Tuesday 10 March 2015

Kamu Yang Ku Tunggu 16

SETELAH hampir tiga bulan aku tak balik ke rumah, baru hari ini aku ada kekuatan untuk jejakkan kaki ke sini lagi. Itu pun lepas mama beritahu yang hari ni Ashman ke Perak dan akan berada di sana untuk tiga hari. Lama aku tunggu peluang ni. Bila dia tak ada baru aku balik. Nak mengelak punya pasal.

“Assalamualaikum, mama!” laung aku sambil menanggalkan kasut di muka pintu.

“Waalaikumussalam. Sampai dah anak mama.” mama meluru ke arahku dengan senyuman manis di bibir.

Kami berpelukan erat, lama. Ingin melepaskan rindu. Selama tiga bulan ni berapa kali sangatlah aku jumpa mereka. Setiap kali jumpa mesti dekat luar dan bukannya di sini.

“Sorry sebab lambat. Tadi ada discussion dengan kawan-kawan sekelas.”

“Tak apa. Mama tahu Ad busy. Jomlah kita makan. Semuanya dah terhidang. Mama masak udang masak lemak cili api, your favourite.”

Kami segera bergerak ke meja makan. Dengar udang masak lemak cili api saja dah cukup untuk buat aku kecur air liur. Kami ambil tempat masing-masing. Tengahari ni kami cuma makan berdua saja. Papa sibuk dengan kerjanya, tok pa pula lunch dengan klien.

Dua kali aku menambah. Dah tak kisah langsung pasal diet. Yang aku tahu aku nak makan puas-puas. Hari ni je aku dapat makan sedap-sedap macam ni. Nak tunggu lain kali entah bila lagi? Suka betul mama bila tengok aku makan dengan begitu berselera sekali. Lepas makan nasi, mama hidangkan pencuci mulut yang dibuat khas untuk aku. Pulut mangga, my all time favourite! Puas hati betullah dapat balik sini. Semua yang aku nak semua dapat. Alhamdulillah rezeki.

“Sayang tok pa tak dapat join. Mesti dia suka cucu kesayangan dia ada kat sini.” luah mama seraya meletakkan pulut mangga ke dalam mangkuk kaca, kemudian diberikan pada aku.

Aku senyum, mengangguk setuju. Mangkuk di tangan mama aku ambil. Aku menuang sedikit kuah santan perlahan-lahan ke dalamnya. Pulut mangga ni memang tak sah kalau tak ada santan.

“Sunyi rumah ni bila Ad tak ada. Ad pun dah jarang sangat nak balik sini. Semuanya dah tak sama macam dulu.”

Senyumanku pudar. Hati dijentik sayu.

“Maaf, mama. Sebenarnya, Ad..” ayatku tergantung di situ.

“Mama faham. Ad bukannya taknak balik tapi cuma nak jauhkan diri dari Abang Ashman, kan?”

Soalan mama itu sebenarnya tak perlu dijawab kerana mama sendiri memang dah tahu jawapannya. Aku menundukkan pandangan.

“Bila dia nak kahwin?” Perit rasa hati tatkala menyebut perkataan itu. Kahwin? Lepas ni Hanis jadi kakak ipar aku? Oh Tuhan, tabahkan hati ini. Ada kalanya aku berharap ini semua hanyalah igauan ngeri.

Mama jungkit bahu. “Entah. Mama pun malas nak tanya. Sebenarnya mama tak berapa berkenan dengan budak Hanis tu.”

“Mungkin dah itu jodoh dia.”

“Selagi tak lafaz akad, selagi itulah tak boleh kata yang Hanis tu jodoh dia. Anything can happen, right?”

Aku senyum hambar, jauh di sudut hati aku bersetuju dengan kata-katanya. Nampaknya mama sendiri pun tak boleh terima Ashman dengan Hanis, namun andai sudah ini ketetapan Tuhan, redha saja.

“Sebenarnya mama risaukan abang tu. Dia dah lain sangat sekarang ni.” wajah mama kelihatan risau. Seolah-olah ada sesuatu yang menganggu fikirannya.

“Lain macam mana?” dahiku berkerut.

“Dia jadi pemarah. Baran. Tok pa kata dekat ofis tu ada saja staf yang kena marah. Buat itu salah, buat ini pun salah. Pendek kata semuanya serba tak kena. Mama pun tak fahamlah kenapa dia jadi macam tu. Dulu taklah kronik sampai macam tu.”

Kerutan di dahi bertambah. Apa sebablah Ashman jadi macam tu agaknya ya?

“Tekanan kerja agaknya.” Aku menebak. Logiklah sebab aku pun pernah juga kena marah dengan dia. Alasannya stress kerja.

