Tuesday 13 October 2015

Still Married 1



BAB 1


ALHAMDULILLAH, akhirnya aku selamat tiba di lapangan terbang Subang. Sepupu aku, Ezrinne, dah lama tunggu nak ambil aku. Dari Subang kami terus bergerak ke KL. Seperti yang dirancang, aku akan berada di sana untuk beberapa hari. Masuk je kereta, benda pertama aku buat telefon ibu. Sebab ibu dah pesan bila sampai je pastikan terus call dia. Tadi cuba telefon ayah tapi tak jawab-jawab pun.

Tak sampai lima saat, panggilan berjawab. Amboi, ibu. Mesti handphone memang dah ada kat tangan sebab itulah laju je jawab. Sejak-sejak dah pandai berFacebook ni, 24 jam main handphone je. Nasib baik ayah tak bising. He he he!

“Assalamualaikum, ibu.”

“Waalaikumussalam, Qal. Dah sampai KL?”

“Alhamdulillah, baru sampai. Ezrinne yang ambik Qal dekat airport tadi, sekarang ni kita orang nak pergi makan kejap lepas tu terus balik hotel. Nanti ibu tolong beritahu ayah, ya? Tadi Qal telefon dia tak jawab.”

“Ayah tu biasalah, sibuk sangat dekat ofis sampai handphone pun dia tak tengok. Tak apalah, nanti kalau ayah call ibu beritahu. Qal jaga diri. Kirim salam dekat Ezrinne.”

“Insya-Allah, ibu. I’ll be fine. No worries.” Aku menekan butang merah. “Ez, mak teh kirim salam.”

“Waalaikumussalam. Berapa hari kau kat sini, Qal?” soal Ezrinne, menumpukan perhatian sepenuhnya pada jalan raya. Dialah sepupu aku yang paling ngam dengan aku. Yang lain, kirim salam jelah.

“Tak tahu lagi. Mungkin sampai Isnin. Kenapa?” aku menyoal kembali. Iphone 5s yang dah calar-balar badannya aku simpan ke dalam beg. Abang aku selalu kutuk handphone aku, tapi aku tak kisah pun. Rupanya aje yang teruk, tapi isi kat dalam masih elok lagi. Dah tiga tahun pakai tak ada masalah pun. Cuma kadang-kadang je hang sebab banyak sangat download itu dan ini. Dan handphone buruk inilah yang paling banyak berjasa, menghubungkan aku dan si dia yang jauh di mata namun dekat di hati.

“Laa.. kenapa kejap sangat? Duduklah lama sikit. Kita dahlah jarang dapat jumpa.”

“Kalau ikutkan hati aku memanglah nak cuti lama, tapi kau tahu-tahu jelah pak teh kau tu. Nanti dia bising kerja melambak tak siap. Ini dia bagi lampu hijau pun dah kira seribu rahmat dah,” aku memberitahu. Siapa tak kenal ayah aku tu. Seorang yang workaholic dan tegas. Kalau melibatkan urusan kerja, memang dia takkan bagi muka walau dengan anak dia sendiri. Ramai yang ingat jadi anak bos ni beruntung sebab boleh buat ofis tu macam bapak sendiri punya. Boleh keluar masuk dan ponteng sesuka hati tapi lain halnya dengan aku. Ofis tu memang ayah aku punya, tapi ayah aku tak sporting macam ayah orang lain.

Ezrinne sudah tersengih lebar. Tak perlu aku cerita panjang lebar, dia sudah faham benar dengan perangai ayah saudaranya itu. Dato’ Mikail. Tegasnya cuma di pejabat tapi di rumah, dialah suami dan ayah yang paling penyayang.

Setibanya kami di Kuala Lumpur, kami singgah makan di Burger King. Punyalah banyak restoran di KL ni, yang ini juga kami pilih. Apa boleh buat, dua-dua pun gila fast food. Nasib baiklah orang tak ramai, beratur pun kejap saja. Ezrinne bawa burger dengan air, aku pula bawak kentang goreng dengan nugget, melangkah ke arah meja yang paling tepi.

Sempat aku tengok fon sebelum makan. Ada SMS dari si dia. Cepat-cepat aku baca.



Sayang, sorry sangat. Kerja kat ofis ni banyak lagi tak siap. Tak tahu balik pukul berapa. Insya-Allah I will see you tonight. ILY.



