Wednesday 4 March 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 14

SEJAK kebelakangan ini, Ashman Aidil dingin benar dengan aku. Entah apa puncanya aku sendiri tak pasti. Semua orang pun bingung dengan perubahan sikapnya yang mendadak itu. Boleh kira berapa patah perkataan yang keluar dari bibirnya bila bercakap dengan aku. Kalau bercakap pun, yang penting-penting saja. Apa yang boleh aku katakan hubungan kami sudah tidak seperti dulu. Segala-galanya terasa hambar sekali.

Lama aku mengelamun di depan komputer. Naik serabut kepala memikirkan tentang Ashman yang seolah-olah cuba menjauhkan diri. Aku ingatkan dia jadi macam ni sebab stress dengan kerja. Tapi dah nak masuk seminggu, tetap juga macam itu. Apa puncanya dia jadi begini? Aku ada buat salah atau dia yang memang dah tak mahukan aku lagi? Aku menghela nafas berat. Aku harap andaian ini salah. Aku harap Ashman takkan berubah hati kerana aku tidak sanggup kehilangannya.

Sudah penat hendak terus berteka-teki. Aku bingkas bangun dan turun ke bawah. Seminggu macam ni dah cukup untuk buat aku kena migrain tahap kronik. Semuanya harus diselesaikan di sini juga. Aku dan Ashman perlu berbincang. Kalau tidak sampai bila kami nak macam ni?

“Mama, mana Abang Ash?” soalku pada mama di dapur.

“Ada dekat luar tu. Tengah buat apa entah?”

“Biar Ad pergi tengok dia kejap.”

Laju aku melangkah ke pintu. Seketika, aku tercegat di situ. Ralit merenung Ashman yang sedang duduk bersila di tepi swimming pool. Mengelamun jauh nampaknya tu. Aku menggeleng perlahan. Apa dah jadi dengan dia ni? Dia ada masalah ke? Termenung memanjang. Naik runsing aku melihatnya. Ashman langsung tak sedar akan aku yang sudah berdiri di belakangnya. Berkhayal tak ingat dunia!

“Ehem!”

Ashman yang sedikit terperanjat, berpaling. Aku mengukirkan senyuman paling manis buatnya, namun Ashman hanya membalasnya dengan riak keruh di wajahnya. Dia memandang ke depan semula. Sedikit tersinggung dengan layanan dinginnya itu. Tidak ada lagi tawa atau gurau senda. Hubungan kami kian renggang dari hari ke hari dan itu menyebabkan aku semakin tertekan. Entah di mana silapku sehinggakan dia tergamak menyisih aku begini.

“Boleh Ad duduk sini?”

Ashman hanya mengangguk. Masih juga tak bercakap walau sepatah. Ada berlian agaknya dalam mulut tu! Segera aku duduk bersila di sebelahnya. Sejuk betul malam ni. Nak hujan agaknya. Laju tanganku mengusap-usap lengan sendiri. Aku membisu sejenak. Tercari-cari ayat untuk diluahkan. Buntu. Tak tahu bagaimana harus aku memulakan kata.

“Abang, esok kita keluar tengok wayang nak? Ada cerita hantu baru keluar. Abang mesti suka. Ad tengok trailer dia aje pun dah rasa seram. Kita pergi ya?” aku memulakan perbualan. Entah apa-apa Adryana ni. Tiba-tiba je ajak tengok wayang. Lantaklah! Janji ada topik untuk dibualkan okeylah.

Ashman mengeluh kecil. “Malaslah.”

“Keluar jumpa kawan boleh. Dengan Ad malas. Sampai hati..” aku buat-buat merajuk. Tapi memang terasa pun sebenarnya. Pelawaanku ditolak! Baru-baru ni empat malam berturut-turut dia keluar dengan kawan. Keluar lepas Maghrib, tengah malam buta baru balik. Bila tanya jumpa siapa, taknak cakap. Itu yang aku tak sedap hati tu. Dia dah lain sangat sekarang. Dulu Ashman mana nak keluar rumah. Yelah, awek depan mata. Nama pun serumah.

Ashman membungkam lama. Pandangannya dilemparkan terus ke arah kolam renang di depan. Aku kat sebelah dibuatnya macam tak wujud. Nampak gaya taktik aku tak menjadi. Ingatkan naklah dia pujuk, tapi hampeh! Sikit pun dia tak peduli! Aku menggaru-garu kepala yang tak gatal. Apa yang harus aku lakukan agar dia kembali seperti dulu?

“Apa dah jadi dengan kita? Semuanya dah tak sama macam dulu. Abang tiba-tiba je berubah, sisihkan Ad. Ad tak tahu apa salah Ad. Sakit kepala Ad fikirkannya.” Terluah jua akhirnya apa yang dipendam selama ini.

“Kalau macam tu jangan fikir apa-apa. Habis cerita.”