“Papa pun cakap macam tu. Tapi mama perasan, dia jadi macam tu semenjak Ad pergi. Sebelum ni dia okey je.”

Aku tercengang. Apa kaitannya dengan aku? Atau mungkin maksud mama akulah puncanya Ashman bersikap begitu.

“Itu perasaan mama je kut. Mungkin dia ada masalah dengan Hanis. Tak ada kaitan dengan Ad pun.” aku menggeleng, ingin menafikan.

“Entahlah. Mama runsinglah tengok dia. Kalau mama tanya dia tak pernah dia cakap apa-apa. Suka sangat berahsia.”

“Insya-Allah abang akan okey. Mungkin dia tengah ada problem. Mama jangan fikir banyak sangat. Nanti mama pulak yang sakit.” aku pantas menenangkan mama. Belakang tubuhnya ku usap perlahan-lahan.

Aku minta diri untuk ke bilik dan solat. Selesai solat, aku terus bersiap-siap nak balik ke rumah sewa. Lepas ni nak keluar jumpa Jepp pulak. Fon atas meja solek aku capai. Masa nak turun itulah aku dengar ada seseorang yang sedang bercakap dengan mama di bawah. Suara lelaki. Tak semena-mena jantungku berdegup kencang, terkejut mendengar suara itu. Ashman ke tu? Bukan ke dia sepatutnya ke Perak hari ni? Apa dia buat kat sini? Bencinya!! Punyalah nak elak dia, alih-alih jumpa jugak! Aku menarik nafas panjang, mengumpul kekuatan untuk berdepan dengan lelaki itu.

Keluar dari bilik, aku terserempak dengannya di tangga. Dia nak naik, aku nak turun. Kami sama-sama terpaku. Ada debaran di dada saat mata bertemu mata. Lembut matanya merenungku, buat hati tak keruan. Tidak pernah menyangka ini akan terjadi. Setelah sekian lama tidak bertemu, hari ini dia muncul lagi di depanku.

Pandangannya jatuh pula ke jari manisku yang tidak bercincin, kemudian matanya melirik ke wajahku semula. Tidak ada sepatah kata pun yang kedengaran, baik aku mahupun dia, dua-dua kelu membisu. Hanya mata saja yang berbicara. Riak wajahnya sukar untuk aku tafsirkan. Bagai ada sesuatu yang tersirat di fikirannya. Deringan dari Iphone di tanganku mematikan lamunan panjang. Jepp telefon.

“Hello, Ad. Awak kat mana? Jadi ke nak jumpa?”

“Ya, Jepp. Jadi. Saya baru nak keluar dari rumah mama ni. Awak tunggu saya dekat tempat biasa, ok? Bye.” Ujarku panjang lebar. Penuh hati-hati aku menuruni anak tangga. Berjalan melepasi Ashman yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri tanpa menghiraukannya.

Aku bergegas mendapatkan mama di ruang tamu. Meminta diri untuk segera pergi. Sudah tidak sanggup untuk terus berlama di situ bila Ashman ada. Aku sudah tidak ingin melihat wajahnya lagi.





LEPAS saja keluar dari rumah mama tadi, aku asyik terkenangkan Ashman. Semuanya gara-gara pertemuan yang tidak diduga itu. Tak pasal-pasal jiwa kacau.

“Menungkan apa tu?”

Aku tersedar dari khayalan panjang. Jepp mengukir senyuman nipis ke arahku. Pertanyaannya itu aku jawab dengan senyuman hambar. Mataku tertumpu ke arah beberapa orang gadis yang baru masuk ke The Red Beanbag, tempat kami selalu lepak sejak beberapa bulan yang lepas.

“Dari tadi saya tengok awak monyok je. Is something bothering you? Ceritalah dekat saya itu pun kalau awak tak kisah.”

Aku masih tak membuka mulut. Jepp bersandar ke kerusi sambil menyilangkan tangan ke badan. Sabar menanti. Selain Naura, dialah pendengar setiaku. Apa saja masalah aku luahkan pada dia. Tak dinafikan kami semakin akrab, tapi hanya sebagai kawan biasa dan tidak lebih dari itu. Dan aku rasa ianya akan kekal begitu kerana pintu hati ini sudah tertutup buat insan bergelar lelaki. Serik.

“Tadi saya balik rumah mama..” aku berhenti sejenak.

“Go on. I’m listening.”

Aku tarik nafas dalam-dalam. Part ini yang paling susah hendak aku ceritakan.

“Ashman. Dia balik masa saya nak keluar tadi.”

“Ooo.. patutlah awak muram sangat. Sebab Ashmanlah ni?”

