?” aku menampar lengannya perlahan. Kurang selesa bila ditatap oleh Harith seperti itu. Malu pada mama, papa, mommy dan daddy yang semeja dengan kami. Masing – masing sudah tersenyum penuh makna melihat tingkah Harith Daniel itu tadi.
“ Eh… Sorry… Apa dia?” Harith baru tersedar dari khayalan.
Aku mencebik geram. Itulah! Berkhayal tak tentu masa. Sampai aku cakap apa pun dah tak masuk dalam kepala. Ngomel aku dalam hati.
“ Rene tanya.. Abang ke mana?”
“ Oh.. Pergi ambil fon tertinggal dalam kereta tadi…” ujar Harith sambil menayang handphone di tangan.
“ Cantik sangat Rene ya? Terpegun Harith dibuatnya…” usik papa sambil tersenyum meleret.
“ Papaa….!” Aku mengetap gigi. Panas mukaku disakat oleh ayah sendiri.
Serentak mereka berempat ketawa. Seronok sangatlah tu dapat usik aku. Tak pasal – pasal aku jadi bahan usikan mereka ini malam. Merah muka aku dibuatnya. Nasib baik atuk dan nenek leka berbual dengan para tetamu yang lain. Kalau mereka dengar, lagi parah aku kena! Pendek kata, aku dan Harith akan jadi topik utama mereka nanti!
“ Betul tu, papa. Cantik sangat anak papa ni… Harith ingatkan bidadari manalah turun dari langit tadi..” puji Harith penuh makna, sekali lagi memandang aku dengan senyuman lebar yang menghiasi bibirnya itu.
Erkk!! Bidadari? Harith Daniel ni demam labi – labi ke? Aku dikatanya bidadari? Rabun ke bekas suami aku ni? Kalau bab memuji, dialah juara! Papa, mama, mommy dan daddy sudah tersengih macam kerang busuk. Aku rasa macam nak tukar muka sekarang jugak! Harith ni memang nak kena! Patutlah dia pandang aku semacam. Terpesona dengan penampilan akulah kononnya!
“ Dahlah.. Rene lapar. Nak pergi makan. Bye.” Aku yang sudah malas hendak melayan mereka, pantas bangkit dari kerusi dan berlalu ke meja buffet.
__________________________________
“ Tadi kenapa lambat?” tanya Harith.
“ Err… Ada masalah sikit kat rumah tadi..” Tersekat - sekat aku menjawab, sekali gus menyembunyikan tentang pertemuan aku dan abang sepupuku itu tadi. Kalau Harith tahu, pasti akan banyak lagi soalan yang akan keluar dari bibirnya nanti. Lebih berbahaya kalau Harith tahu yang abang sepupuku itu sebenarnya masih mencintai aku seperti dulu.
“ Masalah? Masalah apa? Besar ke kecik?”
“ Kecik.. Don’t worry.. Dah selesai dah pun..”
“ Tadi atuk dah tanya dah mana Rene.. Nasib baiklah abang pandai cover line.. Abang cakap Rene kena balik rumah mama dulu baru datang sini…”
Aku menghembus nafas lega. Nasib baik! Bijak jugalah mamat ni dalam hal – hal macam ni. Buat seketika kami membisu. Aku ralit memerhatikan Zalia dan Hakimi yang sedang bersuap – suapan di meja makan pengantin. 3 – 4 orang jurugambar sibuk ambil gambar mereka. Dengar kata nanti siap ada video kahwin mereka. Terbaik!
Kami dihiburkan dengan persembahan dari Hanim dan Zameer, adiknya Zalia. Kalau di awal majlis tadi mereka menyanyikan lagu Selamat Pengantin Baru, kemudian lagu Kompang Dipalu. Sekarang ini, mereka berduet menyanyikan lagu Endless Love. Gandingan vokal yang mantap dan merdu! Nyanyian yang sungguh mengasyikkan. Berbeza dengan Zaquan kembarnya si Zameer. Suaranya biasa – biasa saja, tapi dia berbakat dalam bermain alat muzik. Walaupun kembar, tak semestinya bakat sama!
