Friday 8 August 2014

Oh My Ex-Husband! 27

“ALANGKAH bagusnya kalau kita boleh gembirakan banyak hati sekali gus,” kata-kata itu terpacul di bibirku secara spontan.

“Rene cakap pasal apa ni? Tiba-tiba je?”Abang Firdaus yang duduk di hujung sofa bersebelahan dengan Kak Ana memandang hairan.

Kak Ana juga bereaksi sama seperti suaminya. Masing-masing berkerut dahi, bingung tak mengerti. Kak Ana tenung aku, seakan meminta penjelasan.

“Entahlah, cakap pasal diri sendiri kut?” aku mengusap-usap kepala Boboi yang sudah lena di atas pehaku. Kesian anak buah aku ni. Mengantuk sangat agaknya. Lepas saja minum susu, terus tidur.

“Aikk? Lain macam je adik kakak ni? Sedih sangat bunyinya tu. Kenapa?” giliran Kak Ana pula bertanya. Toto dibentangkan di tengah-tengah karpet, lantas dia mengambil Boboi dari aku dan baringkan si kecil mereka di atas toto itu. Lenanya Boboi sampaikan langsung tak sedar orang angkat dia.

Aku menjungkit bahu. Tak tahu macam mana nak jelaskan pada mereka masalah yang aku hadapi sekarang. Rumit. Amat rumit. Sampaikan kadang-kadang aku jadi sakit kepala fikir pasal ni. Pasal Adam, Amir dan Harith. Kalaulah aku ada magik, aku akan bahagiakan semua yang aku sayang serentak. Biar adil dan saksama. Biar tak ada hati yang merana.

“Entahlah, kak. Rene tak tahu macam mana nak cakap. Life is so complicated.” Tutur aku dengan nada yang berbaur keluhan.

Mama yang leka dengan Ipad mencelah. “Mana tak complicatednya kalau dah sampai tiga orang sekali yang duk tergila-gilakan adik Ana yang seorang ni,”

“Hah? Tiga?! Siapa?!” Kak Ana sudah terbeliak mata.

“Laa.. Ana ni duduk planet mana? Tak tahu cerita lagi? Harith, Adam, Amir. Dah lupa?” mama menggeleng-geleng perlahan.

“Oh, yang Ana tau cuma Harith dengan Adam je. Amir tu sekali ke? Maknanya dia memang serius nakkan Rene?”

Aku tersengih kelat. Patutlah Kak Ana terkejut. Rupa-rupanya dia fikir Amir tu tak serius dengan aku. Rasanya aku dah pernah beritahu sebelum ni. Mungkin Kak Ana sibuk fikirkan hal lain, jadi hal Amir dengan aku dia tak letak dalam kepala.

“Dah dia sendiri sampai sanggup jadi driver Rene ke sana sini, itu kalau tak cukup serius lagi tak tahulah nak cakap macam mana..” cerita mama lagi. Papa pula leka dengan cerita Die Hard di Astro sampaikan langsung tak menyampuk perbualan kami.

“Wah, hebatnya adik ipar abang ni! Jadi rebutan jejaka terhangat di Malaya!” Abang Firdaus menyengih. Semangkuk kacang pistachio di atas meja kopi dicapai.

Aku juih bibir. Orang lain tak rasa apa yang aku rasa, sebab itulah boleh cakap macam-macam. Yang sengsaranya aku!

“Hebatlah sangat! Orang yang menanggung ni juga yang sakit kepala nak menghadap tiga-tiga orang tu!”

“Apa susahnya, Rene? Tepuk dada tanya hati. Mana satu yang ada dalam hati Rene, mana yang paling Rene sayang, yang Rene rasa boleh bahagiakan Rene, Rene pilihlah.” nasihat Abang Firdaus panjang. Abang ipar aku ini anak tunggal dalam keluarganya. Tak punya sesiapa selain mak dan ayahnya sendiri. Sebab itulah bila dengan aku, dia caring sangat. Sebab aku sajalah satu-satunya adik yang dia ada walaupun hanyalah adik ipar. Tapi, lebih kurang pangkat adiklah juga tu, kan?