Aku mengeluh hampa. Mood baik sudah hilang. Frustnya! Tadi punyalah aku berangan dapat jumpa dia petang ni, alih-alih jadi macam ni pulak. Nasib, nasib!

“Haii.. monyok je muka. Kenapa?” tegur Ezrinne yang baru hendak menjamu selera.

“Ni ha.. buah hati aku baru mesej cakap banyak kerja kat ofis, tak tahu pukul berapa balik. Jawabnya malam nantilah baru dapat jumpa.”

“Sabar. Lagi berapa jam je. Sementara tunggu dia, bolehlah kita jalan-jalan dulu. Pergi KLCC ke, Pavilion ke, ok tak?”

Tanpa berfikir panjang, aku terus setuju. Daripada aku terperap kat hotel tunggu dia, baik aku pergi lepak dulu. At least adalah juga benda yang boleh dibuat.

“Ok jugak tu. Nak tunggu malam nanti mati kebosananlah aku jawabnya.”

AKU berdiri di tepi jendela, menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari tingkat tujuh. Sengaja aku pilih Hotel Traders. Dekat dengan KLCC, dekat juga dengan si dia yang aku cinta.

Aku melihat jam di tangan. Sudah pukul 9.15 malam. Tadi si dia mesej, cakap lepas Isyak nak datang tetapi sampai sekarang tak nampak-nampak lagi batang hidungnya. Harus diakui aku memang sudah tidak sabar ingin berjumpa dengannya. Rindu, teramat rindu! Maklumlah, dua-dua pun sibuk kerja. Jadual padat. Johor dengan KL bukannya jauh sangat, namun kekangan waktu menjadi penghalang. Tak selalulah boleh jumpa.

Aku sudah kebosanan. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Televisyen terpasang tanpa ditonton. Tak ada cerita yang menarik pun. Aku berjalan ke arah meja solek. Membetulkan rambutku yang lurus, panjang mencecah pinggang.

TING! TONG!!

Loceng pintu berbunyi nyaring, menandakan ada orang datang. Sempat aku membetulkan baju yang sedikit senget, sebelum berlari anak ke pintu. Teruja betul nak tengok siapa kat luar. Mesti buah hati aku dah sampai. Aku tengok dulu pada lubang pintu, tapi tak nampak pula wajahnya. Aku menarik nafas panjang. Cuba untuk bertenang. Tak tahu kenapa rasa gementar sangat nak jumpa dia. Mungkin sebab dah lama sangat tak jumpa.

Perlahan pintu dibuka. Mataku terpaku pada susuk tubuh yang berdiri kaku di depan bilikku ini. Aku tak dapat cam siapa sebab dia berdiri membelakangkan aku.

“Excuse me, sir. Who are you?” automatik aku speaking. Entah siapalah ni? Aku memandangnya dari atas ke bawah. Tinggi lampai manusia yang bersweater dan berseluar jeans di hadapanku ini.

Tiba-tiba aku rasa tak sedap hati. Lelaki mana datang bilik aku ni? Bodohnya Qalesya. Main bukak je pintu tak fikir apa pun. Sudahlah zaman sekarang ramai orang gila. Macam-macam benda tak elok boleh jadi. Aku sudah ingin menutup pintu, namun insan itu terus saja memusingkan tubuhnya sekali gus menampakkan wajahnya yang sengaja ditutup dengan sejambak bunga ros.

“Hai, sayang.” Sapa lelaki itu mesra. Lebar senyumannya.

Ceehhhh!! Dia rupanya!! Aku menghela nafas lega.

“B!! Sayang ingatkan siapa tadi. Buat orang takut je.” Aku menggerutu geram.

Uwais ketawa. Hoodie sweater yang menutupi kepalanya dibuka. “Sorry la. Lain kali janganlah main bukak je pintu ni. Bahaya!”

“Kalau tak bukak macam mana sayang nak tahu siapa yang datang? Dahlah tak nampak muka. Sayang tak cam tadi.” Aku tak mahu kalah. Walhal tadi cuak juga!

“Yelah, yelah. Salah B. Sorry. Taknak ajak B masuk?”

“Oppss, lupa pulak! Silalah masuk. Buat macam bilik sendiri.”

Sebaik pintu dikunci, Uwais terus memelukku dari belakang. Aku tersenyum lebar.