Tersenyum aku melihat Hanim dan Zameer yang mengalunkan lagu itu dengan penuh penghayatan.
My love,
There's only you in my life
The only thing that's bright
My first love,
You're every breath that I take
You're every step I make
And I
I want to share
All my love with you
No one else will do...
And your eyes
Your eyes, your eyes
They tell me how much you care
Ooh yes, you will always be
My endless love…
Tersentuh hati ini mendengar bait - bait liriknya. Tak tahu kenapa. Mungkin juga kerana lagu ini adalah lagu kegemaran Harith dan aku. Sebab itulah tak pasal - pasal aku jiwa kacau.
Akibat terleka dengan nyanyian Hanim dan Zameer, aku langsung tak sedar yang aku kini sedang diperhatikan oleh Harith. Senyuman tidak lekang di bibirnya. Mulalah aku jadi tak senang bila Harith buat macam tu. Panahan matanya bisa membuatkan hati wanita cair, meleleh macam ais krim!
“ Abang… Behave sikitlah… Jaga mata tu…” tegur aku tanpa mengerling ke arahnya walau sekilas.
“ Kenapa dengan mata abang?” Harith semakin galak merenung aku. Langsung tak pedulikan teguran aku tadi.
Aku mendengus. Buat – buat tak faham pulak dia... Cucuk mata tu dengan garfu baru tahu!
“ Mata abang tu rosak kut. Dari tadi asyik pandang sini je. Cuba pandang sana pulak…”
“ Dah yang dekat depan abang ni aje yang tak jemu mata memandang… Baik pandang yang ni aje.. Buat apa pandang yang lain…”
 Hurmm... Rasanya kalau aku cakap apa pun memang Harith takkan peduli. Sepatah aku cakap, berpatah – patah dia balas. Payah juga bercakap dengan orang macam ni. Petah tahap melampau! Layaknya dia jadi peguam, bukan arkitek! Berdebat, berhujah dengan Harith Daniel siapa pun takkan menang!
“ Bila tengok Zalia dengan suami dia, buat abang teringat pada kenangan kita. Masa majlis nikah kita.. Masa tu Tuhan je yang tahu perasaan abang.. Macam tak percaya Rene Hannani adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk Harith Daniel,” kata Harith sambil dari jauh melihat Zalia dan Hakimi yang sudah sedia untuk acara memotong kek pula.
Aku diam. Serentak itu semua memori itu masuk ke dalam ingatanku. Memori indah yang tak mungkin kami lupa sampai bila – bila.
“ Satu perasaan yang tak dapat abang gambarkan dengan kata – kata, sebaik kita sah diijabkabulkan. Bila abang kucup dahi Rene.. Subhanallah.. Baru abang tahu betapa indahnya perasaan itu.. Semuanya jadi halal untuk kita. Tak ada batasan pun...” sambung Harith.
Jauh di sudut hati aku mengiakan kata – katanya. Bukan dia saja yang dapat merasa itu semua, bahkan aku juga begitu. Tatkala bibirnya mengucup dahi ini, aku hampir menitiskan air mata terharu, bersyukur kerana akhirnya doa ini dimakbulkan oleh Yang Esa.
“ Ada satu benda yang paling abang ingat waktu tu... Nak tahu tak apa?” tanya Harith sambil merenung aku sejenak.
“ Apa dia?” aku tak sabar ingin tahu.
“ Rene blushing bila abang cium pipi Rene lepas tu. Hahahaa!”
Ohh!! Yang itu? Sekarang ini pun aku rasa pipi aku merah bila terkenangkan kejadian tu. Harith dengan selambanya cium pipi aku tanpa memberi isyarat. Depan orang ramai pulak tu!
“ Dahlah! Cukup – cukuplah cakap pasal tu! Malunyaaa...!” aku terus menekup muka dengan kedua belah tangan.