Aku diam. Rasanya tak kiralah siapa yang aku pilih antara mereka bertiga nanti, pasti akan ada hati yang terluka. Pasti akan ada yang merana.

“Kan bagus kalau lelaki boleh bermadu? Rene madukan aje tiga-tiga tu.” Mulalah terlintas yang bukan-bukan dalam kepala otak aku ni. Mulalah nak cakap benda yang merepek, yang tak masuk akal. Kalau para penghuni Tanjung Rambutan dengar, pasti mereka sakan gelakkan Rene Hannani yang jauh lebih mental dari mereka. Aku rasa, mereka pun lebih waras dari aku.

Semua dah pakat ketawakan aku. Nasib baik Boboi tidur. Kalau Boboi tak tidur pun, Boboi takkan ketawa sebab dia tak faham apa-apa. Tapi kalau dia faham, malulah aku! Mesti Boboi malu dapat makcik yang separuh biul macam aku.

“Rene, Rene. Mazhab mana ajar lelaki boleh dimadukan? Adik akak ni nak kena mandi bunga ke apa?” sindir Kak Ana dengan tawa yang masih bersisa.

“I said kalau. K.A.L.A.U = KALAU! Rene masih waras. Masih tahu apa yang dibenarkan dan apa yang tidak dalam Islam, cuma kadang-kadang tu terlintas jugak benda-benda bodoh macam tu. Nak puaskan hati semua orang punya pasal.”

“Rene, we can’t please everyone, sis. Keep that in mind. Kalau boleh buat macam tu, amanlah dunia!”

Abang iparku itu angguk berkali-kali, tanda dia bersetuju dengan isterinya. “Betul tu. Lagi satu tak semua benda yang kita mahu akan jadi milik kita. Tak kiralah siapa pun pilihan Rene mereka kena terima hakikat bahawa cinta itu tak semestinya memiliki. Jangan ada yang meroyan bila Rene tolak cinta mereka nanti sudahlah.”

Tergelak aku dengar ayat Abang Firdaus yang akhir tu. Jangan ada yang meroyan. Hmmm.. Kesian pula kalau ada yang meroyan kerana aku. Gila gara-gara cinta tak kesampaian. Kesian, kesian, kesian.







AKU menemani mama ke Empire Gallery malam itu. Sepatutnya mama pergi dengan papa, tapi tak jadi sebab papa ada ceramah di masjid lepas Isyak. Jadi papa akan balik lambat. Aku pula sambil menyelam minum air. Selain temankan mama, dapatlah aku usha baju dan seluar jeans baru. Dah lama sangat aku tak shopping. Patutlah tadi aku rasa gatal tapak kaki. Rupa-rupanya Empire Gallery menanti aku malam ini!

Sebaik mama selesai membeli barang yang diperlukan, aku mengajak mama ke Chatime. Kaki bagai ditarik-tarik hendak ke sana. Sungguh aku tak dapat menahan godaan minuman bubble tea itu. Malam ini tekak aku macam nak sangat minum strawberry pudding au-lait. Terbaik dari ladang!

Tiba-tiba, aku terpandang kelibat ibu mertuaku yang berdiri tidak jauh dari situ seorang diri. Aku dan mama pantas menuju ke arahnya. Kami saling bertukar senyuman dari jauh. Tadi aku bukan main semangat nak beli Chatime, namun terbantut hasratku itu tatkala melihat queue yang begitu panjang. Aduh! Ramainya orang! Malaslah nak beratur.

“KL ni tak besar mana pun. Pi mai pi mai tang tu jugak. Tak sangka jumpa kat sini pulak, kan?” kata mommy mesra.

“Itulah. Mommy sorang aje ke? Harith dengan Hanim tak ikut sekali?” aku lihat ke sekeliling. Tercari-cari batang hidung dua beradik itu namun tak kelihatan pula di sini.