Aku memandang lelaki itu dengan rasa tak percaya. Dari cara percakapannya itu sudah cukup untuk menjelaskan semuanya. Dia memang dah tak mahu pedulikan aku lagi! Wahai hati, bertabahlah!

“Abang memang dah berubah. Let me guess, mungkin Hanislah puncanya abang jadi macam ni, kan?” lancar aku melontarkan kata-kata. Memang inilah apa yang aku rasa. Tentu saja perempuan itu puncanya. Dah lama aku perasan, Ashman jadi macam ni sejak dari hari yang tok pa cakap Hanis pergi jumpa dia tulah.

“What are you talking about?” soal Ashman sedikit terkejut.

Aku tersenyum sinis. “Abang ingat Ad tak tahu dia pergi jumpa abang hari tu? Kalau tak kerana tok pa yang beritahu, rasanya sampai kiamat pun abang tetap akan berahsia dengan Ad. Am I right?”

Ashman kelu membisu. Dan kebisuannya itu telah menjawab segala-galanya. Aku dah tak perlukan apa-apa penjelasan lagi. Semuanya dah cukup jelas! Terang lagi bersuluh!!

“Apa yang dia nak dari abang?” soalku lagi.

Pertanyaanku dibiarkan sepi tanpa jawapan. Dia seakan keberatan hendak bersuara. Selang beberapa saat, telefon bimbit di atas pehanya berbunyi. Membuntang mataku tatkala terlihat nama pemanggil yang tertera di skrin Iphone miliknya. Hanis!!

Panggilan itu segera dijawab. Dia bingkas bangun dan terus meluru masuk ke rumah, tidak mahu perbualannya didengar. Aku ditinggalkan terkulat-kulat di situ. Sukar untuk aku percaya dengan semua ini. Kenapa dia nak kena lari macam tu? Tak boleh ke cakap je depan aku? Atau sebenarnya ada sesuatu yang dirahsiakan dari pengetahuanku? Ya Allah, sesak dadaku memikirkannya.

Sejak akhir-akhir ini, kerap benar Hanis mencarinya. Kenapa agaknya ya? Ashman ada hubungan sulit dengan dia ke? Tak!! Tak mungkin!! Bukan ke Ashman tak suka dia? Kan Ashman kata dia tak pernah cintakan Hanis!! Atau mungkin saja dia sudah mula membuka pintu hatinya buat gadis itu pula. Tidak!! Aku harap ini semua hanyalah mimpi ngeri!! Ianya pasti akan berakhir nanti!!



SELESAI membeli-belah di Pavilion, aku singgah sebentar di KZ Holdings. Tujuan aku ke sini sebenarnya untuk bertemu Ashman dan mengajaknya makan tengahari bersama-sama. Mulanya ingat nak ajak tok pa sekali, tapi baru ingat hari ni tok pa puasa sunat Isnin. Tok pa memang rajin buat puasa sunat ni, tiap-tiap minggu pulak tu. Tabiklah! Tinggal beberapa minit saja lagi nak ke pukul 1. Tapi sebelum tu wajib jumpa tok pa dulu. Aku bergegas ke biliknya. Sempat bertukar senyuman dengan beberapa orang staf tok pa yang sibuk dengan urusan masing-masing.

“Assalamualaikum, tok pa. Sibuk ke?” soalku setelah pintu dikuak sedikit.

“Waalaikumussalam. Taklah sibuk sangat. Masuklah.” arah tok pa sambil matanya tertumpu pada dokumen di atas meja.

“Kenapa tak cakap nak datang?” tanya tok pa lagi setelah aku duduk di kerusi yang bertentangan dengannya di meja itu.

“Bukan taknak cakap, tapi tadi masa nak telefon kredit pulak tak ada. Ingat nak jumpa Abang Ashman. Dia ada ke?”

“Ada. Pergilah jumpa dia.”

Aku angguk. Segera bergerak ke bilik Ashman, bersebelahan dengan bilik tok pa. Berdebar semacam nak jumpa Ashman kali ni. Apa lagi lelaki itu sudah tidak sama seperti dulu. Setiap kali hendak bersua mata dengannya, buat aku terasa kekok dengannya.

“Hai, abang.” sapaku sebelum masuk ke biliknya. Walaupun aku ni bukan orang lain dengan dia, tapi tak bolehlah main redah saja. Selagi dia tak suruh masuk, aku takkan masuk.

Ashman yang leka menghadap komputer, memandang sekilas. Macam biasalah, langsung tak senyum.

“Hai..” balas Ashman acuh tak acuh.

“Boleh Ad masuk?”

Ashman mengangguk perlahan. Aku terus meluru ke mejanya dan duduk di situ. Seperti yang sudah dijangka, dia tak sikit pun mempedulikan aku. Diri ini tak ubah seperti tunggul kayu.