Sakan Harith ketawakan aku. Aku sendiri tak tahan gelak bila ingat pasal tu. Harith macam kucing gatal masa tu. Tak sabar – sabar nak cium aku, terus dibantainya depan semua tetamu! Malu gila!
“ Kak Rene… Abang Harith! Jom ambil gambar dengan pengantin! Cepat!” ajak Hanim, sekali gus membantutkan perbualan kami.
Ambil gambar? Kenapa nak kena ambil gambar dengan pengantin pulak? Tak ambil gambar tak boleh ke?
“ Eh… Alaa.. Seganlaa..” luah aku.
“ Segan apanya? Bukannya akak takde hidung… Jomlaaa.. Kejap je…. Mommy daddy semua dah tunggu dah tu..” Hanim terus menarik tangan aku dan menuju ke pelamin. Harith menurut dari belakang.
Di atas pelamin, mommy dan daddy statik berdiri di kiri dan kanan kerusi pengantin. Mommy di sebelah Zalia, daddy di sebelah Hakimi. Hanim pula duduk di atas anak tangga pelamin. Aku dan Harith berdiri di belakang Zalia dan Hakimi. Pandai betul kameraman atur kedudukan kami. Nak tak nak terpaksalah ikut. Nanti dalam gambar nampak tak cantik pulak. Saat ini aku tak ubah macam robot. Tegak berdiri dan langsung tak bergerak. Kaku, keras macam kayu. Walhal aku kalau bab berposing, kalah model! Tapi hari ni entah apa yang dah jadi dengan aku. Apa lagi berdiri di depan hampir 400 orang tetamu di dewan ini buat aku terasa hendak pitam.
“ Rapat sikit Kak Rene.. Kenapa jauh sangat dengan Abang Harith tu?” Zaquan yang berdiri dekat dengan pelamin menegur.
Hah? Rapat dengan Harith? Biar betul? Ishhh!! Ini yang aku malas ni! Aku menggumam dalam hati.  Baru saja hendak rapatkan kedudukan dengan Harith, tanpa diduga tangan Harith mendarat di pinggang aku, menarik aku agar lebih dekat dengannya. Aku tergamam! Darah seakan berhenti mengalir. Nafas juga bagaikan tersekat. Aku menelan air liur. Bulat mata aku pandang Harith yang hanya fokuskan penglihatannya pada lensa kamera di depan. Aku berkalih pandang pada papa dan mama yang duduk di meja VIP. Mereka tersengih – sengih memandang kami dari jauh. Harith tetap juga dengan wajah selamba. Tanpa segan – silunya dia memeluk aku di khalayak ramai membuatkan wajahku merona merah!
“ Senyum sikit…. Kita nak ambil gambar ni…” bisik Harith dengan senyuman manis di bibir.
Walaupun kurang selesa berada di dalam situasi ini, aku paksa juga bibir untuk menarik senyum walaupun saat ini aku cuma rasa nak lempang Harith yang sengaja mengemaskan pelukan di pinggang aku. Damn it!! Mamat ni ambil kesempatan nampaknya!!! Kalau tak mengenangkan yang kami sekarang di depan orang ramai, memang dah lama aku siku dia!

10 comments:

  1. gud job iman ariana.....suka cite ni...x sbr nk tggu yg seterusnya....cepat2 update yer....moga happy ending....

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq kaklong! happy ending atau tidak.. jengg jengg jenggg.. sama2 kita tunggu. hehehehee

      Delete
  2. Best sgt. Nk lg!

    ReplyDelete
  3. Hahahah....best jln crta...good job sis...nak lagi

    ReplyDelete
    Replies
    1. thank u fatin ila! :) insyaAllah will update the next chapter soon :)

      Delete
  4. Memang terbaik. Sambung lagi. Harith mmHg sengaja membakar hati Rene

    ReplyDelete
  5. first time dtg blog ni..
    ni mmg cte cerpen ke.. or ct benar?
    by the way.. ur article is great.. :)

    ReplyDelete