“Hanim pergi jumpa kawan dia dekat Subang Jaya. Harith ada. Kat sana tu haa!” mommy menuding pada Harith yang baru masuk kedai CD.

Aku tersengih panjang. Ada pun mamat ni! Ingatkan tak ada! Gembiranya aku bukan kepalang. Terubat rindu pada lelaki itu setelah hampir dua hari tidak ketemu. Pun begitu, tetap kami berhubung melalui telefon. Tapi telefon saja tak cukup. Nak juga tengok dia depan mata. Okey, fine. Mesti ada yang pelik kenapa aku jadi macam ni, kan? Entahlah. Aku sendiri pun pelik dengan diri aku ni. Sejak akhir-akhir ni, cuma dia saja yang aku rindu. Rasa-rasa, boleh agak kenapa?

“Mama jalan-jalan dengan mommy dulu, boleh? Rene nak pergi kacau orang kat sana tu kejap.” beritahu aku pada mama yang sedang rancak berbual dengan besannya itu. Datang idea jahat hendak mengacau Harith yang begitu ralit membelek CD di sana.

“Yelah.. Pergilah.” kata mama sambil tersenyum panjang.

Langkah ku ayun laju menghala ke kedai CD itu. Harith begitu leka membaca sesuatu di belakang hard cover VCD di tangan sehinggakan langsung tidak sedar aku tercegat di belakangnya.

“Khusyuk nampak?!” sergah aku seraya mencuit bahu Harith.

Harith tersentak. Nasib baik dia tak melatah. Kalau melatah pun tak ada yang dengar. Kedai CD ini bising dengan bunyi lagu yang dipasang kuat melalui speaker yang melekat di dinding.

“Eh?! Laaa.. Rene!! Rene pun datang shopping kat sini?” Harith baru perasan akan kewujudanku di situ.

Aku tergelak. “Yup! Mama ajak Rene temankan dia. Abang cari CD apa ni?”

“Tak adalah. Saja aje tengok-tengok. Sekarang ni banyak lagu tak best macam dulu. Tak macam Marc Anthony. N’ Sync. Backstreet Boys.” ujar Harith tak puas hati. CD di tangannya tadi diletak ke tempatnya semula. Matanya melilau melihat CD yang lain sepintas lalu.

Aku sependapat dengan Harith tentang itu. Semua yang Harith sebut, semuanya favourite dia. Favourite aku juga sebenarnya! Memang betul zaman sekarang punya lagu tak setanding dengan lagu-lagu era 90an. Bukanlah yang sekarang tak sedap. Tapi lagu sekarang kalau sekali dengar pun dah jemu. Kalau lagu-lagu lama tu, dengar banyak kali pun tak apa! Selang beberapa saat, mama dan mommy mendapatkan kami yang baru hendak keluar dari kedai itu.

“Rene, mama dengan mommy nak naik tingkat atas kejap ni. Nak ikut?” tanya mama sambil memandang aku dan Harith bergilir-gilir.

Aku tak terus jawab soalan mama. Aku pandang Harith di sebelah.

“Abang nak join?”

“Takpelah. Biar mama pergi dengan mommy, Rene teman abang pergi Teh Tarik Place ajelah.” pinta Harith sambil sengih macam kerang busuk. Mama angguk, terus berlalu bersama mommy ke arah eskalator. Aku dan Harith pula bergegas ke Teh Tarik Place yang juga terletak di aras yang sama.

Masa dekat The Tarik Place, aku perhati je kelakuan si HD ni. Ralit dia usha gadis cantik dan tinggi lampai, duduk tidak jauh dari meja kami. Sampaikan dia tak perasan aku perhatikan kelakuannya itu dari tadi. Panas hatiku melihat tingkah-laku Harith tatkala gadis itu ingin berlalu keluar dari restoran ini. Matanya tak lepas menyoroti langkah gadis itu hinggalah kelibatnya hilang dari pandangan. Tak berkelip langsung! Senyum meleret sampai ke telinga, macam tak pernah tengok perempuan! Geramnya aku!