“This one is for you.” Sejambak bunga ros diberikan kepadaku.

“Cantiknya! Thank you, B.” aku mendekatkan bunga itu ke hidungku. Wangi! Uwais tak pernah lupa favourite aku.

Pelukan bertambah erat. Terasa laju degupan jantungku. Bertambah laju bila bibir Uwais hinggap di pipi kananku.

“I miss you sooooo much!” luah Uwais.

Bunga ros tadi aku letak atas katil. Aku memusingkan tubuhku menghadap Uwais. Lehernya aku rangkul mesra.

“I miss you more!! Kalau rindu kenapa lambat?”

“B tertidur sementara tunggu Isyak tadi. Sorry, sayang. B tak sengaja.” luah Uwais kesal.

“Ingatkan dah lupa nak jumpa isteri malam ni.”

“B yang plan semua ni, takkanlah B lupa. B sendiri pun excited sangat nak jumpa isteri B yang cantik ni. Tak boleh buat kerja pun kat ofis tu, asyik fikirkan sayang je.” Ujar Uwais sebelum bibirku dikucup lembut.

Bertambah lebar senyumku. Terubat rindu di hati bila dah jumpa suami. Tidak ada apa yang lebih menyeksakan selain daripada hidup berjauhan dengan suami sendiri. Mungkin ini ujian Tuhan buat kami. Baru nak hidup bahagia macam orang lain, dugaan pula datang menimpa. Sabarlah hati.

“Daddy dengan mommy tak tanya apa-apa?” soalku sebaik teringatkan mak ayah mertua aku. Hati mula terasa risau. Seandainya mereka dapat tahu apa yang telah kami lakukan, entah apa yang akan jadi pada kami. Aku tak mahu kebahagiaan kami dirampas sekali lagi.

“Tanya. B cakap B nak tidur rumah member sehari dua, lepak dengan kawan-kawan lama.” Tutur Uwais tenang. Tak sikit pun nampak risau.

“Dia orang percaya?”

Uwais angguk.

Aku sengih. “Otak bergeliga betul Encik Uwais ni.”

“Bila dah terdesak, apa saja kita sanggup buat. Kalau B tak buat macam ni, sampai bila-bilalah B tak berpeluang jumpa sayang.”

Dan hatiku dijentik rasa terharu. Luahan hati yang kedengaran begitu tulus ikhlas. Uwais memeluk tubuhku dengan erat. Aku hanya membiarkan.

“Alamak!” Uwais menepuk dahi.

“Kenapa, B?” aku terkejut dengan reaksinya itu.

“B tertinggal beg baju dalam kereta. B turun kejap.”

Laa!! Ingatkan apalah tadi! Aku menggeleng-gelengkan kepala. Suami aku ni muda-muda dah nyanyuk.

“Nak sayang temankan?”

“Tak payah. Kalau ada sesiapa nampak naya kita.” Kata Uwais. Kepalanya ditutup semula dengan hoodie.

“Ok. Tapi kenapa nak kena pakai hoodie tu?” soal aku sedikit hairan. Setahu aku Uwais tak suka pakai macam ni.

“Macam ni barulah tak ada siapa kenal anak Dato’ Fawwaz. Sayang tunggu kejap, ok? 10 minutes.”

Aku mengangguk perlahan. Baru faham kenapa Uwais kena menyamar jadi orang lain. Di KL ni hampir semua kenal Dato’ Fawwaz. Uwais takut pertemuan kami ini akan sampai ke pengetahuan ayahnya pula, kerana di mata Dato' Fawwaz kami sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi. Ya Allah, semoga apa yang kami rancang ini berjalan dengan lancar. Harapnya rahsia ini tidak akan terbongkar. Kalau tidak tak tahulah apa pula yang akan menimpa kami nanti.



_____________________________



Ini mungkin akan jadi mini novel yang seterusnya selepas TMD. Heheh. Saja post awal2, nak tengok apa reaksi korang. Ok ke tak? Suka ke tak suka? Nak ada sambungan ke tak payah? Huhuhuuuu! Best ke tak sila tinggalkan komen atau klik pd butang reaction di atas. Terima kasih! (komen anda amat dihargai, dari situlah senang utk saya tahu di mana kelemahan yg harus saya perbaiki)

6 comments: