Tuesday 4 November 2014

Oh My Ex-Husband! 29

HARI ini Harith ajak aku ke E-One Cafe, restoran milik sepupu Bella. Kali terakhir aku ke sini, ialah waktu Harith nyanyikan lagu Kerna Ku Sayang Kamu. Kenangan malam itu memang tak aku lupa sampai sekarang. Sampai di E-One Cafe, tak sampai 10 minit pun kami duduk Harith sudah dipanggil naik ke pentas. Tak ku sangka buah cempedak menjadi nangka. Sungguh aku tak sangka yang Harith Daniel kini semakin dikenali ramai. Setiap kali dia ke sini, pasti akan ada yang buat permintaan Harith menyanyi, menghiburkan mereka semua.

Harith membisikkan sesuatu pada salah seorang gitaris live band di belakang sebelum dia duduk di kerusi bulat itu. Semua yang ada di sini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada dia, termasuklah aku.

“Ladies and gentlemen, lagu yang akan saya dendangkan sebentar lagi saya tujukan khas untuk seseorang yang amat bermakna buat saya. Dia ada di sini bersama-sama kita pada malam ini,”

Satu restoran bersiul nakal, mengusik. Ada yang dah tercari-cari, melilau mata ke sana sini ingin melihat siapa gerangan yang Harith maksudkan. Harith ketawa mengekek-ngekek. Aku hanya mampu tersengih. Dalam hati tertanya-tanya lagu apa yang hendak Harith tujukan pada aku nanti.

“Untuk cik adik manis yang duduk di meja sana tu, saya harap awak enjoy malam ni,” tanpa disangka-sangka Harith menudingkan jari telunjuknya ke arah aku.

Semua pandang aku. Mukaku terasa membahang serta-merta, malu-malu kucing gitu. Aduhh!! Harith ni! Saja je nak naikkan nama aku pulak! Cukup dia seorang yang famous, tak perlulah libatkan aku sekali. Malunya!

Harith tersengih-sengih pandang aku dari atas pentas. “This song is for you, Rene. Hayati liriknya,”

Petikan gitar dari salah seorang ahli live band itu berkumandang. Tidak lama selepas itu, suara lunak Harith menyapa gegendang telinga kami semua.



Cerita ini tak lagi sama, meski hatimu selalu di sini

Mengertilah bahawa ku tak berubah

Lihat aku dari sisi yang lain



Bersandar padaku, rasakan hatiku

Bersandar padaku



Masuk bahagian korus, Harith mengajak semua yang ada di situ bertepuk tangan, ikut irama lagu yang didendangkan. Serentak mereka semua bertepuk tangan, cukup sporting dan semua pun begitu enjoy sekali. Aku cukup kagum dengan bakat Harith ini. Selain pandai bermain gitar, dia juga boleh menyanyi. Dan dia membawakan lagu Tak Lagi Sama nyanyian Noah dengan caranya tersendiri.



Dan diriku bukanlah aku, tanpa kamu tuk memelukku

Kau melengkapiku, kau sempurnakan aku



Waktu yang telah kita lalui, buatmu jadi lebih bererti

Luluhkan kerasnya dinding hati

Engkaulah satu yang aku cari



Dan diriku bukanlah aku, tanpa kamu tuk memelukku

Kau melengkapiku, kau sempurnakan aku



Dan diriku bukanlah aku, tanpa kamu menemaniku

Kau menenangkanku, kau melegakan aku



Sekali lagi Harith mendapat tepukan gemuruh dari mereka yang ada di sini. Dah boleh kalahkan artis terkenal pula dia ni. Semua terpaku mendengar nyanyiannya, memuji-muji kemantapan suaranya itu. Selesai menyanyi, Harith terus kembali ke tempat duduknya semula.

“Ni semua abang punya pasal. Semua orang pandang Rene je dari tadi. Malu la!” luah aku dengan wajah yang masih membahang. Ada beberapa orang yang matanya masih galak merenung aku dari tadi.

“Alaa.. Nak malu apanya? Biarlah semua orang pandang Rene. Biar semua tahu siapa gadis yang begitu istimewa di hati abang.” ujar Harith, tak lekang dengan senyuman.