“Abang!” sergah aku geram.

“Ye?” sahut Harith sedikit tersentak.

“Tengok apa sampai tak berkelip mata tu?!” aku sengaja buat-buat tanya. Walhal dari tadi aku perhatikan dia. Gatal sangatlah mamat depan aku ni! Aduh! Sakitnya hati! Kalau depan aku dia boleh buat perangai macam ni, belakang aku wallahua'lam. Entah macam manalah dia kalau jumpa awek cantik dan hot macam yang tadi tu?

“Awek tadi tu cun!” jawab Harith, dengan selambanya memuji gadis lain di depanku. Kalau dulu pandai dia jaga hati aku. Tapi sekarang semua itu sudah tidak diambil peduli.

Aku ketap gigi sekuat hati. Kecik besar aku nampak si HD ni. Kalau boleh, sekarang juga aku kunyah dia hidup-hidup!

“Ish!! Gatalnya!! Mata tu tak duduk diam, kan?!” aku mengecilkan mata memandangnya dengan penuh geram.

“Alaa.. Apa salahnya? Bukan selalu abang macam ni. Sekali-sekala,” Harith beriak selamba. Keningnya dijungkit berkali-kali.

Amboi!! Statement berani mati namanya tu! Wah, wah! Sebelum ni bukan main lagi sibuk ngorat aku. Bagi itu, buat ini. Semuanya untuk aku seorang. Sekarang ni dia dah mula jadi lelaki kasanova? Pantang tengok perempuan dahi licin! Arghhh!! Sakit hati aku! Sakit! Sakittt!!!

“Lagipun abang tengah single ni. Boleh je kalau cuci mata, kan? Mana tahu nanti tersangkut kat mana-mana awek ke? Boleh kenal-kenal.”

Aku dah panas telinga, panas punggung. Rasa macam nak angkat kaki blah dari sini! Tapi relaks dulu, Rene. Ada baiknya kau bawak bersabar. Ingat apa yang Bella pernah cakap dulu? Lelaki juga suka menguji. Berkemungkinan sekarang ini Harith sedang menguji. Dia nak tengok kau cemburu atau tidak. Mungkin!

“Ye, boleh sangat! Apa-apa hal cabut dulu cincin dekat jari tu. Barulah boleh menggatal kalau nak sangat.” Aku juga cuba untuk berlagak selamba. Dalam hati faham-faham sendirilah.

Harith geleng. Terus pandangannya tertancap ke arah cincin di jari manisnya itu. “Taknaklah. Sayang nak cabut..”

“Apa masalahnya? Cabut je. Buang terus dalam tong sampah, kan senang macam tu?” aku cabar Harith.

”E’eh! Yang Rene serius sangat ni kenapa? Marah eh abang cakap macam tu tadi?”

Akibat rasa marah yang meluap-luap, wajah Harith juga sudah tidak ingin aku tatap. Aku terus melarikan anak mataku ke lain.

“Ke jealous?” tebak Harith.

Huh! Dah tahu lagi mahu tanya! Menyampah! Meluat! Benci! Aku membisu terus. Malas nak berkomunikasi dengannya lagi.

“Ohooo… Ada orang jealous rupa-rupanya!” Harith dapat mengesan riak cemburu di mukaku.

“Mana ada! Dah nak usha awek sangat, kan? Pergilah! Itu hak abang. Suka hati abanglah nak buat apa pun. Lagipun macam yang abang cakaplah, abang tengah single. So you can do whatever you want.” Berlagak sungguh aku. Pura-pura tak hairan dan langsung tak cemburu. Beraninya aku cabar dia macam tu. Kalau Harith betul-betul tak kisah dengan aku, esok juga dia pergi cari awek lain! Yang berputih matanya aku!

“Alalala.. Abang gurau je tadi tu. Takkan tu pun nak ambil serius? Mana boleh abang usha perempuan lain sedangkan depan abang dah ada bidadari yang cantik jelita ni?” Harith mula memujuk.

Aku tak hiraukan dia. Buat seolah-olah dia tak wujud di sini. Lelaki kalau dah mengayat, memang bahaya. Kalau hati tak kuat, memang aku dah cair dengan dia. Sekarang ni pun dah ada rasa macam nak meleleh macam aiskrim. Dahsyat!

Harith merapatkan badan ke meja. Dia duduk menopang dagu, sambil matanya tepat memandang ke wajahku.

“You know what? Abang paling risau kalau Rene tak bereaksi macam ni. Cemburu tandanya sayang.”

Erkk!! Dia dah main serkap jarang pulak. Bahaya ni.

“Dahlah! Malas nak layan abang. Taknak cakap dengan abang 10 minit.” ujarku yang langsung tak tengok Harith lagi.

Harith ketawa lantas pipiku dicubit geram.

“Ouchh!! Sakitlah! Kenapa cubit Rene?” aku mengusap-usap pipi yang terasa pedih. Memberikannya jelingan tajam.

“Sorry! Abang geram sangat tengok kecomelan Rene. Sebab tu abang cubit. Bila dia marah tu lagilah comel. Sangat-sangat comel! Eee!! Merajuklah, merajuk. Ada yang kena cium dengan abang kejap lagi.”

Aku mencebik benci. Sikit-sikit nak cium, sikit-sikit nak peluk. Gatal! Dasar lelaki! Memang takkan lari jauh dari penyakit gatal dan miang mereka tu!

“Awek tadi tu comel. Tapi comel-comel dia pun, tak mampu buat abang rasa berdebar macam pertama kali abang terpandangkan Rene dekat Rasta tu. You don’t know how I feel at that moment. Love at the first sight.. Masa mula-mula nampak Rene, Tuhan je tahu apa abang rasa. Padahal kita tak kenal pun masa tu. Bila Rene senyum balik dekat abang, rasa macam dalam hati ada taman. Tak sangkalah pulak Rene ni pelajar kepada Sir Farid a.k.a kawan abang. Lagilah abang happy! Sebab tu abang nekad nak sangat kawan dengan Rene, nak kenal hati budi Rene dengan lebih mendalam lagi. Dan alhamdulillah impian jadi kenyataan. Abang berjaya curi hati Rene yang mahal tu.”

Hilang rasa marah, timbul rasa terharu. Wahai hati, jangan mudah terpedaya dengan setiap pujuk rayu dan kata-kata manis bak gula itu. Aku diam tanpa bicara. Pandailah dia pujuk aku dengan mengungkit semula kisah lama. Saja nak suruh aku cepat cair tu!

“Dan sehingga ke saat ini, setiap kali abang dengan Rene, abang bahagia. Walaupun Rene tak pernah kata sayang, tak pernah kata cinta tapi abang gembira. Sangat-sangat gembira.”

Aku pandang wajah Harith semula. Mata bertentang mata. Lelaki itu tersenyum penuh makna.

“Kesimpulannya, takkan ada seorang pun gadis yang boleh curi hati abang, melainkan Rene seorang.” bersungguh-sungguh Harith meluahkan.

Dan.. Aku terkedu. Kalau tak kerana yang aku sekarang ini berada di khalayak ramai, rasanya sudah lama aku menitiskan air mata terharu.

“Oh ya! Kalau abang nak cakap sikit boleh?” tanya Harith tiba-tiba.

“Apa dia?”

“Lain kali jangan pakailah rantai tu..”

Pandanganku turun ke rantai pemberian Amir.

“Kenapa pulak?”

“Takde. Abang tak suka tengok. Tu je.” Jawab Harith dengan wajah tak puas hati. Lain macam nada percakapannya. Pasti hatinya diusik cemburu.

