Monday 12 January 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 1

BAB 1

SUDAH lebih lima kali aku tengok jam. Dah pukul 10.30 malam! Habis la! Time-time macam ni aku masih melepak di luar. Balik nanti mesti kena lecture teruk punya! Kalau tadi kedai mamak ni havoc dengan suara riuh-rendah para pelanggan yang datang untuk menonton bola. Nak buat kerja pun tak senang. Tapi sekarang dah sunyi sepi. Bola dah habis, semua dah balik! Aman dunia!

“Guys, lambat lagi ke nak siap?” tanya aku pada Nick dan Naura, classmates a.k.a kawan baik aku di Universiti Malaya. Dua-dua sedang khusyuk berbincang sesuatu. Sesekali tangan Nick bergerak lincah di papan kekunci laptop. Semangat macam inilah yang diperlukan bila diberi tugasan berkumpulan. Kerjasama tu penting!

“Kejaplah! Wi-fi kat sini slow gila kut!! Stressed betul la!” omel Naura geram. Matanya tertumpu pada skrin laptop.

Aku sengih. Siapa tak tertekan kalau wi-fi lembab tahap maksima! Siput pun sikit punya laju tau! Nasib baiklah aku punya dah siap. Kalau tak siap pun, sambung kat rumah saja. Wi-fi kat rumah lagi laju dari kedai mamak ni! Unifi beb! Nasib baik jugaklah date line tinggal lagi 4 hari. Sempatlah kami siapkan assignment ni.

“Alaa.. sambung kat rumah ajelah! Boleh?” cadang aku yang dah tak sabar nak cepat balik.

“Gila apa? Aku takut tak siap-siap kerja ni nanti. Tahu-tahu ajelah kat rumah aku tu banyak godaan. TV lah, itulah, inilah!”

Haish! Naura ni kalau bab bagi alasan memang nombor satu! Aku tergeleng-geleng sendiri.

“Yang kau kalut sangat nak balik cepat ni pasal apa? Relakslah! Baru pukul 10.30! Malam masih muda! Tak rock la balik awal!” sampuk Nick.

“Rock abah kau! Kat rumah aku tu ada warden tau! Setiap masa dia pantau aku. Mana aku nak pergi, bila aku nak balik. Semua kena beritahu dia.”

“Warden? Eh, Ad! Kau duduk hostel? Bukan kau stay luar kampus ke?” tanya Nick dengan wajah innocent.

Aku menepuk dahi perlahan. Jepp yang duduk di sebelah sudah ketawa terbahak-bahak. Sedia maklum dengan kebendulan classmate kami yang seorang ni.

“Kau ni Nick, memang patut tukar nama Lurus Bin Bendul!! Warden yang dia cakap tu atuk dialah! Cik Adryana kita ni tak boleh balik lambat. Sebelum pukul 12 dah kena ada kat rumah. Macam Cinderella gitu!” kata Naura sambil tergelak kecil.

“Haa! Tahu pun korang!! Kejap lagi tok pa aku bising! Tak sanggup oi!” aku menggeleng laju. Terbayang-bayang wajah bengis tok pa. Janji nak balik awal, tapi sampai sekarang pun kerja tak siap lagi. Macam mana ni? Harapnya tok pa aku tu tak mengamuk nanti!

“Ok, ok. Kejap! Bagi aku 15 minit. Dah nak siap dah ni!” balas Naura sambil menaip laju tanpa perlu melihat keyboard. Dia sememangnya cekap menaip. Sebab itu setiap kali ada group assignment, dialah typist kami. Dahlah laju, nak cari typing error pun jauh sekali!

“Kalau korang tak siap lagi takpelah. Biar aku hantar Ad balik.” Kata Jepp atau nama penuhnya Mohd Jeffry. Pantas kunci kereta dalam poket seluarnya dikeluarkan.

Hah?! Jepp nak hantar aku? Lagi satu masalah! Tadi datang dengan Naura, tup-tup balik dengan Jepp pulak. Mesti tok pa lagi bising. Balik dengan lelaki malam-malam buta ni? Cari pasal betul!