Sekali lagi wajahku merona merah tatkala Harith sebut perkataan 'istimewa' itu. Rasa darah menyerbu ke muka. Pun begitu, aku masih mampu berlagak tenang, kawal gugup dan gementar yang menjalar di hati. Bertambah gementar bila sepasang mata Harith menikam tepat ke wajahku dengan panahan mata yang cukup mempesonakan. Relaks, Rene. Relaks. Tarik nafas, hembus perlahan-lahan.

Tidak berani hendak bertentang mata dengannya, aku pandang ke tempat lain. Saat ini sepasang merpati sejoli yang duduk di meja bertentangan dengan kami menarik perhatianku. Yang lelakinya berbangsa Inggeris, yang perempuan pula berbangsa Cina. Sweet sangat mereka. Saling berpegangan tangan, langsung tak lepas-lepas. Yang si lelaki pula seakan tidak jemu menatap seraut wajah ayu milik kekasih hatinya itu. Bersuap-suapan, bergelak ketawa, bergurau senda. Ah! Alangkah bahagianya mereka! Bibirku menarik senyum panjang melihat gelagat mereka. Tanpa sedar, Harith juga turut merenung aku yang terleka melihat gelagat manja merpati sejoli tadi.

“Agak-agak, kita boleh jadi macam lovebirds tu tak?” suara Harith begitu dekat dengan telingaku.

“Hmm?” aku terpinga-pinga memandangnya. Jadi macam lovebirds tu? Maksud dia apa?

“Rene rasa kita boleh ke jadi macam tu?” Harith mengulangi soalan yang sama, sambil matanya turut dihalakan ke arah pasangan kekasih itu. Jus carrot milk disedut suku gelas.

Serius aku tak faham. Apa yang Harith cuba sampaikan sebenarnya? Dia nak kami jadi macam mana? Aku pandang Harith lama-lama dengan pandangan blur. Harith ketawa. Fahamlah dia yang aku masih belum jelas dengan maksudnya itu tadi.

“What are you talking about?”

“Rene tak faham atau buat-buat tak faham? Perasan tak yang sekarang ni pun kita dah okey sangat-sangat, kan? Abang terfikir jugak, kalau kita cuba untuk pergi lebih jauh dari ini, mesti boleh kan?”

“Apa maksud abang dengan pergi jauh dari ini?”

“Abang nak kita jadi pasangan romantik macam tu. Ke mana-mana pun berdua, suka dan duka kita kongsi sama-sama. Tak kira susah atau senang, kita tetap ada untuk satu sama lain.”

Oh I see!! Aku dah faham sekarang. Adakah ini bermaksud Harith ingin kami melangkah ke peringkat yang seterusnya? Peringkat yang lebih serius. Yang lebih dari sekadar teman. Or in other words, dia nak berbaik dengan aku semula!

“Maksud abang, kita couple semula?”

Harith mengangguk sungguh-sungguh. “Abang selalu sangat berangan satu hari nanti dapat jadi buah hati Rene semula. Macam dulu-dulu. I love you, you love me. Saling memerlukan antara satu sama lain. Alangkah bahagianya kalau boleh lalui balik semua tu.” jawab Harith yang tak lekang dengan senyuman di bibir. Matanya masih ralit perhatikan pasangan kekasih berlainan bangsa itu.

“Abang ni nak bergurau pun agak-agaklah.” ujarku malas hendak membicarakan tentang hal ini dengan lebih lanjut lagi. Benda yang dah melibatkan soal hati ni yang buat aku lemah sebenarnya. Kenapa Harith tiba-tiba cakap pasal ni? Mimpi apa dia?

“Siapa kata abang bergurau? Nampak macam abang main-main? Abang serius ni.” Harith menayang riak serius. Tak ketawa, tak juga senyum.

Aku telan air liur. Gulp! Dia serius dan dia maksudkan apa yang dia cakap tadi. Tengg teng tenggg..!







PUAS melepak di E-One Cafe, Harith ajak aku balik. Aku tak terus masuk ke rumah. Sembang kejap dalam kereta.

“Abang masih berharap agar Rene boleh beri abang peluang untuk tebus semula kesalahan abang pada Rene,” luah Harith sambil memandangku penuh mengharap. Aku fikir perkara ini tidak akan berlanjutan. Rupanya Harith masih belum selesai. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin untuk meluahkan isi hati yang terpendam selama ini.