Aku menahan tawa yang hampir meletus di bibir. Dengan rantai ni pun nak cemburu ke, wahai Encik Harith? Tapi kalau aku jadi dia pun mungkin aku akan rasa macam tu juga. Tengok macam tadilah, dia pandang dan puji awek lain pun aku dah bengang sampai nak merajuk dengan dia. Jadi kami ni dua kali limalah sebenarnya. Dua-dua pun kuat cemburu!







“I dah sampai. Turunlah,” Amir memberitahu di talian.

Aku kerling jam tangan sepintas lalu. Awal pula mamat ni sampai. Selalunya pukul 5.30 baru nampak batang hidungnya tu.

“Okey. Kejap. Lima minit.” balas aku sebelum talian diputuskan. Masuk hari ni genaplah tiga hari Amir jadi driver tanpa gaji aku. Pagi dia hantar, petang dia ambil. Mengalahkan mak datin pula aku ni.

Komputer di depan aku shut down. Segera mengemas meja, menyusun fail-fail dan kertas yang berselerak.

“Rina, aku balik dulu. Jumpa esok.” kata aku pada Afrina yang masih tidak berganjak dari workstationnya. Bukan dia saja yang masih di sini, ada lagi beberapa orang rakan sepejabatku yang kekadang akan balik lewat dari waktunya.

“Yup! Okey. Take care!” Afrina melambai tangan ke arahku.

Aku membalas lambaiannya itu. “You too!”

Aku berlari anak ke arah lif yang hampir tertutup pintunya. Mujurlah sempat masuk. Kalau tidak satu hal pula nak tunggu lif sampai. Sudahlah lif yang lagi satu rosak. Terpaksalah kami rebutkan lif yang satu ni.

Keluar saja dari bangunan itu, aku lihat Amir sudah tercongok bersandar pada sisi kiri keretanya.

“Hai, jelita!” tegur Amir ceria.

“Hai..” balasku bersahaja dengan langkah yang diatur ke arah pemilik Toyota Camry itu.

Amir sudah hendak membukakan pintu kereta bila tiba-tiba ada sebuah BMW Z4 yang membelok masuk dan berhenti betul-betul di depan kereta Amir.

“Rene, jom abang hantar balik.” ajak Harith sebaik dia keluar dari keretanya.

Aku tak jadi nak masuk kereta Amir. Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Macam mana ni? Harith ajak aku balik dengan dia? Amir pun nak aku balik dengan dia jugak! Aduh! Peningnya aku! Yang Harith ni langsung tak cakap dia nak ambil aku hari ni. Ini tak ada angin tak ada ribut muncul kat sini pula.

“Eh takpe, Harith. Biar aku je hantar dia.” sela Amir.

“Takpe, aku boleh hantarkan. Lagipun memang aku nak pergi jumpa mama dengan papa Rene pun. Biar Rene balik dengan aku ajelah hari ni.” Harith tak mahu kalah. Masing-masing nak tunjuk hebat.

“It’s okay. Aku boleh hantarkan.” Balas Amir pula.

“Tak payah susah-susah. Biar Rene balik dengan aku je.” Harith berkeras.

Aku pandang Harith, kemudian Amir. Aku tersepit di tengah-tengah. Tak tahu nak balik dengan siapa! Ya Allah! Serabutnya! Kalaulah aku boleh klon diri aku sekarang, senanglah cerita. Satu boleh balik dengan Harith, satu lagi balik dengan Amir. Tapi sayangnya itu tak mungkin terjadi! Arghh!! Stressnya aku! Tolong!

3 comments:

  1. Xsabar nk tunggu versi buku siap

    ReplyDelete
  2. Tq...Very interesting!!! Best.. hope to see next entry soon...

    ReplyDelete
  3. lm dh tggu nvl ni...ingt dh kuar..rupanya msh dlm pnilaian..cerita yg sgt mnarik...rs xde lg citer mcm ni sblm ni...smg dmudahkan Allah sglnya.

    ReplyDelete