“Err.. tak payah susah-susah, Jepp. Saya balik dengan Naura ajelah.” Aku senyum kelat.

“Nak tunggu sampai bila? Entah pukul berapa baru siap. Nanti saya nak jawab apa dengan tok pa awak?” Jepp mempamer riak risau.

Keningku terjungkit sebelah. “Eh, yang kena marahnya saya. Apasal pulak awak yang susah hati ni?”

“Yelahh... awak buah hati saya, of course saya rasa sakitnya jugak!”

Urghh!! Rasa macam kembang tekak dengar statement dia. Bila masa aku jadi buah hati dia? Perasan! Dia tu dah ada kekasih, ada hati lagi nak cari lain. Tapi dengar kata hubungan dia dengan Aleesya yang cantik jelita tu berantakan. Mungkin sebab itulah Jepp mula usha aku pulak. Begitu ulasan kawan baik aku, Naura. Entahlah. Sejauh mana kebenarannya aku tidak pasti. Yang aku pasti, buat masa sekarang aku masih belum bersedia untuk itu. Lagipun, mak dan ayah angkat aku selalu berpesan yang pelajaran harus diutamakan. Soal cinta tu nombor dua.

“Sudah-sudahlah tu lovebirds oi!! Ini bukan tempatnya nak bermadu asmara bagai. Pergi main jauh-jauh.” usik Nick dengan senyuman nakal.

Aku jeling Nick tajam. Dia ni nampak aje lurus bendul tapi bab mengusik orang boleh tahan jugak! Jepp hanya membalas dengan senyum lebar. Sukalah tu orang panggil lovebirds!

“Ad, kau balik dengan Jepp ajelah. Aku tak siap lagi ni.” Suruh Naura.

Ah sudah! Lagi sorang!

“Tapi.. aku.. err.. aku..”aku mati kata. Taknak! Taknak balik dengan Jepp!

“Tapi apanya lagi? Kalau kau rela tadah telinga nak dengar bebelan tok pa kau silakan. Apa-apa jadi nanti jangan salahkan kami pulak!” balas Naura.

“Dah. Tak payah fikir banyak. Jom saya hantarkan. Lagipun esok kelas awal pagi. Karang ada yang kena denda dengan lecturer kesayangan kita tu.” Celah Jepp pula.

Aku mendengus perlahan. Teringat esok ada kelas pagi, membuatkan aku lebih tak sabar nak cepat balik dan tidur. Dahlah lecturer kami tu garang. Muka serius 24jam. Takut! Kalau terlambat sikit je, siaplah!

“Betul jugak. Pergilah, Ad. Bila lagi nak berdua-duaan dengan cik abang sayang. He he he heee!!” Naura sakan menyakat.

“Banyaklah kau punya abang sayang!” Aku tarik rambut Naura perlahan. Kita orang memang macam ni. Bergurau macam bergaduh. Laju saja aku berkemas dan simpan laptop dalam beg sandang.

Naura dah ketawa mengekek-ngekek. Lepas say goodbye dekat budak dua berdua tu, aku terus ikut Jepp ke kereta.

“Silakan, cik adik manis.” Jepp pantas membukakan pintu untuk aku.

Adui! Tiba-tiba jadi gentleman pulak dia. Aku tersenyum paksa. Sempat aku usha line sekeliling. Manalah tahu kalau-kalau Aleesya ada, kalau dia nampak ni mati aku. Naik kereta pakwe dia pula tu. Aku sedikit teragak-agak nak masuk kereta. Menyesalnya tak bawak kereta sendiri. Sekarang terpaksalah aku ikut mamat ni pulak!

“Kenapa awak macam takut-takut je ni? Relakslah! Saya tak makan orang laa..!”

“Saya bukan takutkan awak. Saya takut dengan girlfriend awak. Kalau dia nampak ni, habis kita!”

Jepp ketawa. “Pembetulan. Ex-girlfriend.”