Aku bungkam tanpa suara. Bila Harith mula ungkit tentang ini, aku mati kata. Sedari tadi lidahku kelu. Sejujurnya aku agak terkejut kerana Harith tiba-tiba saja membuat pengakuan seperti ini. Setelah sekian lama, akhirnya dia meluahkan rasa. Bukan aku tak suka, malah aku teramat bahagia mendengarnya. Namun tak aku nafikan pengalaman pahit yang pernah aku lalui dulu menyebabkan aku lebih berhati-hati. Dan aku tidak tahu sejauh manakah keikhlasannya mencintaiku? Aku tak mahu pisang berbuah dua kali. Aku takut luka lama berdarah kembali.

“Kalau Rene sudi, abang nak mulakan sekali lagi dengan Rene. Abang yang lukakan hati Rene jadi biarlah abang yang ubatinya semula. Abang nak hidup bahagia dengan Rene macam dulu. Tapi andai kata dah tak ada ruang di hati Rene untuk abang, abang redha..” sayu suara Harith kedengaran. Sangat menyentuh hati.

“Abang, Rene..” Sedikit ragu-ragu aku hendak meneruskan kata. Patutkah aku berikan kata putus sekarang? Semuanya terjadi dengan begitu pantas sekali. Lagipun soal hati dan perasaan bukannya boleh dibuat main. Jadi aku perlukan sedikit masa untuk beri jawapan mengenai hubungan kami.

“Rene tak perlu beri kata putus sekarang. Abang tahu Rene perlukan masa. Abang taknak Rene fikir abang ni terlalu mendesak, terburu-buru..”

Aku menghela nafas lega. Mujurlah Harith sangat memahami. Dia seakan sudah tahu apa yang aku rasa.

“Okey, Rene faham. Rene akan fikirkan sedalam-dalamnya tentang kita.”

Harith senyum lebar. “Sebelum abang terlupa abang nak cakap yang abang nak pergi Melaka hari Khamis ni,”

Melaka? Teringat apa yang Hanim pernah beritahu, abangnya kerap benar ke Melaka. Aku rasa macam nak sangat tahu apa yang ada kat sana sampaikan Harith sering ke sana.

“Melaka? Again? Hari tu pun abang dah pergi Melaka, kan? Hanim kata abang kerap ke sana. Ada apa kat Melaka tu sebenarnya?” ringan mulutku bertanya. Alang-alang Harith sebut pasal ni, baik aku tanya.

Soalan aku tak terus dijawab. Harith menghela nafas berat. Tak semena-mena, wajahnya berubah kelat. Bingung aku melihatnya. Harith bagaikan berat hati untuk memberitahu.

“Err.. Sebenarnya abang ada kawan kat sana. Kawan abang tu… Dia… Dia…” ayat Harith tergantung di situ.

“Dia apa?” aku ternanti-nanti ayat selanjutnya.

“Dia tu orang susah. Sekarang ni dia tak berapa sihat sebab tu abang kerap ke sana. Ziarah dia.” jawab Harith tanpa melihat mataku.

“Ye ke? Kesiannya dia. Habis tu dia macam mana sekarang?”

“Dah okey sikit. Tapi masih tak sihat sepenuhnya. Sebab tu sesekali abang akan ke sana. Jenguk dia.”

Aku turut bersimpati walaupun aku tak kenal dan tak tahu siapa yang dimaksudkan. Dahlah orang susah, sakit pula tu. Baru aku sedar betapa bertuahnya aku kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan alhamdulillah setakat ini makan pakai semuanya lengkap tersedia. Kalau kita rasa kita susah, ingatlah bahawa ada orang yang lebih susah dari kita. Jangan pandang pada yang ada, tapi pandanglah pada yang tiada.

Aku cukup tersentuh hati melihat keprihatinan Harith terhadap rakannya itu di saat dia memerlukan. Harith memang baik. Tak sekali dia lupakan kawan-kawannya yang di dalam kesusahan. Punyalah seronok bersembang, baru aku sedar yang hari sudah semakin lewat. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 10.30 malam.

“Dah lewat ni. Rene masuk dulu eh?” ujar aku lembut.

Harith angguk tidak membantah. Aku baru hendak membuka pintu kereta. Tiba-tiba Harith menyeru namaku perlahan. Aku toleh ke arahnya dengan kening yang sedikit terjungkit.