“Busy ke?” Takut-takut aku menyoal. Aku datang tak kena masa ke ni? Sibuk semacam dia ni. Ke buat-buat sibuk?

“Boleh tahan. Kenapa?” Mata Ashman masih tertumpu sepenuhnya pada skrin komputer. Jari-jemarinya bergerak laju menaip sesuatu.

Aku mengerling jam sepintas lalu. “Dah nak masuk waktu lunch ni. Makan sama-sama nak?”

“Maaf tapi abang tak boleh. Ad ajak tok pa jelah.”

“Tapi Ad nak makan dengan abang. Tok pa puasa.” Aku tak putus asa walau sedikit hampa. Bukan main banyak alasan dia sekarang.

“Ajaklah orang lain. Abang tak boleh. Abang dah janji dengan kawan.”

Aku mengeluh hampa. Kawan lagi. Sikit-sikit kawan. Selalu sangat keluar dengan kawan sampai aku pun terabai. Tergamak betul Ashman buat aku macam ni.

“Buat penat je Ad drive datang sini.” Aku sudah mula hendak merajuk.

“Abang suruh Ad datang ke? Takde, kan?!” Nada Ashman sedikit meninggi. Tajam matanya merenung wajahku.

Aku terpempan. Dah kenapa dengan Ashman ni? Tiba-tiba saja naik angin. Tahu nak marah orang je sekarang. Pantang salah cakap sikit terus melenting tak tentu pasal.

“Ad cuma nak luangkan masa dengan abang, takkan itu pun salah?” Situasi bertambah tegang bila suaraku juga naik satu oktaf. Selama ini aku sentiasa bersabar dengannya, tapi dia tak sudah-sudah ingin menyakiti aku. Sengaja cari pasal. Sejuknya penghawa dingin di dalam bilik ini langsung tidak mampu menyejukkan hati yang membara. Makan hati betul dengan Ashman Aidil ni.

Ashman melepaskan keluhan berat. Aku cuma diam, tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Seboleh-bolehnya aku cuba untuk tidak bergaduh dengan dia. Niat aku ke sini pun hanya satu, mahu menjernihkan hubungan yang semakin keruh. Tapi kenapa Ashman tak pernah nak layan aku baik-baik? Demi Allah hati ini teramat rindukan dia yang dulu.

Nada dering dari telefon bimbit Ashman memecah keheningan yang tercetus antara kami sejak beberapa saat tadi. Lambat-lambat dia mencapai fon di atas mejanya.

“Ya, Hanis. You dah sampai ke? Ok. I baru nak keluar ofis. Lagi 20 minit I sampai.”

Panas telingaku setiap kali nama itu meniti di bibir Ashman. Hanis rupanya. Barulah aku mengerti sekarang. Semuanya sudah jelas. Aku yakin, memang Hanislah penyebab Ashman bersikap dingin terhadapku. Hubungan ini kian goyah disebabkan perempuan itu.

Aku menundukkan wajah, cuba menyembunyikan anak mata yang sudah basah. Ashman tak tahu betapa sengsaranya aku ketika ini. Namun aku tidak mahu tampak lemah di matanya. Aku segera bangkit. Sedar yang aku sebenarnya tidak dialu-alukan di sini. Beg tangan atas meja dicapai dan aku terus beredar pergi. Jauh di sudut hati aku berharap dia akan mengejar dan memujukku semula, tetapi hampa. Itu tidak mungkin terjadi. Aku berlari anak meluru ke arah lif yang hampir tertutup. Sempat aku berpaling ke belakang, masih berharap dia akan muncul dan menghalang aku pergi. Namun bayangnya tetap tidak kelihatan. Tanpa aku sedar, air mata sudah mengalir membasahi pipi.



FON di tangan aku genggam kemas. Tak tahu nak telefon Ashman atau tidak. Mengingatkan kejadian di pejabat tadi membuatkan aku jadi tawar hati. Tapi merajuk pun tak guna sebab Ashman takkan pujuk. Nak telefon dia ni pun semata-mata nak ajak dia keluar lepas office hour nanti. Harapnya dia takkan menolak. Call sajalah, Ad. Dia setuju atau tidak itu belakang cerita. Yang penting cuba dulu baru tahu.

“Hello.” Lembut suara di hujung talian.

Dahiku berkerut. Aik? Macam kenal je suara ni?

“Hello. Kak Hanis ke tu?”

“Ya. Kau nak apa?” soal Hanis agak kasar.

Panas hatiku mendengarkan cara Hanis bercakap. Tak tahu hormat orang langsung! Tapi hati ini lebih sakit bila dapat tahu Ashman dah berani bagi orang lain pegang telefon dia. Siap tolong jawab call pula tu! Melampau sungguh!

“Ad nak cakap dengan Abang Ash. Mana dia?”

“Dia kat surau.”