Aku senyum nipis. Apa-apa ajelah. Bukannya aku kisah sangat pasal hubungan cinta mereka tu. Yang aku tahu, sekarang jugak aku kena balik. Terasa cuak saat terbayang wajah serius tok pa. Harapnya tok pa dah tidur bila aku sampai nanti.




PERLAHAN kereta diberhentikan di depan banglo mewah milik keluarga angkatku ini. Aku pandang jam pada dashboard. Sikit lagi nak pukul 12. Kalau tak kerana traffic jam tadi haruslah aku sampai awal. Hampir satu jam kami terperangkap. Dari sini aku nampak lampu rumah masih menyala. Maknanya ada yang belum tidur lagi. Kalau tak tok pa, mesti abang angkat aku yang sememangnya suka tidur lambat. Hampir setiap hari jadi burung hantu. Serius aku takut sangat nak masuk. Dahlah mama dengan papa tak ada. Kalau apa-apa jadi, merekalah penyelamat aku!

“Thank you, Jepp. Sorrylah menyusahkan awak. Tak pasal-pasal kena redah traffic jam tadi.” kata aku sambil membuka tali pinggang keledar.

“Anything for you, dear. Tak susahkan saya pun.”

Aku senyum dan terus keluar kereta. Jepp ikut keluar sama. Siap hantar aku sampai ke gate.

“Ermm.. oklah.. See you tomorrow, insya-Allah. Good night.” aku dah malas nak berlama-lama di situ. Tak manis kalau jiran tengok. Nak pelawa Jepp masuk pun memang tak kena masa.

“Good night. Nanti tidur mimpikan saya, tau?” ujar Jepp sambil tersenyum mengusik.

Aku hanya mampu tersengih mendengarnya. Malas nak melayan, nanti makin menjadi-jadi. Aku juga yang pening! Tak tunggu lama, Jepp terus minta diri. Aku pulak dah sejuk kaki tangan nak masuk rumah. Takut kena marah punya pasal. Tapi harapnya tok pa dah tidur. Ya Allah, lindungilah hambaMu ini. Amin! Doaku dalam hati.

Lambat-lambat aku berjalan ke pintu berwarna coklat gelap itu. Nasib baik dah bawak kunci spare. Kalau tak ada yang tidur dekat luar je malam ni! Perlahan aku menolak daun pintu seraya memberi salam. Sepi. TV terpasang, tapi tak ada sesiapa pun di ruang tamu itu.

“Baru balik?!” sergah satu suara.

Opocot! Kunci di tangan terjatuh ke lantai. Lambat-lambat aku berpaling. Terasa pucat mukaku saat melihat tok pa yang entah bila masa tercegat di tepi tangga. Pandangan tajam tok pa menikam tepat ke mataku. Sumpah, aku rasa macam nak mati! Takut!

“Err.. tok.. tok pa.. tak tidur lagi? Dah lewat ni..” tutur aku tergagap-gagap. Aku tunduk menekur lantai. Sikit pun tak berani pandang tok pa.

“Tahu pun lewat!! Yang Ad tu pergi ke mana malam-malam buta macam ni baru ingat nak balik?!”suara tok pa naik satu oktaf.

Aku tarik nafas dalam. Harus beranikan diri untuk menjawab pertanyaan insan yang amat aku hormati. Selama aku membesar di rumah ini, susah nak tengok tok pa marah-marah. Malam ni paling teruk. Ashman, abang angkat aku yang muncul dari dapur dengan sebiji mug di tangan hanya memandangku sekilas sebelum dia bergerak ke sofa.

“Kan Ad dah cakap.. kat tok pa, Ad pergi buat... assignment dengan classmates Ad..” ujar aku sepatah-sepatah. Takkan tok pa lupa kut? Aku dah beritahu sebelum keluar tadi.

“Buat assignment ke berdating?! Jangan bohong tok pa! Tok pa tak suka!” mencerlang mata tok pa.

“Demi Allah, tok pa! Ad tak..”