“Pasal apa yang kita bincangkan tadi tu, Rene fikir habis-habis. Nanti bila dah dapat jawapannya, Rene beritahu abang. Abang akan tunggu.” kata Harith.

“Insya-Allah,” balas aku dengan senyuman nipis sebelum aku turun dari kereta.

“Dah, Rene masuklah. Sejuk kat luar ni. Nanti Rene selsema pulak.” suruh Harith.

Aku angguk perlahan. “Okey. Bawak kereta elok-elok. Nanti dah sampai rumah beritahu Rene okey?” spontan aku berpesan. Dulu memang wajib aku pesan macam itu pada Harith. Sebabnya aku takkan senang hati selagi tak tahu dia dah sampai rumah atau tidak? Cukup dengan dapat SMS atau call dari dia, baru aku lega.

Makin meleret senyuman di bibir Harith. Suka sangat aku pesan macam tu agaknya.

“Okey, sayang.”

Bergetar hatiku tatkala panggilan itu terlafaz di bibirnya. Namun aku masih mampu berlagak selamba. Tanpa menanti lama, aku terus masuk ke dalam rumah. Bunyi enjin kereta Harith juga sudah tidak kedengaran menandakan lelaki itu juga sudah pergi. Pintu rumah aku kunci dan terus tersandar di situ. Terngiang-ngiang suara romantik itu memanggilku sayang. Aduh! Ini yang buat jiwa terasa melayang-layang. Aku tersenyum. Angau!







“ANGAH dengar Rene dengan Harith dah berbaik semula. Is it true?” soal Adam.

Adam yang baru hendak duduk di sebelah aku pandang sekilas. Lambat-lambat aku mengangguk.

“A’ah. Kami dah okey. Alhamdulillah.” jujur aku menjawab.

Air muka Adam berubah keruh. Berbeza benar reaksinya dengan ahli keluargaku yang lain tatkala aku memaklumkan perkara ini pada mereka. Orang yang paling gembira sudah tentulah papa dan mama. Ternyata mereka menerimanya dengan hati yang terbuka tetapi Adam Khalid pula sebaliknya. Aku fikir dia pasti akan tersenyum gembira, mengucapkan tahniah di atas kebahagiaanku ini namun sangkaanku meleset. Wahai hati, bertabahlah!

“Patutlah ceria je muka dia. Harith ada sebut apa-apa pasal rujuk?”

Aku terdiam. Perlu ke aku beritahu Adam itulah niat Harith yang sebenarnya? Kalau aku beritahu, macam mana dia? Tapi aku rasa ada baiknya aku berterus-terang. Setidak-tidaknya lepas ni Adam Khalid tak akan mengharap apa-apa lagi bukan? Aku mengangguk sebagai jawapan kepada pertanyaan itu.

“And?” Adam tak ubah macam wartawan Melodi. Bertubi-tubi soalan dia tanya.

“Harith tak mintak jawapan sekarang. Dia faham Rene perlukan masa. Jadi sekarang ni Rene tak beri apa-apa kata putus lagi pada dia.”

“Macam mana dengan Rene? Rene masih sayang dan masih perlukan dia?”

“Kalau ya kenapa?” tanya aku sambil pandang terus ke dada langit yang sedikit mendung kelihatan. Mungkin hujan akan turun sekejap lagi. Padanlah angin pun rasa sejuk sangat petang ini.

“Then how about me, Rene? Angah pun sayangkan Rene, cintakan Rene..” luah Adam dengan suara perlahan seakan berbisik. Hampir tidak kedengaran butir bicaranya itu.

Aku memejamkan mata rapat. Tak sanggup aku lihat air mukanya itu. Ternyata dia kecewa dan hampa. Cintanya sekali lagi ditolak dengan alasan yang sama. Dan aku rasa, ianya akan kekal begini. Hati manusia itu Allah yang pegang. Rasa cinta itu pasti Dia akan lemparkan pada jiwa hamba yang dikehendakiNya. Namun mungkin bukan aku. Mungkin ada hikmahnya mengapa Allah tidak biarkan hati ini terpaut pada lelaki yang bernama Adam Khalid.

“Angah, Rene taknak cakap pasal ni lagi. Kalau Rene cintakan angah, dah lama Rene terima angah. Kalaulah Rene boleh paksa diri Rene untuk terima angah, Rene akan buat. Tapi sayangnya Rene tak boleh,” tegas aku.