Aku angguk perlahan. Mengacau-ngacau iced lemon tea dengan straw.

“Awak ada cakap apa-apa dengan dia?” soal Jepp lagi sambil menopang dagu. Memandang tepat ke mataku.

Aku geleng seraya menundukkan wajah.

“Saya ingat saya kuat, rupanya tak. Lepas saja jumpa dia tadi buat saya sedar tentang sesuatu.”

“Apa dia?”

“Saya sedar yang saya masih sayangkan dia. Yang sebenarnya saya tak boleh lupakan dia, Jepp.” tutur aku. Ya, itulah yang aku rasa. Mulalah aku terkenangkan kisah lalu. Sumpah hati ini terlalu rindukan kebahagiaan kami yang dulu. Namun semuanya diragut dalam sekelip mata. Dia yang mengajarku erti bahagia, dia jugalah yang mengajarku erti derita. Tak aku nafikan apa yang telah terjadi di antara kami meninggalkan luka yang amat dalam, namun jujur aku katakan hati ini tidak mampu menidakkan rasa cinta yang masih utuh buatnya. Biarlah.. biar aku simpan saja cinta ini di hati.

“Ingat tak apa yang saya pernah beritahu awak dulu? Ashman cinta pertama awak. Dan cinta pertama itu sememangnya sukar untuk dilupakan. Percayalah, saya faham apa yang awak rasa. Only time will heal.”

Aku hanya mengangguk tanpa kata, bersetuju dengannya. Jepp berhenti sejenak, kemudian dia menyambung lagi.

“Awak kena move on. Buka pintu hati awak untuk yang lain, barulah awak boleh lupakan dia.”

Kata-kata Jepp buat aku berfikir panjang. Move on dan cari yang lain? Boleh ke aku? Susah nak cari pengganti Ashman. Kalau boleh aku nak yang sebijik macam Ashman Aidil. Aci tak kalau aku klon dia? Alahai.. Adryana dah mula nak merapu! Perbualan kami terbantut bila telefon Jepp tiba-tiba berbunyi. Ada panggilan dari seseorang. Dekat 15 minit jugaklah Jepp bergayut.

“Siapa?” soalku setelah Jepp selesai berbual di telefon.

“Aleesya. Dia ajak jumpa.”

“Kalau macam tu awak pergilah. Kita pun dah lama sangat dekat sini.”

“No, it’s okay. Saya cakap saya ada hal. Lagipun, tak boleh jumpa dia selalu. Bahaya.”

“Saya tak faham. Kenapa bahaya?”

Jepp mengeluh panjang. Tiba giliran aku pula untuk bertanya mengenai kisah cintanya yang juga kecundang di tengah jalan. Selama ni aku tak pernah tanya. Bukan taknak tanya, tapi tak berani. Takut nanti Jepp kata aku busy body.

“Cinta terlarang. Orang tua Aleesya tak merestui hubungan kami sebab mereka dah ada pilihan lain untuk Aleesya, yang lebih layak dan setaraf dengan Aleesya. Saya ni tak ada apa-apa. Setakat ada kereta buruk tu tak padan jadi kekasih Aleesya. Sebab itulah saya tak boleh jumpa dia. Kalau ayah dia tahu matilah saya!”

Aku terpempan. Terkejut mendengar kisah cinta Jepp yang ala-ala kisah cinta Romeo & Juliet. Teringat pula aku pada bait-bait lirik lagu Fauziah Latiff. Cinta terhalang oleh orang tua. Sedihnya!

“Kisah awak ni dah macam filem Antara Dua Darjat.” ujar aku yang turut bersimpati dengannya. Dapat rasa apa yang Jepp rasa.

“Kan? Sekarang ni saya tengah pening. Saya cuba nak jauhkan diri tapi Aleesya dua puluh empat jam cari saya. Dia tetap tak mahu lepaskan saya. Sudahnya saya turutkan saja kehendak dia. Berhubung senyap-senyap.”

“Habis selama ni awak selalu dengan saya, dia tak cemburu?”

“Cemburu jugaklah. Tapi terpaksa tahan perasaan. Kami kan dah tak boleh jadi macam dulu.”

Aku menelan air liur. Gulp!! Maknanya selama ni Aleesya tak sukalah tengok aku dan kekasihnya 24/7 berkepit macam belangkas. Bahaya! Nasib baik dia tak datang serang aku. Gerutuku dalam hati. Kami saling membisu untuk beberapa saat.

“Kita senasib. Cinta tak kesampaian.” kata aku pilu. Aku dengan Jepp sama saja. Bezanya cinta aku musnah kerana adanya orang ketiga. Kira aku ni beruntung sikitlah sebab mama dan papa bagi restu.