“Jangan main-main dengan nama Allah. Cakap dengan tok pa, jantan mana yang hantar Ad tadi?!” tok pa memintas percakapanku. Nadanya kian meninggi, tidak mampu menahan sabar lagi.

Terdiam aku tatkala dijerkah tok pa. Kecut perut bila tok pa angin satu badan. Rasanya itulah punca kenapa tok pa marah benar dengan aku. Tengoklah siapa yang hantar aku tadi. Instinct aku memang tepat. Tok pa takkan lepaskan aku macam tu saja!

“Jepp. Kawan sekelas Ad. Kalau tok pa tak percaya, tanya Abang Ash. Dia kenal kawan-kawan Ad.” Aku menjawab jujur. Nasib baiklah Ashman ada, setidak-tidaknya dia boleh tolong yakinkan tok pa sebab dia pernah jumpa Jepp dan kawan-kawan aku yang lain. Dan dia tahu Jepp tu siapa.

“Betul, Ashman? Ashman kenal siapa budak Jepp tu?” tok pa berkalih pandang pada Ashman yang sedari tadi hanya membisu di depan TV.

Perlahan Ashman menggeleng dengan wajah yang ditundukkan sedikit. Reaksinya memeranjatkan aku. Kenapa dia tak mengaku?

“Abang!! Kenapa abang tipu?! Abang kenal dia!! Abang pernah jumpa dia hari tu!” aku dah tak boleh bersabar lagi. Tak mungkin Ashman dah lupa. Hari tu aku keluar dengan dia dekat Mid Valley, terserempak dengan Jepp masa makan dekat McDonald’s. Aku siap kenalkan Jepp dekat dia. Mustahil dia tak ingat!

“Bila masa?!” tanya Ashman seakan lupa.

“Masa kita dekat Mid Valley! Kita terserempak dengan dia!”

“Jumpa sekali tu je, Ad. Manalah abang ingat.” balas Ashman bersahaja. Dia pantas berkalih ke kaca televisyen semula.

Aku mengecilkan mata merenungnya. Sakit hati melihat wajah selambanya itu. Aku dapat rasa Ashman sengaja nak kenakan aku. Mungkin dia suka tengok aku dimarahi tok pa, sebab itulah dia langsung tak mahu tolong back up aku!

“Sudah!! Jangan nak bertengkar kat sini pulak!” celah tok pa seraya memandang kami bersilih ganti.

Tok pa menghela nafas berat. Dia bergerak ke sofa dan melabuhkan punggung di situ. Ada kehampaan di wajahnya.

“Kalau mama dan papa kamu tahu tentu mereka kecewa. Sudahlah balik lambat, berdua-duaan dengan bukan mahram pulak tu. Ini caranya Ad balas budi mereka yang selama ini tak kenal erti lelah membesarkan Ad..” luah tok pa dengan nada kecewa.

Mata aku sudah berkaca. Faham benar dengan apa yang cuba disampaikan tok pa. Aku sedar siapa aku. Nur Adryana hanya orang luar yang menumpang kasih di sini.

“Tak, tok! Ini semua salah faham! Sebenarnya, kami..” aku tetap mahu membela diri. Kalau mama ada, mesti mama akan bela aku. Nak harapkan Ashman? Memang taklah!! Dia lagi suka adalah!

“Tok pa dah taknak dengar apa-apa. Mulai hari ini tok pa tak benarkan Ad berjumpa budak tu lagi.” Tok pa tidak memandangku lagi.

Aku terkedu. Kenapa sampai macam tu sekali? Kami bukannya buat benda tak elok. Kalau aku ada pilihan, dah tentu aku takkan ikut Jepp balik tadi. Suasana hening seketika. Aku rasa buat masa ini memang tok pa takkan makan pujuk. Dia tengah marah. Cakap apa pun dia tak peduli. Biarlah. Demi menjaga hatinya, aku beralah.