“Macam mana pulak handphone dia ada dengan Kak Hanis?” terpacul soalan itu di bibirku. Kak Hanis, Kak Hanis. Orang macam dia ni tak layak panggil kakak. Tapi sebab fikir dia lebih tua dari aku, jadi aku kenalah hormatkan dia. Bimbang nanti dikatakan biadab.

“Hei, aku ni girlfriend dia! Mestilah dia bagi aku pegang fon dia!! Yang kau dengki sangat kenapa?!” jerkah Hanis. Nyaring suaranya menampar gegendang telingaku.

Berderau darahku mendengar perkataan yang terbit dari bibir Hanis.

“Girlfriend?”

Hanis tertawa sinis. “Terkejut? Kau tak tahu ke yang kami sekarang dah jadi pasangan kekasih?”

“Tapi.. kami..” kata-kataku terhenti di situ. Pasangan kekasih? Betul ke apa yang aku dengar ni? Sejak bila dia orang couple? Ashman tak beritahu apa-apa pun? Adakah apa yang aku takutkan selama ini sudah pun terjadi? Aku menggenggam cadar katil kemas dan kuat. Segala macam perasaan menjalar ke hati. Marah, geram, sedih. Semuanya bersatu.

“Ash kata korang dah lama putus! Jadi lepas ni tak payahlah terhegeh-hegeh cari dia lagi. Dia dah taknak kat kau dah! Ashman cakap dia dah bosan dengan kau. Tahu tak?!”

Hatiku rasa tersayat. Pedih. Teramat pedih! Sukar untuk aku mempercayainya. Tak mungkin Ashman sanggup buat macam tu. Tak mungkin!! Mataku terasa panas.

“Kak Hanis bohong!! Ad tak percaya Abang Ashman cakap macam tu!!” bergetar nadaku menahan sebak. Tanpa sedar air mata sudah mengalir laju di pipi.

“Terpulang. Belajarlah terima hakikat yang kau sebenarnya tidak ditakdirkan untuk Ashman. Aku yang menjadi keutamaannya sekarang. Dia pilih aku kerana dia sedar aku yang lebih layak untuk dia, bukan kau!!” sembur Hanis lagi. Puaslah hati dia sekarang! Apa yang diidamkan sudah menjadi miliknya.

Menggigil tubuhku menahan tangis. Aku menggeleng berkali-kali, menidakkan apa yang diperkatakan Hanis. Perempuan ini busuk hati. Mungkin saja apa yang dikatakan itu dusta belaka. Aku tak mahu percaya!! Namun seandainya memang itulah yang terjadi, bermakna aku sudah terpedaya dengan kebaikan Ashman selama ini. Rupa-rupanya dia sama saja seperti yang lain. Hanya tahu mempermainkan hati gadis seperti aku. Ashman kejam!!!

“Kami teramat bahagia sekarang dan aku takkan biarkan kau musnahkan hubungan kami! Ingat tu!!” sambung Hanis lantas talian segera diputuskan.

Aku menyembamkan wajah ke bantal, meraung semahu-mahunya. Tidak terkawal lagi esak tangisku. Bayangan wajah Ashman bermain-main di mata. Kenapa Ashman sanggup berbuat begini? Kenapa harus aku yang menjadi mangsanya? Apa dosa aku? Aku fikir dia benar-benar sudah berubah. Namun ternyata aku silap. Dia masih Ashman Aidil yang sentiasa ingin menyakiti hati Nur Adryana. Aku benci dia!! Benci!!!

Sabarlah, Ad. Ingatlah yang cinta itu tidak semestinya memiliki dan memiliki juga tidak semestinya cinta. Jika ini yang Ashman mahukan, jika ini yang membahagiakan dia, biarlah aku yang beralah. Aku hanya mampu mendoakan yang terbaik untuknya. Kalau dia sudah tidak perlukan aku, aku rela pergi membawa diri.

Perlahan aku bangkit dari pembaringan. Air mata di pipi aku seka dengan belakang tangan. Mata dah bengkak akibat terlalu banyak menangis. Aku menarik nafas panjang dan menghembusnya perlahan. Tanpa berfikir apa pun lagi, aku segera mengambil luggage berwarna merah jambu di tepi wardrobe dan membawanya ke katil. Semua pakaian dalam almari aku capai dan sumbat ke dalamnya. Tak tinggal satu pun. Aku tidak tahu ke mana harus aku pergi. Yang aku tahu, aku harus segera beredar dari sini.


***************

Komen please. ;) Thanks!

4 comments:

  1. Best. Mesti ada sebab kenapa Ash tetiba berubah. Next chappy please? :D

    ReplyDelete
  2. yeah..cepat2 habisksn..huhu

    ReplyDelete
  3. konflik lg..huhuuhuh taksabar tunggu kisah seterusnya

    ReplyDelete