“Tulah. Dulu kita nak kat dia, dia jual mahal. Cuba kalau kita couple, agaknya dah bahagia sampai sekarang.”

Aku sengih kelat, langsung tidak membalas kata-kata Jepp. Nak buat macam mana? Semuanya dah tertulis. Siapalah kita untuk menolak takdirNya.





“KAU pergi dating kat mana petang semalam?” Naura sudah mula hendak mengorek rahsia. Dia ni tak ubah macam wartawan Melodi. Suka bagi soalan-soalan panas, yang kurang enak didengar. Saman baru tahu!

Laptop di atas meja aku tutup. Dah penat menaip. Perut pun dah lapar. Aku tengok jam sepintas lalu. Dah nak pukul 1. Lunch time!

“Mana ada dating. Lepak ajelah.” sangkalku sambil menggeliat, membetulkan urat. Baru perasan yang sekarang ini cuma tinggal kami berdua saja dalam kelas. Yang lain dah lama cabut. Kami stay sebab nak buat kerja. Kalau tak jangan haraplah nak duduk sini lama-lama. Fon dalam beg aku ambil dan terus buka Instagram. Tengok balik semua gambar yang aku dah post. Ada beberapa gambar aku dengan Ashman yang dah aku padam. Kami kan dah tak ada apa-apa. Simpan pun tak guna.

“Eleeehh.. malu-malu kucing pulak dia!” Naura mula hendak mengusik.

“Kan aku dah cakap aku masih belum bersedia untuk serahkan hati pada orang lain. Masih terlalu awal.”

“Yelah, yelah. Tapi andai kata pintu hati kau dah terbuka, couplelah dengan Jepp. Mamat tu pun tak kurang hebatnya. Lawyer dengan lawyer. Sesuai sangat dah tu!”

Ini yang aku malas nak dengar ni. Tak ada benda lain dia nak buat selain kenenkan aku dengan Jepp, sedangkan dah berkali-kali aku kata yang aku dan Jepp cuma kawan biasa. Tapi dia tetap juga nak gosip aku dengan Jepp tu.

“Apa kata kau je couple dengan dia. Kau kan tengah mencari?” aku tersenyum nakal. Naura asyik fikir nak kenenkan orang tu dengan orang ni. Diri sendiri tu taknak pula cari calon.

“Ke situ pulak! Aku cakap pasal kaulah.”

Aku tertawa kecil. Tiba-tiba Jepp datang dan perbualan kami berhenti setakat itu. Kalau dia dengar nanti perasan terlebih pulak. Panjang umur dia! Baru je sebut, dia dah muncul.

“Korang busy ke? Jom lunch.” ajak Jepp.

“Tak. Memang nak pergi kafe dah pun.” aku segera berkemas. Laptop kesayangan aku simpan ke dalam beg galas.

Masa kami nak ke kafeteria, ada satu mesej yang masuk ke telefonku. Mama rupanya.



Ad, Ad kat mana? Datang Gleneagles sekarang. Tok pa masuk wad! Dia pengsan kat ofis tadi.



Mataku membuntang luas dan langkahku juga terhenti. Berdesup darah naik ke kepala. Aku membaca mesej itu berkali-kali dengan rasa tak percaya. Ya Allah, apa sudah jadi dengan tok pa?!

“Beb, asal kau ni?” Naura yang sudah berjalan jauh ke depan menerpa ke arahku.

“Tok pa... tok pa sakit! Aku kena pergi hospital sekarang jugak!” aku bernada cemas. Hilang terus rasa lapar. Sekarang cuma fikir nak cepat pergi ke hospital. Terbayang-bayang wajahnya di mata. Ya Allah, janganlah jadi apa-apa pada dia.

“Biar saya hantar awak, Ad. Awak tak boleh drive dalam keadaan macam ni. Bahaya!” Jepp juga sudah kaget.

Tanpa berfikir panjang aku terus bersetuju. Kami berlari anak menuju ke tempat parkir. Dalam hati aku berdoa supaya tok pa tak akan apa-apa. Semoga semuanya baik-baik saja.


****
Komen pliss!! thanks! ;)

5 comments:

  1. pendek sgt..pjgkan sikit n banyakkan sikit tentang ashman..elakkan cerita tentang org lain..huhu..ape pun garapan yg baik

    ReplyDelete
  2. Kenapa dengan ashman? Perubahan ashman ada kaitan dengan hanis.
    Apa hanis dah buat eh!

    ReplyDelete
  3. menci ashman..best wpun x pnjg..

    ReplyDelete