“Ad mintak maaf. Ad janji takkan buat tok pa sedih lagi. Maafkan Ad.” Luah aku lirih seraya memandang wajah insan yang amat aku sayangi. Sedikit kesal kerana tidak diberi kesempatan untuk menjelaskan hal sebenar.

“Ad naik dulu.” Pamit aku. Tidak terbendung lagi sedih di hati. Aku perlukan ruang untuk bersendiri.

Masuk ke bilik, beg notebook aku letak ke lantai dan terus berbaring di katil. Anak patung Hello Kitty di kepala katil aku capai dan aku peluk erat, nangis semahu-mahunya. Kalaulah mama ada, mesti dia akan datang pujuk dan peluk aku kuat-kuat. Macam tu juga dengan Kak Nia, kakaknya si Ashman. Kalau dia ada, confirm dia orang pertama yang akan pujuk aku. Dia memang penyayang dan sangat rapat dengan aku. Setiap kali aku dilanda masalah, dialah pendengar setia. Tapi semenjak dia berumahtangga, kami jarang berjumpa.

Masih terngiang-ngiang setiap butir kata tok pa sebentar tadi. Tipu kalau aku kata aku langsung tak terasa hati. Tapi sebenarnya aku lebih terasa hati dengan Ashman. Dia langsung tak pertahankan aku! Dia sanggup tipu tok pa! Tergamaknya dia buat aku macam ni! Apa salah aku?




“MAK Jah, nampak kunci kereta Ad tak?” soal aku sedikit panik pada pembantu rumah kami yang sedang sibuk mencuci pinggan di dapur. Hairan sungguh. Tak tahu ke mana hilangnya kunci kereta aku tu. Dahlah kalut nak ke kelas. Masa macam nilah dia nak main hide and seek pulak! Masalah betul!

“Ada dengan tok pa.” jawab Mak Jah lembut seraya berpaling ke arahku.

“What? Kenapa?” mataku membulat.

“Dia kata mulai hari ni biar Pak Alan yang hantar dan ambik Ad. Dia taknak Ad ke mana-mana selain ke kampus.”

Aku mengeluh berat. Takkanlah disebabkan hal semalam, tok pa beriya kongkong aku macam ni? Payahlah kalau tak boleh drive sendiri. Dah tak bebas nak ke mana-mana. Semuanya nak harap pada driver tok pa tu sorang, matilah!

“Duduklah makan dulu, Ad. Nasi goreng pedas kesukaan Ad tu Mak Jah buat,” suara Mak Jah kedengaran lagi.

Aku yang berdiri kaku di pintu masuk dapur, hanya mengangguk perlahan. Kecur air liur dengar nasi goreng pedas. Perut yang sedia lapar, makin berkeroncong meminta diisi. Aku sudah ingin bergerak ke meja makan. Namun, saat terpandang kelibat Ashman di situ, selera terbantut. Aduh!! Mamat ni tak pergi ofis lagi?! Dah pukul berapa ni? Relaks sungguh! Mentang-mentanglah ofis tu tok pa yang punya, suka hati dia aje masuk lambat!

“Erm.. takpelah. Ad makan kat kampus je.” Kata aku dengan nada hambar. Selendang berwarna ungu lembut yang aku pakai aku betulkan sedikit.

“Tak boleh. Tok pa dah pesan kat Mak Jah, suruh pastikan Ad makan dulu baru keluar.”

“Macam mana nak makan, Mak Jah? Selera pun dah mati.” Kali ini aku tekankan suaraku. Biar Ashman dengar, biar dia tahu aku sakit hati dengan dia!

“Janganlah macam tu. Makanlah sikit. Tak kesian kat Mak Jah ke? Penat tau Mak Jah masak, Ad taknak makan pulak. Jamahlah sikit kut ya pun. Sikit pun jadilah.” Pujuk Mak Jah seraya mengusap-usap bahuku penuh kasih. Mak Jah ni memang dah aku agak macam mak aku sendiri selain mama.