“Tak apa. Angah sanggup tunggu.”

“Jangan! Jangan jadi bodoh kerana cinta. Jangan seksa diri angah sebab Rene!” aku pandang wajah itu tajam. Bodohlah Adam Khalid kalau terus menunggu sesuatu yang tidak pasti.

“Demi Rene, terseksa bertahun lamanya pun angah sanggup. Kalau itu saja caranya untuk angah buktikan betapa besarnya cinta angah pada Rene. Seandainya Rene tetap menolak, tak apalah. Mungkin sudah takdir yang angah tak layak untuk hidup bahagia dengan orang yang angah sayang..”

Aku menghela nafas berat. Ya Tuhan, kejamkah aku seandainya aku tidak mampu membahagiakan dia? Berdosakah aku kerana melukai hatinya? Dia tidak pernah berhenti mencintaiku namun sehingga ke saat ini aku tidak pernah merasakan yang sama.

“Tak. Jangan cakap macam tu, angah. Setiap insan layak untuk merasai bahagia yang sebenar-benarnya. Angah juga begitu tapi tak semestinya kebahagiaan angah terletak pada Rene. Siapa tahu mungkin ada yang lebih baik menanti angah di luar sana. Jadi tolonglah jangan sesekali angah seksa hidup angah macam ni..”

“Rene yakin Rene boleh bahagia dengan dia? Macam mana kalau dia tu sebenarnya masih tak berubah? Angah takut dia tak ikhlas dengan Rene. Angah takut dia sakitkan hati Rene macam dulu! Rene takkan bahagia dengan dia!” suara Adam sudah meninggi.

“Insya-Allah Harith takkan buat Rene macam tu, angah. Rene dapat rasa Harith dah menyesal di atas perbuatannya dulu. Rene takkan terima dia kalau Rene sendiri tak yakin yang dia boleh bahagiakan Rene. Tapi ternyata dia sanggup buat apa saja untuk kembalikan kebahagiaan kami,”

Adam membisu lama. Aku bangkit dari kerusi batu itu, namun tidak terus masuk ke dalam rumah. Aku berdiri membelakangi Adam yang hanya tunduk menekur rumput karpet itu.

“Maafkan Rene sebab tak mampu balas cinta angah. Mungkin Rene bukanlah yang ditakdirkan untuk angah. Tapi Rene percaya satu hari nanti angah pasti akan bertemu dengan jodoh yang lebih baik, yang boleh berikan angah kebahagiaan seperti yang angah idamkan. Yakinlah yang Allah sedang merencanakan yang terbaik untuk angah. Dan Rene harap, angah takkan benci Rene. Sekali lagi, maafkan Rene.”

Adam Khalid pantas berdiri dan menapak ke keretanya tanpa berpaling lagi. Riak wajahnya yang tegang menunjukkan api kemarahannya menjulang tinggi. Pintu kereta sengaja dihempas kuat. Berdecit bunyi tayar keretanya dipacu laju dari sini. Aku menghantarnya pergi dengan pandangan sayu.

****
Thank u for reading! Oh ya, saya akan stop post sampai bab 30 saja (manuskrip ini tak ada rezeki lagi nampaknya. masih dlm percubaan hantar ke publisher lain pula. ampun beribu ampun sebab dah lama tak update. tp jangan risau saya xkan menyepi mcm tu je. sy tetap akan update dgn cerita2 lain pulak, heheee.. sekali lagi, maaf sebab buat kalian tertunggu2.) Jgn lupa tinggalkan komen, ya? TQ! :)

8 comments:

  1. Syabas iman... teruskan usaha. InsyaAllah akan berjaya!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah aminnn!! Thanks for supporting me :)

      Delete
  2. Replies
    1. Stay tuned ya? InsyaAllah akan update nnt tq for reading :)

      Delete
  3. Dear iman.. really hoping for new entry...

    ReplyDelete
  4. Any news on OMEH? Dah publish ke?

    ReplyDelete
  5. best cite nie.. semoga dipermudahkan dan dapt publish cite nie.. Good story utk husband and wife and dah bercerai dan cuba utk memperbaiki keadaan.

    ReplyDelete
  6. dah publish ke novel ni??

    ReplyDelete