Rasa bersalah pula aku pada Mak Jah. Penat dia hidangkan sarapan, aku pula taknak makan. Jadi, demi menjaga hati Mak Jah aku gagahkan kaki melangkah ke ruang makan. Sempat aku mengerling Ashman yang duduk di hujung meja khusyuk dengan telefon bimbitnya. Aku meluru ke tempat duduk yang agak jauh dari Ashman di meja kayu jati yang memuatkan 8 orang. Seboleh-bolehnya tak mahu dekat dengan dia dan tak mahu tengok muka dia lagi. Beg sandang aku campak ke kerusi sebelah, buku rujukan di tangan aku hempas kuat ke meja. Sengaja tunjuk protes depan dia. Dari ekor mata, aku perasan Ashman hanya memerhatikan semua gerak-geriku.

“Habis kelas pukul berapa hari ni?” tegur Ashman seraya memandangku lembut.

“Kenapa nak tahu?” balasku dengan wajah mencuka. Tidak langsung melihat ke arahnya.

“In case abang keluar ofis awal, abang ambik Ad.”

Heh! Dia nak ambil aku? Mimpi apa mamat ni tiba-tiba baik sangat hari ni?! Semalam bukan main dia kenakan aku! Menyampah!!

“Tak payah. Pak Alan ada.”

“Listen, Ad. I am so sorry about last night..” lembut intonasi Ashman seakan cuba memujuk. Pasti sudah sedar akan kesilapannya itu.

Aku diam sejenak. Milo yang sedikit suam aku sisip perlahan. Ashman yang berkemeja lengan panjang berwarna biru gelap itu sabar menanti respons dariku.

“Taknak cakap pasal ni lagi. Ad dah kena marah teruk dengan tok pa. Harapnya abang puas hatilah, ya?” sindir aku selamba.

Giliran Ashman pula membisu. Berubah riak wajahnya. Terpukul dek sindiran aku mungkin. Padan muka! Itu baru sikit aku bagi. Puas hati sangat dapat sakitkan hati dia kali ni. Suasana di ruang makan itu hening seketika. Masing-masing hanyut melayan perasaan. Nasi dalam mulut rasa macam pasir. Dah tak mampu nak habiskan. Selera aku benar-benar terganggu. Aku kerling jam Esprit di tangan. Pak Alan pun dah lama tunggu dalam kereta. Ada baiknya aku blah cepat-cepat. Panas punggung nak duduk semeja dengan mamat ni lama-lama.

“Oh ya, Ad nak ucap terima kasih dekat abang sebab dah ‘tolong’ Ad malam tadi. Terima kasih banyak-banyak. Ad takkan lupa ‘jasa’ abang tu.” Sindiran demi sindiran aku beri pada Ashman, membuatkan lelaki itu tertunduk membisu. Buku rujukan dan beg di atas kerusi aku capai dan terus berlalu pergi.

Sepanjang perjalanan ke kampus, aku banyak berfikir tentang apa yang terjadi. Sayu hati mengenang nasib diri. Tok pa dengan cara tok pa. Ashman pula.. Entahlah.. Sedari dulu, aku dapat rasa dia tak pernah sukakan aku. Kalau ianya benar, lebih baik aku pindah keluar dari sana secepat mungkin. Barulah puas hati dia nanti.



_______________________



Assalamualaikum semua. Ini cerita baru yang saya reka hentam kromo.hehehee.. cerita ini maybe saya buat mini novel saja (habis dekat blog jugak insyaAllah), tapi kalau idea banyak maybe akan jadi full novel terus, itu pun kalau idea banyak. lagi satu, mintak maaf sangat buat masa ini cerita Truly, Madly, Deeply tak dapat disambung segera. Ada kesilapan teknikal dan cerita yang dah saya tulis berpuluh muka surat tu MISSING IN ACTION. *nangis*

So, saya post cerita yang dah saya buat spare dalam laptop ni dulu. harap korang suka. Saya kena bertungkus-lumus tulis balik TMD tu. Sorry sangat guys!!

p/s:Jgn lupa tinggalkan komen sikit. Thanks! =)

1 comment: